Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,322
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 27

SHAHRINA hanya mengekori longlai langkah Farisya yang penuh bersemangat. Langsung tiada perasaan risau tentang apa yang bakal berlaku sebentar nanti.

"Rin, kau nak air apa?" tanya Farisya. Pintu peti minuman dibuka. Satu kotak air kiwi dicapai.

"Laici," jawab Shahrina ringkas.

Sebelum bertemu dengan Fatin, sempat lagi Farisya berhenti di kedai runcit untuk membeli stok. Kononnya stok makanan ringan dah habis.

"Orait!" Farisya terus mencapai air kotak laici dari dalam peti. Matanya sempat mengerling ke arah Shahrina yang berwajah sugul itu. Didekati gadis itu dan menyiku lengannya.

 "Kau tak payah la buat muka risau sangat. Tak ada apa-apa yang berlaku la. Aku jamin!" ujar Farisya penuh bersemangat.

Shahrina tahu dia tidak patut risau kerana Farisya mempunyai seni pertahanan diri. Tetapi rasa tidak sedap hati masih tidak hilang sejak semalam.

"Dah, tak payah risau sangat. Muka tu jangan tunjuk macam kita nak kalah. Musuh lagi suka tahu," tambah Farisya lagi.

Hanya anggukan sahaja Shahrina mampu lakukan. Mungkin dia yang terlalu merisaukan semua itu sehingga bermacam-macam fikiran negatif bermain di fikirannya.

Farisya berlalu menuju ke kaunter pembayaran. Ketika membayar, dia terpandang satu susuk tubuh yang baru memasuki kedai runcit itu.

"Yo!" Sapa Farisya selamba.

Hakimi terus memandang ke arah Farisya. Lebar bibirnya mengukir senyuman. Selamba sungguh si budak tak cukup inci ni. Nasib la tak ramai orang.

"Buat apa kat sini?" tanya Hakimi sambil mendekati Farisya.

"Makan angin dalam kedai ni." Selamba Farisya membalas. Dah tahu pergi kedai, sah-sah la beli barang. Tanya soalan budak tadika pun boleh jawab.

Hakimi menggosok leher. Tahu sudah dia terkena dengan soalannya sendiri.

"Beli barang la. Stok makanan dah habis." Farisya membetulkan semula jawapannya.

Kemudian Hakimi tersedar tentang kewujudan Shahrina yang terselindung di sebalik Farisya.

"Ni mesti nak ronda sakan dengan Rin kan?" tanya Hakimi.

Shahrina tidak beriak. Senyum pun tidak. Hanya membisu. Air mukanya jelas menunjukkan waktu itu dia tidak gembira.

"Nak jumpa kawan 'baik' jap," balas Farisya sambil menghulurkan wang kepada cashier tersebut. Dia masih tidak menyedari sikap Shahrina ketika itu.

Hakimi perasan wajah Shahrina berubah sebaik sahaja Farisya menuturkan istilah kawan baik. Dia yakin ada sesuatu yang tidak kena di sebalik itu.

"Kenapa ni?" tanya Hakimi kepada Shahrina.

Farisya mengalih pandangan ke arah Shahrina. Tersedar mood Shahrina berubah. Dia mencapai tangan itu dan menggenggam perlahan.

"Kitorang dah terlambat. Bye!" Terus dicapai plastik beg dan menarik Shahrina keluar. Dia tidak mahu Hakimi tertanya-tanya tentang itu.

"Rin, kau jatuh cinta dengan mamat tu ke?" bidas Farisya.

"Hah?!"

Farisya ketawa. Ada suara pun budak ni.

"Kau, tak payah la fikir negatif sangat. Kalau betul si Fatin nak buat jahat kat kita, aku hempuk aje dia tu. Habis cerita..."

"Arie, awak kena ingat tau minggu depan awak ada pertandingan!" Shahrina meninggikan suara. Baginya Farisya merasakan semua benda itu mudah. Sedangkan Farisya patut berhati-hati.

"Pertandingan tu belakang kira. Aku tak pernah bunuh orang pun sebelum ni. Paling tidak pun diorang akan lari selepas aku buka langkah." Bangga Farisya bersuara. Sengaja hendak menyedapkan hati orang sekeliling.

"Arie..."

"Dah dah..." Farisya memintas laju.

Shahrina hilang akal. Dia tidak mahu bagaimana hendak menghentikannya. Dia berharap Hakimi mengerti mesej tersiratnya sebentar tadi.




