Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,399
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

"KAU jangan nak main-main sangat dengan kitorang ye. Kalau kitorang kena repeat, nahas kau!" Fatin menunjal dahi Shahrina berkali-kali.

Shahrina membisu. Dia ingin bersuara tetapi dia takut. Bimbang mereka mengganggapnya cuba melawan.

"Kau ni dah bisu ke?" Sarah menunjal kepala Shahrina pula.

Shahrina menggeleng kepala.

"Dah tu apasal tak cakap? Mulut kau tu ada emas ke sampai malas nak buka mulut sangat?" Pipi Shahrina pula ditunjal Sarah.

"Saya dah buat sebaik mungkin walaupun silibus tu saya tak belajar lagi..." ujar Shahrina perlahan.

Fatin berpeluk tubuh. Dia merengus. "Kalau kitorang fail, siap kau. Kau jangan berangan nak balik kampung kau tu. Cakap kat mak bapak kau, kau ni budak bodoh kena repeat paper. Jadi kau tak boleh balik." Serentak tu mereka bertiga ketawa besar. Seronok melihat Shahrina sebegitu.

"Emm... kau kemas beg sebab malam ni nak naik bas balik kampung ye?" Liyana mencelah dengan muka comel. Muka mengejek Shahrina.

Kemudian dia menayangkan sesuatu di tangannya sambil melayang-layangkan kertas itu di hadapan Shahrina.

"Tu tiket bas saya." Shahrina cuba mencapai namun tangan Liyana mengelak.

"Oh, tiket bas ye..." Fatin sudah tersenyum jahat.

"Kau nak balik kampung ke Rin?" tanya Fatin lembut. Dicapai tiket bas itu dari tangan Liyana.

Shahrina mengangguk pantas. Mestilah dia mahu balik. Hanya cuti semester sahaja dia akan pulang ke kampung. Semuanya semata-mata untuk menjimatkan kewangannya. Yang sebenarnya lebih banyak dihabiskan untuk geng itu. Yang memaksa untuk dia mengikat perut seorang diri hanya kerana ingin pulang pada cuti semester kali ini.

Sarah menuncungkan mulutnya dengan dahi berkerut. Acah-acah kasihan dengan Shahrina.

"Aku tak rasa kau dapat balik..." Fatin tersenyum sinis.

"Fatin, awak nak buat apa?" Shahrina sudah kalut. Dia meluru ke arah Fatin untuk mengambil tiket itu kembali tetapi dihalang oleh Liyana dan Sarah.

"Selamat tinggal kampung kesayangan..." ujar Fatin sinis lantas mengoyakkan tiket itu sehingga menjadi kepingan kecil.

Shahrina tergamam.

"Ops! Sorry..." Fatin menutup mulutnya. Menyindir Shahrina. Liyana dan Sarah ketawa jahat.

"Awak buat apa hah! Tak cukup lagi ke awak ganggu hidup saya dan paksa saya untuk ikut semua arahan awak? Apa lagi yang awak nak hah!" Shahrina mula meninggikan suara. Matanya sudah berair. Dia tidak pernah meninggikan suara apatah lagi cuba berkasar. Tetapi kali ini sikap Fatin dan gengnya sudah melampau.

Fatin dan gengnya berhenti ketawa. Fatin ke hadapan lantas menolak Shahrina sehingga jatuh ke tanah.

"Wah... tak sangka aku. Berani juga kau tinggikan suara. Aku ingat kau ni selamanya akan jadi budak pak turut aje. Oh, ni mesti sebab kau rasa hebat sebab ada orang macam Arie dengan Wan di sisi kau? Then, mana diorang waktu kau kena buli ni? Tak ada pun. Tu ke makna kawan?" Fatin ketawa sendiri.

"Entah-entah diorang dekat dengan kau pun sebab nak ambil kesempatan. Aku tak rasa orang macam Arie tu tak membuli. Tengok perangai pun..."

"Kau jangan mengata Arie sebarangan! Arie bukan macam korang semua!" Shahrina memintas kata-kata Fatin. Dia tidak suka orang lain memburukkan Farisya hanya kerana sikap kasarnya. Orang lain tidak kenal sikap Farisya yang sebenar. Mereka hanya memandang luaran sahaja dan hanya tahu membuat andaian sendiri.

Serentak itu Fatin menepuk tangan. Shahrina yang tidak pernah meninggikan suara selama ini sanggup back up Farisya. Hebat!

"Wah, touching sungguh persahabatan korang ni ye. Tapi kenapa dia tak datang bila kau tengah susah?"

