Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,204
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

"HAH Kimi, lain macam aje senyum tu," tegur Tan Sri Faris apabila melihat Hakimi tersenyum sedari tadi. Entah apa yang bermain di fikiran agaknya.

Hakimi tersedar dengan teguran itu lantas menyembunyikan senyumannya. Dia memandang Tan Sri Faris yang sudah duduk di sofa berhadapannya.

"Mana ada pa..." dalih Hakimi.

Tan Sri Faris membuat muka. "Kenapa? Dah berkenan sangat ke dengan anak Uncle Kamal?" tanyanya, cuba mengorek rahsia.

Mana tidaknya, pertemuan Hakimi dan Farisya sememangnya aneh. Alih-alih adalah anak kawan baiknya sendiri.

"Ish papa ni. Ke situ pulak. Kimi bukan apa, cuma rasa kelakar bila tengok dia hari ni. Sebab selalunya Farisya yang Kimi jumpa adalah seorang yang mulut banyak, selambanya dan kasar. Tapi hari ni dia dah macam orang lain. Senyap, tak banyak cakap sampai Kimi rasa betul ke dia yang aku jumpa sebelum ni," ujar Hakimi berterus terang.

Bimbang papanya berfikiran ke lain. Lagipun kali ini dia benar-benar rasa kelakar. Padahal masa majlis itu pun Farisya masih dengan perangai selambanya. Tetapi hari ini lain pulak jadinya. Atau Dato' Kamal ada anak kembar?

Tan Sri Faris ketawa. "Dia segan rasanya. Lagipun kita bincang pasal bisnes. Dia mana tahu selok belok syarikat. Takkanlah dia nak mencelah."

Hakimi hanya mengangguk. Mengiyakan sahaja kata-kata papanya. Tetapi dia masih terasa lucu. Farisya oh Farisya. Berbeza sungguh dengan pertama kali mereka bertemu. Bukan main garang.

"Farisya tu... walaupun nampak dia macam tu tapi dia sebenarnya budak baik. Last jumpa dia sebelum accident tu. Masa tu dia kecil lagi. Lepas tu papa tak pernah jumpa dia dah. Uncle Kamal cakap dia sibuk belajar dengan taekwondo dia. Tapi papa tahu ada kisah tersirat disebaliknya," ujar Tan Sri Faris. Teringat akan kisah lalu mereka.

"Maksud papa?" Hakimi bertanya penuh minat.

Tan Sri Faris menyandar tubuhnya ke sofa. Dia memandang Hakimi.

"Sebelum ni Kimi perasan tak, majlis ulangtahun syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd tahun lepas, Farisya tak ada."

Dahi Hakimi sedikit berkerut mendengar pertanyaan itu. Dia cuba mengingati semula.

"Kenapa pa?" tanya Hakimi. Ingatannya tidak mampu mengingati semula apa yang berlaku. Mungkin kerana dia tidak perasan apa yang berlaku. Apatah lagi dia baru sahaja masuk ke dalam syarikat papanya.

"Setiap tahun, Farisya tak pernah ada kat syarikat tu. Tahun ni bagi papa adalah satu perkara yang mengejutkan. Mungkin Farisya dah matang," cerita Tan Sri Faris.

Dahi Hakimi semakin berkerut. Masih tidak memahami apa yang berlaku.

"Kimi tahu kan, hari majlis tu juga adalah hari Uncle Kamal kehilangan isteri dia. Pada hari kejadian Farisya ada dengan arwah Auntie Zahra tapi dia terselamat. Cumanya dia fobia sebab dia nampak sendiri keadaan arwah mama dia. Uncle Kamal cakap kat papa, Farisya banyak berubah selepas tu. Dia suka menyendiri tetapi dia masih buat macam tiada apa-apa yang pernah berlaku," cerita Tan Sri Faris lagi.

Dia sebak. Mengenangkan apa yang berlaku, dia tidak mampu membendung kesedihan. Dia terfikir sendiri, mana mana Dato' Kamal boleh berhadapan dengan semua itu. Betapa kuat hati sahabatnya. Hari tertubuhnya syarikat dan hari kehilangan isteri dan anak dalam kandungan adalah hari yang sama.

