Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
MAAFKAN AKU SAHABAT


KAMILIA tersedar dan menjeling jam di dinding. Sudah pukul 12-00 tengah hari. Senyap. Tidak ada pertengkaran. Tidak kedengaran tangisan Maniseh. Tidak juga terdengar tengkingan Abang Saidin.

Dia segera bangun, membuka pintu bilik dan keluar.Lengang. Memang tidak ada kelibat mereka berdua. Dia duduk di ruang tamu dan masih termenung mencari-cari jawapan sendiri.

“Termenung? Fikir apa ni?” tegur Fariza, rakan serumah yang tinggal di bilik atas.

“Tak ada apa. Fariza tak kerja ke hari ni?”

“Cuti. Esok baru naik kerja,” jawab Fariza dengan senyuman.

Kamilia mengangguk. Kemudian dia mati akal untuk berbual lagi. Wajahnya murung dan tidak ceria. Apa yang berlaku masih melekat dalam fikirannya.

“Kenapa dengan Maniseh tu?” tanya Fariza selepas lama Kamilia membisu.

“Kenapa?” Kamilia menoleh.

“Masa saya balik tadi, saya nampak dia dipapah keluar dari rumah ni. Nampak macam dalam kesakitan. Saya tak sempat nak tanya apa-apa sebab mereka nampak tergesa-gesa,” jawab Fariza.

Kamilia terkedu. Teruk sangatkah Maniseh dibelasah Abang Saidin tadi. Timbul kesal dalam hati kerana tidak menjengah langsung. Juga timbul menyesal kerana tidak membantu. Sahabat jenis apakah aku ini? Itu yang bermain di fikirannya.

“Apa jadi dengan dia?” Fariza mengulangi soalannya.

“Saya tak tahu. Saya pun baru balik,” ujar Kamilia.

Fariza mengangguk.

Kamilia tahu dia berbohong. Rasanya itu yang terbaik, untuk tidak memanjangkan cerita. Dia melangkah masuk ke bilik semula. Hatinya semakin gundah. Barang sudah dikemas tetapi ke mana kaki harus melangkah? Abang Saidin pun sudah hilang entah ke mana.

Sedang dia duduk berkira-kira, enjin kereta kedengaran memasuki garaj. Dengan tangkas dia bangun. Abang Saidin! Hatinya mula berbunga riang. Tapi, mana Maniseh?

“Abang, apa terjadi? Lia tertidur tadi...” kata Kamalia ketika keluar ke ruang tamu.

Abang Saidin duduk menyandar di sofa.Dia nampak letih dan sedih.

“Abang dah ceraikan Iseh. Abang dah hantar dia balik rumah keluarganya,” kata Abang Saidin perlahan.

Kamilia terkedu. Rasa bersalah dan kesalnya semakin bercambah.Apakah kerana dia mereka bercerai? Itu yang ada di fikirannya ketika ini. “Abang, Lia minta maaf...”

“Bukan salah Lia. Dia yang curang.”

“Tapi Lia yang cakap dengan abang.”

“Abang dah tahu lama.Cuma abang tunggu masa nak bertindak. Abang dah lama jadi suami yang dayus,” jelas Abang Saidin. Dia cuba membuang rasa bersalah di hati Kamilia.

“Tapi, masih boleh dibetulkan. Abang berilah dia peluang,” pujuk Kamilia.

“Lia, dah banyak kali abang beri dia peluang. Namun, dia tu macam anjing! Tak boleh hidup kalau tak makan najis!”

“Abang, jangan cakap macam tu...” kata Kamilia perlahan. Perkataan anjing dan najis itu dirasakan amat berat untuk dibandingkan dengan seorang wanita dan isteri seperti Maniseh.

“Kalau dia tak mengandung, mungkin abang boleh beri peluang itu. Tapi sekarang...”

“Hah? Iseh mengandung?” Kamilia tercengang.

“Ya. Tadi abang bawa dia ke klinik sebelum hantar dia ke rumah keluarganya.”

“Jadi dia keguguran?”

“Tidak. Kandungan itu selamat. Hanya pendarahan sikit saja.”

Lama Kamilia termenung. Dia kurang arif mengenai hal itu. Sebab itu dia tidak tahu untuk bertanya apa-apa lagi. Dalam hati dia tetap berdoa dan berharap, semua kejadian itu akan menjadi pengajaran kepada Maniseh.

Sebagai insan biasa, kita selalu membuat silap. Sebagai insan biasa juga kita perlu berani mengubah dan membaiki diri dari terus melakukan kesilapan itu lagi.

“Lia, abang yakin itu bukan anak abang.” Tiba-tiba telinga Kamilia diterjah suara Abang Saidin yang perlahan.

“Macam mana abang yakin sangat?”

“Sebab, abang dah lama tak tidur dengan dia. Sejak abang tahu perbuatan sumbangnya, abang mengelak daripada tidur dengannya. Dia... Dia...” Abang Saidin sebak dan tidak dapat meneruskan kata-katanya.

Kamilia semakin terkedu.

“Sabarlah, bang...” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Kamilia.

Abang Saidin mengangguk.