"Aku tak bagitahu pun apa yang korang buat selama ni. Aku tak rasa korang akan selamat kalau dia tahu semua ni," keras Shahrina bersuara.

Serentak itu mereka ketawa besar selepas mendengar kata-kata Shahrina.

"Boleh bagitahu aku, kuasa apa yang dia ada untuk buat kitorang rasa tak selamat?" tanya Sarah pula.

"Dalam hidup ni, selain daripada kuasa, bukti pun kena ada. Betul tak?" Tiba-tiba ada suara mencelah dalam perbualan itu.

"Arie..." Shahrina berpaling ke arah suara itu. Dia tersentak.

Fatin menelan air liur. Sarah dan Liyana sudah berganjak ke belakang.

"Berapa lama kau buat kerja ni?" Farisya berjalan selamba sambil berpeluk tubuh.

Fatin mula menjauh daripada Shahrina. Farisya datang! Macam mana Farisya boleh ada di situ!

"Ah, satu lagi aku nak bagitahu korang semua wahai perempuan-perempuan sampah. Aku tak sama spesis macam korang. Aku mungkin ada seni pertahanan diri tapi aku rasa waktu yang sesuai untuk aku guna adalah untuk pertahankan diri. Emm mungkin juga aku patut guna kelebihan ni untuk bagi pengajaran pada manusia yang tak faham makna kehidupan," sambung Farisya lagi. Matanya menikam tajam ke arah ketiga perempuan itu.

Farisya mengeluarkan Iphonenya dan ditayang-tayangkan di hadapan mereka.

"Kau tahu tak apa yang akan jadi kalau video ni sampai ke pihak atasan? Kau rasa, apa yang diorang akan buat ye?" tanya Farisya sinis.

"Arie... kau..." Fatin menggenggam jemarinya menahan geram.

Farisya tersenyum sinis.

"Macam yang aku cakap tadi, selain daripada kuasa, bukti pun perlu ada. Dan bukti ni dah cukup kukuh untuk membuktikan senior tak guna macam kau gunakan kuasa untuk menindas orang lain."

Fatin menelan air liur. Liyana dan Sarah juga sudah pucat lesi.

"Satu lagi kan, kalau korang bertiga ni tak berapa nak cerdik, study la bagi cerdik. Masuk belajar sebab nak belajar. Kalau assignment suruh orang lain buat, baik kau berhenti belajar aje. Tak ada function pun kau study kat sini tapi sijil kau tu hasil orang lain.

Ah... untuk penambahan, aku ni susah nak maafkan orang. Sekalipun korang datang melutut depan aku untuk tak bongkar semua ni, aku tetap akan ambil tindakan. Sebab tu aku digelar Black Arie. By the way takziah sebab korang dah terlibat dengan aku. Salah korang sebab kacau orang sekeliling aku." Panjang Farisya bersuara.

Dia melangkah ke arah Shahrina dan memegang erat tangan gadis itu. Tangan itu menggeletar. Seperti yang dijangka. Dia tahu had kesabaran Shahrina sudah terbatas.

"Arie... tolonglah jangan buat aduan..." Sarah merayu perlahan.

Serentak itu Fatin menyiku Sarah. Memarahi Sarah kerana menunjukkan kelemahan di hadapan Farisya.

Farisya tersenyum sinis. Dia yakin Fatin tidak akan sesekali merayu seperti itu. Mungkin bangga dengan kuasa dan namanya. Tetapi melihat pada dua orang di sisi Fatin, dia tahu mereka tidak berani. Mereka sedang menggigil ketakutan.

"Fatin, kau tak takut ke kalau video ni tersebar? Kau tak kisah ke nama dengan kuasa kau dalam bahaya? Ah, kau anak ternama. Semua benda boleh selesai dengan duit. So... aku nak tengok permainan orang kaya macam mana..." Sinis Farisya bersuara.

"Kau! Aku akan pastikan hidup kau merana, Arie!" Fatin meninggikan suara.

Farisya tersenyum sinis. Dasar anak orang kaya yang bongkak. "Well, kita tengok la macam mana. Dan aku nak tengok juga persahabatan korang bertiga ni. Agak-agak sorang aje yang terlepas ke atau ketiga-tiga selamat?" Farisya menjongket sebelah keningnya.

Liyana dan Sarah tergamam. Menyedari maksud sebenar Farisya yang mendalam itu. Jelas wajah mereka ketakutan. Hanya Fatin sahaja yang masih dengan egonya.