Hakimi terdiam sebentar. Sedikit terkedu dengan cerita itu. Dia tidak menyangka begitu rupanya kisah hidup gadis itu. Di sebalik kekasaran dan perangai selambanya rupanya terselit kisah duka yang ditutup rapat. Dalam kekasaran itu sebenarnya terselit pelbagai duka yang tidak nampak dengan mata kasar.

"Bagi papa, Farisya nampak kuat pada luaran. Tapi dalamannya sukar dijangka. Kita nampak dia happy. Tapi kita tak tahu apa yang dia fikir waktu dia bersendirian," sambung lelaki itu lagi.

Hakimi mengangguk setuju. Dia tidak nafikan kata-kata itu.

"Papa tak pernah tengok Kimi macam ni," tegur Tan Sri Faris. Senyuman kecil terukir di bibirnya.

Kerana dia kenal dengan anak teruna tunggalnya itu. Terlebih workaholic sehingga tidak peduli apa yang berlaku. Langsung tiada masa untuk memikirkan perkara lain melainkan hal kerjaya sahaja. Tetapi sejak bertemu dengan Farisya, anaknya sedikit berubah.

"Kenapa pa?" Hakimi menggosok belakang lehernya. Seakan-akan dapat membaca apa yang bermain di fikiran papanya.

"Dah lama Kimi tak ambil peduli pasal orang. Sejak Farisya muncul, Kimi kerap cakap pasal dia," jawab Tan Sri Faris, cuba mengorek rahsia.

Hakimi ketawa. "Sebab dia lain daripada yang lain. Seorang yang tak mampu diungkap dengan kata-kata. Tapi setiap kali dia muncul, segala bebanan dalam kepala bagaikan hilang aje," katanya jujur.

Tan Sri Faris turut ketawa. Lucu mendengar penjelasan itu. Tinggi sungguh bahasa. Dah macam sasterawan pula.

"Iye ke Kimi. Ke ada benda lain yang papa tak tahu." Sekali lagi Tan Sri Faris cuba mengorek rahsia.

"Benda apa pa. Kimi cuma boleh anggap dia adik aje. Umur kitorang pun berbeza banyak. Papa ni, ke situ pula fikiranya." Hakimi menggeleng kepala. Takkanlah dia nak mengambil kesempatan ke atas budak pula. Anak kawan baik papanya pula tu.

Tertawa Tan Sri Faris ketika itu. "Tapi papa tak halang pun. Umur bukan alasan. Kalau dah suka, apa salahnya," selorohnya nakal.

Tergeleng kepala Hakimi dengan seloroh itu.

"Lagipun Kimi, papa ni lama mana nak hidup lagi. Sekurang-kurangnya sebelum papa tutup mata, bagi la papa tengok Kimi kahwin dulu. Papa ada Kimi aje. Pewaris syarikat papa. Lagipun papa tak nak tengok Kimi terlalu workaholic sampai tak hirau sekeliling. Kisah lalu biarkan berlalu. Jangan difikirkan, jangan dikenangkan. You deserve better," ujar Tan Sri Faris penuh makna mendalam.

Wajah Hakimi sedikit berubah. Dia membisu seketika.

"Tak apa pa. Kimi cuma nak capai apa yang perlu Kimi capai."

Hakimi tersenyum tawar.

Kenangan lalu... andai dia mampu padamkan dan lenyapkan dari mindanya, pasti dia lebih bahagia ketika ini.




MATANYA melirik ke arah gadis yang sedang tidur menutup muka dengan buku itu. Setahunya, gadis itu tidak pernah tidur dalam kelas. Pelik. Aneh. Rasanya assignment mereka sudah settle. Tinggal nak fokus pada projek akhir sahaja.

"Rin..." tegur Syazwan. Merapati meja Shahrina.

Shahrina mendongak perlahan. Matanya yang merah ditenyeh perlahan. Dikecilkan matanya melihat sang pemilik suara itu. "Syazwan..."

"Kelas dah habis."

Shahrina memerhati jam tangannya. Cepatnya masa berlalu. Dia terus mengemas mejanya tanpa suara.

"Rin." Panggil Syazwan.

Shahrina memandang Syazwan. Masih mamai.

"Awak tak pernah tidur dalam kelas pun sebelum ni. Ni bukan perangai awak, Rin," tegur Syazwan sedikit serius.

Kerana dia pelik. Kelas mereka bermula pukul 9 tetapi itu kali pertama Shahrina datang lewat. Nasib baik bukan kelas Cik Hanisa. Kalau tidak memang di luar kelas jawabnya.

Kemudian sepanjang kelas tadi, Shahrina hanya tidur sahaja. Langsung tidak bangun untuk fokus pada pembelajaran. Memandangkan kelas mereka berada di lab komputer jadi lecturer tak nampak apa yang pelajar di bahagian belakang buat. Apatah lagi kalau lecturer itu sendiri tidak berjalan ke meja-meja pelajar.

Shahrina terkedu. Dia membisu. Tangannya terus mengemas barang-barangnya untuk dimasukkan ke dalam beg.

Dia tahu hari ini dia berperangai pelik. Tetapi takkanlah dia hendak memberitahu Syazwan yang dia dibuli oleh geng Fatin. Memaksanya untuk membasuh baju dan membuat assignment yang dia langsung tak faham. Pening kepalanya sampai tidak tidur dibuatnya. Selepas subuh tadi dia cuba melelapkan mata kerana dia tahu kelas hari ini bermula pukul 9. Tapi dia tidak menyangka bahawa dia terlewat ke kelas. Mujurlah lecturer memaafkan dia. Kalau tidak, lain pula jadinya.

"Arie mana?" tanya Shahrina sekadar mengubah topik perbualan. Matanya meliar mencari kelibat Farisya.

"Dia jumpa lecturer jap. Dia suruh kita pergi kafe dulu."

Shahrina mengangguk. Mujulah Farisya tiada. Kalau tidak pasti gadis itu akan mengasaknya sampai mendapat jawapan. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap Farisya. Selagi tidak mendapat jawapan yang memuaskan, selagi itu diasak dengan pelbagai soalan.

"Saya nak balik hostel dulu. Petang nanti kita jumpa," ujar Shahrina lembut.

Kelas petang masih ada lagi. Dia mahu mengambil peluang ketika ini untuk merehatkan diri. Letihnya tak dapat diungkapkan. Kenapa dia harus melalui lagi. Apa salahnya sehingga diperlakukan sebegitu? Tiada seorang pun berani menolongnya. Kerana sudah tahu perangai sebenar kumpulan itu. Masuk campur umpama melompat ke kancah penderitaan.

"Rin, ada apa-apa yang awak sorokkan daripada saya ke?" tanya Syazwan seakan-akan dapat menghidu ada sesuatu yang berlaku pada Shahrina. Cumanya dia tidak tahu apa masalah Shahrina. Dia yakin Shahrina cuba mengelakkan diri darinya.

Wajah Shahrina sedikit berubah. Dia agak gelabah selepas mendengar pertanyaan Syazwan. Pantas dia menggeleng kepala sebagai jawapan. Dia bingkas bangun dan ingin berlalu namun langkahnya terhenti apabila terasa begnya ditarik.

"Rin, siapa buli awak lagi?" Syazwan bertanya lembut namun berwajah serius.

Shahrina terkedu.

"Fatin?"

Sebaik sahaja Syazwan menyebut nama itu, Shahrina terus berpaling.

"Mana ada siapa buli saya. Kan saya ada awak, ada Arie. Semua orang takut dengan Black Arie. Diorang dah tahu saya dengan awak berdua, takkanlah diorang berani nak ganggu saya lagi," ujar Shahrina sambil tersenyum. Cuba menutup kisah sebenar.

