Bab 2

Nika mengurut lehernya yang tegang. Dia mula mengantuk selepas penat bekerja. Kesibukan di wad kecemasan hari ini memang mencabar. Semenjak  berpindah dari Hospital Kuala Lumpur tiga tahun lalu ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerjanya tetap sama, sentiasa diselubungi suasana cemas. Setiap hari ada saja kes kemalangan.  

Pagi itu agak gelap, awan kelam menyelubungi langit. Macam nak hujan. 

Seperti biasa, dia menumpang kereta Zakiah. Sudah hampir setahun dia jadi penumpang setia Zakiah. Gara-gara ayah menjual keretanya. Hasil duit yang disimpannya bertahun-tahun membeli kereta itu hangus begitu saja. Kemarahannya masih belum padam hingga dia nekad tak mahu mencari kereta ganti. Mujurlah, Zakiah yang baik hati itu sudi menumpangkannya saban hari memandangkan mereka tinggal di kawasan yang sama di  Hills Town.

Perjalanan dari tempat kerja ke rumah Nika cuma makan lima belas minit atau setengah jam kalau jalan sesak. Hospital Sultanah Aminah terletak di jalan utama pesisiran laut. Sepanjang jalan pulang, bangunan bersejarah dan laut pemisah Johor dengan kota singa menjadi sajian mata mereka. Di kanan jalan, banglo-banglo besar dan mewah berbaris cantik. Projek-projek bandaraya di tepi laut sedang dalam pembinaan. Ada juga apartmen mewah yang sudah siap sepenuhnya. Johor, sudah banyak berubah sekarang. 

Sebaik tiba di kawasan perumahan Hills Town, banglo-banglo mewah terhampar di sekitarnya. Hills Town seperti pekan kecil, lengkap tadika persendirian, market, kafe dan klinik kepunyaan Dr. Baha doktor pakar terkenal yang salah seorang penghuni banglo mewah di situ. 

Masuk ke Jalan Hills Town 1, belok ke kanan. Banglo besar di atas tanah persendirian kepunyaan hartawan arwah Tuan Rahmad yang dipisahkan pagar dan tanah lapang yang luas dengan rumah lain selalu menarik perhatian. Di situlah dia akan turun setiap hari. Zakiah pula akan meneruskan perjalanannya menuju ke Jalan Hills Town 2 yang menghala ke taman perumahan biasa.

 Tetapi dia bukan penghuni banglo mewah itu. Sebaliknya di rumah kecil di belakang banglo tersebut. Rumah yang dibina atas ehsan arwah Tuan Rahmad. Kedua orang tuanya pembantu banglo besar atau dia selalu menyebutnya sebagai 'rumah besar itu. Ayahnya bekerja sebagai tukang kebun manakala emaknya pembantu rumah. Cuma adiknya Irfan yang belajar di KL. Walaupun rumah besar itu kelihatan tidak berpenghuni sekarang tetapi kerja-kerja menjaga rumah itu tetap diuruskan oleh emaknya. 

Tuan Rahmad seorang yang baik hati dan pemurah. Sebelum meninggal dunia, dia membenarkan mereka sekeluarga menetap di rumah kecil itu sampai bila-bila pun yang keluarganya perlukan dan dia cuma meninggalkan pesan agar menjaga rumahnya baik-baik kerana rumah yang sesepi dan sesuram itu sekarang telah diwariskan kepada anak lelaki tunggalnya yang sudah bertahun tidak pulang. 

Nika… bagaimanapun baiknya Tuan Rahmad itu, dia tetap bernekad yang satu hari nanti dia akan membelikan ibunya sebuah rumah yang akan menjadi kepunyaan mereka sendiri. Tidak perlulah mereka menumpang di tanah orang kaya itu lagi. Kalau ayahnya nak juga tinggal di situ, baguslah. Sekurang-kurangnya dia tak perlu lagi berhadapan dengan penyakit kaki minum dan kaki judi ayahnya yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Pagi masih berkabus ketika kakinya menapak pulang. Serentak itu juga, ayahnya muncul dari belakang rumah dengan wajah gembira yang tidak syak lagi berniat jahat.

“Nika!” panggil ayahnya dengan mata kemerahan, mungkin baru lepas minum arak sepanjang subuh tadi.

Nika cuba tidak mempedulikan ayahnya dan pergi mendapatkan Irfan di pintu depan tapi langkahnya tersekat.

“Nika, ayah perlu wang Nika, nak bayar hutang,” rayunya seperti biasa sambil mengekori Nika yang berdesis marah.

“Tak ada lagi. Nika dah beli barang dapur,” jawabnya dan berjaya menaikkan darah ayahnya. 

"Aduh!" dia kesakitan bila lengannya dicengkam kuat. Dia cuba melepaskan cengkaman ayahnya. 

“Hoi! Lepaskan tangan awak, tak kesian dengan anak ke Zali!!” jerit emaknya. 

Dia melihat emaknya berlari laju dari belakang rumah besar. Ayah melepaskan tangannya. Nika mengurut tangannya yang kemerahan, dia berdengus marah dan benci  melihat ayahnya. 

“Aku perlu wang Rose… “ rintih ayahnya. “Nanti kepala ku dipenggal orang-orang Samuel.”

“Biar kepala awak kena penggal bukan kami yang cari masalah tu!” bentak emaknya garang.

Nika lantas berdiri di sebelah emaknya sambil memegang bahu dan menggosok belakang emaknya supaya bertenang.

“Sebelum kepala aku ni dipenggal baik aku penggal kepala kamu berdua!!” suara ayahnya mula meninggi. Urat-urat tua di dahinya jelas kelihatan. Mata tuanya yang kian lupa diri itu kelihatan lebih merah dari sebelumnya.

Nika yang memang benci dengan sikap mendesak ayahnya dan tidak mahu membesarkan hal lantas mengeluarkan wang dari dompetnya yang diseluk dari dalam beg. Kemudian dia menghulurkan semua wang di dalam dompetnya tadi kepada ayahnya yang menyambutnya girang sebaik saja melihat wang.

“Nika!” emak cuba membantah.

“Tak apalah mak, lebih baik kita beri dia duit dari dia buat kita lebih teruk lagi,” katanya sejurus ayahnya berlalu pergi dengan senang hati.

“Ayah kamu.. makin hari makin teruk perangainya,” ngomel emaknya.

Nika melarikan pandangannya ke rumah besar itu. Jaraknya kurang empat puluh meter dari rumah kecil mereka.  Dari situlah, tak semena-mena dia melihat seseorang berdiri dari balik langsir nipis di tingkat satu balkoni itu dan seperti sedang memerhatikan mereka.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.