HAKIMI termenung di dalam keretanya yang masih terpakir di tepi jalan. Dia masih tidak mengerti apa yang Shahrina cuba sampaikan kepadanya. Apatah lagi melihat wajah gadis itu penuh dengan kerisauan.

Takkan la si Farisya nak buat jahat kat Shahrina pula?

Mesej 'tolong' yang hanya disampaikan di bibir si gadis itu tanpa sebarang suara membuatkan hatinya diasak pelbagai persoalan. Adakah ada sesuatu yang buruk bakal berlaku pada Shahrina ataupun Farisya?

Hakimi meramas rambutnya. Dia sudah hilang arah. Kalau betul mereka berdua dalam bahaya, bagaimana dia ingin menolongnya? Tiba-tiba dia merasa tidak sedap hati.

Kenapa Farisya mengelak daripadanya? Mengapa Farisya tidak menjelaskan hal sebenar. Mengapa wajah Shahrina terlalu risau seakan-akan ada perkara buruk yang bakal berlaku? Siapakah kawan baik yang Farisya maksudkan tadi? Adakah kawan baik itu yang bakal menimbulkan masalah?

Ah! Dia binggung! Memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan mesej yang dia sendiri tidak jelas. Dia yakin Shahrina menyebut tolong. Kerana riak wajah Shahrina sangat tertekan dan risau.

Kenapalah si budak tak cukup inci ni suka buat perkara yang pelik-pelik. Jangan cakap nak pergi bergaduh cukuplah. Terkenang pula pada kejadian malam itu ketika Farisya mengalahkan tiga orang lelaki sekaligus. Pergh! Seram sejuk dibuatnya dengan aura si gadis bernama Farisya itu.

Smartphonenya berdering nyaring membuatkan dia tersedar. Terus dicapai dan menjawab panggilan itu.

"Ye... okey. Kejap lagi aku sampai." Selepas mematikan talian itu, Hakimi terus menghidupkan enjin dan berlalu pergi.

Tiba-tiba sahaja dia terlupa dengan masalah yang berlaku sebentar tadi.




"ARIE, awak yakin ke ni?" tanya Shahrina takut-takut. Dia memegang erat tangan Farisya sepanjang berjalan masuk ke tempat itu. Dadanya berdebar-debar. Rasa makin tidak sedap hati.

"Pandai jugak si Fatin ni cari tempat macam ni." Farisya tersenyum sinis. Kini sudah jelas, Fatin ada niat lain. Kalau tidak, kenapa mereka perlu bertemu di sebuah gudang tersadai yang jauh dari orang ramai.

"Arie, jomlah kita balik..." Shahrina menarik tangan Farisya, memaksa Farisya untuk tidak meneruskan langkahnya. Dia yakin Farisya sudah faham niat sebenar Fatin.

"Kita dah datang. So agak rugi kalau aku tak tengok permainan yang dia dah rancangkan untuk aku," balas Farisya tegas.

Dia pasti Fatin ingin menyelesaikan sesuatu dengannya. Bukan dengan Shahrina. Kerana Fatin sendiri pernah cakap takkan benarkan dia hidup tenang. Jadi dia ingin melihat sejauh mana permainan si bajet bagus itu.

"Arie, macam mana kalau dia betul-betul buat benda tak elok kat awak. Dah la, jom balik. Saya rasa tak sedap hati la." Shahrina cuba memujuk lagi.

Farisya menghentikan langkah dan berpaling ke arah Shahrina.

"Kalau kau nak balik, kau pergi balik. Aku tak suka buat kerja separuh jalan." Kasar Farisya membalas lalu berjalan laju meninggalkan Shahrina.

"Arie!" Shahrina memanggil. Dia geram. Farisya langsung tidak mahu mendengar kata-katanya. Mahu tak mahu, dia memaksa diri untuk mengekori Farisya. Takkanlah dia mahu meninggalkan Farisya seorang diri. Apatah lagi Farisya terlibat dengan geng itu hanya untuk menyelamatkannya.

'Ya Tuhan, lindungilah kami. Jangan ada perkara buruk yang berlaku...' doa Shahrina dalam hati.

Tiba-tiba dia terdengar satu tepukan membuatkan dia berpaling ke arah sekumpulan yang baru keluar dari tempat persembunyian.

"Aku yakin kau datang, Arie. Sebab aku tahu kau adalah manusia yang pantang dicabar," ujar Fatin sinis. Dia memeluk tubuh memandang Farisya dan Shahrina yang sudah berdiri di hadapannya.

Farisya merengus. Dipandang Fatin dan gengnya. Wajib ada dua makhluk tambahan di sisi gadis itu. Dasar pengecut. Bawa geng sepanjang masa.

"So apa benda yang kau nak settle sangat dengan aku? Siap pilih tempat strategik bagai. Aku tak sangka kau boleh tahu tempat-tempat macam ni. Boleh tahan hebat juga kau ni." Selamba Farisya bersuara. Antara menyindir dan memuji.

Fatin meregus. Dia tahu Farisya menyindirnya. Kemudian dia memetik jari. Sekumpulan lelaki keluar dari tempatnya. Enam orang lelaki yang memegang kayu. Dua orang daripadanya berbadan sedikit sasa. Masing-masing menunjukkan muka ganas dan garang.

Shahrina mendekati Farisya. Dia memegang hujung lengan baju Farisya. Makin rasa tidak sedap hati. "Arie..."

Farisya tersenyum sinis. Hebat! Sangat hebat.

"Kau upah diorang ni untuk bunuh kitorang ke?" Farisya sengaja mengapi-apikan Fatin.

Fatin ketawa sini. "Aku tak rasa korang berdua akan terbunuh. Apatah lagi ada jaguh taekwondo kat sini. Yang banyak mengharumkan nama kolej dan negeri. So aku nak tengoklah taraf kehebatan yang orang canang-canangkan tu."

Farisya menjongket kening. "Kau ni interesting jugak eh. Selain daripada membuli orang yang lemah, tahu tempat-tempat terbiar macam ni, kau juga tahu untuk upah orang buat kerja kotor kau."

"Arie." Shahrina cuba menghentikan Farisya daripada terus provoke Fatin. Bimbang Fatin bertambah bengang.

Wajah Fatin tegang. 'Dasar budak tak guna! Ada hati nak cabar aku!'

"Arie, dah la. Jom balik." Shahrina sudah menarik tangan Farisya namun pantas Farisya menepis.

"Aku dah bagitahu kau kan, aku tak suka buat kerja separuh jalan. Agak rugi bila ada orang nak test aku tapi aku melarikan diri. By the way, aku bukan jenis macam tu," ujar Farisya yang sengaja dikuatkan suaranya agar Fatin dan semua orang di situ mendengar kata-katanya.

"Aku suka sifat kau Arie." Fatin bertepuk tangan. Sinis.

"Well..." Farisya menjongket sebelah keningnya bersama senyuman sinis.

"Tapi kau tak risau ke dengan pertandingan akan datang?" tanya Fatin berpura-pura risau.

Shahrina mengenggam penumbuk. Seperti yang dijangka, Fatin memang sengaja. Menggunakan pertandingan Farisya akan datang untuk menjatuhkan mereka.

"Saya dah bagitahu awak, Fatin. Kalau awak ada masalah dengan saya, kenapa perlu libatkan Arie!" Shahrina mula bersuara berani.

"Kau diamlah Rin. Aku bukan datang nak settle dengan kau. Kau tu cuma anak ayam yang aku bagi makan untuk bagi sesuatu yang lebih besar," ujar Fatin kasar.

Farisya memegang tangan Shahrina. Dia tahu Shahrina geram.

"Rin, aku akan settle semua ni."

"Arie! Awak ada pertandingan tau! Awak jangan lupa yang awak perlu jaga nama baik awak. Takkan awak nak nama awak terbatal disebabkan hal ni!" Shahrina meninggikan suara.

Fatin bertepuk tangan sekali lagi. "Yes! That's right Shahrina. Aku tahu mana-mana peserta yang terlibat dalam pertandingan, tak boleh terlibat dalam mana-mana masalah terutamanya melibatkan kemahiran seni pertahanan diri. Of course bila kau terlibat dalam hal-hal macam ni, kau akan dilabel sebagai menyalahgunakan kemahiran. Betul tak Arie?" Sinis Fatin bersuara. Kemudian dia ketawa gembira.

Farisya menggigit bibir. Hebat perancangan Fatin. Yang benar-benar mahu menjatuhkannya. Sekaligus cuba membuat namanya buruk. Kerana mana-mana sukan sekalipun, kalau terlibat dengan perkara yang dilarang, automatik nama akan terbatal. Bukan itu sahaja, mereka mungkin akan dikenakan penalti.

"Kau ubah fikiran ke Arie? Rasa nak patah balik ke? Tadi kau cakap kau tak suka kerja separuh jalan?" Sinis Fatin menyindir.

Sejurus itu Farisya ketawa. "Kalau macam tu boleh tak aku panggil geng aku jugak. Macam tak adil aje bila kau aje yang bawa geng. Macam pengecut aje," bidas Farisya selamba. Sikit pun tidak gerun dengan apa yang berada di hadapan matanya.

"Arie." Shahrina menegur.

"Siapa aje geng kau? Wan?" Fatin memerli sinis. "Kalau setakat Wan sorang tak payah la," sambung Fatin, meredah-rendahkan Farisya.

Ketika situasi itu menjadi tegang, Shahrina mencuri-curi mendail nombor Syazwan. Waktu ini hanya Syazwan sahaja yang boleh membantu mereka.

"Berlagak betul kau ni eh? Tapi secara jujurnya kau memang spesis pengecut. Kau ada masalah dengan aku tapi kau bawa satu geng kau untuk selesaikan masalah kau. Bagi aku tak ada benda pun nak dibanggakan kalau diri sendiri menyorok di sebalik tiang." Farisya makin galak membidas. Sengaja mengapi-apikan si gadis bajet hebat itu.

"Kau!!" Fatin mengetap bibir kegeraman. Kemudian dia membuat isyarat kepada kumpulan itu untuk menyerang Farisya.

Farisya sudah bersedia untuk membuka langkah. Dia langsung tidak mempedulikan hal pertandingan itu lagi. Baginya Fatin perlu diajar. Kalau Fatin kalah, Shahrina takkan dibuli lagi.

"Arie!" Shahrina menjerit. Sejujurnya dia takut melihat situasi itu. Biarpun Farisya pantas mengelak serangan itu tetapi Farisya tetap perempuan. Apatah lagi mereka mempunyai senjata.

Fatin tersenyum bangga.

"Nak sangat cabar aku," ujar Fatin.

"Tak apa ke Atin?" tanya Liyana, mula rasa takut. Yelah, tiba-tiba sahaja melibatkan orang luar. Entah dari mana Fatin kutip kumpulan itu untuk mengajar Farisya.

"Releks la, dia takkan mati pun." Fatin berpeluk tubuh dan hanya sekadar melihat perlawanan di hadapannya.

"Hebat juga kau ni, Atin," puji Sarah.

Tersenyum lebar dia mendengar pujian itu. Apa benda yang dia tak boleh buat? Segalanya dia akan buat tak kira susah macam mana pun.

Shahrina terus mendail nombor Syazwan berkali-kali. Sedari tadi hanya masuk peti suara sahaja. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba jadi begitu. Takkanlah Syazwan sengaja tidak mahu menjawab panggilannya pula sedangkan bukan mereka bergaduh pun. Syazwan cuma ada masalah dengan Farisya sahaja.

Farisya terus mengelak. Ada masa dia membalas. Baginya 6 lelaki bersama senjata menjadi lawannya itu adalah sangat tidak adil. Fatin seakan-akan berniat untuk membunuhnya.

"Ergh!" Farisya terundur ke belakang apabila kayu dari seorang lelaki itu melibas ke perutnya.

"Arie!" Shahrina menjerit.

Pukulan itu membuatkan tubuh Farisya terhuyung-hayang. Keadaan itu membuatkan sekumpulan itu mengambil peluang untuk menyerang Farisya.

"Fatin! Sudahlah. Awak dah gila ke hah! Kenapa awak benci sangat dekat Arie? Dia tak pernah buat salah pun. Dia cuma pertahankan saya aje!" Shahrina melaung kuat.

Farisya tersenyum. Dia tahu Shahrina merisaukannya. Serta merta dia mendapat kekuatan apabila mendengar suara itu. Beberapa kayu yang menjadi senjata mereka dipatah segera. Semangat Farisya sudah kembali.

Fatin tersenyum sinis. "Memang betul Rin. Arie tak ada salah apa-apa pun. Tapi dia ni annoying. Selalu sangat kacau rancangan aku. Aku tak suka dia. Sama jugak macam aku tak suka kau," balas Fatin.

Air mata Shahrina sudah bertakung. Dia takut kalau sesuatu yang buruk akan terjadi pada Farisya.

"Kenapa awak tak suka sangat dengan saya? Dari zaman sekolah lagi awak tak pernah suka saya. Awak selalu ganggu dan buli saya sampai sekarang. Sedangkan waktu tu saya tak kenal apatah lagi rapat dengan awak. Apa salah saya hah, Fatin?" Shahrina melaung lagi. Berderai-derai air matanya mengalir. Seboleh-bolehnya dia mahu menyelamatkan Farisya biarpun dia tidak mampu menolong dari segi tenaga.

Fatin berpeluk tubuh. Dia merengus. "Kau ni bodoh ke apa? Kau tak pernah fikir ke apa yang kau dah buat dalam hidup aku?" tanya Fatin kasar.

"Benda apa Fatin? Benda apa?!" Shahrina meninggikan suara.

"Kau! Kau musnahkan hidup aku. Disebabkan kemunculan kau, kau rampas kebahagian dalam hidup aku! Sebelum kau muncul, aku selalu jadi kesayangan cikgu. Sebelum kau muncul, aku bolot semua pertandingan melukis setiap tahun! Selepas kau muncul, semua benda milik aku jadi milik kau! Padahal aku yang selalu mengharumkan nama sekolah! Sejak kau datang, cikgu bandingkan kebolehan kau dengan aku. Semuanya disebabkan kau!!" luah Fatin kasar.

Shahrina seakan-akan mahu terduduk. Itukah salahnya sehingga Fatin bertindak kejam selama ini. Hanya kerana cemburu, Fatin sanggup membulinya dengan sebab yang dia sendiri tidak pernah tahu.

"Fatin..."

"Sebab tu aku benci kau. Aku paling pantang bila ada orang rampas hak aku!" sambung Fatin.

"Sampai macam tu sekali awak dendam dengan saya, Fatin..." ujar Shahrina perlahan.

"Kalau boleh aku nak kau terseksa macam mana aku rasa selama ni. Disisih oleh orang-orang yang rapat!" Fatin ketawa sinis.

"Awak libatkan Arie sebab awak ingat Arie akan tinggalkan saya kalau dia terlibat dengan perkara macam ni? Saya kenal Arie! Dia takkan semudah tu meninggalkan orang tanpa sebab!" Shahrina bersuara latang.

Fatin ketawa sambil menepuk tangan.

"Hebat juga persahabatan kau ye. Tapi aku nak tengok hebat macam mana sangat macam yang kau katakan tu. Kau sendiri tahu, selepas dia terlibat dalam hal macam ni, automatik nama dia dalam pertandingan akan terbatal. Kau tak terfikir ke akibat pada masa akan datang? Dia mungkin tak boleh sertai pertandingan langsung sebab rekod dia dah buruk!"

Shahrina menggenggam tangan.

"Rin! Jangan percaya cakap dia!" jerit Farisya. Dia tahu Fatin cuba bermain dengan emosi.

"Arie! Jaga-jaga!" jerit Shahrina apabila menyedari lelaki datang dari belakang Farisya.

Farisya berpaling namun dia tidak sempat mengelak. Kayu tersebut mengenai kepalanya. Serta merta darah mengalir.

"Fatin! Cukuplah!" raung Shahrina. Dia cuba mendapatkan Farisya namun dihalang oleh lelaki itu. Ditolak tubuhnya hingga jatuh ke tanah.

"Weh Atin, darah la..." Liyana sudah gelabah.

Sarah merapati Liyana. Dia juga takut apabila melihat kepala Farisya berdarah. Bukan itu sahaja, baju Farisya juga terkoyak dek serangan bersenjata itu.

"Kau cakap kau nak acah Arie aje. Tapi kalau jadi macam ni, boleh jadi kes bunuh Atin..." sambung Sarah pula.

Fatin merengus. "Beb! Dah dah. Mati juga budak tu karang!" laung Fatin, menepuk tangan berkali-kali sebagai isyarat untuk memberhentikan mereka.

Seorang lelaki yang bertubuh sasa berpaling ke arah Fatin. Kemudian dia mendekati Fatin yang berdiri tidak jauh darinya.

"Kau suruh kitorang selesaikan budak-budak ni lepas tu kau suruh kitorang berhenti?" Lelaki itu ketawa sinis.

Fatin sudah tercengang. Liyana dan Sarah pula sudah ketakutan.

"Aku bukan suruh kau bunuh dia la. Aku cuma suruh kau takutkan dia!" balas Fatin takut-takut.

"Kau memang anak orang kaya berlagak." Terus dilempang wajah Fatin membuatkan Fatin jatuh ke tanah.

"Atin!" Liyana dan Sarah merapati Fatin.

"Kau!" Fatin menjegil mata ke arah lelaki berbadan sasa itu.

Lelaki itu merenung tajam ke arah Fatin. "Aku tak suka buat kerja separuh jalan. Dan satu lagi, lepas aku selesaikan dua orang tu, dengan kau, kau dan kau akan ikut diorang sekali..." Senyuman lelaki itu menunjukkan ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Satu persatu gadis di hadapannya dirunding jari.

"Aku akan bayar berapa yang kau nak. Tapi jangan berani sentuh aku!" ujar Fatin garang.

Senyuman lelaki itu semakin lebar. "That's why aku suka dengan kau. Then kawan-kawan kau ni?"

Fatin memandang Liyana dan Sarah di sisinya.

"Kau nak kau boleh ambil!" Fatin terus bangun dari melarikan diri.

"Atin!" Liyana dan Sarah sudah ketakutan. Dia tidak sangka waktu-waktu sebegini, Fatin sanggup korbankan mereka untuk menyelamatkan diri.

Lelaki itu ketawa. "Anak orang kaya memang macam tu. Kesian korang berdua..."

"Arie!!!" Jeritan Shahrina membuatkan semua berpaling ke arahnya.

Tubuh Farisya sudah terkulai lemah di tanah. Shahrina terus mendapatkan tubuh Farisya.

"Well, dah terlambat..." ujar lelaki itu membuatkan Liyana dan Sarah sudah menggigil. Siapa yang akan menyelamatkan mereka kalau jagung taekwondo sendiri sudah terbaring lemah.

Terketar-ketar Shahrina mendail nombor Syazwan namun masih sama. Dipandang wajah Farisya. Mata itu sudah tertutup rapat. Darah-darah masih melekat di rambut gadis itu.

"Arie..." Tubuh itu dipeluk perlahan.

Kemudian tempat itu dengan secara tiba-tiba dikepung polis.

"Jangan bergerak! Kami polis!"

Terkial-kial mereka ketika itu. Ada yang melarikan diri dengan pantas. Ada yang cuba menyorok dan ada juga yang sudah tertangkap.

Shahrina dapat menangkap satu batang tubuh yang berjalan ke arah mereka.

"Abang Hakimi... tolong..." rayu Shahrina dengan air mata.

Hakimi tergamam melihat keadaan Farisya. Adakah dia sudah terlambat untuk menyelamatkan gadis itu?

"Rin, maaf..." ucap Hakimi. Dia tidak sangka kejadian akan jadi seteruk ini. Dia sangka Farisya dapat menyelamatkan diri. Mengenangkan si jaguh taekwondo itu, dia yakin Farisya dalam melambat-lambatkan masa. Tetapi rupanya dia silap.

Sharina mengesat air matanya. Kepala Farisya yang diriba itu diusap perlahan. Darah yang melekat di rambut Farisya membuatkan tangannya menggigil.

Hakimi jadi serba salah. Dia bukan terlupa dengan mesej itu. Sebentar tadi dia terpaksa bertemu dengan Haziq. Kemudian waktu itu dia terserempak dengan sekumpulan yang dia nampak di restoran yang lepas. Paling mengejutkannya, dia melihat salah seorang itu menghulurkan sampul surat tebal ke arah lelaki berbadan sasa.

Terasa tidak sedap hati dengan perbuatan itu, dia merapati di suatu sudut. Mendengar perbualan mereka. Namun tidak terlalu jelas. Cumanya apa yang dia dengar hanya perkataan jaguh taekwondo. Dia menganggap gelaran itu merujuk kepada Farisya.

Kemudian dia cuba mengekori mereka namun sepintas sahaja mereka hilang dari pandangannya. Disebabkan itulah dia agak terlambat apatah lagi tempat itu sememangnya tersorok daripada orang ramai.

Itu pun kerana Haziq yang menyedari satu lorong kecil untuk ke gudang tersebut. Kalau tidak memang tidak jumpa agaknya. Selepas itu dia berjalan masuk perlahan-lahan dan memerhati setiap kejadian tersebut. Dia sudah memberi arahan awal kepada Haziq yang tunggu di dalam kereta untuk menelefon polis sekiranya ada perkara buruk yang berlaku. Tetapi dia tidak menyangka situasi bertukar ngeri seperti itu.

Farisya sudah lemah. Langsung tidak membuka matanya biarpun dipanggil berkali-kali. Darah terus mengalir dari kepalanya.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni