Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
CINTA KAMILIA DAN DANI

CINTA KAMILIA DAN DANI.


PERTEMUAN itu tidak berakhir di situ. Hubungan mereka terus bersambung. Setiap minggu dia menerima surat daripada Dani. Ternyata Dani begitu rajin mengirim surat. Dalam surat-suratnya, Dani banyak memberikan nasihat agar Kamilia belajar bersungguh-sungguh.

Dani suruh Kamilia jadi anak yang baik dan berbakti kepada ibu bapa. Dani suruh Kamilia jadi muslimah sejati. Macam-macam yang Dani tulis sebagai kata nasihat. Dan yang paling banyak Dani tulis dalam surat-suratnya ialah: DANI RINDUKAN LIA.

“Lia juga rindukan Dani,” bisik Kamilia setiap kali melipat surat daripada Dani.

Kemudian surat itu akan dikucup dan dipeluknya. Kadang-kadang surat itu akan diletakkan di bawah bantal dengan harapan dia akan tidur bermimpikan Dani.

Masa terus berlalu dan Kamilia amat berbahagia bersama cinta Dani. Pada satu hari yang kering dan walang, dia menerima sepucuk surat daripada Remi melalui seorang kawan. Surat itu membuatkan hati Kamilia rasa berdebar dan sangat sengsara. Maklumlah, Remi adalah cinta pertamanya.

Lia, beberapa purnama aku menangisi pemergianmu. Sampai hatimu. Dikau tinggalkan daku begitu saja. Mana janjimu? Mana kata-kata cinta yang pernah kau sebutkan dulu? Mana pula kau buang semua kenangan manis selama kita bersama. Aku amat kecewa Lia. Kau kekasih pertamaku. Kau juga perosak impianku. Kau yang menghancurkan hatiku.

Tolong ingat betul-betul Lia, sebagaimana kau telah mengecewakan hati dan perasaanku, satu hari ALLAH pasti akan membalasnya. Satu hari, kau akan rasa apa yang aku rasa sekarang. Kau akan tahu sakitnya hati yang kecewa. Kau akan rasa gelapnya hidup tanpa sinar cinta. Aku tidak mendoakan kehancuranmu, Lia. Tapi itulah hukum karma. Setiap perkara yang baik akan dibalas baik. Setiap yang jahat akan dibalas juga.

SELAMAT BERBAHAGIA... Sampai ke hujung nyawa aku tidak akan melupakan apa yang kau buat padaku, Lia.

Air mata Kamalia berhamburan keluar sebaik selesai membaca surat itu. Semua tuduhan itu dirasakan seperti pisau yang tajam menghiris hati. Dia ingin membetulkan semuanya. Dia ingin mengatakan kepada Remi bahawa dia tidak berniat melukakan hati Remi sebaliknya cuba memberi laluan bahagia kepada Remi.

Untuk itu, dia rasa perlu bersemuka dengan Remi. Biar Remi tahu isi hatinya. Keesokan harinya, dia mengirimkan sepucuk surat kepada Remi. Dia minta untuk bertemu di kantin selepas waktu sekolah.Dia berharap sangat agar semua kekusutan antara mereka dapat diselesaikan. Agar masalah dan salah faham akan terlerai.

Namun, apa yang diharapkan tidak berlaku. Kamilia menunggu Remi di kantin hingga pukul 3.00 petang. Bayang Remi tidak kelihatan langsung. Akhirnya dia mengayuh basikal dan pulang dengan hati kecewa.

Sejak itu, mereka tidak pernah bertegur sapa lagi. Remi sentiasa mengelak daripada bertembung dengan Kamilia. Pernah Kamilia mendekatinya untuk meminta maaf. Namun, Remi segera melarikan diri. Seolah-olah Remi sangat benci untuk bersua muka dengan Kamilia lagi.

Kamilia tidak marah. Remi wajar bersikap begitu. Dia sudah menghancurkan hati Remi. Dia yang ikut kata hati dan kuat cemburu. Dia yang kuat merajuk dan berfikiran singkat.

Kamilia cuba menerima kenyataan bahawa antara mereka memang telah putus. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Dia juga memberikan perhatian kepada aktiviti sekolahnya. Semuanya demi melupakan apa yang berlaku antara dia dan Remi.

Dalam masa yang sama, hubungan Kamilia dengan Dani bertambah erat. Dani sudah mula berani meluahkan kata-kata cinta dalam setiap surat-suratnya. Dan Kamilia mula rasa terbuai!

Hari demi hari, rindu Kamilia beralih arah. Kekecewaan dan rajuknya terhadap cinta pertamanya terubat juga. Tiba-tiba dia menjadi kuat untuk menempuh dugaan ‘putus cinta’ yang ditanggungnya itu.

Akhirnya perasaan cintanya terhadap Remi mula hilang dihanyut musim. Kamilia bahagia dengan perasaan barunya. Dia mula kembali menanggung rindu. Kali ini kepada Dani. Setiap minggu dia menunggu posmen membawa surat-surat dari Dani. Setiap minggu dia membeli kertas ‘writing pad’ yang berbau wangi dan berbunga-bunga untuk membalas surat-surat Dani.

Cinta Dani sedang memenuhi seluruh ruang hati dan jiwanya. Bunga-bunga cinta mula berputik segar. Kuntum-kuntum kasih pula berkembang wangi. Aduhai...

Kamilia melangkah ke tingkatan lima dengan penuh azam. Surat-surat daripada Dani adalah obor semangatnya. Dalam surat-suratnya, Dani mahu Kamilia berjaya. Katanya dengan keputusan Sijil Rendah Pelajaran yang lepas, Kamilia mampu lebih cemerlang.

Lalu Kamilia meletakkan sasaran untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia mula kurangkan semua aktiviti luar. Banyak masa dihabiskan di perpustakaan untuk menelaah pelajaran dengan kawan-kawan. Semasa di perpustakaan, dia sering terserempak dengan Remi. Kadangkala bersendirian. Adakalanya pula dengan gadis pengawas itu.

Kalau Remi berdua-duaan, dia sengaja bergurau mesra. Seperti dia sengaja membuat Kamilia cemburu! Bohonglah kalau Kamilia tidak sakit hati. Bohong juga kalau dia tidak cemburu. Memang dia cemburu sangat-sangat. Kemesraan Remi dan gadis itu seolah-olah disengajakan. Ia amat menyakitkan hatinya. Dia berusaha melawan semua perasaan itu. Dia cuba ubati semua rasa sakit itu dengan sabar.

“Kau marah?” tanya Nurlela, sahabat baiknya.

Kamilia menggeleng.

“Kau jangan bohong. Aku tahu kau cemburu. Aku tahu kau sakit hati dan marah pada mereka. Kau tahu apa maknanya?”provok Nurlela.

Kamilia menggeleng lagi.

“Maknanya kau masih cintakan dia.”

“Tak. Aku langsung dah tak ada hati pada dia,” tepis Kamilia dengan cepat.

“Kalau begitu, kau kena buang semua rasa cemburu dan marah kau tu. Kita nak periksa tahun ni. Kau jangan asyik dok ingat bercinta aje! Kalau nak bercinta, pergi kahwin!” kata Nurlela, mengajuk cakap guru disiplin dalam setiap kali perhimpunan sekolah.

Sejak itu, Kamilia cuba membuang rasa sakit hati dan cemburunya kepada Remi.

Sementara itu, hubungan Kamilia dan Dani sudah tidak tidak mampu disorokkan lagi. Pada hari raya Aidilfitri yang kedua, Dani tidak segan-segan membawa Kamilia bertemu keluarganya secara rasmi.

“Kenapa cepat sangat Dani? Lia belum bersedia,” protes Kamilia ketika Dani menyatakan hajatnya itu.

“Dani nak semua keluarga Dani tahu yang kali ini Dani tak main-main. Dani cintakan Lia sepenuh hati. Dani nak kahwin dengan Lia. Lepas Lia selesai periksa SPM, kita bertunang!”

“Tapi, Lia masih nak sambung belajar. Dani juga yang selalu kata, manusia tanpa ilmu adalah manusia yang rugi. Lia tak nak rugi,” balas Kamilia pula.

“Lia, Lia boleh belajar setinggi mana pun. Tapi Lia mesti jadi isteri Dani dulu. Dani tak nak kehilangan Lia dalam hidup Dani.”

“Biarkan Lia habiskan SPM dulu sebelum Lia dibawa berjumpa keluarga Dani,” pinta Kamilia, penuh harapan.

“Dani dah beritahu mak. Dia dah setuju nak jumpa Lia. Jangan tolak, Lia. Kesian Dani...” rayu Dani pula.

Akhirnya Kamilia mengalah. Dia ikut juga Dani ke rumahnya. Ternyata benar. Keluarga Dani memang sedang menunggu kehadiran Kamilia.

“Inilah rupanya bakal menantu mak,” kata Hajah Gayah, ibu Dani.

Kamilia tersipu malu. Dia tidak menyangka Dani begitu nekad, walhal mereka belum kenal lama.

Sejak pertemuan pertama itu, hubungan Kamilia dengan keluarga Dani menjadi amat rapat. Kakak dan ibu Dani amat memanjakan Kamilia hingga tidak malu mengaku dia sebagai menantu mereka setiap kali ditanya jiran atau rakan taulan.

Hal ini membuatkan Kamilia semakin dibuai asmara. Dia rasa dia bukan sahaja sedang berkasih dengan Dani, malah juga dengan keluarganya.

Selain dibuai cinta, Kamilia juga semakin gigih dalam pelajaran. Dalam setiap ujian bulanan, peratusan peperiksaannya semakin meningkat. Dani adalah tunggak kekuatannya. Pada masa itu, dia hidup hanya untuk Dani. Apa saja yang Dani suruh, dia akan buat. Apa saja yang Dani sarankan, dia akan ikut.

Namun, nasib tidak menyebelahi Kamilia. Dalam peperiksaan percubaan, dia mendapat kelulusan yang baik dan cemerlang.Tetapi dalam peperiksaan sebenar, dia kandas satu subjek. Lalu dia gagal ke tingkatan enam di sekolah kerajaan. Atas nasihat guru-guru, dia tidak perlu mengulangi SPM sebab dia bukannya gagal sepenuhnya. Akhirnya dia terpaksa masuk ke tingkatan enam di sekolah swasta.

Ketika itu tekanan mula terasa kerana Dani mula mendesak agar mereka segera berkahwin tanpa perlu bertunang.

“Jangan jadikan pelajaran itu satu alasan untuk menolak usul ini. Kita kahwin, kemudian Lia sambung belajar di Kuala Lumpur.”

“Tidak. Lia nak terus belajar di sini!” tegas Kamilia pula.

“Kenapa Lia suka bantah cakap Dani?” marah Dani.

Akhirnya Dani berangkat pulang ke Kuala Lumpur tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada Kamilia. Dia pergi begitu sahaja. Hal itu menyebabkan Kamilia serba salah dan sedih. Dia hilang pertimbangan seketika. Dia kesal kerana Dani begitu mudah membuat keputusan tanpa memikirkan perasaannya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.