"Jom Rin. Mood aku tak berapa baik ni. Aku risau aku mula buka langkah untuk belasah orang pula." Selamba Farisya bersuara lantas menarik Shahrina berlalu dari situ.

Ada banyak perkara yang dia mahu selesaikan dengan Shahrina. Perkara yang Shahrina rahsiakan dan segalanya.

"Arie tak guna!" Fatin mengepal penumbuk. Kalau tidak kerana Farisya mempunyai seni pertahanan diri, sudah lama nasib Farisya seperti Shahrina.

Siap kau Arie. Kau silap sebab berlagak. Suatu hari nanti kau tahu la langit tu tinggi ke rendah. Desis Fatin sendiri.

Liyana dan Sarah tidak berani bersuara. Kerana mereka sudah ketakutan.




SHAHRINA menunduk lemah apabila Farisya mencekak pinggang di hadapannya. Jelas wajah itu menunjukkan perasaan marah dan geram.

"Berapa lama dah diorang buli kau?" tanya Farisya dengan nada keras.

Shahrina menelan air liur. Ketika ini dia tidak berani untuk mengangkat muka.

Farisya melempar buku nota milik Shahrina ke arah katil.

"Tu, nota assignment diorang kan? Berapa lama kau bertungkus lumus buat assignment diorang? Berapa lama diorang buli kau? Kalau aku tak datang tadi, sampai bila-bila pun aku takkan tahu yang kau kena buli!" Farisya meninggikan suara.

Shahrina membisu. Buku nota di atas katilnya di pandang. Sedari tadi dia hanya duduk di atas katil berdiam diri tanpa membuka mulut pun. Dia tahu Farisya sedang marah. Lebih baik dia berdiam diri.

Tidak guna untuk dia merahsiakan lagi. Kalau Farisya tahu dia buat assignment kumpulan Fatin, sudah tentulah Farisya sudah membaca apa yang tertulis di dalam buku nota itu.

Farisya menghela nafas. Dia marah. Dia bengang. Amarahnya pada Syazwan masih belum reda. Kini Shahrina pula cuba mencabar kesabarannya.

"Rin, aku dah cakap berkali-kali kan. Kalau diorang berani sentuh kau, kau patut bagitahu aku. Aku tak suka orang dibuli sampai macam ni. Tiket bas kau dah koyak. Kau nak balik macam mana? Mana mana kalau aku tak ada tadi, apa yang diorang akan buat pula lepas tu."

Farisya mengambil tempat di sebelah Shahrina. Mujur roomate Shahrina sudah pulang ke kampung. Tak adalah kecoh sangat tentang apa yang berlaku hari ini.

"Rin, please. Aku tahu kau marah diorang mengata aku tapi jangan disebabkan aku, diorang buat kau macam ni. Aku tak pernah ambil peduli pasal kata-kata orang. Aku anggap orang-orang macam tu cuma ada perasaan dengki aje. Kau tak payahlah back up aku. Benda yang paling penting adalah back up diri kau dahulu." Ditepuk lembut tangan Shahrina bagaikan cuma memberi semangat. Dia dapat melihat tapak tangan Shahrina yang luka itu. Pasti kerana ditolak Fatin sebentar tadi.

Farisya cuba menahan diri daripada terus marah. Dia tahu kalau dia terus bercakap sekalipun, Shahrina akan memilih untuk berdiam diri.

Shahrina cuba mencari kekuatan. Kalaulah tiada Farisya sebentar tadi, rasanya dia terduduk dek menggeletar satu badan. Perlahan dia mencapai tangan Farisya dan digenggam perlahan. Air matanya mengalir.

"Saya minta maaf, Arie..."

Farisya membisu.

"Saya tak nak awak terlibat dalam hal ni. Sebab awak permata kolej. Kalau awak terlibat dalam hal ni, saya takut akan merosakkan nama awak..." ujar Shahrina perlahan.

"Mengarut!"

Shahrina terkedu.

"Rin, kau tahu tak apa kelemahan kau? Kelemahan kau adalah kau lebih fikirkan orang lain berbanding diri kau sendiri. Kau tak kisah kau sakit asalkan bukan orang lain. Sikap tu bagus tapi pada masa yang sama bukan semua terbaik.

Kau boleh back up aku tapi pastikan kau boleh back up diri kau dulu. Aku tak suka tengok kawan aku dibuli sampai macam ni. Ni dah melampau sangat. Kau tahu kan selama ni tak ada sesiapa pun yang berani dekat dengan aku selain daripada Wan.

Pertama kali aku selamatkan kau sebab aku nak buktikan seni pertahanan diri yang aku belajar ni adalah untuk menyelamatkan orang lemah. Dan kau orang pertama yang sudi kawan dengan aku walaupun orang gelar aku macam-macam. Kau masih boleh bersama aku walaupun personaliti kita berbeza.

Rin... lepas ni aku tak nak benda ni berlaku lagi. Kalau kau tak nak aku mengamuk, kau bagitahu hal sebenar. Kalau kau takut sangat dengan aku, kau bagitahu Wan. At least dia boleh selamatkan kau. Sekurang-kurangnya ada orang lain tahu kesusahan kau..." ujar Farisya panjang lebar.

Shahrina mengangguk. Dia mengesat air matanya. Terharu mendengar kata-kata Farisya.

Farisya merengus.

"Dah, jangan nak sedih sangat. Bukan jenis aku nak keluar kata-kata macam ni tau. Jangan bagitahu sesiapa..." Farisya mengalihkan pandangan.

Shahrina tertawa kecil. Hilang segala masalahnya ketika itu. Dia tahu Farisya malu.

"Terima kasih Arie..."

"Emm, sama-sama."

Farisya masih melarikan pandangan.

Shahrina menggigit bibir. Menahan tawa.

"Rin! Kau jangan senyum macam tu." Farisya menjegil matanya.

"Mana ada saya senyum." Shahrina berdalih.

"Tipu."

Shahrina tersengih. Tak adalah kasar mana pun Farisya. Hari ini dia melihat satu sikap yang dia tidak pernah sangka. Dalam kekerasan itu sebenarnya penuh dengan kelembutan dan mengambil berat.

Farisya membeliakkan matanya.

"Shahrina!"

Shahrina menutup mulut. Alamak! Black Arie dah muncul!




PUAN Wan Azwa dan Encik Wan Syahir saling berpandangan. Kerana mereka menyedari apa yang sedang berlaku di hadapan mata.

Sedari tadi Syazwan hanya berada di dalam dunianya. Di meja makan sehingga ke ruang tamu. Mata memandang televisyen tetapi fikirannya melayang. Entah apalah anak muda itu sedang berfikir.

"Wan..."

Teguran itu membuatkan Syazwan tersedar dari dunianya sendiri.

"Ada masalah ke?" tanya Puan Wan Azwa.

Serentak itu Syazwan hanya melemparkan senyuman. Namun dia tidak bersuara sedikit pun.

"Gaduh dengan Arie la kalau dah macam tu," duga Encik Wan Syahir membuatkan wajah Syazwan berubah.

Pasangan suami isteri itu saling berpandangan. Sudah menduga hal sebenar.

"Kali ni pasal apa pulak?" tanya Encik Wan Syahir ingin mengetahui hal sebenar.

Syazwan membisu.

Puan Wan Azwa sudah mula merasakan sesuatu. Dia yakin Farisya dan Syazwan takkan bergaduh seteruk begitu tanpa sebab yang munasabah. Kali terakhir pergaduhan teruk itu pun disebabkan kes majlis syarikat Dato' Kamal. Kemudian mereka berbaik seperti biasa semula.

Syazwan terus membisu. Dia ingin bersuara namun suaranya seakan-akan tidak mahu keluar. Memaksa untuk dia berterusan mendiamkan diri.

"Taekwondo?"

Syazwan menelan air liur.

Benar telatah Encik Wan Syahir. Kerana dia tahu setiap kali cuti semester, Farisya pasti ada agenda tersendiri. Sudah semestinya terlibat dengan latihan taekwondo atau apa-apa kaitan dengan seni pertahanan itu.

"Wan... tak nak cuba kembali ke gelanggang?" tanya Encik Wan Syahir.

Puan Wan Azwa memandang reaksi wajah Syazwan.

"Ibu tahu Wan..."

"Tak." Syazwan mencelah pantas.

Dia masih tidak dapat melupakan apa yang berlaku pada hari kejadian. Minda dan matanya masih jelas. Tidak sesaat pun kejadian itu dia lupakan. Segalanya dirakam ke dalam memorinya tanpa ada cacat cela.

"Wan masih rasa bersalah pada Arie?" tanya Puan Wan Azwa lembut.

Syazwan memejam matanya. Baginya rasa bersalah itu akan dibawa sehingga mati. Selagi rasa bersalah itu bersarang di hati, selagi itu dia tidak akan pernah menjejak kaki ke gelanggang taekwondo.

"Abah tak paksa Wan tapi abah tahu Arie nak bersama Wan. Setiap masa dia mengharapkan Wan bersama dia. Dia nak sama-sama naik ke pentas. Arie tak berani luah sebab dia nak jaga hati Wan..." Lembut suara Encik Wan Syahir.

Dia tahu bukan mudah tetapi segalanya sudah berlalu. Keadaan bukanlah teruk seperti yang disangka. Cumanya Syazwan tidak mampu mengatasi fobianya.

"Lagipun sekarang Arie makin kuat. Stamina makin meningkat, prestasi pun makin meningkat. Dia mungkin akan melepasi Wan," sambung lelaki itu lagi.

Puan Wan Azwa hanya mengangguk setuju. Segalanya kembali normal. Farisya semakin hari semakin meningkat prestasinya.

"Wan tak boleh..." Syazwan menggeleng kepala.

Setiap kali dia masuk ke kelab, dia terbayang saat-saat itu. Macam mana dia nak habiskan masa di situ sedangkan dengan hanya melihat pun sudah membuatkan dadanya sesak.

"Sampai bila Wan nak larikan diri?" tanya Puan Wan Azwa pula.

Syazwan membisu. Taekwondo adalah sukan pertama yang dia jatuh cinta. Tetapi ketika ini menjadi ketakutan baginya. Kerana taekwondo, dia hampir hilang kawan. Kerana taekwondo, dia hampir membunuh orang.

Dia masih ingat lagi pada hari latihan mereka. Hari minggu yang sangat indah itu diakhiri dengan tragedi ngeri. Yang membuatkan dia menjadi takut untuk menggunakan kelebihannya yang selama ini menjadi kebanggaan.

Ketika dia berlatih taekwondo bersama Farisya, mereka berlawan seperti biasa. Kerana dia tahu Farisya tidak pernah memberi peluang untuknya. Kerana dia tahu Farisya selalu serius dalam perlawanannya. Hanya kerana tersalah langkah, Farisya cedera. Dan kecederaannya hampir membuatkan Farisya kehilangan nyawa.

Masih terbayang saat dia kalahkan Farisya. Selepas menjatuhkan Farisya, dia bersorak kemenangan tetapi Farisya masih tidak bangun dari baringannya. Dia fikir Farisya cuba bergurau atau mungkin merajuk dengannya. Rupanya tubuh itu sudah kaku tidak sedarkan diri.

Selepas dimasukkan hospital, dia menggigil apabila doktor menyatakan tulang belakang Farisya hampir patah. Mungkin kerana pelindung yang dipakai tidak betul. Kalau hal itu terjadi, barangkali Farisya akan lumpuh dan mungkin juga buta.

Sejak daripada itu, dia tidak pernah menggunakan seni pertahanan dirinya lagi. Dia memberi pelbagai alasan untuk tidak menyertai latihan itu sehinggalah akhirnya dia membuat keputusan untuk berhenti.

Berkali-kali Farisya memujuknya namun lama kelamaan gadis itu give up. Farisya tidak mengungkit kembali hal itu sehinggalah hari ini.

Benar, dia masih takut. Dia masih tidak dapat melawan ketakutan itu. Biarpun Farisya tidak berdendam mahupun menyalahkannya tetapi dia tetap tidak mampu kembali seperti dahulu. Dia tahu Farisya setia menunggunya. Tetapi dia masih begitu. Kaku dan beku.

"Wan... hampir membunuh Arie. Macam mana Wan nak kembali macam dulu kalau segalanya masih jelas dalam minda Wan. Arie... dia faham tapi dia pura-pura tak faham. Dia cuba tunjuk kuat sedangkan hal itu melibatkan nyawa dia sendiri. Masa kat hospital waktu tu, dia masih tunjuk muka selamba dia padahal dia tahu kecederaan tu boleh membahayakan dia."

Syazwan menunduk kepalanya.

Pasangan itu hanya membisu. Tiada guna mereka bersuara lagi. Syazwan sudah nekad. Lagipun bukan mudah untuk atasi fobia. Melainkan Syazwan sendiri mahukan perubahan kembali.

Puan Wan Azwa menggosok belakang anak terunanya, cuba memberi semangat. Mengharapkan suatu hari semangat dahulu kembali. Dia rindu melihat anak terunanya memakai pakaian taekwondo bersertakan tali pinggang hitam. Nampak gagah dan bergaya. Tetapi ketika ini, pakaian itu hanya tergantung dalam almari bertahun-tahun.

Syazwan memejam matanya. Wajah Farisya terbayang di mindanya. Keseronokan Farisya adalah kedukaan baginya.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni