Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,270
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

KAKINYA melangkah jua ke halaman taman rumahnya. Bersama dengan perangai anginnya ketika itu. Dipaksa oleh Mak Mah untuk turun bertemu dengan tetamu itu. Dia masih belum ada mood lagi untuk bercakap dengan siapa. Melihat satu susuk tubuh yang berduduk di kerusi batu itu membuatkan dia mencebik.

'Macam la pagi tu dah tak wujud sampai nak kena datang malam-malam ni jugak. Mental aku dah la tak berapa kuat lagi. Kang ada jugak yang makan besi kot,' desis Farisya penuh emosi.

Sebelum turun tadi, Mak Mah sudah sediakan tazkirah berbakul-bakul untuknya. Penat dia menelan semua itu. Mak Mah dah macam ada kuasa luar biasa sampai tahu segala hal. Pening pula kepalanya.

Malas-malas Farisya melangkah ke arah kerusi batu itu.

"Ada apa datang malam-malam? Dah tak boleh tunggu esok?" sindir Farisya sebagai pembuka perbualan itu.

Syazwan terus berpaling lalu bangun dari tempat duduknya. "Hari esok tu memang sentiasa ada tapi tak semua orang akan ada pada hari esok," ujar Syazwan penuh makna mendalam.

Wajah Farisya berubah. Dia menggigit bibir.

'Ni datang nak simbah minyak lagi ke?' gumam Farisya. Geram.

"Nah, ambil ni." Syazwan menyua beg kertas ke arah Farisya.

Wajah Farisya tanpa riak. Beg kertas yang dihulur itu dipandang kosong. Jelas logo jenama pakaian terserlah di beg tersebut. Pasti pakaian yang Syazwan beli semalam.

"Kalau kau tak nak pakai untuk majlis tu tak pe. Anggap ni hadiah aku beli untuk kau sebab menang pingat emas kali ni," pintas Syazwan pantas.

Farisya membisu. Dia tahu Syazwan hanya memberi alasan sahaja.

"Kalau tak nak pakai pun tak pe. Kau boleh buang dalam tong sampah." Syazwan menghenyak beg kertas itu ke tubuh Farisya. Dia sudah malas hendak bergaduh lagi. Biarlah apa yang Farisya nak buat dengan dress itu.

"Okey, aku chow dulu." Syazwan mengangkat tangan, terus melangkah pergi tanpa memandang belakang lagi.

"Kau datang sini semata-mata nak bagi benda alah ni aje?" tanya Farisya, sinis.

Langkah Syazwan terhenti. Dia berpaling ke arah Farisya.

"Dah tu kau ingat aku datang sini untuk apa? Minta maaf dengan apa yang berlaku pagi tadi? Rasanya maaf aku tak ada guna kot sampai orang yang sentiasa dengan aku waktu kecil tu boleh lempar kata-kata kesat kat aku depan orang ramai," ujar Syazwan tenang namun ada makna disebalik kata-kata itu.

"Wan..." Wajah Farisya sedikit berubah. Dia diasak serba salah dengan tiba-tiba.

"Aku datang sini bukan nak cari gaduh dengan kau. Aku cuma nak bagi barang yang bukan hak aku. Itu aje," pintas Syazwan pantas. Dia mula melangkah namun sekali lagi terhenti apabila Farisya menuturkan sesuatu.

"Kenapa kali ni kau paksa aku sedangkan sebelum ni kau tak pernah paksa aku. Setiap tahun, kau cuma tanya aku pergi atau tidak. Lepas tu kau tak akan tanya lagi. Sebab jawapan yang kau terima setiap tahun tetap sama iaitu tidak. Dan tahun ni jawapan tu takkan pernah berubah."

Farisya memandang tepat ke arah Syazwan. Dia tidak mengerti. Mengapa Syazwan memaksanya sedangkan hari itu meninggalkan luka dalam hidupnya. Hari yang menyedihkan baginya. Syazwan sendiri tahu apa yang dia rasa. Tetapi mengapa?

Syazwan yang berdiri membelakangkan Farisya segera berpaling menghadap Farisya.

"Kau nak tahu tak kenapa? Sebab sebelum ni aku cuma fikir perasaan kau. Aku tak fikir perasaan orang di sekeliling kau. Aku cuma tak nak kau menyesal suatu hari nanti. Kau abaikan papa kau sedangkan papa kau bagi kesempurnaan pada kau. Umpama kau menyalahkan papa kau atas kematian arwah mama kau. Kau tak pergi majlis tu sebab kau rasa hari tu adalah hari pembunuhan arwah mama kau. Tapi kau tak fikir perasaan papa kau yang terpaksa menahan perasaan pada hari tu.

Arie, pernah tak kau bayangkan perasaan papa kau dalam majlis tu? Pernah tak papa kau terbayang saat-saat terakhir dia malam tu? Pernah tak kau fikir apa yang papa kau fikir pada hari tu? Pernah tak kau fikir apa yang berlaku pada hari tu setiap tahun? Cuba kau pergi dan tengok sendiri apa yang berlaku. Jangan kau datang kat aku dan cakap kau menyesal sebab tak pedulikan papa kau. Memang betul apa yang aku buat ni kejam. Tapi aku tak nak kau menyesal. Papa kau perlukan seseorang untuk dia bangun. Dia ada kau tapi dia hanya boleh tengok dari jauh.

Arie... dalam hidup ni kita selalu menyesal pada sesuatu yang dah pergi. Aku tak nak kau rasa macam tu. Sebab tu aku nak kau tengok dengan mata kau sendiri. Kau bukan ego. Kau cuma tak dapat terima hakikat. Hakikat tu takkan boleh berubah." Panjang Syazwan bersuara. Kali ini dia mengharapkan Farisya faham maksudnya. Dia sudah lelah untuk memujuk. Farisya terlalu keras.

Dia tahu Dato' Kamal sibuk dan adakalanya tiada masa untuk bersama Farisya. Farisya pula sudah terbiasa keseorangan, sudah terbiasa mengurus dirinya sendiri. Ada papanya atau tiada, sama sahaja baginya. Tetapi dia mahu Farisya belajar menghargai apa yang masih ada. Lagipun dia yakin Farisya bukan benci Dato' Kamal. Hubungan anak beranak itu tiada masalah. Masih berbual seperti biasa. Cuma adakalanya Farisya membina tembok besar di antara mereka hanya kerana kisah lalu. Sedaya upaya gadis itu membuat alasan untuk tidak hadir ke majlis ulangtahun itu.

Melihat Farisya membisu, dia meneruskan langkah meninggalkan rumah itu. Dia tidak mahu memaksa lagi. Biarlah Farisya memikirkan selebihnya dan membuat keputusan sendiri.

Farisya hanya menghantar pandangan kosong ke arah Syazwan yang semakin menghilang ditelan kegelapan malam. Perlahan dia melangkah masuk ke dalam rumah bersama beg kertas itu.

"Risy..." Mak Mah menegur lembut. Dia yakin ada sesuatu yang berlaku di antara dua sahabat itu. Kalau tidak masakan muka masing-masing masam mencuka. Apatah lagi tidak kedengaran pergaduhan seperti selalu.

"Ye Mak Mah," sahut Fariya bersama senyuman kelat.

"Risy... Mak Mah kenal Risy bukan semalam tau dan bukan sebulan. Tapi dah berpuluh tahun. Risy dengan Wan bergaduh ke?" Lembut Mak Mah bertanya.

Dia tahu pertanyaan itu barangkali membuatkan fikiran Farisya terganggu tetapi dia tidak mahu Farisya memendam sendiri. Kerana dia tahu, Farisya hanya ada Syazwan di sisi. Kalau tiada Syazwan, siapa lagi akan bersama gadis itu.

Sebentar tadi ketika Syazwan datang, dia sudah dapat membaca riak wajah itu. Selalunya Farisya akan turun sendiri tanpa dipanggil kerana sudah pasti Syazwan sudah memaklumkan tentang kedatangannya. Tetapi malam ini Syazwan memintanya untuk memanggil Farisya kerana hendak memberikan sesuatu. Ketika dia memberitahu kedatangan Syazwan ke rumah, wajah Farisya pula sedikit berubah. Jelas sudahlah dua orang sahabat ini sedang berperang dunia. Cuma dia tidak pasti apa sebabnya. Sempat dia memberi sedikit nasihat sebelum Farisya turun bertemu Syazwan.

Farisya tersenyum. Kemudian dia mendekati Mak Mah dan memeluk lembut lengan wanita itu. Manja.

"Wan ni tak ada sense la Mak Mah. Dia ni saja nak perli Risy. Saja suruh Risy pakai dress labuh ni. Ni mesti tertelan batu masa makan." Sengaja Fariya bergurau senda meskipun dirinya masih belum mampu bertenang memikirkan kata-kata Syazwan sebentar tadi.

"Risy..." Mak Mah menegur perlahan. Diusap kepala Farisya yang menyandar di bahunya. Seakan-akan mengerti tindakan Syazwan. "Wan beli baju macam tu untuk Risy mesti bersebab."

Farisya terdiam.

"Tahun ni... Risy tak nak pergi jugak ke?" tanya Mak Mah berhati-hati. Dia tahu pertanyaan itu mungkin menguriskan hati Farisya lagi. Dia yakin pergaduhan itu juga sebenarnya adalah punca daripada topik tersebut.

Farisya masih membisu. Tiada jawapan untuk itu.

"Risy... dah 8 tahun Risy. Risy dah dewasa, papa Risy pun makin meningkat umur. Suatu hari nanti, mahu atau tidak, Risy tetap pewaris syarikat tu," sambung Mak Mah lembut.

Perlahan Farisya mengangkat kepalanya dan melepaskan pelukan itu. Dia memandang Mak Mah dengan wajah sayu.

"Mak Mah, Risy..." Farisya kehilangan kata-kata.

"Berapa lama lagi Risy nak mengelak? Benda tu dah lama berlaku. Terima hakikat, Risy..." pujuk Mak Mah. Sebelum ini dia tidak pernah memaksa Farisya untuk pergi. Tetapi kali ini dia berharap Farisya pergi. Kerana baginya Farisya sudah dewasa. Yang memerlukan dia untuk memandang lebih ke hadapan.

Farisya membisu.

"Risy... nak tahu satu cerita tak?" Mak Mah mengubah topik apabila melihat wajah si gadis itu muram.

Farisya tidak membalas. Dia cuma memandang wajah Mak Mah sahaja.

Mak Mah tersenyum. Kemudian dia menarik Farisya menuju ke ruang tamu. Farisya hanya mengikut tanpa membantah. Mereka duduk di sofa. Mak Mah tersenyum lagi sambil mengusap kedua bahu Farisya.

"Arwah mama Risy seorang yang lembut, sopan dan penuh dengan adab. Tak pernah sekalipun Mak Mah tengok dia marah apatah lagi tinggikan suara. Dia adalah seseorang yang selalu ada bersama papa Risy, waktu susah dan senang. Yang selalu memberi semangat kepada papa Risy.

Risy tahu tak, sebelum mama Risy meninggal dunia, dia dah tahu dah dia akan pergi. Dia pesan pada Mak Mah, jaga Risy, jaga papa Risy. Hari tu juga dia sediakan makanan yang menjadi masakkan terakhirnya. Dia tahu dia akan pergi. Tapi dia tetap tersenyum lebar. Tak pernah pun dia bermasam muka.

Risy... setiap yang hidup akan pergi. Cuma berbeza masa dan tempat. Yang hidup tetap perlu teruskan hidup. Mak Mah tak minta Risy lupakan apa yang berlaku. Mak Mah cuma nak Risy terima hakikat. Dan papa Risy, dia perlukan Risy. Sebab kat dunia ni, hanya Risy sahaja yang dia ada selepas mama Risy." Panjang Mak Mah memberi nasihat.

Sudah lama dia ingin bersuarakan tentang itu tetapi tiada kesempatan. Tetapi malam ini dia meluah juga memandangkan majlis ulangtahun hanya berbaki dua hari lagi. Dia berharap Fariya dapat mengubah keputusan dalam masa dua hari itu.

"Risy, Mak Mah minta maaf ye kalau menyinggung perasaan Risy..."

Pantas Farisya menggeleng kepala. Dia menggenggam lembut tangan Mak Mah dan bertukar menjadi genggaman erat.

"Tak Mak Mah. Risy faham. Risy tahu semua orang sayangkan Risy," celah Farisya pantas.

Mak Mah membalas genggaman Farisya. Mengharapkan dapat mengalirkan semangat ke dalam diri Farisya. Sungguh, gadis itu pada luarannya nampak tegas tetapi dalamannya sukar ditafsirkan.


 


"WAN..."

Syazwan mengeluh perlahan sebelum berpaling ke arah ibunya yang berdiri tidak jauh darinya. Wanita itu melabuhkan punggung di sofa sebelah.

"Ibu harap idea nak culik Arie tak jadi realiti ye," tegur Puan Wan Azwa. Sekaligus cuba meredakan perasaan serabut anak terunanya itu.

"Ibu ni..."

Puan Wan Azwa tersenyum. "Ibu gurau aje. Tengok muka Wan macam ni, ibu pun tak senang duduk."

Syazwan melepaskan keluhan lagi.

"Selagi tak sampai tarikh tu, selagi tu Wan akan jadi orang gila yang terpaksa berhadapan dengan budak kepala konkrit tu," ujar Syazwan, merujuk kepada Farisya.

"Wan, memaksa takkan membawa apa-apa. Kekerasan takkan dapat menyelesaikan masalah," ujar Puan Wan Azwa. Sudah berkali-kali dia berpesan pada Syazwan agar tidak berterusan memaksa tetapi anaknya itu degil. Entah datang mana pula perangai degilnya itu.

"Tapi takkan la Wan nak biarkan aje? Ibu sendiri yang cakap macam mana perasaan uncle waktu tu. Ibu diam aje. Ibu biarkan Arie macam tu. Dah 8 tahun bu. Sampai bila kita nak biar Arie melarikan diri lagi? Dia patut tahu apa yang berlaku. Dia patut tahu apa yang uncle rasa. Dia patut tengok sendiri dengan mata kepala dia. Waktu tu baru dia sedar semua tu," ujar Syazwan tegas.

"Wan... abah sokong apa yang Wan buat tapi betul kata ibu. Kekerasan takkan dapat menyelesaikan masalah," tegur Encik Wan Syahir, abah Syazwan yang datang dengan tiba-tiba dari belakang. Sedari tadi dia hanya sekadar mendengar perbualan itu.

"Tapi abah..."

"Wan."

Syazwan melepaskan keluhan lagi.

"Ibu ingat Arie aje yang degil, anak ibu pun boleh tahan degil jugak," sambung Puan Wan Azwa lagi.

"Jangan paksa Arie lagi. Hormati hak dia. Hormati perasaan dia. Biar dia pergi dengan rela. Bukan dengan paksaan. Sama-sama kita doakan agar hati Arie lembut," ujar Encik Wan Syahir tegas.

Dia mengerti Syazwan ingin membantu Farisya tetapi keadaan akan jadi lebih teruk kalau menggunakan kekerasan. Dia yakin suatu hari nanti hati Farisya pasti akan terbuka semula.

"Tahun ni Wan pergi tak?" tanya Puan Wan Azwa.

Syazwan menjongket bahu. Kalau dah Farisya tak pergi, buat apa pula dia nak pergi. Setiap tahun hanya ibu dan abahnya sahaja yang pergi ke majlis ulangtahun itu. Untuk apa dia pergi kalau Farisya sendiri mahu mengelak.

Encik Wan Syahir hanya membisu. Dia menerima jemputan itu setiap tahun kerana persahabatan yang mereka bina selama ini. Mengenali antara satu sama lain sejak mereka dari bawah lagi. Baginya Dato' Kamal seorang yang merendah diri. Tidak pernah melupakan orang lain. Sehinggakan sekarang dia tidak pernah lupa jasa lelaki itu yang sanggup memberi modal kepadanya untuk membuka restoran.

Persahabatannya kini turun ke anak-anak mereka. Farisya dan Syazwan. Meskipun adakalanya seperti musuh tetapi melihat persahabatan yang terjalin itu membuatkan dia rasa senang hati. Apatah lagi masing-masing adalah anak tunggal. Farisya pula adakalanya memerlukan kasih sayang seorang ibu. Isterinya jua tempat Farisya menumpang kasih.

Dia memandang wajah anak terunanya. Jelas Syazwan sangat merisaukan Farisya. Namun dia harap segalanya tidak menjadi lebih keruh.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni