Bab 12

Nika mengambil cuti mengejut tanpa pengetahuan semua rakan sekerja. Seminggu selepas kejadian tersebut, Amr benar-benar mengotakan janjinya. Dia serius membawa Nika ke alam perkahwinan dalam majlis kecil yang hanya dihadiri jiran terdekat yang amat tidak menyangka majlis pernikahan itu melibatkan mereka berdua. Terutama Encik Prianto dan isterinya, kejiranan terdekat yang selama ini tidak pernah mendengar perhubungan mereka berdua. Begitu juga Puan Halimah seorang guru yang tinggal di lorong depan. 

Semua tetamu-tetamu yang datang sangat peramah dan baik. Nika hanya tersenyum sepanjang majlis yang dipohonnya berakhir dengan cepat. Encik Rosli, Pak cik kepada Amr, adik kepada arwah Tuan Rahmad turut bersama-sama dalam majlis tersebut dan menjadi saksi perkahwinan mereka. Manakala rakan kenalan emak dan jiran terdekat menjadi saksi bagi pihak Nika. Ayah Nika hanya menurunkan tandatangan sebagai wali. Amr yang menguruskan semuanya, Nika cuma tahu semuanya telah siap diatur dengan sempurna.

Selepas majlis pernikahan ringkas yang tak sanggup untuk di ingat lagi Nika kembali dirundung sebak bila emaknya hendak berangkat pergi ke rumah pak cik Rais di daerah Pahang. Dia tidak mahu maknya pergi tapi dia tidak dapat menghalang hajat mak yang juga berat hati meninggalkannya bersama Amr. Berkali-kali mak meyakinkannya yang Amr itu sangat baik dan prihatin. 

Amr mengarahkan pemandu dari syarikatnya menghantar Puan Ros balik ke sana dengan selamat. Irfan hanya sempat dihubunginya melalui telefon. Adik lelakinya itu menangis mendengar apa yang telah berlaku. Dia menyesal kerana tidak ada pada hari kejadian untuk melindungi dia dan mak. Nika terpaksa menjelaskan agar Irfan faham dan tidak menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Dia cuma berpesan pada Irfan agar jangan risau keadaannya baik-baik sahaja.

Perkara pertama yang Amr tanyakan kepadanya sebaik saja semua tetamu pulang ‘samada dia perlukan pembantu rumah?’ 

Jujur Nika mengatakan tidak. Dia tidak mahu ada orang lain akan  menjadi saksi segala dukanya dalam rumah besar ini yang tidak syak lagi akan bermula pada malam ini. Amr seperti mahu membantah kehendak Nika tapi oleh kerana Nika berkeras enggan memandangnya Amr lantas pergi entah ke mana. 

Dia masih berada di dapur dan berpura-pura mencari apa benda yang hendak dibersihkan dalam dapur yang sedia kemas dengan niat sengaja melambatkan keadaan sebenar supaya dia tidak perlu berhadapan dengan Amr di tingkat atas. Dia mahu bersembunyi tapi nampak sangat kebudak-budakan jika berbuat demikian. Amr tentu menganggapnya perempuan terencat akal. Ada banyak perkara yang hendak difikirkan dan dia sekarang berada pada tahap buntu paling berisiko.

Ingatan yang paling menyeksa dirinya tak semena-mena lenyap disaat namanya disebut seseorang dari belakang. 

“Nika.”

Dia tersentak dan berpusing ke belakang. Amr telah pun menanggalkan baju pengantinnya dan hanya memakai t-shirt biru dan berjaket hitam. Mungkin dia nak keluar, detus hati Nika. Dan entah untuk kali yang berapa untuk hari ini mata Amr seperti teruja benar melihat Nika dalam persalinan baju kurung putih. Matanya bagai terpegun seketika sebelum dia memuji lagi. 

“Kau sangat cantik..” katanya perlahan tanpa sebarang senyuman dan ketelusan hati yang sukar ditebak.

“Terima kasih,” balas Nika tawar.

“Pakaian kau sudah tersedia di atas, kau boleh tidur di bilik lain di atas kalau itu yang kau mahu. Aku mengerti. Aku nak keluar dan tak tahu pulang jam berapa. Pastikan semua pintu berkunci dan jangan bukakan untuk siapa-siapa. Aku ada kunci sendiri.” 

Nika hanya memandangnya tanpa sebarang jawapan dan membiarkan Amr menyambung ayat ringkasnya. “Baiklah… selamat malam Nika.”

Nika terkedu, tidak menyahut, malah dibiarkan terus terpaku. Amr melangkah pergi dan keluar dari pintu utama. Dia cuma mendengar bunyi enjin kereta di luar sebelum kembali senyap. Dan sejurus Amr pergi baharulah dia berani melangkah naik ke atas dengan langkah lemah. Kepalanya masih serabut, dia tidak tahu apa perlu dibuatnya dalam hubungan tidak terancang ini. Mahu meraung pun.. tak ada gunanya dia sudah menerima perjanjian itu dengan rela hati walaupun dia tidak ikhlas. 

 Oh Tuhan… beratnya dosa yang sedang dipikulnya…. rintihnya dalam hati.

Langkahnya semakin tidak bermaya ketika berada di tingkat atas. Sunyi dan kelam adalah gambaran sebenar rumah itu dan hatinya. Tiada apa-apa yang kedengaran selain bunyi tapak kakinya sendiri yang menapak di atas lantai kayu sambil menikmati segenap ruang.

Sekali lagi balkoni kecil yang bertabirkan kain sifon nipis berwarna krim menjadi keutamaan matanya. Tempat itu sangat selesa dan tenang. Terdapat satu set sofa berbentuk L di situ dan almari buku yang sekaligus memuatkan televisyen rekabentuk LED yang melekat pada dinding di sebelah bilik arwah Tuan Rahmad. Bersebelahan dengan bilik itu pula ialah bilik ‘Sang Perampas Kebahagiaannya’ dan di hadapan bilik Amr barulah bilik Nika. Dia mengambil beg pakaiannya dari bilik Amr lalu membawanya ke dalam kamar yang bukan kepunyaan siapa-siapa. 

Rekaan dalaman dalam rumah itu begitu cantik dan mengujakan. Pintu setiap bilik berwarna coklat tua begitu klasik di matanya. Bilik yang dimasuki itu juga tidak kurang cantiknya. Kertas dinding berwarna putih dengan bunga-bunga kecil merah jambu menghias seluruh dinding. Di penjuru sebelah kiri sebuah katil bertiang empat dan dihiasi kain nipis yang menggoda tersergam menunggu Nika melabuhkan dirinya hendak melepaskan rasa keletihan. Kalau sahaja saat ini dia sekarang seorang wanita yang sangat gembira dengan perkahwinannya sudah pasti dia akan melompat gembira kerana berada di dalam bilik tersebut. Malangnya dia tidak sanggup untuk meraikan apa-apa pada hari itu barangkali hingga hari seterusnya. 

Dia juga tidak mahu jadi seteru nyata terhadap Amr. Tetapi dia pun enggan menjadi rapat dengan lelaki itu. Kalau begitu di mana kedudukannya dalam rumah ini? Di tengah agaknya, aduhai lama-lama nanti dia yang mati terhimpit.

Dengan hati runtun dia mengeluarkan pakaiannya dari dalam beg dan menyimpan ke dalam almari termasuk seragam jururawat. Dia menukar pakaian pengantinnya dengan baju tidur yang ditemuinya dalam almari berserta nota bertulis: 

‘untuk keperluan kamu’

Keperihatinan Amr membuat Nika terkesima dan malu. Ada satu hal yang musykil di hatinya, dia tidak tahu apa yang bermain difikiran lelaki dingin itu. Amr telah membiarkannya hidup bersendirian dalam rumah itu sedang dia isterinya dan memiliki kepentingan seratus peratus untuk mempergunakan Nika sebagai isterinya. Bagaimanapun ia tidak berlaku selepas Amr memberinya ruang untuk tidur dalam bilik berasingan dengan alasan dia mengerti perasaannya.

Lantas untuk apa mereka menikah! 

Adakah hanya kerana ingin melepaskan Nika dari cengkaman ayahnya yang tidak bermoral. Bukankah lebih baik Amr membiarkannya bebas daripada memilih jalan untuk berkahwin kalau akhirnya mereka berdua menjadi orang asing dalam rumah sebesar ini. Nika semakin resah memikirkannya. Wajah Amr yang berhidung mancung dan memiliki kumis tipis serta mata menawan tergambar jelas saat lelaki itu melafazkan akad nikah petang tadi sebagai pengesahan perkahwinan mereka.

Ahh… Nika mengeluh pada malam larut yang menjerat dirinya ke jurang yang tidak berhujung. Hati kecilnya berbisik. “Dapatkah aku bersembunyi semata-mata mahu mengelak dari dia. Bertahankah aku dalam situasi seperti ini,”

Lantas dia tertidur dalam rasa kesedihan yang terbawa-bawa ke alam mimpi melihat Amr yang merenungnya tajam dari kejauhan di dalam rumah besar sambil memerhati setiap gerak-gerinya. Dia cuba tersenyum tapi Amr tetap begitu tetap dalam merenungnya dan penghujungnya dia menangis di sudut-sudut terpencil sebelum terbangun pada paginya dengan mata yang basah.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.