Bab 35

Enam bulan kemudian.

Jalannya masih sama, lorong masuk ke rumah itu pun masih begitu, ada sebatang pohon rendang yang besar di belokan pertama sebelum terlihat  sebuah ‘rumah besar’ milik seorang hartawan. Rumah kecil mereka pun masih ada di belakang, cuma semakin sunyi dan kelihatan dikelilingi rumput panjang. Tetapi rumah besar itu bahagian depannya sudah bertukar wajah. Lebih cantik dan berpagar yang dilengkapi kawalan keselamatan. 

Nika turun dari kereta sewa yang menghantarnya tadi. Kelihatan Puan Rahimah sudah menunggu di depan pintu rumah. Mereka saling bertukar senyuman dan saling bertanya khabar.

“Tak ada khabar Amr?” tanya Nika pada Puan Rahimah ketika mereka berada di laman rumah besar yang telahpun diperbaiki semula segala kerosakan akibat pencerobohan pada malam tragis itu.

Puan Rahimah hanya menggeleng. “Dia sudah bebas sepenuhnya tetapi masih menjalani sedikit lagi rawatan pemulihan jiwa.”

“Puan ada tanya dia pasal status kami berdua?”

“Status? Status apa?”

“Mungkin Amr ada berikan puan dokumen penceraian kami. Itulah yang dikatakannya kali terakhir kami berjumpa, kami terpaksa berpisah. Tapi saya tak ada pengakuan hitam putih dari pihak Amr sehingga sekarang. Kalau puan ada terima kiriman sebarang dokumen dari Amr, hubungilah saya nanti.”

Puan Rahimah menggeleng lagi. “Saya tak tahu pasal itu. Saya ingat semuanya baik-baik saja.”

Nika tersenyum pahit. Dia sendiri tidak pasti apa yang Amr mahukan dan bagaimana kedudukan mereka berdua sekarang. Sudah enam bulan berlalu Amr tidak mengirimkan sebarang khabar.

“Jadi, kenapa puan panggil saya?”

“Oh, saya hampir lupa. Saya nak serahkan kunci rumah ini kepada Nika.”

Nika tercengang. “Kunci rumah? Kenapa?”

“Nika tak tahu?”

Nika menggeleng tidak faham.

“Amr telah menukarkan nama Nika sebagai pewaris rumah ini. Dia tak pernah beritahu apa-apa?”

Nika menggeleng macam orang dungu.

“Selepas beberapa bulan kamu berkahwin, Amr telah meletakkan nama Nika sebagai pemilik aset jika ada apa-apa berlaku kepada Amr.”

“Saya tak tahu, tapi apa gunanya kalau saya tahu, kami sudah berpisah.”

“Mengikut rekod undang-undang, kamu berdua belum berpisah lagi. Kalau perpisahan itu sah sudah tentu saya akan tahu lebih dulu. Kamu tetap berhak ke atas rumah ini.” Lantas kunci rumah bertukar tangan. “Kamu memiliki hak sepenuhnya ke atas rumah ini.”

Dia tidak tahu apa gunanya rumah itu selain dari kenangan menyedihkan ketika dia berpaling melihat ke kiri dan kanan halaman rumah yang besar dan sunyi. 

“Tapi, saya tak boleh tinggal di sini lagi, tak mungkin...” katanya lesu. Apalah ertinya hidup di dalam rumah ini tanpa Amr yang tidak diketahui di manakah keberadaannya.

“Bersabarlah dulu Nika, kita tunggu khabar Amr. Mungkin dia perlu selesaikan urusannya.”

Nika mengangguk perlahan.

“Saya ada hal lagi di pejabat, bolehkah saya pergi dulu?” minta Puan Rahimah sopan.

“Ya, saya nak masuk sekejap, nak ambil barang saya,” ujar Nika.

Kemudian sejurus Puan Rahimah segera beredar pergi, Nika membuka pintu perlahan. Masih ada beberapa barang kepunyaannya yang tertinggal di rumah besar ini. Selepas Amr pergi dia menyewa rumah sendirian. Sejak enam bulan lalu, inilah pertama kali dia datang lagi ke sini.

Rumah besar itu seperti biasa, tetapi sunyi. Namun Nika gembira bahagian ruang tamunya sudah diubahsuai berbentuk lebih moden. Sewaktu malam tragik itu berlaku, ruangan tamu dan ruang tengahnya hampir musnah keseluruhannya. Bilik safe room itu juga sudah tidak ada lagi di tempatnya entah digantikan ke mana. Mungkin sebab ia bilik rahsia jadi pembuat bilik itu mungkin telah meletakkannya di mana-mana di dalam rumah ini secara rahsia juga. Ataupun sudah tidak ada sama sekali. Nika tidak tahu, sepertimana dia tidak tahu bahawa dialah pemilik rumah ini sekarang.

Selesai memastikan keadaan di bawah kelihatan rapi dan bersih Nika pantas menuju ke tangga, dia mahu ke tingkat atas. Langkah kakinya perlahan saja sewaktu  mendaki tangga yang selalu mendebarkan hatinya dulu seolah-olah setiap anak tangga rumah itu seakan tertulis nama Amr. Nama yang pernah meredam remuk emosinya hingga yang paling terdalam dan dalam masa yang sama juga nama itulah yang dirindukannya selepas mereka berpisah. Ahh ... bagaimana dia hendak melupakan lelaki itu kalau setiap bayangannya menghantui rumah ini.

Dalam derapan yang paling senyap tiba-tiba langkahnya terhenti di anak tangga atas yang terakhir. Ketika itulah rasa kaku menyerang  lagi. Dia hampir terlupa cara bernafas sejurus melihat seorang lelaki bernama Raylan Amr berdiri di tingkap dan sedang melihat keluar langsung tidak menyedari kehadiran Nika.

Betulkah?

Betulkah apa yang dilihatnya. Itu bukan hantu? Sewaktu Amr berpusing ke arahnya, Nika terkejut sehingga dia menutup mulutnya sendiri dan tercungap menahan nafas. Entah berapa minit dia berkeadaan demikian, mereka berdua hanya saling bertentangan mata sebelum  dia berani bersuara.

“Amr?” bisiknya dalam nada yang tidak percaya.

“Ya.” Sahut lelaki itu beserta sedikit senyuman.

“Apa kau buat di sini?”

“Aku datang menagih cinta.” Amr tersenyum dan menunduk seketika.

Nika menahan airmata yang bergenang itu dari tertumpah. Seluruh tubuhnya menggeletar ketika Amr melangkah hampir kepadanya.

“Aku minta maaf. Aku tak boleh biarkan kau sendiri lagi. Kalau kau tak keberatan, bolehkah aku peluk kau,” suaranya lembut dan mempesona.

Dalam tangisan yang menderu Nika meluru memeluk Amr. Kedua-duanya dirasuk rindu yang terperangkap hampir setahun lamanya. 

“Bila kau sampai?” tanya Nika saat pelukan itu terlerai.

“Tengahari tadi. Aku yang minta Puan Rahimah suruh kau datang ke sini.”

“Jadi, aku kena tipu lagi.” 

Amr ketawa kecil kemudian mendakap kedua pipi Nika yang comel dan wajah yang cantik itu. Lama mereka berpandangan sebelum bibir lembut Amr berlabuh meraikan cinta yang baru bermula.

 


***



Mereka berdua berbual panjang pada malam itu, cerita-cerita yang selama ini jadi tanda tanya diungkit semula hanya untuk dijadikan kenangan lucu.

Nika ketawa kecil. Amr turut tersenyum sambil tertunduk. Nika selalu jatuh cinta dengan senyuman yang sudah lama tidak dilihatnya. Senyum nipis yang sangat manis tapi jarang menghiasi wajah kacaknya. “Boleh aku tanya sesuatu?” soalnya mengejut sambil memerhatikan balkoni yang pintu kacanya terbuka lebar membuatkan langsir menari-nari ditiup angin malam.

“Asalkan bukan hal-hal yang selalu buat kau curiga,” jawab Amr dengan matanya melihat ke tv sambil makan puding lagi.

Nika lantas teringatkan pertemuannya dengan Dania. Dia sendiri sudah pasti yang Amr tidak akan suka bercerita tentang masa-masa silamnya walaupun dia begitu teringin hendak mengetahui cerita sebenar tentang Jasmine. Tapi, awal-awal lagi Amr sudah memberinya amaran macam dia tahu apa yang sedang berlangsung di benaknya.

“Kau selalu berdiri di balkoni tu masa aku tinggal kat belakang....” Nika pasti itulah perkara yang memang selalu ingin ditanyakannya dan dia berharap Amr ada jawapannya.

Amr berdiam, matanya tajam ke arah televisyen. Kisah lelaki dingin dan berat mulut tergambar lagi pada wataknya. “Sebenarnya aku tak sangka kau tinggal di situ..” baru dia bersuara lantas tersenyum dan menarik tangan Nika ke dalam genggamannya. 

“Maksud kau?”

Amr memusing-musingkan cincin yang disarungkannya ke jari manis Nika.

“Masih ingat lagi kali pertama kita jumpa di emergency ward?”

“Emm...”

“Itulah hari aku jatuh cinta dengan kau.”

“Lepas tu kau selalu mengawasi aku dari balik langsir tu..” Nika menunjuk ke arah langsir yang menutupi balkoni pendek itu.

“Aku dapat tahu kau tinggal di situ, jadi.. aku cuba.. kau taulah, lelaki.”

“Macam mana kau tahu aku tinggal di situ?” 

“Aku nampak kau balik dari kerja pagi tu.”

“Sebab tu aku selalu nampak ada seseorang berdiri di balik balkoni ni,” cerita Nika sambil dia mengingati semula Amr yang pernah datang ke rumahnya ketika dia di tampar arwah ayahnya.

“Masa kau cuci bilik air tempohari kau buat aku terkejut..” Amr pula bercerita.

Nika membulatkan matanya dia juga mahu tahu kenapa Amr benar-benar berlagak sombong pada hari itu.

“Ceritalah, kenapa kau sombong masa tu..”

“Aku sombong?” Amr ketawa sambil menggelengkan kepalanya. “Sombong?” dia mengulangnya lagi.

“Jangan nak ubah cerita.. memang ketara sangat perangai berlagak kau dulu..” pintas Nika. Amr masih ketawa lalu mengenggam erat jari-jemari Nika.

“Sebenarnya aku terkejut. Kau tiba-tiba ada dalam rumah aku. Kau tak tahu aku sedang mencari-cari jalan macam mana nak berkenalan dengan kau. Aku cuba tanya Puan Ros.. tapi aku malu. Jadi, bila kau muncul dan kita terserempak di tangga tu aku terkedu, speechless.” Amr senyum padanya sepertinya ia merupakan detik yang sangat melucukan baginya.

“Aku anggap kau sombong waktu tu... betul-betul kurang adab.”

“Aku tahu kau selalu beranggapan begitu pada aku. Kau selalu curiga, kau selalu nak tahu.”

Nika segera memintas. “Sebab kau selalu buat keputusan pelik. Kau buat semuanya jadi begitu drastik. Langsung tak pernah jelaskan apa-apa pada aku, sikit pun tidak. Entah berapa lama aku tertanya-tanya kenapa kau mahu menikahi aku, aku ingat aku sedang berkahwin dengan lelaki yang baru keluar dari wad pesakit mental.”

“Maaflah kalau aku buat kau begitu. Tapi niat aku suci, aku benar-benar mahu mengahwini kau jadi, sebelum orang lain dapat dulu lebih baik aku potong jalan. Cuma kebetulan krisis keluarga kau berlaku..”

“Jadi kau cuba ambil kesempatan... Amr!” Nika tidak tahu samada dia hendak marah atau tidak atas apa yang telah Amr buat padanya.

“Mengikut anggapan kau mungkin ya, aku cuba ambil kesempatan tapi aku cuma fikirkan keselamatan kau. Aku bimbang kau diapa-apakan oleh ayah kau. Aku dengar dia  mengugut mahu menjual kau kepada Samuel.. Jadi, aku cuba ambil tindakan untuk melindungi kau walaupun aku tahu kau tak suka dengan apa yang aku telah buat.”

“Atau kau ada agenda yang kau cuba selindungkan dari aku..” Nika masih tidak dapat mengelakkan rasa curiganya yang nampak benar Amr cuba sembunyikan darinya.

“Sepatutnya kau ucapkan terima kasih pada aku sayang...”

Seperti yang dia duga Amr tahu selok-belok hendak mengalihkan apa yang Nika cuba korek dari pengetahuannya.

“Terima kasih sebab selamatkan aku. Aku sayangkan kau juga mungkin lebih dari kau sayangkan aku..” ujar Nika perlahan lalu menyandarkan kepalanya ke bahu Amr. Tangan mereka saling dalam genggaman. Siaran drama di tv dibiarkan berlalu.

“Aku tahu kau akan cintakan aku. Aku dapat rasakan semuanya dari renungan matamu.”

“Oh ya.. sejak bila kau jadi peramal?” usik Nika.

“Masa kau cemburukan aku dengan perempuan tu.”

“Ish...” Nika mencubit lengannya. Tidak suka diingatkan tentang itu.

“Aku, setiap hari rindukan kau, tertunggu-tunggu khabar kau dari sini. Tapi hampa,” senyuman Amr turut hampa.

“Apa kurangnya dengan aku, kau pun buat aku tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya macam mana keadaan kita berdua,” Nika merapatkan pelukannya ke dada Amr.

 Nika ditusuk rasa terharu yang mendalam. Setelah sekian lama dia ditemani derita kemudian hadirnya Amr yang dirasakannya hanya penambah sengsara kini, baru dia sedari rupa-rupanya ada hikmah di sebalik semua ini. 

“Satu lagi..” dia bertanya sebelum terlupa.

“Ada lagi?” Amr menjungkit keningnya.

“Kenapa gambar aku dengan arwah ayah ada dalam diari kau. Itukan diari yang kau bawa dari New York?”

“Aku belum ceritakan part yang itu ke?”

“Belum.”

Amr berdiam seketika, barangkali dia terlupa kalau isterinya selalu inginkan penjelasan, telahan Nika.

“Arwah ayah yang bawa, dia pernah cerita tentang kau pada aku dulu. Dia kata anak perempuan Puan Ros sudah hampir sebaya aku, orangnya cantik, bijak dan berhemah. Dia selalu puji kau di depanku, aku ingatkan dia nak kahwin baru dengan gadis muda,”

Laju sahaja tangan Nika  mencubit perut Amr.

Amr ketawa dan terus bangun mengelak. 

“Aku tak bohong,” katanya jujur. “Dia minta aku berjumpa kau kalau aku balik ke sini bila-bila masa nanti. Kata arwah ayah, dia sangat baik Amr..” Amr mengubah intonasinya seperti suara arwah Tuan Rahmad. “Dia cantik, cuma, waktu tu aku sedang dalam rawatan depression jadi.. aku tak berapa peduli ceritanya.” 

“Mari kita keluar.” Amr berdiri dan menarik tangan Nika lembut. Mereka sama-sama menuruni tangga.

“Kita nak ke mana?” 

“Bercuti. Aku nak berduaan dengan kau selama sebulan ni.”

“Tapi tak boleh, aku kena pergi kerja.”

“Kenapa kau nak risau pasal kerja? Kau patut risaukan aku,” lantas Amr menarik Nika ke dakapannya lalu mengucup rambut Nika penuh sayang.

“Aku boleh ikut kalau nak janji pada aku…” ujar Nika sambil mengangguk-angguk memikirkan sesuatu.

“Janji apa?” tanya Amr serius.

Nika tersenyum membiarkan tanda tanya itu berlegar-legar di kepala Amr lalu meraih menautkan jemari mereka dalam genggaman rindu yang sudah terlerai. 


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.