“Anak-anak macam mana?Kesian mereka bang,” tambah Kamilia lagi.

“Abang akan jaga mereka. Abang tak akan lepaskan pada Iseh. Abang tak mahu hidup anak-anak abang rosak. Dan abang juga tak akan beritahu anak-anak mengenai apa yang terjadi ini.Abang tak nak anak-anak membenci ibunya,” jawab Abang Saidin.

Kali ini giliran Kamilia yang mengangguk. Jauh di sudut hatinya dia menyanjung sikap Abang Saidin. Biarpun terluka, dia tidak memburukkan Maniseh di hadapan anak-anaknya.

“Lia, abang dah dapatkan bilik untuk Lia. Marilah kita pergi sekarang. Malam ni abang dah nak balik KL. Abang dah janji dengan Lia, jadi abang akan uruskan Lia sampai selamat,” sambung Abang Saidin.

“Terima kasih, bang. Lia tak tahu mana nak pergi tanpa bantuan abang.”

Abang Saidin mengangguk.Dia tersenyum. Sisa-sisa kesedihan masih ketara di wajahnya.

“Bilik itu di mana, bang?” tanya Kamilia pula.

“Di Bandar Baru Uda. Ada kawan abang yang nak sewakan bilik rumahnya. Marilah, kita bergerak sebelum malam,” jawab Abang Saidin. Dia bangun.

Kamilia turut bingkas bangun dan berjalan ke arah barang-barang yang telah siap dikemas di muka pintu biliknya.

Akhirnya hari itu juga Kamilia meninggalkan bilik yang penuh kenangan itu dengan hati yang berat. Berlinangan air mata Kamilia. Walaupun bagaimana jahat pun perangai Maniseh, masih banyak jasa dan kebaikan Maniseh kepadanya selama mereka berkawan. Dalam jahatnya, ada juga sikap baik dan prihatinnya.

Kamilia sedih kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Maniseh.Juga tidak sempat bersalaman dan mengucapkan terima kasih.

Kamilia terus berkelana. Kehidupan baru di rumah baru agak selesa kerana dia hanya sendirian di rumah itu. Tuan rumah hanya balik sekali-sekala.

“Buatlah rumah ini macam rumah sendiri.Lia jangan anggap Lia menyewa di sini. Kami sewakan bilik itu pun bukan untuk wang, tapi untuk mencari orang yang boleh kami percaya untuk menjaga rumah ini,” kata Kak Maimun, pemilik rumah itu.

“Makanlah apa yang ada di dapur tu walaupun ketika kami tiada. Kami dah halalkan untuk awak,” tambah Haji Mus, suami Kak Maimun.

Kamilia rasa sungguh terharu. Dalam dunia ni, rupanya ada berbagai rupa manusia. Ada yang terlalu jahat. Ada yang baik bercampur jahat. Ada pula yang baik dan ikhlas. ALLAH telah keluarkan dia daripada lingkungan hidup yang penuh kejahilan dan maksiat kepada golongan yang baik dan berhati mulia.

Kamilia hidup dengan aman dan tenang. Pergi dan balik kerja. Begitu pun, kenangan cinta monyetku bersama Remi masih melekat manis. Begitu juga nostalgia pilu kecewa cinta dengan Dani masih melekat pahit.

‘Untuk apa kau ingat dia lagi, Kamilia.Dia dah bahagia dengan isterinya. Buanglah dia jauh-jauh daripada hatimu...’Itu yang sering terlintas di hatinya. Dia cuba mencari kekuatan dan semangat. Namun, kadangkala dia rasa sedih dan terseksa. Apa lagi setiap kali mendengar sebuah lagu dendangan Zaleha Hamid:

Dulu kau kepunyaanku, kini kau di tangan orang

Harapan kita utk bersama, hancur berderai dan musnah

Hari ini kau gembira, persandinganmu dengan dia

Hari berganti minggu. Minggu pula berganti bulan. Akhirnya Kamilia berjaya melupakan kenangan yang menakutkan bersama Maniseh. Dia menjalani hidup dengan caranya sendiri. Tidak ada hiburan melainkan sebuah radio kecil menggunakan dua bateri.

“Kenapa tak pasang aje radio di ruang tamu itu, Lia. Kalau nak tengok TV pun, tengoklah,” kata Kak Maimun pada satu hari.

“Tak apalah kak. Saya selesa dengan radio kecil saya ni,” jawab Kamilia, tulus. Memang dia tidak mahu menodai kebaikan mereka dengan mencuri peluang ke atas harta benda mereka. Dia mahu membawa diri seperti orang yang menyewa dan menumpang. Bukan sebagai pemilik rumah.

Selepas setahun, ketika Kamilia langsung tidak pernah terfikir tentang cinta dan lelaki, tiba-tiba dia diminta olehemaknya Hajah Zizah untuk menerima lamaran Zamri.

“Zamri tu budak baik, Lia.Mak suka kalau dia jadi menantu mak. Jadi, kami berharap sangat Lia akan setuju,” kata Hajah Zizah, melalui telefon. Zamri adalah saudara jauh Hajah Zizah dan sudah lama menetap di Johor Bahru.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.