Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
-PUTUS SUDAH KASIH SAYANG


KAMILIA mendiamkan diri. Dalam hatinya ketika itu amat berharap agar ada staf lain yang masuk dan bicara mereka terputus di situ.

“Kamilia, masuk bilik saya sekarang!” Tiba-tiba suara yang lunak berbahasa selama ini menjadi bergegar, mengarah.

Dengan perlahan Kamilia bangun.Dengan longlai pula dia melangkah ke bilik Nik Arif. Dia tahu hari itu dia terpaksa berterus terang mengenai apa yang sudah berlaku kepada rumah tangganya. Sambil berjalan itu, dia merangka-rangka ayat yang sesuai.

“Saya bukan nak campur urusan peribadi awak. Tapi saya adalah bos awak. Saya bertanggungjawab atas kebajikan staf saya. Apa masalah awak dengan suami awak sebenarnya?” Dengan penuh hati-hati Nik Arif dia cuba menyelongkar kantung rahsia Kamilia.

Kamilia membetulkan duduk. Dia benar-benar bersedia untuk meluahkan apa yang disembunyikan selama ini. Lalu, tanpa berlengah dia menceritakan semuanya dari awal hingga akhir.

Pengakhirnya, dia noktahkan cerita dengan tangisan. Basah pipinya. Merah matanya. Dari perlahan dia terus teresak-esak.

“Jadi, dia cemburukan saya?”

Angguk.

“Kenapa selama ini awak tak cakap. Kalau saya tahu, dah lama saya bersemuka dengan dia. Mungkin saya boleh bawa isteri saya sekali.”

“Saya tak sangka ia melarat seteruk ini. Saya ingat dia akan sedar dan berfikir secara waras. Tapi rupanya...” jawab Kamilia sambil mengesat air matanya.

Sepi. Nik Arif termenung. Dia seperti sedang mencari-cari jalan penyelesaian untuk masalah itu.

“Encik, saya rasa nak berhenti kerja dan balik ke kampung. Saya dah tak tahan lagi,” kata Kamilia selepas dia rasa dadanya reda.

“Awak rasa itu jalan yang terbaik? Awak tak sayangkan kerja awak?”

Giliran Kamilia pula menyepi. Memang dia amat sayangkan kerjanya. Dia sudah banyak membuang masa. Sekarang dia baru berfikir untuk menyimpan duit dan membeli rumah sendiri. Kalau dia berhenti, akan hancurlah impiannya itu.

“Tak apalah. Saya akan fikirkan cara yang terbaik untuk membantu awak. Cuma saya nak awak bertenang dan jangan ikutkan hati yang kecewa itu. Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya. Awak bersabar dulu,” kata Nik Arif.

Akhirnya Kamilia keluar dari bilik Nik Arif dengan dada yang sedikit lapang.Dengan meluahkan cerita itu, dia seperti membuang rasa sakit yang selama ini ditanggungnya.

Pukul 5.00 petang, apa yang tidak terduga berlaku. Tiba-tiba Zamri muncul di pintu pejabat Kamilia dengan wajah bengis dan masam. Semua mata tertumpu kepadanya dengan rasa curiga. Hati Kamilia berdebar dan darahnya bergemuruh.

“Mana bos kau? Aku nak jumpa dia sekarang!” kata Zamri kepada Kamilia yang sedang bersiap-siap untuk balik.

Tanpa berlengah Kamilia bangun dan membawa Zamri ke bilik Nik Arif. Dia tidak mahu telinga dan mata yang ada di pejabat itu terus mendengar dan melihat apa yang sedang berlaku.

“Hah! Encik Zamri, silakan duduk. Saya baru merancang nak jumpa awak malam ni. Baguslah awak dah datang dulu,” kata Nik Arif dengan senyuman yang dipaksa.

“Kenapa nak jumpa saya? Nak pinang isteri saya?” balas Zamri dengan sinis.

Nik Arif menoleh ke arah Kamilia. Wajahnya sedikit berubah dengan kata-kata yang dianggap biadap itu

Kamilia hanya tunduk. Dia cuba damaikan jiwa dan cuba pasrah dengan apa yang bakal berlaku di bilik itu.

“Saya datang ni ada hal nak bincang dengan awak,” kata Zamri.Matanya melirik ke arah Kamilia.

“Baiklah, sila duduk. Insya-ALLAH... saya akan berlapang dada untuk mendengarnya,” balas Nik Arif, masih memaksa senyum dan cuba bertenang.

“Mengenai isteri saya ni.” Kali ini Zamri berpaling ke arah Kamilia.

“Kenapa dengan dia?” tanya Nik Arif.

“Mahukah awak ambil dia sebagai isteri kalau saya ceraikan dia?” Suara Zamri bergegar.

Kamilia yang paling merasai gegaran itu. Tiba-tiba dia rasa seperti berhadapan dengan sebuah gunung berapi yang meletup dan laharnya menyimbah panas ke seluruh tubuhnya!

“Abang! Apa abang cakap ni?” Serta merta Kamilia menjerit. Dia tidak peduli lagi akan mata dan telinga Nik Arif sedang melihat dan mendengar.Sebaliknya dia rasa amat terhina. Dia rasa maruahnya sedang dijual beli.

“Encik Zamri! Sabarlah. Kenapa awak berfikir sampai ke situ? Saya dah tahu duduk perkara sebenar. Selama ini saya tak tahu awak cemburukan saya. Baru pagi ni saya tahu. Saya minta maaf kalau perbuatan saya selama ini membuat awak marah. Tapi percayalah, saya dan Kamilia tak pernah ada apa-apa hubungan perasaan selain hubungan bos dan pekerjanya. Awak dah salah tafsir,” kata Nik Arif.

“Jangan nak berceramah dengan saya. Kalau awak benar-benar anak jantan, awak akan sahut cabaran saya!”

“Encik Zamri, jangan macam tu.Isteri awak seorang yang baik dan setia. Jangan buat dia macam ikan di pasar, boleh tawar menawar. Jaga maruah kita sebagai lelaki dan suami yang diamanahkan melindungi seorang isteri.”

“Jangan banyak cakap! Saya cabar awak! Kalau awak jantan, awak akan kahwin dengan dia!” jerit Zamri dengan suara yang semakin kuat dan bergema.

Kamilia berlari keluar dari situ. Dia tidak sanggup lagi mendengarnya. Dia mencapai beg tangan dan keluar dari pejabat menuju ke lif. Sepanjang jalan dia menangis. Dia rasa sungguh malu dan sedih dengan sikap suaminya. Dia mengharapkan seorang suami yang dapat melindunginya bukan suami yang menjajanya seperti itu.

Dia menahan sebuah teksi dan terus pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, dia sudah buat keputusan yang nekad. Kalau Zamri tidak sudi menjadi suaminya, dia juga rasanya sudah penat untuk terus menjadi isteri Zamri.

Sampai di rumah, dia mengemas semua pakaian dan barang-barang yang penting. Dia tidak sanggup lagi untuk terus tinggal di rumah itu. Tidak sanggup lagi untuk tinggal sebumbung dengan lelaki bernama Zamri itu.

Malam itu juga dia menaiki bas dan pulang ke kampung.Lelaki memang dijadikan keras dan ego. Wanita pula memang dilahirkan lemah lembut tetapi tegas. Ia memang dijadikan dari tulang belakang kaum Adam. Kalau dibentuk dengan perlahan dan lemah lembut, ia akan mengikut. Tetapi, kalau dibentuk dengan kasar ia akan patah!

Lalu Kamilia rasa dia telah menjadi wanita yang patah. Patah hati. Patah rasa dan patah segalanya.

Seminggu dia di kampung, Zamri langsung tidak bertanya khabar.

“Baik kamu balik Lia. Berdosa seorang isteri tinggalkan rumah tanpa izin,” kata Hajah Zizah. Ahli keluarga yang lain menyokong. Namun, Kamilia tetap matikan diri. Dia sudah bertekad, sekali dia sudah melangkah keluar, dia tidak akan kembali lagi.

“Lia kena balik dan minta maaf kepada dia. Mana tahu akan lembut hatinya,” kata Hajah Zizah lagi.

“Dia yang dah halau Lia. Dia yang dah tak suka dengan Lia. Bukan Lia suka-suka nak lari dari rumah,” kata Kamilia, cuba membuatemaknya faham.

“Orang kalau tengah marah, semua benda akan terkeluar.Kamu perlu faham.”