Ikutkan hati dia mahu memberitahu Syazwan tetapi apakan daya, Fatin lebih berkuasa darinya. Gadis itu boleh buat apa sahaja. Apatah lagi memegang jawatan ketua blok di hostel. Dia diugut agar tidak menceritakan hal yang sebenar kepada Syazwan mahupun Farisya kalau masih mahu tinggal di hostel. Namun lebih mengerikannya adalah Fatin mahu membuat hidupnya merana sekiranya berita itu sampai ke telinga Syazwan dan Farisya. Dia takut.

Shahrina pasrah. Kerana dia tahu keadaannya. Dia bukan seperti Syazwan, Farisya mahupun Fatin. Anak orang berada. Dia hanya anak orang susah yang datang belajar dengan bantuan biasiswa. Dia belajar berjimat dan memikirkan apa yang lebih penting. Kadangkala terpaksa ikat perut. Sebab itu dia tidak mahu melawan. Kalau tidak, pasti akan timbul masalah.

"Habis tu kenapa hari ni jadi macam ni? Rin, kalau ada masalah bagitahu saya atau Arie. Kitorang akan tolong awak..."

Belum sempat Syazwan menghabiskan kata-katanya, Shahrina mencelah pantas.

"Tak ada apa-apa la Wan. Saya okey aje. Terima kasih banyak-banyak. Hari ni saya cuma terlajak tidur aje. Awak jangan la risau."

Syazwan mengeluh. Antara percaya atau tidak. Dia yakin ada sesuatu yang Shahrina sorokkan daripadanya. Dia tidak pasti apa tetapi dia yakin ada sesuatu yang berlaku. Namun dia tidak mengerti mengapa Shahrina perlu merahsiakan daripadanya.

"Yelah. Tapi kalau awak ada masalah, bagitahu la. Jangan simpan. Saya ada, Arie ada. Takkan nak biarkan awak susah sorang-sorang." Syazwan akhirnya mengalah jua. Mungkin ada sebab mengapa Shahrina tidak menceritakan hal sebenar. Dia cuba bersangka baik.

Shahrina mengangguk pantas. Bibirnya terukir senyuman tetapi dalamannya penuh ketakutan.

Kalaulah Syazwan dan Farisya tahu hal sebenar, dia tidak tahu apa yang mereka berdua lakukan. Tambah-tambah pula Farisya. Dia yakin Farisya akan mengamuk. Sebelum hal itu terjadi, lebih baik dia diamkan diri. Bimbang akan menjadi masalah kepada Syazwan dan Farisya. Dia tidak mahu mereka terlibat. Cukuplah mereka pernah menolongnya dahulu.

Dia harap pembulian itu tidak lama. Dia yakin lama kelamaan Fatin dan kumpulannya akan berhenti jua. Ya, dia yakin hal itu tidak lama. Dia mengharapkan sebegitu.

Biarpun dia tidak tahu bila akan tamat semua itu.




SEDARI tadi Haziq tersengih-sengih sendiri memandang rakan seperjuangannya yang juga merangkap kawan baiknya itu. Hendak ditegur, nanti pandai pula dia berdalih. Sengaja dia biarkan kawannya itu dalam dunianya sendiri. Tapi makin dibiar makin ngeri pula jadinya.

Hakimi mengangkat muka dan memandang meja di hadapannya iaitu meja Haziq. Dahinya berkerut melihat Haziq tersengih-sengih seorang diri memandangnya. Padanlah dia merasakan seperti ada orang memerhatinya.

"Ziq, kau dah kenapa?"

Haziq tersengih lagi apabila mendengar soalan itu.

Hakimi menggeleng kepala. Dah kena sampuk pula ke kawan aku ni.

"Saja." Ringkas jawapan Haziq membuatkan Hakimi mencebik.

"Kalau kau saja-saja macam tu, aku rasa tak lama lagi aku akan tolong tempahkan kau wad gila." Selamba sahaja Hakimi bersuara.

Haziq ketawa.

"Sebelum kau hantar aku, aku akan hantar kau dulu," balas Haziq tidak mahu mengalah.

"Apasal pulak?"

Haziq tersengih nakal. Terus dia kedepankan kepala dan tubuhnya ke arah Hakimi.

"Sejak budak tu datang dalam hidup kau, perangai kau dah lain macam."

