Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
8,680
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

SUASANA di dalam kereta hanya ditemani oleh lagu-lagu yang dimainkan di radio. Syazwan menumpukan pemanduannya manakala Farisya sibuk menghadap smartphonenya.

“Wei pendek, asal senyap? Marahkan aku lagi ke?” tegur Syazwan, cuba memeriahkan suasana kembali. Mana tidaknya, senyap sejak tadi. Selalunya mulut Farisya yang paling bising. Pot pet pot pet 24 jam.

Farisya menjeling. “Tak ada makna aku nak marahkan kau. Aku tengah kusyuk main facebook ni. Kacau aje kau ni...” bebel Farisya. Dia kemudiannya kembali fokus pada smartphonenya.

Syazwan membuat muka. “Orang dah bagi tumpang ni pun dah kira bagus dah,” ujar Syazwan dalam nada berbisik namun kata-kata sempat ditangkap oleh Farisya.

Puk!

Serta merta kepalanya jadi mangsa ketukan Farisya. Cepat sungguh tangan itu naik ke kepalanya.

“Mulut kau jaga sikit. Karang aku lempang kau sampai keluar,” ugut Farisya dengan mata terjegil.

Terkumit-kumit mulut Syazwan mengejek. Pantang betul diusik, terus naik tangan.

“Kejap lagi turunkan aku kat kedai runcit tempat biasa.” Farisya merunding jari ke arah kedai yang berhampiran.

Syazwan terus memandang Farisya namun dia kembali memandang hadapan. “Takkan merajuk kot?” sindirnya.

Farisya membuat muka. “Gila nak merajuk dengan kau? Aku nak beli barang sikit.”

“Okey!”

Suasana kembali sunyi sehinggalah kereta itu berhenti dihadapan kedai runcit yang tidak jauh dari rumah Farisya.

 “Beb, kau balik dulu. Tak payah hantar aku sampai rumah.” Farisya terus keluar dari kereta tanpa sempat Syazwan membalas.

Dahi Syazwan berkerut selepas mendengar kata-kata itu. Seakan-akan tersedar sesuatu. Terus dia menurunkan tingkap di sebelah penumpang.

“Dah tu kau nak balik dengan apa?” Syazwan menjerit melalui tingkap yang diturunkan itu.

Langkah Farisya terhenti. Dia berpaling ke arah Syazwan semula.

“Jalan kaki la sengal,” jawabnya selamba.

“Kau gila ke apa, malam-malam buta macam ni balik jalan kaki?” Syazwan meninggikan suara. Gila ke apa minah ni. Tak pernah-pernah buang tabiat balik jalan kaki, dah kenapa. Takkan merajuk pasal petang tadi kot.

Farisya kembali ke kereta dan kedua-dua tangannya menekap di pintu kereta. Kepalanya terjengul di tingkap. “Yang kau nak risau sangat tu apehal?”

Syazwan menjegil matanya. Minah ni waras ke tak sampai tanya soalan macam tu?

“Kau tu perempuan la sengal, jangan nak berlagak kuat sangat. Apa masalah kau sampai nak balik jalan kaki?” Syazwan meninggikan suara.

Dia mahu Farisya sedar diri. Usah terlalu menunjuk kuat hanya kerana mempunyai seni pertahanan diri. Seringkali Farisya mengambil mudah tentang keselamatannya hanya kerana dia pemegang tali pinggang hitam taekwondo. Biarpun sudah berkali-kali diberi nasihat namun tetap sama. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Farisya hanya mempamerkan wajah selamba. “Aku tahu jaga diri la. Pergi jelah balik. Semak aje kau kat sini.”

Dia terus melangkah pantas tanpa mempedulikan Syazwan. Dia tahu semakin lama bertekak dengan lelaki itu, takkan pernah habis sampai esok.

“Berlagak punya budak pendek! Kau tu yang semak dalam kereta aku!  Bla la!” jerit Syazwan sepuas hati.

Meluat dengan mulut celupar Farisya yang tidak pernah sekalipun menjaga hati orang lain. Dia tahu kata-katanya langsung tidak diambil hati oeh gadis hati batu itu. Dia yakin keesokkannya Farisya tetap bercakap seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kepala Farisya berpaling sedikit sambil menjelir lidah ke arah Syazwan.

“Kisah pulak aku si mamat sengal ni!” bebelnya sendiri.

Syazwan merengus geram dengan sikap degil Farisya. Kalau diikutkan hati mahunya di cili mulut lancang Farisya. Dia hanya mampu menghantar pandangan kosong ke arah Farisya yang sudah melangkah masuk ke dalam kedai. Dia tahu memaksa Farisya pun tiada gunanya. Balik-balik pertengkaran besar juga yang berlaku.

“Suka hati kau la pendek.” Syazwan terus memecut laju meninggalkan kedai tanpa berfikir panjang lagi.

 

 

 

FARISYA bernyanyi-nyanyi kecil sambil mengatur langkah pulang ke rumah. Stok makanannya memenuhi satu plastik. Tiga air kotak kiwi, tiga tin nescafe, sedikit makanan ringan dan beberapa bungkus coklat dan gula-gula. Dia harus menghilang tekanannya dengan manisan. Apatah lagi assignment masih berbaki.

Dikerling jam di tangannya. Hampir pukul 11. Dia merengus geram. Yakin sebaik sahaja tiba di rumah, papanya akan berleter panjang kerana pulang lewat. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap papanya yang terlebih risau itu.

Terus dia mengatur langkah dengan pantas. Namun untuk seketika dia memperlahankan langkahnya. Cuba memastikan perasaannya ketika itu tidak salah. Farisya menelan air liur. Dia yakin ada orang mengekorinya dari belakang.

“Hai cik adik, jalan sorang-sorang waktu macam ni nak pergi mana?” tanya satu suara yang sudah berdiri di hadapannya.

Farisya mengecilkan matanya. Dia tidak menyedari ada seseorang berdiri tidak jauh di hadapannya. Dalam hatinya memaki berbakul-bakul pada lampu jalan yang rosak itu. Farisya memandang sekeliling. Jelas sekali tempat itu gelap, hanya kerana sebuah lampu jalan yang rosak itu. Paling tepat, itulah tempat yang strategik untuk malaun-malaun yang mengelilinginya ketika ini untuk membuat perkara tidak elok.

Farisya sedikit merengus. “Time macam ni la dia nak muncul pun,” desis Farisya. Sedikit naik angin. Sudahlah dia mengejar masa. Muncul pulak makhluk tidak diingini ini.

“Apa dia?” tanya lelaki itu sedikit keras lalu segera mendekatinya.

Terus kepala Farisya berpaling ke belakangnya. Memandang dua orang lelaki yang sudah tersenyum nakal memandangnya.

Tiga lawan satu. Farisya merengus sinis.

“Nak pergi mana ni dik? Nak abang temankan?” Lelaki yang berdiri di belakangnya sudah merangkul bahunya.

Farisya menilik tiga orang lelaki itu satu persatu. Semuanya berbadan kurus. Tetapi mereka bertiga itu memiliki ketinggian yang melebihi ketinggiannya. Farisya sudah tersenyum sinis. Akalnya mula beroperasi.

“Ah, boleh teman ke? Okey la tu. Saya on the way nak pergi balai polis,” ujar Farisya bersama senyuman manis. Sengaja bermain tarik tali dengan mereka. Akalnya semakin nakal.

Ketiga-tiga lelaki itu ketawa. Yakin gadis itu sedang menuang minyak ke dalam api.

Lelaki berbaju belang yang merangkul bahunya berbisik lembut di telinganya. “Sebelum pergi balai polis, teman la kitorang dulu.”

Tersenyum sinis Farisya mendengarnya.

“Boleh..” Selamba sahaja Farisya menjawab. Dia melepaskan plastik yang dipenuhi stok makanannya ke bawah. Bibirnya tersenyum nakal. Pantas dia memegang lembut tangan di atas bahunya dan terus mengilas tangan lelaki itu. Kaki kirinya menendang kaki lelaki itu membuatkan lelaki itu hilang pertimbangan lalu terduduk. Belum sempat lelaki itu cuba meloloskan diri, kakinya laju menendang perut itu.

“Woi!” Lelaki di hadapannya sudah terbeliak. Namun belum sempat lagi dia membuat apa-apa, tapak kasut gadis itu sudah menekap di mukanya hingga dia jatuh terduduk ke belakang.

“Tak guna punya budak! Tangkap dia Bad!” jerkah lelaki itu kegeraman.

Farisya tersenyum sinis. Terus kakinya menendang lelaki yang datang dari belakangnya itu di perut. Tak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan tendangan maut di kepala. Terlentang lelaki-lelaki itu dihadapannya.

“Sorry la bro. Korang salah orang nak cari pasal,”ujar Farisya megah sambil tersengih nakal. Dia menyapu tapak tangannya berkali-kali tanda sudah selesai ‘menghapuskan’ makhluk tersebut.

Dipandang ketiga-tiga lelaki yang terlentang dihadapannya dengan pandangan sinis. Ada hati nak mengalahkannya!

Dicapai plastik makanannya dengan kasar. ‘Latihannya’malam ini dapat diselesaikan dengan mudah. Yang pastinya mereka itu bukan lawannya. Walaupun mereka lelaki tetapi tetap tidak mampu mengalahkannya.

Dia sudah bersiap sedia untuk melangkah pergi meninggalkan mereka. Namun untuk seketika terasa ada tangan memekup mulutnya dari belakang.

“Sorry perempuan, kau salah orang untuk cari pasal,”bisik suara itu sambil ketawa sinis.

 

 

 

HAKIMI memicit-micit lehernya yang mula terasa tegang. Dia masih bekerja biarpun pada hari minggu. Seharian dia berada di pejabat untuk menyiapkan projeknya. Projek baru kali ini memaksa dirinya untuk bertungkus lumus sehingga terpaksa mengabaikan waktu tidurnya. Ketika itu dia hanya fokus pada kerjanya dan berterusan berada di tempat duduknya tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.

Dia merenggangkan otot-otot leher dan bahunya. Sambil matanya menjamu sekeliling kafe itu. Memang sudah jadi kebiasaannya datang ke kafe itu setiap kali selepas kerja. Sengaja menghilangkan tekanan kerja di pejabatnya.

Entah mengapa sejak kali pertama dia datang ke situ,hatinya sudah terpaut. Biarpun kafe itu jauh dari kawasan perumahannya tetapi dia tetap akan datang ke situ setiap kali masa lapang dan selepas hari bekerja.

Suasana di kafe yang ala-ala inggeris digabungkan dengan warna vintage menampakkan lagi ketenangannya. Dari luar sudah menarik perhatiannya dengan rekabentuk yang unik. Dalamannya pula nampak seperti mewah dan ala-ala barat tetapi harganya tetap berpatutan. Kafe Le’ Violet mempunyai tempat yang strategik serta bersesuaian dengan kawasan tempat tinggal yang banyak didiami oleh orang kebanyakan dan sederhana.

Secawan kopi panas yang masih berasap di hadapannya dihirup perlahan. Matanya meliar memandang ke luar. Biarpun waktu sudah hampirpukul 11 namun sekitar kawasan kafe itu masih penuh dengan orang.

Untuk seketika matanya menangkap satu susuk tubuh yang berjalan bersendirian. Matanya tertumpu pada dua orang lelaki yang bersikap mencurigakan sedang mengekori gadis di hadapannya.

Hakimi mengerut dahi. Terasa tidak sedap hati. Pasti kedua lelaki yang mengekori itu berniat tidak baik terhadap gadis itu. Hakimi menggeleng kepala. Tanpa berfikir panjang, dia terus menuju ke kuanter untuk membuat pembayaran.

Pantas dia berlari anak mengekori gerak geri itu. Setibanya di satu kawasan gelap, langkahnya terhenti tidak jauh dari mereka. Terasa pelik apabila kawasan itu terlalu gelap sedangkan ada lampu jalan disekitar jalan itu.

Hakimi melihat satu persatu tindakan lelaki itu. Daripada dua menjadi tiga. Rupanya ada seorang lagi menunggu di tempat itu. Dia makin tidak sedap hati. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kejadian rogol berleluasa.

Tangan kanannya mula menyeluk poket, mencari smartphone untuk menelefon polis. Berkali-kali dia meraba mencari smartphonenya. Dari poket seluar kanan sehinggalah ke poket seluar kiri. Akhirnya mengeluh kecil mengingatkan smartphonenya tertinggal di dalam kereta.

Tatkala matanya terbuntang melihat gadis itu melunyaikan tiga orang lelaki itu. Dia hampir tergamam sendiri melihat situasi itu. Dia yakin gadis itu bukan calang-calang orang. Melihat tiga lelaki itu sudah terlentang lemah sememangnya sesuatu yang tidak disangka. Masakan gadis bertubuh kecil dan rendah seperti itu mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Gadis itu kelihatan selamba sahaja berlalu. Namun matanya terlepas pandang pada seorang lelaki yang sudah bangun dan mula mendekati gadisitu.

Tanpa berfikir panjang, Hakimi terus bertindak untuk menyelamatkan gadis itu.

“Ergh!” raung lelaki itu kesakitan.

Hakimi menghentikan langkah dengan mata yang terkebil-kebil.

“Eh?”

Hakimi memandang tubuh yang sudah rebah di hadapan matanya. Kemudian dia memandang ke arah gadis itu pula. Masih terkejut dengan tindakan yang tanpa disangka.

Gadis itu turut memandangnya.

“Kau nak apa?” tanya gadis itu garang. Sudah siap sedia untuk membuka langkah.

“Eh cik jangan salah faham. Saya nak tolong cik aje.”Hakimi membetulkan keadaan. Risau kalau ada salah faham, bakal lunyai dia dikerjakan oleh gadis yang entah datang dari mana itu. Kebolehan gadis itu sungguh menakjubkan. Sedangkan dia sendiri tidak yakin sama ada dia mampu menumpaskan ketiga lelaki itu.

“Wei lari! Jom lari!” sergah satu suara yang agak lemah itu. Masih berusaha untuk bangun.

Tanpa belas kasihan, Farisya terus membedal kepala lelaki itu dengan kakinya sehingga pengsan.

“Korang tak payah nak pergi mana-mana sangat! Tidur kat lokap malam ni!” sergah Farisya pula pantas mengeluarkan smartphone dari poket seluarnya.

Terus didail nombor balai polis. “Hello encik, saya nak buat laporan ada kejadian cubaan gangguan seksual...”

Hakimi kagum seketika. Hanya mendengar perbualan telefon itu tanpa membuat apa-apa. Dia hampir kehilangan kata-kata.

 

 

 

“HAH Wan, masam aje muka tu. Bergaduh dengan Arie pulak ke?” tegur satu suara di ruang tamu sebaik sahaja Syazwan melangkah masuk ke dalam rumah.

Syazwan memandang ibunya. Kemudian dia melemparkan senyuman kecil sebelum melangkah ke arah ibunya, Puan Wan Azwa.

“Macamlah ibu tak kenal Arie tu macam mana.” Syazwan mengambil tempat di sebelah ibunya. Memandang ibunya masih dengan kerjanya.

“Korang ni dari kecil sampailah besar, tak pernah tak gaduh.” Puan Wan Azwa hanya mampu menggeleng kepala. Pening dengan telatah dua orang itu. Kadangkala nampak macam kawan baik yang sukar dipisahkan. Kadangkala macam musuh ketat yang tak boleh berjumpa langsung. Pelik sungguh.

“Arie la ibu. Hari ni dia buat perangai pelik pulak. Tak pernah pun dia merajuk dengan Wan. Tiba-tiba pula nak balik jalan kaki lewat-lewat macam ni. Buat macam berani sangat,” adu Syazwan sedikit geram.

Puan Wan Azwa memandang anak lelakinya dengan pandangan risau.

“Eh Wan, takkan Wan tinggalkan Arie macam tu aje. Sorang-sorang waktu malam macam ni? Bahaya Wan,” tegur wanita itu.

Syazwan membuat muka. Siapa suruh ego sangat!

“Wan dah bebel kat dia, ibu. Dia cakap dia berani la, ada taekwondo la, berlagak tak kena gaya. Kena samun ke, kena rogol ke baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah.”

Serta merta wanita itu menampar bahu anak lelakinya. Mulut! Lancang sungguh! Main redah aje nak cakap sesuatu pun.

“Ish Wan ni. Tak baik cakap macam tu tau. Dah tahu kan Arie tu suka buat perangai keras kepala. Kalau ya pun, jangan la biarkan dia balik jalan kaki seorang diri. Bahaya tetap bahaya, Wan. Walaupun Arie jaguh taekwondo sekalipun, dia tetap seorang perempuan yang perlukan pelindungan.” Panjang Puan Wan Azwa memberi nasihat. Anak lelakinya itu selalu melayan Farisya sebegitu. Langsung tak nampak Farisya itu sebagai seorang perempuan hanya kerana sering berkelakuan kasar.

Syazwan senyap. Dia tidak terfikir sebegitu kerana merasakan Farisya terlebih berani dengan segala-galanya.

“Lagipun dua tiga hari ni ibu ada dengar benda tak elok jadi kat sekitar tu.”

Mata Syazwan sudah membulat. “What?”

Puan Wan Azwa mengangguk. “Dua hari lepas dah ada kes ragut kat situ.”

Syazwan sudah duduk tidak senang. Terbayang wajah Farisya ketika itu. Bingkas dia bangun dari tempat duduknya.

“Wan keluar cari Arie jap!”

Puan Azwa menghela nafas. Dia mengharapkan tiada apa-apa yang berlaku pada Farisya.

Wan terus mendail nombor telefon Farisya sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Dia mula diasak perasaan geram apabila Farisya tidak menjawab panggilannya. Laju dia menekan pedal minyak menuju ke kawasan kedai tadi.

Tangannya masih ligat menelefon Farisya. Dia mula rasa tidak sedap hati. Pelbagai andaian bermain di fikirannya. Kata-kata ibunya menambahkan lagi kerisauannya. Jangan terjadi apa-apa pada Farisya sudahlah. Apa yang perlu dia jawab pada papa Farisya nanti.

“Arie... jawablah!” Syazwan merengus geram. Kalau terjadi apa-apa pada Farisya, dia takkan maafkan dirinya sendiri. Sepatutnya dia perlu tunggu Farisya biarpun gadis itu berdegil. Tetapi kerana ego, dia sengaja membiarkan Farisya. Meskipun Farisya jaguh taekwondo tetapi Farisya masih seorang perempuan.

Syazwan semakin geram. Entah berapa kali dia mendail nombor Farisya tetapi hanya masuk peti suara. Dia semakin tidak senang duduk.

Hello.”

“Woi pendek! Kau tak reti nak angkat telefon ke?!” Sebaik sahaja mendengar suara Farisya di talian, dia terus mengherdik.

Farisya menjauhkan smartphonenya dari telinga. Bingit.

“Kau dah kenapa?”

Dah la call orang, lepas tu nak marah-marah pulak! Desis Farisya geram.

“Kau kat mana?” Tanpa menjawab pertanyaan Farisya,Syazwan bertanya pantas. Apa yang penting, dia mahu tahu kedudukan Farisya.

“Aku kat balai polis,” jawab Farisya.

“Hah!”

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni