Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
: BUTAKAH CINTA?


PAK AHMAD tahu Kamilia sedang tertekan. Ketika menyentuh dahi Kamilia, dia panik seketika. Suhu badan Kamilia ternyata sangat panas.

“Saya nak bawa dia ke klinik dulu.Yang lain-lain tu kita bincang kemudian. Demamnya panas sangat ni. Saya bimbang akan melarat,” kata Pak Ahmad kepada Hajah Zizah yang masam tanpa senyum.

“Tak ada benda yang nak dibincangkan. Kata saya tetap begitu dan tak akan berubah lagi. Dia boleh pilih.Kalau dia nak terus tinggal di rumah ini, dia kena lupakan jantan itu. Kalau dia memilih jantan itu, maknanya dia kena keluar sini!” tegas Hajan Zizah.

“Cuba jangan berkasar sangat. Awak kena ingat pada qada dan qadar ALLAH. Dia bukan budak kecil lagi. Dulu dia kahwin kerana ikut cakap awak. Apa jadi? Sekarang, biarlah kali ini dia pilih sendiri,” kata Pak Ahmad dengan suara meninggi.

“Jadi, awak nak subahat dengan dia dan nak lawan cakap saya?”

“Bukan subahat. Kalau benar mereka nak berkahwin, kenapa nak dihalang. Daripada berlaku sesuatu yang tak diingini, lebih baik kita halalkan hubungan mereka.”

“Awak nak anak awak bermadu?” Hajah Zizah menjengilkan matanya kepada Pak Ahmad. Sakit hatinya bila kata-katanya cuba diengkari.

“Kalau itu jodoh dia, apa salahnya. Bermadu itu bukan dosa.”

“Jangan nak letak semuanya kepada jodoh. Ini jodoh yang dicari. Ini takdir yang sengaja ditempah!”

“Mengucaplah, Zizah. ALLAH Maha Tahu. DIA yang mengatur semua ini. Awak jangan nak nafikan kebesaran ALLAH.”

Hajah Zizah terdiam. Dia bukan kalah atau rasa bersalah, tetapi dia sedang menahan marahnya yang semakin meluap-luap. Dia rasa tercabar.

“Cubalah awak walikan dia kalau awak berani!” tengking Hajah Zizah.

“Awak nak buat apa dengan saya? Ini anak saya. Saya berhak tengok anak saya bahagia,” jawab Pak Ahmad dengan selamba dan tenang.

“Bahagiakah dia nanti dengan lelaki yang ada isteri dan anak berderet itu?” tanya Hajah Zizah dengan senyuman sinis.

“Dia tahu apa yang dia buat. Tugas kita hanya menasihat. Kalau dia nak juga, kita kena reda. Yang nak hidup berumah tangga, dia,” kata Pak Ahmad. Itu cara dia, lemah lembut tetapi tegas.

Kamilia dibawa ke klinik untuk mendapat rawatan. Selepas dua hari, baru demamnya kebah sedikit. Dalam masa dia terlantar demam itu, Hajah Zizah tetap menjaganya dengan penuh perhatian.

Lalu tiba-tiba hati Kamilia menjadi amat sayu untuk melukakan hati emaknya. Apalah maknanya seorang lelaki berbanding dengan seorang emak yang amat berjasa. Itu yang muncul dalam fikirannya.

Lalu dia berjanji kepada dirinya, tidak akan melukakan hati emak yang melahir dan membesarkannya. Biarlah dia sengsara kerana cinta yang tidak kesampaian, asal hati seorang emak tidak terluka. Kamilia tidak mahu bertangguh lagi. Dia tidak mahu Nik Arif terlalu mengharapkan cintanya.

“Saya rasa baik kita batalkan hajat kita. Kita lupakan aje cinta kita ini. Kembalilah kepada anak isteri encik dan saya akan terus hidup dengan keluarga saya,” kata Kamilia ketika Nik Arif menelefonnya.

“Tidak. Jangan buat saya macam ni. Saya tak sanggup nak berpisah dengan awak.”

“Saya juga tak sanggup nak lukakan hati emak saya.Dia tak akan mengalah. Sayalah yang kena beralah.”

“Tapi, saya cintakan awak. Dan saya tahu awak pun sama.”

“Cinta itu perlukan pengorbanan. Tak guna kita teruskan tanpa restu seorang ibu. Lagipun, isteri encik sendiri tak tahu mengenai hal ini. Saya yakin kalau dia tahu, dia pun tak akan izinkan,” kata Kamilia.

Nik Arif terdiam. Mungkin berfikir akan kebenaran kata-kata Kamilia. Perbincangan mereka usai begitu sahaja. Namun, Kamilia rasa lega selepas memberikan keputusan itu kepada Nik Arif. Mungkin tidak susah untuk mereka memilih jalan berpisah.Hati mereka belum begitu lama hanyut dalam arus cinta terlarang yang amat deras itu.

Sejak hari itu, hubungan mereka putus. Kamilia tidak lagi menghubungi Nik Arif. Begitu juga sebaliknya. Walaupun agak pahit dan sengsara untuk Kamilia membuang rasa cinta dan rindu kepada Nik Arif, namun dia gagahi juga.

“Lelaki, dengan kita dia kata cinta. Dengan bini dia, dia pasti akan kata sayang. Dengan kita, dia kata tak bahagia bersama isteri. Dengan isterinya dia kata, bahagia yang tidak boleh dibeli,” kata sahabatnya yang tahu akan rahsia percintaan mereka.

“Tak apalah. Aku doakan dia memang berbahagia dengan keluarganya. Aku akan cuba melupakan semuanya. Aku nak mulakan hidup baru dengan semangat dan azam baru,” balas Kamilia, dengan perlahan.Dia cuba menguatkan hatinya.

Kamilia tidak mahu terus melayan hatinya. Dia berusaha mencari kerja di pekan. Dengan kelulusan dan pengalaman yang dia ada, tidak susah untuk dia mendapat kerja walaupun gajinya tidak besar berbanding gaji semasa bekerja di Johor Bahru.

Dia diminta untuk melaporkan diri dalam masa dua minggu. Sungguh dia rasa bersyukur kerana hajatnya untuk memulakan hidup baharu akan segera terlaksana. Namun, hajat itu terganggu. Ia tidak menjadi kenyataan.

Tanpa diduga, tiba-tiba Nik Arif muncul lagi. Kali ini lelaki itu tidak mencari Kamilia di rumah Hajah Zizah. Sebaliknya dia terus ke rumah Pak Ahmad, ayah Kamilia.

“Lia, baik Lia datang ke sini sekarang. Nik Arif ada di sini,” kata Pak Ahmad melalui telefon.

“Tapi, buat apa dia datang lagi.Kami dah putus, ayah.”

“Kamu datanglah. Kita tak boleh bincang melalui telefon ni. Datang cepat!” gesa Pak Ahmad sebelum talian dimatikan.

Kamilia akur. Dia menaiki motorsikal ke rumah ayahnya yang jaraknya 10 kilometer dari rumah emaknya. Sesampainya di sana, dia amat terkejut melihat Nik Arif tidak datang sendirian macam biasa. Sebaliknya dia ditemani dua orang kawan baiknya yang memang Kamilia kenal.

Awalnya, Kamilia ingat itu hanya kunjungan biasa. Mungkin sekadar menziarah. Namun, rupanya Nik Arif datang bersama hajat lamanya. Lelaki itu tidak pernah berputus asa.

“Saya tahu awak tak suka saya datang lagi. Saya faham awak cuba nak berkorban untuk menyenangkan hati emak awak. Saya minta maaf. Saya tak boleh teruskan hidup tanpa awak. Tolonglah...” rayu Nik Arif tanpa segan silu lagi walaupun bersama mereka ada ayah Kamilia dan dua rakannya.

Kamilia tergamam. Buntu fikirannya. Dilema yang cuba dihindari, akhirnya muncul kembali. Sungguh mencabar dugaan yang datang. ALLAH memang benar-benar sedang menguji ketabahannya sebagai anak dan keikhlasannya sebagai kekasih.

“Saya sayang mak saya...” rintih Kamilia. Dia mula menangis.

“Saya tak suruh awak bencikan dia. Saya juga akan hormati dia sebagai orang yang melahirkan awak ke dunia ini,” balas Nik Arif pula.

“Mak akan buang saya. Saya akan jadi anak derhaka... Saya tak sanggup...” kata Kamilia. Air matanya langsung tidak mahu berhenti. Hanya itu pernyataan yang jujur mengenai kepiluan hatinya dan bukti kasih sayangnya kepada seorang ibu.

Nik Arif tetap tidak mahu mengalah. Pujukan demi pujukan dibuat. Kata cinta juga tidak malu diungkap. Namun, Kamilia tetap tidak mahu mengangguk tanda setuju. Juga langsung tidak menggeleng tanda tidak suka. Dia benar-benar berada di dua persimpangan kasih.

“Lia, saya cintakan awak.Saya tak akan balik tanpa awak. Apa nak jadi, jadilah.”

Kamilia mendongak. Wajah lelaki itu direnungnya. Kenapakah Nik Arif tidak mahu memahami situasi dirinya?

“Lia, terimalah dia. Kahwinlah. Keadaan tak akan aman lagi walaupun Lia menolak jodoh ini,” tiba-tiba Pak Ahmad bersuara.

“Apa maksud ayah?” Kamilia segera berpaling ke arah ayahnya. Ada satu keraguan yang sedang berputik di hatinya ketika itu.

“Ayah tahu Lia amat sayangkan Arif. Daripada kerdipan mata Lia, ayah memang dapat membaca rasa hati Lia. Lia memang dah tak boleh nak lupakan Arif. Kalaupun Lia menolak untuk berkahwin, tapi ingatan Lia tetap pada dia. Begitu juga sebaliknya. Ayah kasihan kalau Lia terpaksa menyeksa diri sendiri hanya kerana nak gembirakan kami,” kata Pak Ahmad. Ada sejuring senyuman di bibirnya. Pada mata Kamilia, senyuman itu sebagai menutup rasa sakit yang ada di hatinya.

Dalam masa yang sama, Kamilia mengakui kebenaran kata-kata itu. Tidak berani dia membohongi diri sendiri dan tidak berani juga untuk menyangkal semua kata-kata ayahnya itu. Sesungguhnya sejak kecil ayahnya yang amat memahami perasaanya. Setiap kali dia merajuk, ayahnya yang selalu hadir memujuk. Walaupun tidak tinggal sebumbung, hubungan kasih mereka begitu erat.

Sejak awal, ketika dia dijodohkan dengan Zamri ayahnya juga sudah menjangka bahawa jodoh itu tidak akan panjang dan ada aral yang akan menimpanya. Kini, ayahnya sekali lagi meramalkan bahawa hatinya tidak akan gembira tanpa Nik Arif.

“Ayah...” Kamilia memeluk Pak Ahmad. Dia menangis sepuas-puasnya. Tidak ada lain yang diharapkan ketika itu melainkan belaian kasih sayang serta restu.

Lalu, dengan nasihat ayahnya itu Kamilia mengangguk perlahan tanda menerima lamaran Nik Arif. Dia akhirnya melanggar janjinya untuk tidak melukakan hati seorang ibu. Dia mengikut kata hatinya dengan menghancurkan hati Hajah Zizah.

Seperti syarat yang diberikan oleh emaknya Hajah Zizah, Kamilia terpaksa keluar dari rumah emaknya sehelai sepinggang. Semua barang kemas dan pemberian emaknya tidak diambil. Yang dibawa hanya air mata. Ketika dia melangkah keluar dari pintu rumah itu, Hajah Zizah tidak ada di rumah. Kamilia hanya meninggalkan sekeping surat kepada emaknya:

Kepada mak yang Lia sayang,

Lia minta maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini. Lia tahu Lia berdosa pada emak. Lia engkar pada kehendak emak. Namun, Lia tidak dapat hidup tanpa dia emak. Lia minta ampun, emak. Tolong halalkan air susu yang Lia hisap dari tubuh emak. Tolong halalkan makan minum Lia. Lia memang anak tidak berguna, tapi tolong jangan sumpah Lia. Lia masih perlukan doa emak untuk meneruskan hidup Lia.

Emak, Lia pulangkan semua barang kemas pemberian emak yang ada di tubuh ini. Selepas melukakan hati emak, Lia rasa tidak berhak lagi untuk menerima pemberian emak. Cukuplah Lia bawa bersama Lia, kasih sayang dan jasa emak membesarkan Lia selama ini. Walaupun Lia terpaksa tinggalkan emak, namun emak tetap akan hadir dalam setiap doa Lia. Lia tidak akan lupakan emak. Lia amat sayangkan emak...

Emak, akhir kata Lia amat berharap agar emak merestui hubungan kami. Tolonglah doakan kami, emak.

Sembah salam dari anakmu - Kamilia.

Ketika melipat surat itu, air mata Kamilia seperti hujan. Sungguh pilu. Dapat dibayangkan bagaimana perasaan emaknya ketika membaca surat itu.

Akhirnya Kamilia dinikahkah oleh ayahnya dalam sebuah majlis pernikahan yang cukup ringkas. Tidak ada jemputan. Tidak ada kenduri. Yang ada hanya pak imam dan saksi. Nasib baik ketika itu urusan nikah kahwin agak mudah dan tidak banyak peraturannya.

Selepas dia sah menjadi isteri Nik Arif bin Nik Omar, Pak Ahmad memeluknya dengan sebak.

“Pergilah jauh dari sini sebelum emakmu sampai. Ayah tak sanggup nak tengok Lia dimarahi. Jadilah isteri yang baik. Sabar dan tabahlah mengharungi semua ujian ALLAH. Ayah akan sentiasa mendoakan Lia,” bisik Pak Ahmad dengan air mata.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.