Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,476
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

LANGIT malam hanya dihiasi dengan kegelapan. Tiada satu pun cahaya bintang-bintang berkerlipan. Dia rindukan kampung. Kampungnya yang penuh ketenangan. Jauh daripada kesibukan duniawi. Tiada pencemaran yang terang-terangan. Dia rindukan suasana sungai mengalir jernih, bunyi kicauan burung dan malam yang terang dihiasi bintang-bintang.

Perlahan keluhan dilepaskan. Ada lagi yang lebih membebannya ketika ini. Mesej yang diterimanya sebentar tadi membuatkan dia bingung sendiri. Entah dia masih waras ataupun tidak. Tetapi terasa hatinya tidak sedap. Bagaikan ada sesuatu agenda di sebalik mesej itu.

"Lorh, kat sini rupanya budak ni."

Dari jauh Farisya sudah mencekak pinggang berdiri di hadapan pintu sambil melihat Shahrina yang duduk seorang diri di pondok hadapan rumahnya.

Farisya berpeluk tubuh. Dia hanya memerhati, tidak mahu menganggu gadis itu. Dia yakin fikiran Shahrina ketika ini penuh dengan pelbagai masalah. Cumanya gadis itu tidak mahu memberitahunya.

Seboleh-bolehnya dia mahu membantu Shahrina kerana Shahrina adalah kawan perempuan yang pertama menjadi kawannya. Biarpun sikapnya kasar tetapi dia tidak suka melihat Shahrina sebegitu. Tetapi Shahrina tetap tidak mahu berterus terang.

"Risy..." Mak Mah menegur perlahan. Ditepuk bahu di anak gadis itu lembut. Kemudian matanya memerhati ke arah anak gadis yang duduk bersendirian di pondok itu.

Farisya menjuih bibir menunjuk ke arah Shahrina. Apabila Mak Mah memandangnya, dia hanya mampu menjongket bahu. Hendak diberitahu pun, dia tidak tahu apa masalah Shahrina.

Sekali lagi Mak Mah menepuk bahu Farisya.

"Mak Mah rasa Rin rindukan kampung. Tapi dia segan la. Kalau Mak Mah pun akan buat keputusan yang sama. Bukan tak nak terima bantuan Risy tapi tak nak ambil kesempatan di atas kesenangan Risy. Risy kena faham. Dunia Risy dengan Rin berbeza. Dia dibesarkan oleh keluarga yang susah. Persekitaran dia berbeza." Lembut Mak Mah menuturkan kata-katanya yang berbaur nasihat. Bukan bermaksud Farisya tidak mengerti kehidupan Shahrina tetapi dia tidak mahu Farisya terus mengasak gadis itu.

Farisya melepaskan keluhan. "Dah tu Mak Mah, Risy nak buat apa untuk Rin? Rin nak balik kampung pun waktu cuti sem aje. Itu pun dia terpaksa ikat perut semata-mata nak kumpul duit untuk beli tiket bas."

Bukannya dia tidak perasan semua tu. Sebab itulah dia selalu mengajak Shahrina makan bersama dengan alasan tiada teman untuk makan. Adakalanya Shahrina menerima, adakalanya menolak. Syazwan juga membuat perkara yang sama. Adakalanya sengaja menggunakan alasan terlebih beli walaupun adakalanya tidak masuk akal pun.

"Hah Mak Mah!"

Terkebil-kebil Mak Mah ketika itu. Barangkali terkejut apabila Farisya tiba-tiba mengejutkannya.

"Ish budak ni. Nasib Mak Mah tak ada sakit jantung tau. Kalau tak, dah jalan dah tadi..." Mak Mah menampar-nampar manja tubuh si kecil itu. Geram barangkali.

Farisya tersengih. Nakal. "Sorry la Mak Mah. Excited la pulak."

"Hah, apa benda yang excited sangat tu."

Pergh! Mak Mah pun pandai cakap english kot!

"Apa kata Risy bawa Rin balik kampung?" Farisya tersengih penuh makna.

"Sorang diri?" Mak Mah bertanya seakan-akan tidak percaya.

Farisya mengangguk. "Amacam?"

"Mak Mah setuju kalau Risy nak bawa Rin balik kampung. Tapi kalau seorag diri, Mak Mah tak rasa Dato' Kamal akan bagi kebenaran..." ujar Mak Mah sebagai orang dewasa selepas Dato' Kamal. Jangankan dia nak lepaskan Farisya seorang diri, Dato’ Kamal apatah lagi.

Farisya memuncungkan mulutnya. Dia memeluk lengan Mak Mah dan bergesel ala-ala kucing parsi. "Mak Mah cuba la pujuk papa."

"Ish budak ni..."

Mak Mah menggerakkan lengannya yang dipeluk Farisya. Kalau nak sesuatu tu bukan main bermanja mulut siap buat muka manja mengalahkan kucing sahaja.

"Kalau ajak Wan, Mak Mah harap sangat. Risy jarang bawa kereta. Selalu merempit dengan skuter aje. Lagipun jauh perjalanannya. Risy perempuan. Mak Mah tak harap," ujar Mak Mah lagi. Entah berapa kali dia perlu ingatkan Farisya bahawa dirinya itu adalah perempuan. Yang masih memerlukan perlindungan, yang masih ada kelemahan.

Sebaik sahaja mendengar nama Syazwan, bibir Farisya mencebik meluat.

"Hah, tu kalau dah buat muka sakit perut tu mesti gaduh dengan Wan lagi." Mak Mah menegur. Dah faham sangat perangai tu.

"Ala Mak Mah, dia tu yang tiba-tiba naik angin tak tentu pasal. Salah dia la Mak Mah." Farisya mempertahankan diri.

"Iyelah tu..."

Farisya memeluk tubuh. Merajuk kononnya.

"Berbaik la demi Rin. Risy nak tolong Rin kan, cubalah turunkan ego tu sikit," nasihat Mak Mah.

"Ala Mak Mah..."

"Tak kesian ke kat Rin?" Mak Mah bertanya tegas.

Farisya membisu seketika sebelum menjawab. "Kesian la. Tapi..."

"Tak ada tapi tapi," pintas Mak Mah.

Farisya menayang gigi. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Shahrina yang masih leka dengan dunianya. Antara ego dan belas kasihan.




"RIN, kau dah tidur ke?" tanya Farisya. Sedari tadi Shahrina tidak banyak bercakap. Risaunya makin menjadi-jadi.

"Belum."

Ringkas jawapan Shahrina membuatkan Farisya makin diasak kerisauan.

Farisya bingkas bangun dari baringan. Dia meletakkan bantal dan disandar ke katil. Lampu meja di tepi katilnya dipetik. Bilik yang gelap sudah diterangi dengan lampu meja.

"Rin, cuba kau bagitahu aku apa masalah kau. Sampai ke sudah aku fikir tapi yang aku dapat kepala aku serupa nak pecah dah," ujar Farisya selamba.

Shahrina yang tidur membelakangkan Farisya mengalihkan tubuhnya menghadap Farisya. Bibirnya mengukir senyuman.

"Arie, apa awak nak buat kalau Fatin ganggu saya lagi?" tanya Shahrina perlahan.

Pertanyaan itu membuatkan Farisya duduk tegak dan memandang Shahrina. "Dia buat apa pulak kali ni?"

Shahrina senyap. Bingung sama ada ingin memberitahu ataupun terus berdiam diri.

"Rin!"

Farisya menampar selimut yang menutupi tubuh Shahrina.

"Tak ada apa-apa la..." ujar Shahrina tersengih-sengih. Cuba menutupi masalahnya.

Farisya mempamerkan wajah tidak puas hati. "Tipulah. Aku tak percaya."

Shahrina bingkas bangun dan duduk bersila menghadap Farisya. Bantalnya dipeluk erat.

"Awak pun tak jawab soalan saya lagi, macam mana saya nak jawab soalan awak." Shahrina cuba bermain tarik tali. Mana la tahu Farisya termakan dengan topiknya.

Farisya menjeling. Sejak bila la Shahrina pandai mengugut. Mesti belajar dari Syazwan la ni!

"Kalau dia ganggu kau lagi, aku pergi bakar rumah dia terus." Selamba Farisya membalas.

Shahrina menayang gigi. Gurauan kasar tu!

"Kalau macam tu tak nak la bagitahu. Tak pasal-pasal awak jadi penjenayah pula," balas Shahrina pula. Memang sengaja ikut flow perbualan.

Farisya mengigit bibir. Sejurus itu dia menampar bahu Shahrina. Geram punya pasal.

"Awak ni, tak boleh bergurau langsung," ujar Shahrina sambil menggosok bahunya. Farisya membuat muka dan terus menggosok bahu Shahrina. Tiada langsung nak tunjuk muka rasa bersalah.

"Dah aku serius, kau nak main-main sangat."

"Dah awak cakap nak bakar rumah dia," ujar Shahrina risau. Tapi dia tahu Farisya hanya bergurau sahaja. Kalau Farisya nekad juga, dia rela membisu sampai bila-bila. Tak pasal-pasal Farisya jadi orang yang dikehendaki oleh polis gara-gara hendak menyelamatkannya.

"Gurau sikit pun tak boleh." Farisya menjuih bibir. "Fatin sengal tu buat apa lagi kat kau? Dia ni memang spesis nyawa 10 ke nak cari pasal dengan orang?"

Sekejap sahaja mood Farisya berubah. Dah geram sangat la tu bila melibatkan si Fatin tu. Bajet cantik bajet kaya bajet boleh bolot semua benda. Tapi attitude tak ada. Zero!

"Macam ni..." Shahrina memulakan suara namun terhenti seketika apabila melihat Farisya sudah merapatinya dengan pandangan garang.

"Arie, awak ni menakutkan la..." Shahrina menggigit bibir.

"Aku perlu serius dalam hal-hal macam ni. Muka aku memang sejak azali macam ni. Kau kena faham,” balas Farisya selamba.

Kesat Shahrina menelan air liur. Menakutkan betul.

"Fatin mesej saya tadi. Dia ada cakap sesuatu..." Perlahan Shahrina memulakan cerita. Dia tidak boleh berterus terang sekaligus. Bimbang Farisya naik minyak dengan tiba-tiba.

"Voice mesej ke?" Sempat Farisya membuat loyar buruk.

Shahrina menggigit bibir. "Mesej text sayangku cik Farisya..."

Farisya ketawa. "Aku gurau macam ni nak bagi kau hilang resah. See, kau tak gelabah kan? Takut sangat la macam aku ni spesis makan manusia."

Shahrina memeluk bantalnya. Mengakui kata-kata Farisya itu. Gurauan itu membuatkan dia kurang gelabah. Paling penting sekurang-kurangnya mood Farisya masih baik.

"Dia tiba-tiba minta maaf," sambung Shahrina lagi.

Mata Farisya sudah terbuntang. Maaf? 

"What? Fatin yang ego perasan cantik perasan bagus tu minta maaf kat kau? Wah! Dunia ni nak kiamat dah ke? Kepala Fatin tu ada terhentuk kat mana-mana ke?" riuh Farisya ketika itu.

Bukan memperlekehkan maaf dari Fatin tetapi dia rasa pelik kerana Fatin terkenal dengan sikap ego yang perasan serba boleh tu.

Macam mana la tiba-tiba boleh buang tabiat meminta maaf. Padahal sebelum ini bukan main panjang dia menyumpah seranah kononnya takkan benarkan mereka hidup tenang. Ceh! Tu namanya mulut. Cakap ikut sedap aje. Acah bagus pula. Takkan belum mula perang lagi dah give up?

Shahrina menjongket bahu. Kerana dia juga tidak pasti motif sebenar Fatin memohon maaf padanya.

"Cumanya saya rasa tak sedap hati la Arie." Shahrina meluah perlahan.

Farisya berpeluk tubuh. "Kenapa?"

"Entah. Rasa macam dia tengah rancang sesuatu," jawab Shahrina agak risau.

"Aku tak nak la burukkan dia. Tapi kalau dia betul-betul insaf, bagus la kan. Bagi aku, semua manusia berhak diberi kemaafan walaupun perangai macam longkang. Asalkan dia sedar. Ala, kau tak payah fikir sangat. Kau terima aje maaf dia then mulakan hidup baru. Kosong-kosong. Eh, dah macam raya pula," ujar Farisya penuh nasihat. Di penghujung kata-katanya, sempat lagi dia bergurau nakal.

Hanya anggukan sahaja sebagai jawapan. Shahrina masih tidak dapat membuang rasa tidak sedap hati. Kerana dia lebih mengenal personaliti Fatin.

"Tapi Arie..."

"Kau anggap aje otak dia bergegar sementara waktu," celah Farisya sambil tersengih.

Shahrina menayang gigi. Dia tahu Farisya cuba meredakan resahnya. Tetapi masih ada perkara yang lebih meresahkannya.

Smartphonenya dicapai. Dia mencari mesej dari Fatin kemudian dihulurkan smartphonenya kepada Farisya. Farisya sudah menunjukkan wajah pelik namun tangannya mencapai jua.

"Apa?"

"Awak bacalah apa yang Fatin tulis tu."

Farisya terus membaca mesej itu. Baginya agak mengejutkan. Dan membuatkan dahi berkerut cuba mencari jawapan.

"Motif?"

Shahrina menjongket bahu. Dia tidak kisah kalau Fatin memohon maaf kepadanya. Tetapi apa yang lebih pelik adalah Fatin memintanya untuk membawa Farisya bertemu dengannya pada keesokan hari atas alasan ingin meminta maaf secara berdepan.

"Sebab tu saya rasa tak sedap hati. Saya rasa dia merancangkan sesuatu pada awak, Arie." Akhirnya Shahrina meluahkan jua. Kerana hal itu melibatkan Farisya. Dia tidak mahu Farisya terlibat dalam pergaduhan itu.

"Tapi bagus juga kalau dia nak minta maaf berdepan. Mana la tahu Fatin yang ego tu nak melutut depan aku ke sebab mulut dia lancang sangat." Sempat lagi Farisya berangan. Bukan senang ada orang nak melutut di hadapannya apatah lagi perempuan ego macam si Fatin itu. Rasa hebat mengalahkan dapat pingat emas sahaja gayanya.

"Arie, tak payah la pergi. Okey?" Pujuk Shahrina.

"No. Kita patut pergi. Kita patut tengok permainan dia macam mana. Lagipun dia boleh buat apa aje? Nak bergerak pun tak berani apatah lagi nak melawan." Bangga Farisya bersuara. Berani mana sangatlah Fatin and the gang itu. Paling tidak pun nak berperang mulut aje.

"Ala, kita tak payah la cari gaduh dengan dia. Biarlah. Nanti saya cakap la awak sibuk." Shahrina mula resah.

"Nope! Keputusan muktamat. Kita pergi aje. Kalau betul dia memang insaf, bagus la kan. Kalau betul dia memang ada motif tersirat, kita tengok la sejauh mana dia boleh pergi," jawab Farisya bersahaja. Tiada rasa takut langsung kalau Fatin benar-benar ada motif lain.

"Arie..."

"Dah dah. Nah ambil phone kau ni. Tidur nyenyak jangan fikir banyak. Esok kita settle minah and the gang tu dengan jayanya." Farisya memintas segera dan meletakkan smartphone di tangan Shahrina. Kemudian dia memboloskan diri dalam selimut tebalnya. Menutupi seluruh tubuhnya dari kepala sehingga kaki.

"Kau ni tak nak tidur lagi ke? Aku nak tutup lampu ni." Farisya menyelak selimutnya apabila menyedari Shahrina masih tidak bergerak tapi tempatnya.

Shahrina tersedar. Perlahan dia menghela nafas. Kalau Farisya dah buat keputusan, memang tinggal harapan ajelah untuk mengubah.

Dia merebahkan tubuhnya dan menarik selimut hingga ke paras dada.

Farisya terus menutup lampu meja di tepi katilnya.

"Arie..."

"Shuu tidur."

Shahrina terdiam. Tiba-tiba sahaja diasak perasaan serba salah kerana menceritakan hal sebenar. Rasa risaunya masih belum hilang. Harap-harap tiada apa-apa yang buruk berlaku pada esok hari.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni