Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
HIDUP SEORANG JANDA


MAKA terlerailah sebuah ikatan perkahwinan yang hanya mampu bertahan hampir tiga tahun. Putus sudah kasih sayang. Kamilia mengucap syukur berulang-kali. ALLAH Yang Maha Mengetahui kenapa mereka tidak dikurniakan zuriat.

Zamri pulang ke Johor Bahru dengan wajah kesal. Ada sedikit rasa sedih di hati Kamilia selepas mendengar talak yang dilafazkan. Tetapi kesedihan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan rasa sakit hati dan kecewanya dengan sikap Zamri.

Malam itu Kamilia tidur dengan lena. Dia tidak mengharapkan lagi Zamri muncul di hadapannya mahu pun dalam mimpinya. Sungguh besar dendamnya pada lelaki itu.

Keesokan pagi, Kamilia bangun dengan azam dan semangat baru.Hari pertama bergelar seorang janda, sangat membahagiakan. Dalam fikiran, Kamilia mula merangka masa depannya. Dia perlu mencari kerja. Namun atas nasihat keluarga, dia terpaksa menunggu hingga habis edah baru boleh bergerak ke mana-mana.Kamilia akur. Bukannya lama. Hanya tiga bulan sepuluh hari sahaja. Pejam celik, pejam celik edah akan habis.

Sepanjang tempoh menanti tamat tempoh edah, Kamilia tidak banyak keluar dari rumah. Dia banyak menghabiskan masa dengan membaca dan melayan rasa. Hinggakan ada yang tidak tahu dia ada di kampung pada masa itu.

Zamri mengirim surat berpucuk-pucuk. Surat-suratnya penuh rayuan dan kata-kata cinta. Namun, langsung tidak memikat hati Kamilia. Malah ada suratnya yang dibuang ke dalam tong sampah. Keluarga juga tidak jemu memujuk agar Kamilia setuju untuk rujuk semula dengan Zamri.

“Kalau nak rujuk, lebih baik tak payah nak bercerai. Sekali ludah, Lia tak akan menjilatnya lagi. Sekali buang, Lia tak akan kutip semula. Yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti,” kata Kamilia penuh yakin ketikaemaknya memujuk.

“Memang akan tumbuh dan berganti. Tapi tak akan sama dengan yang hilang. Kami bimbang kalau kau akan dapat yang lebih teruk daripada dia,” kata mak ciknya pula.

Akhirnya selepas tiga bulan sepuluh hari, masa edah pun habis. Walaupun Kamilia telah melaluinya dengan penuh gelisah. Kini, dia rasa senang dan berlapang dada kerana telah bebas sepenuhnya.

ALLAH yang menentukan semuanya. Takdir Tuhan tidak ada siapa yang mampu membacanya. Dua hari selepas tarikh edahnya habis, dia menerima tetamu yang tidak diduga. Seluruh tubuh dan jantungnya begitu lemah ketika berdepan dengan tetamu itu.

Emaknya menerima huluran salam daripada tetamu itu dengan penuh cuak dan sedikit marah.

“Macam mana encik boleh tahu rumah saya?” tanya Kamilia ketika melihat Nik Arif tercegat di pintu rumahnya.

“Saya ni bos awak. Fail peribadi awak ada dalam tangan saya,” jawab Nik Arif dengan senyuman.

Hati Kamilia berdebar. Dia tidak tahu apa tujuan Nik Arif mencarinya.

“Ada apa encik datang ni? Saya kan dah hantar notis berhenti 24 jam. Gaji pun saya tak ambil kerana saya tahu silap saya berhenti tak bagi notis awal. Rasanya saya tak ada hutang apa-apa dengan syarikat,” kata Kamilia, sedikit gugup.

“Awak memang tak berhutang dengan saya, tapi saya yang berhutang dengan awak.” Bibir Nik Arif masih menguntum senyum.

Namun, hati Kamilia tidak gembira dengan senyuman itu. “Hutang apa?”

Nik Arif diam. Dia berkisar tempat duduk. Ada sedikit kegelisahan dan kegugupan di wajah lelaki itu. Kamilia memerhati dengan curiga. Hajah Zizah juga masih merenung Nik Arif dengan cuak.

“Saya minta maaf kalau kedatangan saya tak kena pada masanya, Kamilia. Saya datang ni, untuk melamar awak. Saya nak jadikan awak isteri kedua saya. Mahukah awak terima lamaran saya?” Meluncur lancar kata-kata Nik Arif.

“Hah?” Kamilia tersentak. Dia tergamam lalu serta merta lidahnya menjadi kelu. Dia tidak pernah menduga akan mendengar kata-kata itu daripada mulut bekas bosnya itu.

“Oh! Jadi awaklah punca semuanya ni?” Tiba-tiba Hajah Zizah menyergah kasar.

Hati Kamilia semakin tidak keruan.

“Bukan saya yang mulakan semua ini, mak cik. Zamri yang cemburu buta.” Nik Arif cuba mempertahankan diri.

“Dia cemburu bertempat. Kalau tak benar, takkan awak sanggup datang begini jauh untuk cari Lia?”

“Saya terpaksa menyahut cabarannya. Semalam, dia datang jumpa saya sekali lagi dan mencabar saya untuk kahwin dengan Lia. Macam-macam dia kata kat saya,” jawab Nik Arif.

Kamilia terbayang apa yang telah berlaku tempoh hari. Namun, dia tidak dapat membayangkan kalau Zamri masih mengulangi kebodohannya itu lagi.

“Kalau dia cabar awak terjun longkang, awak nak buat ke?” tanya Hajah Zizah lagi. Matanya melorot tajam ke arah Nik Arif.

Diam. Nik Arif menoleh merenung Kamilia.Mata mereka bertemu, saling menatap.

“Mak cik, saya datang cara baik. Saya nak ambil anak mak cik sebagai isteri saya.”

“Tak boleh! Saya tak akan setuju! Awak boleh pergi dari sini sebelum saya berkasar!” tegas Hajah Zizah.

“Mak cik, tolonglah. Saya datang dengan penuh harapan. Saya tak main-main. Saya benar-benar nak jadikan Kamilia isteri saya.”

“Saya kata tidak, tetap tidak dan sampai bila pun tidak!” jerit Hajah Zizah dengan suara nyaring.

“Encik, encik baliklah. Jangan tambah kekusutan hidup saya lagi. Encik dah ada keluarga. Saya rasa, lebih baik encik tumpukan perhatian pada keluarga encik. Saya akan teruskan hidup saya di sini. Biarkan dia mencabar, encik. Tak akan jadi apa-apa kalau encik tak sahut cabaran itu. Sehari dua hari dia akan menyalak, lama kelamaan dia akan terlupa,” kata Kamilia setelah dirasakan Nik Arif tidak akan berganjak dari hajatnya.

“Tidak. Saya tak akan balik selagi awak tak bagi kata putus!” tegas Nik Arif pula.

“Kalau macam tu, encik berilah saya masa.Saya perlu fikirkan hal ini semasak-masaknya. Ini soal masa depan saya. Saya tak nak terburu-buru membuat keputusan. Lagipun, saya tak nak sakitkan hati isteri encik. Dia terlalu baik untuk disakiti,” kata Kamilia bersungguh-sungguh. Memang dia amat berharap kalau Nik Arif faham keadaannya.

Dia sudah kecundang sekali. Masih terlalu awal untuk dia memikirkan untuk berumah tangga sekali lagi. Biarlah luka yang masih merah itu kering dahulu, walaupun tidak sembuh sepenuhnya.

Nik Arif meninggalkan halaman rumah Kamilia dengan wajah sedih. Kamilia menghantarnya hingga ke kereta. Tiba-tiba Nik Arif menarik tangan Kamilia dan mengucupnya.

“Saya memang sayangkan awak. Sejak dulu. Tapi masa tu saya tak mampu nak mengucapkannya. Saya tak mahu dianggap cuba mencari peluang dan mengambil kesempatan di atas kemelut rumah tangga awak. Saya berserah pada takdir. Akhirnya saya rasa takdir itu sedang menghampiri saya...” bisik Nik Arif perlahan.

Hati Kamilia tiba-tiba gementar mendengar luahan itu. Dia tidak menyangka itu yang akan didengarnya daripada mulut Nik Arif. Dia juga amat tidak menduga kalau Nik Arif begitu berani datang ke rumahnya dan membawa hajat yang sebesar itu.

“Jaga diri awak baik-baik. Saya berjanji akan datang lagi.Saya tak akan putus asa menanti jawapan awak. Kalau awak dah berubah fikiran, tolong telefon saya. Saya pasti akan merindui awak.” Itu kata-kata Nik Arif yang terakhir sebelum meninggalkan halaman rumah Kamilia.

Kamilia amat tersentuh dengan kata-kata itu. Hati seorang wanita bergetar ketika mendengar luahan rasa yang tidak dijangka itu.

Malam itu tidur Kamilia menjadi resah. Semalaman dia gelisah. Semua kata-kata dan perbuatan Nik Arif mengganggu perasaannya.

Kenapa semuanya harus muncul di tengah ketenangan yang baru dirasainya?

Kegelisahan itu bukan sekadar malam itu sahaja. Hari demi hari, hatinya semakin tidak keruan. Gelisah. Pilu. Dan ada satu rasa yang sedang bergelora dalam dada. Rasa itu sama dengan apa yang dia rasa terhadap Dani dulu.

Hairannya, rasa itu tidak pernah muncul ketika dia menjadi isteri Zamri! Apakah dia sudah jatuh cinta? Dia cuba melawan perasaan itu. Setiap kali perasaan itu muncul dia akan segera membuangnya. Wajah Puan Hamidah yang cantik dibayangkan untuk membunuh perasaan jahat yang baru bercambah itu.

Hari demi hari, dia semakin tidak berdaya berjuang mempertahankan rasa.

Akhirnya Kamilia terpaksa mengalah pada perasaan. Dia lemah pada kehendak hati. Dia tunduk pada kata cinta. Untuk kali kedua, dia rasa betapa indahnya mencintai dan merindui sesaorang dengan sesungguh hati. Tidur malam termimpi. Bila siang ternanti-nanti.

Dengan tubuh yang separuh menggigil dan tangan yang sedikit terketar, dia mendail nombor telefon Nik Arif. Dia pejamkan mata ketika menunggu talian bersambung.

“Lamanya saya tunggu saat ini,” kata Nik Arif dengan nada riang selepas Kamilia memberi salam.

“M... Maafkan saya kalau saya mengganggu.” Kamilia tergagap. Dia panik melawan perasaannya.

“Taklah. Awak tak mengganggu, sebaliknya awak telah menyembuhkan sakit rindu saya. Saya ingat minggu depan nak ke rumah awak. Saya rindukan awak Lia.”

“Jangan. Saya tak mahu encik dimarahi lagi.”

“Tapi, saya tak tahan hidup macam ni. Awak tahu, hanya wajah awak yang bermain di mata saya. Saya benar-benar berharap awak menjadi isteri saya. Bukan kerana cabaran bekas suami awak tetapi kerana hati saya memang sayangkan awak. Tolonglah...” rayu Nik Arif.

Kamilia terdiam. Dia ingin mengatakan hal yang sama. Dia ingin Nik Arif tahu rasa hatinya dan kerinduannya. Namun, entah kenapa lidahnya tiba-tiba kelu. Bicaranya tiba-tiba bisu.

“Tunggu saya datang minggu depan,” putus Nik Arif.

Ketika Kamilia ingin melarang, talian telah diputuskan. Kamilia terkebil-kebil. Dia panik seketika. Namun, tidak lama dia tersenyum senang.

Selepas mendengar suara Nik Arif, jiwa Kamilia rasa segar ibarat musafir di padang pasir mendapat air. Entah kenapa dia rasa Nik Arif begitu bermakna dalam hidupnya.Dia sedang angau bercinta.

Selepas itu, hubungan mereka menjadi sangat rapat. Mereka sama-sama sedang mabuk cinta. Nik Arif akan datang ke kampung untuk bertemu Kamilia, setiap dua minggu sekali. Tidak larat untuk memandu, dia naik bas atau keretapi. Dalam masa menunggu dua minggu untuk bertemu, mereka bergayut di telefon berjam-jam.

Pernah satu ketika, bil telefon Nik Arif naik mendadak hingga mencecah ratusan ringgit.Memang cinta yang gila dan kronik. Memang cinta itu buta dan tidak bermata. Lantaran butanya cinta, Kamilia menjadi Laila yang tergila-gilakan Majnun. Kamilia menjadi wanita yang jatuh cinta dengan suami orang!

Sudah tentu apa yang berlaku itu tidak dapat diterima oleh keluarganya. Ibu mana yang ingin melihat anaknya hidup dengan lelaki yang sudah ada isteri dan lima orang anak.

“Kau jangan nak cari nahas Lia. Dia tu suami orang. Jangan ikutkan hati kau tu!” marah Hajah Zizah setelah mendapat tahu mengenai perasaan Kamilia terhadap Nik Arif.

Namun, Kamilia tidak mempedulikan nasihat itu. Dia teruskan juga hubungan yang tidak direstui itu. Berbulan-bulan lamanya mereka hidup dalam rindu.

Dek kerana Nik Arif selalu sangat datang menemui Kamilia, ayahnya Pak Ahmad rasa kurang selesa dengan pandangan orang kampung.Cerita fasal Kamilia mula melata ke sekeliling kampung.

“Ayah rasa baik kamu berdua bernikah. Nampaknya memang dia adalah jodoh yang ALLAH dah takdirkan untuk kamu. Kalau dihalang dan dimarah pun dah tak berguna. Ayah tak nak jadi buah mulut orang,” kata Pak Ahmad kepada Kamilia.

“Lia juga rasa begitu. Tapi, mak tak suka.Lia tak berani nak lawan cakap mak.”

Malam itu, Kamilia beranikan diri. Seperti kata ayahnya, dia perlu berani. Kalau tidak dibakar kemenyan, dia tidak akan dapat menghidu baunya. Dia mengharapkan restu emaknya. Kalau dulu, emaknya merestui perkahwinannya dengan Zamri.Kini apa salahnya kalau restu itu juga diberikan kepada Nik Arif.

Namun, ia tidak berlaku. Sebaliknya ia seperti mengejutkan harimau yang sedang tidur. Ia telah mengundang kemarahan Hajah Zizah yang amat sangat.

“Kalau kau tak nak dengar cakap aku, dan nak kahwin juga dengan jantan tu, kau boleh keluar dari rumah ini. Dan kau bukan anak aku lagi!” jerit Hajah Zizah dengan kuat.

Kamilia meraung. Dia memeluk kaki emaknya. Dia memohon belas dan simpati emaknya.

“Tolonglah jangan cakap macam tu.Tolonglah kasihankan Lia, mak.”

“Sudah! Kau memang anak derhaka! Kau memang anak yang tak mengenang jasa!” Hajah Zizah menolak tubuh Kamilia tanpa belas simpati.

Kamilia bangun dan memeluk tubuh Hajah Zizah sekali lagi. Sekali lagi dia ditolak. Lalu dengan lemah dan longlai, dia bangun.

“Kalau kau keluar dari rumah ini, jangan pijak lantai rumah ni lagi sampai aku mati!” sambung Hajah Zizah.

Ketika itu fikiran Kamilia amat bercelaru. Dia tertekan. Dia rasa bersalah yang amat sangat terhadap emaknya. Tidak pernah dia melihat emakya sekasar itu. Tiba-tiba dia tidak sanggup untuk membayangkan kekecewaan hati emaknya.

Hanya air mata sebagai teman. Sepanjang malam dia menangis. Beban fikirannya semakin berat dan tidak tertanggung lagi. Akhirnya dia demam dan tidak dapat bangun. Serta merta hal itu disampaikan kepada ayahnya. Pak Ahmad segera datang tanpa bertangguh.

“Anak awak dah nak melawan saya. Dia dah nak jadi anak derhaka!” kata Hajah Zizah ketika Pak Ahmad sampai di muka pintu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.