"Budak mana?" Hakimi berpura-pura tidak faham.

Haziq mencebik. "Arie."

Hakimi menjeling. "Apa yang lain macamnya?" tanya Hakimi pelik.

"Macam orang angau," bisik Haziq nakal membuatkan Hakimi membeliakkan matanya.

"Mengarut!"

Haziq menjuih bibir dan membetulkan kedudukannya.

"Lepas ni mesti kau akan selalu jumpa dia sebab kau kan ketua projek," sakat Haziq lagi. Masih tidak mahu mengalah. Mahu mengorek rahsia seboleh-bolehnya.

Hakimi berhenti fokus pada kerjanya dan memandang Haziq.

"Aku handle projek dengan Dato' Kamal, bapa dia. Buat apa aku nak jumpa dia pula." Serius Hakimi bersuara.

Sejurus itu Haziq membuat muka. "Memang la. Tapi of course kau akan selalu pergi syarikat bapa dia. Takkanlah kau tak terserempak dengan dia..." sakat Haziq dengan suara menyindir.

Sekali lagi Hakimi melemparkan jelingan tajam.

"Dah, dah. Kau jangan nak merepek sangat. Aku dengan dia tak ada apa-apa hubungan istimewa pun. Aku dengan dia cuma anak kawan baik aje. Tak lebih tak kurang. Buat kerja kau tu. Banyak cakap pulak." Tegas Hakimi bersuara. Dia tahu, lagi dia layan lagi menjadi-jadi perangai Haziq.

Haziq menarik muka. Garang! Ni mesti aura si Arie tu dah menggelilingi Kimi. Sampai perangai pun dah lain.

"Kimi..."

"Emm..." Hakimi terus fokus pada kerjanya tanpa memandang Haziq. Namun dia masih menjawab sapaan kawannya itu.

"Kau... dah pandai senyum lepas kau jumpa Arie," ujar Haziq perlahan.

Hakimi membisu. Terkedu dengan kata-kata Haziq.

Haziq hanya memandang wajah Hakimi. Dia nampak riak wajah kawannya itu berubah.

"Kau tak pernah cakap pasal perempuan sampai tersenyum lepas kau putus cinta dulu. Tapi sejak kau jumpa Arie, perangai kau dah lain. Senyum sorang-sorang macam orang angau. Bila kau cerita pasal dia, muka kau bercahaya macam orang jatuh cinta," sambung Haziq lagi, penuh perasaan.

Serentak itu Hakimi ketawa. "Kau ni mengarut la Ziq. Bagi aku, perasaan yang aku rasa sekarang bukan macam yang kau fikirkan. Cumanya setiap kali aku jumpa dia,  aku rasa lucu. Sebab gelagat dia mencuit hati aku. Bukan sebab aku ada perasaan lain.

Dah la Ziq, kau ni banyak layan drama sangat ni. Kau ingat kehidupan realiti ni nak sama ke dengan drama. Jumpa lepas tu jatuh cinta then kahwin. Kalaulah semua tu semudah ABC, aku rasa dah ramai bahagia," ujar Hakimi, mengakhiri perbualannya penuh bermakna.

Dia bingkas bangun dari tempatnya dan membawa cawan ke pantri. Air kopinya sudah habis. Itu sekadar alasan. Namun hakikatnya dia mahu melarikan diri daripada perbualan itu.

Haziq membisu. Kerana dia tahu apa yang tersirat di hati Hakimi ketika itu.

Cinta lalu Hakimi yang membuatkan lelaki itu berubah menjadi seorang workaholic yang tak pedulikan hal sekeliling. Kemunculan Farisya sedikit sebanyak mengembalikan semula sikap Hakimi yang dulu. Yang ceria dan sering tersenyum.

Kerana perempuan, Hakimi berubah. Kerana perempuan juga, Hakimi kembali tersenyum. Sungguh, penangan perempuan dalam hidup sangat dahsyat.

Dia berharap Hakimi akan terus begitu dan melupakan kisah lalunya. Mengharapkan luka Hakimi dapat dirawat semula. Semoga kebahagian berkunjung tiba.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni