Bab 3

Nika mengulang kembali cerita pasal ayahnya minta duit pada Irfan yang baru bangun tidur.

"Entah apalah nak jadi dengan ayah tu," luahnya ketika mereka berdua bersarapan.

“Selalu ke ayah macam tu kak!” tanya Irfan.

“Tak jugak,” jawab Nika.

“Dia selalu minta duit dari akak?” soal Irfan beriya-iya nak tahu 

“Keraplah jugak sejak akhir-akhir ni. Irfan nak apa-apa tak sebelum balik ke KL?” Nika memulangkan semula soalan pada adiknya.

“Adalah.. nak beli buku sedikit.”

“Nanti akak bagi,” kata Nika sambil memandang Irfan sayu.

 Rasanya dia tak patut menceritakan masalah ayah mereka. Irfan masih belajar dan dia perlu menumpukan tahun keduanya untuk meneruskan pencapaian cemerlang. Itu yang selalu Nika harapkan. Supaya mereka berdua dapat memberi kesenangan pada emaknya suatu hari nanti. Irfan tak banyak kerenah dan tak pernah menyusahkan. Masalahnya sekarang, cuma ayahnya dan sebenarnya itu juga bukan masalahnya. Ayahnya yang patut bertanggungjawab atas semua perbuatannya.

Dah, jangan peduli pasal ayah kamu tu,"  sampuk emaknya yang baru keluar dari bilik. 

“Apa mak buat di rumah besar tadi?” tanya Nika selepas meneguk kopinya.

“Mak tak bagi tau ke semalam?” mak bertanya kembali padanya. 

Nika menggeleng.

 “Oh… alah… mak lupa..” keluh maknya perlahan dan ikut duduk bersama di meja makan.

“Beritahu apa?” soal Nika.

“Anak arwah Tuan Rahmad dah balik ke sini. Raylan Amr. Dia tinggal di rumah itu sekarang,” kata emaknya.

Nika tiba-tiba teringatkan nama pesakitnya di wad kecemasan tadi yang juga bernama Amr. Tentang anak arwah Tuan rahmad itu pula, tak ada apa-apa yang diketahuinya pasal hal Raylan Amr. Nika tidak pernah melihat anak arwah Tuan Rahmad itu sebelum ini. Ketika emak dan ayahnya diberikan rumah kecil tempat mereka tinggal sekarang, dia lebih banyak menghabiskan masanya di asrama sekolah dan juga asrama kejururawatan di Kuala Lumpur.

“Dia minta mak bersihkan rumah tu,” beritahu emaknya menganggu ingatan Nika tadi.

“Mak boleh buat semua tu?” tanya Irfan yang dari tadi hanya mendengar.

Nika mengangguk, simpati bila melihat tubuh tua emaknya yang kian dimamah usia.

“Boleh.. untuk senaman nak… biasakan tubuh bekerja, lagipun cuma dia seorang dalam rumah tu. Selagi kita tinggal di kawasan mereka ni selagi itulah kita kena balas budi baik mereka anak-beranak.”

Nika sekadar mengangguk dan faham, mungkin anak Tuan Rahmad yang berdiri dari balik tabir balkoni rumah besar itu tadi.

“Dah.. pergilah mandi  Nika, lepas tu tidur. Mak nak pegi sambung kerja di rumah besar. Irfan, hari ini kamu rehat je di rumah, kamu tu bukannya lama kat sini,” pesan emaknya dan terus berjalan keluar dari pintu dapur meninggalkan mereka berdua di meja makan.

Nika mengikuti semua arahan emaknya, pergi mandi membersihkan diri, mengemas seketika ruangan dapur dan ruang tamu. Selepas itu dia masuk tidur dan terlelap dengan nyenyaknya.


**


Dia terbangun ketika sayup-sayup suara azan maghrib kedengaran dari masjid. Bunyi ketukan pintu dan suara mak menyuruhnya cepat-cepat solat membuatkan dia bingkas turun dari katil

Selepas solat dia ke dapur, emak sudah pun siap menghidangkan makan malam lebih awal  hari ini.

“Ayah mana mak?” 

Selalunya awal malam begini dia mesti menahan telinga mendengar ayahnya merungut bengis nak makan. Panas barannya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. 

“Jangan harap dia balik kalau ada duit,” jawab mak jengkel dan mengambil tempat duduk di meja makan.

Nika senang hati mendengarnya. Kalau ayahnya dah tak mahu pulang, dialah orang yang paling gembira dengan khabar itu. Tetapi bila memikirkan yang ayahnya mungkin berjudi lagi dia kembali kecewa dan hanya memendamnya jauh ke dasar hati tidak mahu Irfan turut memikirkan masalah ayah mereka nanti hingga menejejaskan pelajarannya.

Selepas bersiap dia keluar dari rumah. Zakiah  sedang menunggunya di depan lorong. 

Sambil berjalan di sepanjang lorong kecil berumput  dia sempat melihat kereta Range Rover hitam berkilat parkir dengan bergayanya di laman banglo arwah Tuan Rahmad. Mungkin kepunyaan tuan barunya, akhirnya rumah besar tu berpenghuni juga.. katanya dalam hati.

Sejurus mula bekerja, suasana kelam-kabut kembali menerjah. Kes pertama yang mereka terima merupakan mangsa kemalangan. Kes yang paling tinggi sekali dalam carta kecemasan. Kereta proton waja bertembung dengan motor lumba haram di lebuhraya. Seorang ibu, berusia 46 tahun parah manakala anak lelakinya berumur lima belas tahun terselamat. 

Bagaimanapun penunggang motor yang terlibat, menjadi korban pertama pada malam itu selepas Dr. Kumar mengesahkan kematian pukul 9.40 minit yang lalu. Suzzie dan Zakiah menguruskan mangsa tersebut.

Nika yang berulang alik keluar dari dalam dan ke kawasan menunggu melihat suasana sedih menyelubungi keluarga mangsa. Deruan tangisan memenuhi ruang depan tempat menunggu. 

Setengah jam kemudian mereka dikejutkan dengan kes cubaan bunuh diri seorang lelaki india. 

"Nika!"

"Ya!" sahutnya sambil mencari siapa yang mencarinya.

Dr. Priya memanggilnya.

"Telefon Dr. Abdullah cepat, urgent.."

"Baik," 

Sehingga lewat malam dia sibuk pula menguruskan kes demam. Nampaknya musim demam dah tiba. Malam itu saja lebih dua puluh kes demam mereka terima disusuli tiga kes asma seorang daripadanya bayi berusia lima bulan.

Nika hanya dapat berehat setengah sejam ketika bangun mengejut mendengar suara-suara riuh di luar.  Dia keluar. Dua lelaki merengek kesakitan kelihatan diusung masuk oleh Zakiah dan Rudin. Sebelah tangan kedua-dua lelaki yang cedera itu digari pada pagar katil.

"Cedera di kaki dan perut, terkena tembakan," lapor Rudin.

 Dr. Julia mengambil alih tugas Dr. Kumar yang nampaknya sibuk dan tidak boleh diganggu dengan kes kecil. Lelaki india tinggi lampai itu dilihatnya bergegas berlari ke bilik pembedahan. 

 “Nika!” panggil Dr. Julia. 

 Nika berlari kecil mendapatkan Dr. Julia untuk membantunya pula.

 Kedua-dua mangsa dibawa masuk dalam bilik untuk kerja-kerja mengeluarkan peluru. Seperti biasa, Nika akan melakukan proses menjahit selepas doktor selesai mengeluarkan peluru.

Kemudian dua mangsa tembakan tadi ditempatkan di bilik rawatan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dua pegawai polis menyusul masuk sejurus dikhabarkan mereka kemudian bercakap-cakap sesuatu dengan Dr. Julia sebelum beredar pergi. Selepas itu dua lagi pegawai polis diarahkan menjaga bilik tersebut. Situasi begitu biasa Nika nampak, terutama bila menjelang subuh begini.

“Cari Amr! Suruh dia hubungi saya!” bentak seorang lelaki tinggi di telefon bimbitnya ketika melintasi Nika.

Nika menoleh sesaat tersentak mendengar nama Amr. Sejak semalam sudah tiga kali dia mendengar nama itu disebut. Selesai memberikan ubat pada pesakit darah tinggi, dia berpaling melihat lelaki yang bersuara kuat itu. 

Orangnya bermisai tebal, mukanya berparut di bahagian dahi. Dari jaket hitamnya dia menduga perwatakan lelaki itu mungkin ada hubung kait dengan mangsa yang cedera terkena tembakan. Dia melihat-lihat kelibat pegawai polis yang berada di situ tetapi mereka saling tidak mempedulikan.  Barangkali bapa kepada mangsa. Fikirnya.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.