Kamilia diam. Emaknya tidak akan faham. Dia juga tahu,emaknyatidak akan percaya kalau seribu keburukan mengenai Zamri diceritakan.Di mata keluarganya, Zamri terlalu baik dan sempurna.

“Lia pun ada harga diri. Kalau selama hidup dengan dia, Lia sahaja yang nak mengalah, bagaimana Lia nak teruskan hidup sampai ke tua. Lia dah nekad. Lia akan minta cerai!” kata Kamilia dengan tegas.

Hajah Zizah mengeluh, amat berat. Ada rona kesal dan serba salah pada wajah itu.

Sebulan Zamri berdiam.

Dua bulan dia membisu.

Tiga bulan bayangnya pun tidak kelihatan.

Empat bulan, masa untuk penentuan.

Kamilia tahu Zamri menanti dia kembali dan meminta maaf. Namun, itu tidak akan berlaku. Kamilia tidak akan berundur lagi. Dengan alasan yang cukup, dia akhirnya memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah.

“Tak bolehkah keputusan itu dipertimbangkan dulu?Kenapa terburu-buru?” tanya Hajah Zizah dengan air mata.

“Lia dah beri dia masa empat bulan.Tapi, dia langsung tak endahkan.Dia nak jaga maruah dia sebagai suami. Lia pun tak akan merendah diri pada dia. Biar tok kadi yang menentukannya hubungan kami,” jawab Kamilia.

Hajah Zizah menangis.

“Mak, Lia minta maaf. Bukan Lia nak lukakan hati mak.Tapi, Lia pun ada perasaan mak. Kalau hati Lia dah terluka, bolehkah lagi Lia tinggal bersama dia?” Kamilia cuba membuat Hajah Zizah faham situasi dirinya.

Akhirnya dalam esakannya, Hajah Zizah terpaksa mengakui kebenaran kata-kata Kamilia. Semestinya dia kesal dengan apa yang berlaku.

Selang dua minggu, tiba-tiba Zamri muncul di hadapan Kamilia. Wajahnya nampak murung dan cengkung.Dia seperti orang sedang bersedih hati.

“Eloklah abang dah datang. Esok pagi kita boleh ke pejabat kadi. Tak payah nak tunggu lama-lama. Kita selesaikan dengan cepat,” kata Kamilia, selamba tanpa menoleh.

“Kadi pun dah kata, boleh selesai dengan baik kalau kedua-dua setuju untuk bercerai. Tak payah nak tunggu naik tangga mahkamah,” sambung Kamilia tanpa sempat menunggu balasan kata daripada Zamri.

“Lia, abang minta maaf. Abang mengaku abang salah. Tolong jangan teruskan niat Lia tu. Kita berdamai, Lia. Tolonglah...” Tiba-tiba Zamri memeluk Kamilia.

Kamilia rasa meluat dan benci! “Tidak! Setelah abang malukan Lia, senang aje abang datang nak minta maaf. Empat bulan abang diamkan diri. Baru hari ini abang datang nak berdamai. Mana pergi perempuan yang abang kata boleh cari lebih daripada Lia tu? Pergilah cari!” jerit Kamilia.

“Lia, jangan cakap macam tu.”

“Abang yang cakap macam tu.Lia ni perempuan yang tak bagus.Lia ni jahat! Pergilah cari yang baik-baik! Kenapa nak datang merayu di sini lagi?” Sekali lagi Kamilia menengking.

“Lia, tolong jangan ungkit lagi. Abang memang salah. Abang cemburu buta. Abang salah. Tolong maafkan abang...” rayu Zamri bersungguh-sungguh. Tidak lama dia menangis. Air mata turun membasahi pipinya dengan laju.

Namun, entah kenapa ia tidak langsung mengundang belas kasihan di hati Kamilia. Hati yang amat terluka dan berdarah amat sukar untuk diubati lagi. Pujuk dan rayu tidak dihirau lagi. Esak dan tangis tidak menggamit simpati. Rasa sakit kecewa kini membelit diri. Hanya menunggu satu lafaz untuk memutuskannya!

Selepas rayuan tidak dipertimbangkan lagi oleh Kamilia, keesokannya mereka berdua hadir ke mahkamah. Akhirnya urusan berjalan dengan mudah dan dengan gugup Zamri melafazkan, “Aku ceraikan kau Kamilia bt Ahmad dengan talak satu.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.