Bab 14

Selepas cutinya tamat, satu lagi perkara yang membebankan otak muncul mendadak. Dia terfikir-fikir cara untuk memberitahu pada Zakiah tentang apa yang berlaku kepadanya seminggu yang lepas. Belum lepas satu hal, hal lain pula kena fikir. Dia mengeluh diam-diam tidak tahu samada cuba bertenang atau perlu memikirkan sesuatu yang lebih positif dari kisah ini atau berharap sesuatu yang lebih membahagiakan dalam hubungan tidak terancang di antara dia dan Amr. 

Memikirkan Amr… semangatnya terus jatuh merudum, terasa begitu rendah harga dirinya di hadapan lelaki itu. Amr mungkin tidak menunjukkan lagak bergaya kerana kemenangannya memiliki seorang perempuan naif hanya dengan wang. Bagaimanapun, itulah yang Nika rasakan… sampai saat ini pun Nika tetap berasa dirinya benar-benar hina. Dia malu setiap kali berhadapan dengan Amr. Rasa kesal, ah jangan cakap. Kehidupannya betul-betul teruk sekarang.

Sejurus dia bercerita pada Zakiah, penerimaan Zakiah tentang perkahwinan Nika lebih teruk mengejutkan reaksinya berbanding Irfan. Sebaik dia selesai menceritakan hal itu Zakiah berubah menjadi bayang-bayang yang mengekori ke mana sahaja dia berada sepanjang syif pagi mereka di wad kecemasan. Reaksinya bukan sahaja terkejut gila! Tetapi dia juga marah kenapa tidak dijemput dalam majlis yang paling Nika tidak menyangka dia akan melalui hari pernikahan seperti hari yang sudah berlalu seminggu itu. 

Tak cukup menyedihkankah ceritanya hingga Zakiah menganggapnya lupa pada kawan! Lupakan dia! – itulah yang dibebelnya saban minit.

“Tak ada yang istimewa dalam perkahwinan tu Zakiah!” Nika benar-benar jengkel kerana terpaksa mengulas hari pernikahannya entah kali ke berapa. Dia mengeluh sambil menggeleng. “Semuanya jadi macam tu aje, tak masuk akal langsung..” sambung Nika sambil membetulkan sambungan oksigen yang dipasangkan ke hidung seorang nenek tua yang tercungap-cungap menyedut nafas.

“Tapi dia kahwini kau! Dia tak mahu duit kau! Dia cuma mahukan kau. Kau ingat berapa ramai lelaki yang nak buat begitu. Lebih-lebih lagi dia tak sentuh kau... agaknya kenapa?” kata Zakiah lagi dengan nenek tua tadi tercengang pada dia dan Zakiah sekarang.

“Betul. Kenapa agaknya?” tanya Nika semula setelah selesai menguruskan nenek itu tadi dan beralih cuba mengelakkan Zakiah. “Jangan tanya aku!” ujarnya geram bila Zakiah hendak membuka mulutnya ketika dia berpaling. 

Cerita itu tidak tamat di situ. Zakiah tidak berhenti mengingatkan wajah Amr di dalam kepalanya sepanjang mereka  pergi makan tengahari di kefetaria pula.

Nika mengambil makanan dengan jumlah yang banyak kerana merasakan perutnya benar-benar lapar. 

“Lelaki tu tak bagi kau makan ke?” tanya Zakiah dengan bibir herot melihat pinggannya yang dipenuhi lauk-pauk.

 Nika menggeleng kesal kerana menceritakan perkara itu pada perempuan kecoh yang menambahkan lagi beban tekanannya.

“Aku tak tahu kalau kau ada hati nak makan seorang diri dalam rumah besar tu!”

“Dia ..elalu takde di ….umah?” soalnya dengan mulut yang penuh.

“Ada atau tidak keadaannya sama saja.”

“Kalau begitu kenapa kahwin?”

“Jangan Tanya Aku! Aku tak tahu jawapannya,” kata Nika keras dan menunjukkan hujung garpu pada Zakiah yang hanya tersengih masih belum puas. 

Dia dan Zakiah kembali makan dengan senyap yang cuma bertahan tiga puluh saat bila Zakiah bersuara semula.

“Aku yakin dia cintakan kau. Cinta mati, sebab tu dia nekad nak dapatkan kau.” 

Nika menggerenyet.

 “Tak sedar ke lagi Nika, itulah hakikatnya.”

“Pendapat yang menakutkan.” Nika mencelah, perutnya berasa mual. Dia berhenti makan dan tiba-tiba menjadi takut. Menakutkan! Aduh… fikirannya betul-betul tidak betul hari ini. Dia sekarang sedang berfikir adakah Zakiah akan terkejut lagi kalau dia beritahu yang dia mahu lari dari Amr. Yalah tu, macamlah dia berani melakukannya.

“Dr. Ishak dah tahu ke?”

“Tak. Tak ada siapa yang tahu kecuali kau dan tolong jangan beritahu sesiapa..” pinta Nika sebaik mereka selesai makan.


**


Nika tiba di rumah barunya pada pukul tiga petang dan hampir-hampir mengaum pada Zakiah yang memandang kagum pada ‘rumah barunya.’ Mulutnya menganga luas seolah-olah dia tak pernah melihat rumah itu selama ini.

“Jangan bagitau sesiapa aku tinggal kat sini! Dan jangan buat mulut melopong macam tu,  aku malu kau tahu tak!” bebel Nika dan merungut dengan Zakiah.

“Yalah, yalah..” sahut Zakiah cepat-cepat menutup mulutnya. “Tanya kat laki kau tu dia ada kawan bujang tak..” usiknya lagi.

“Ish!”

“Alah… kesianlah kat aku.”

“Zakiahhhh!”

Zakiah hanya ketawa dan memandu keretanya pulang.

Nika melangkah pantas masuk selepas mengunci pagar seperti takut dengan jiran berdekatan akan melihatnya dan mengecapnya perempuan tidak sedar diri. Mungkin juga jiran-jiran di sekitar situ bukanlah berapa peduli sangat hal jiran mereka tetapi dia suka beranggapan begitu untuk memastikan yang dia sentiasa sedar akan dirinya siapa di rumah besar itu.

Pintu besar rumah besar ditolaknya perlahan dengan salam dan ucapan mesra. “Selamat Datang Ke Dunia Sepi…” bisiknya. Kepulangannya hanya dijawab sudut kemuraman objek-objek tidak bernyawa dan tidak mampu diajak bicara. Lantas wajah maknya tersenyum mesra dan mengajaknya makan ketika di rumah kecil yang kini telah terbiar sepi di belakang sana terbayang jelas di mata. Dia memandang semuanya dengan perasaan kosong. Enggan mengeluh lagi Nika melepaskan rasa keletihan dan automatik rebah di atas sofa di ruang tamu yang sangat menyelesakan hingga perlahan-lahan matanya layu dan terlena. 

Nika hanya tersedar kala keremangan senja menyelinap di seluruh ruang tamu. Dia masih berbaring ketika menggeliatkan tangannya. Matanya masih tidak boleh terbuka luas. Dua kali dia menguap dengan menutup mulut guna sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi menyisir rambutnya dengan jari. Asyik menghayati waktu tidur yang berkualiti tiba-tiba dia terpandang sesuatu. Dua tiga kali dia menyapu muka sebelum terkejut melihat sosok tubuh dengan sepasang mata merenung kepadanya dari hujung kaki. 

Entah sudah berapa lama agaknya Amr duduk di sofa menghadap dia yang tertidur di situ. Lelaki itu masih memandangnya dengan mata menawan yang menusuk kalbu. Bagai turut terpaku dia masih terbaring sebelum kaget bila menyedari waktu telah lewat petang, dia belum solat asar! Pantas dia tergesa-gesa bangun sambil menggosok matanya.

“Maaf… saya … tertidur,” ucapnya segan memandang Amr. “Nak minum kopi?” pertanyaan dari seorang isteri?  

Seperti biasa lelaki berat mulut itu hanya diam dan menggeleng sesaat. 

Nika berdiri. Lebih dia cepat beredar daripada berdiri melopong menunggu Amr menjawab. Tetapi baru sahaja selangkah, kakinya terhenti bila dipanggil. 

“Nika.”

Nika berpaling, berpusing dan berdiri tegak memandang Amr. Keningnya terangkat. Dengan kekok dia menunggu Amr bersuara.

“Kau dah makan?” tanya Amr tiba-tiba tanpa sedikit pun riak mesra.

“Kau nak makan? Aku boleh masakkan…” Dia menunduk dengan riak merintih kesal dengan jawapannya tadi. ‘Itu bukan jawapan Nika,’ desisnya dalam hati geram dengan apa yang keluar dari mulutnya sesaat tadi.

“Kita makan di luar..” ajak Amr.

“Tak apalah. Err…” sebenarnya dia ingin terus mencari-cari alasan untuk mengelakkan diri dari Amr.

“Bersiaplah, aku tunggu kau di bawah.” Pintas Amr tegas tanpa mahu dibantah. 

Nika mengangkat muka dan memandang Amr. Amr juga begitu. Sejak dari awal bertemu, mereka berdua selalu begitu, saling memandang tetapi tidak pandai berkomunikasi. “Erm … ok.”

Akhirnya dia mengalah dan naik ke atas bersolat kemudian bersiap untuk keluar makan bersama Amr buat pertama kalinya untuk mereka berdua. Selepas siap mengenakan baju yang dilapisi sweater sulaman panjang tangan berwarna putih bercorak dan seluar jeans dia pun turun ke bawah.

 Sejurus melihat dia turun Amr terus  berdiri dari tempatnya duduk tadi dan terus keluar tanpa bercakap sepatah pun. Di luar pintu, Nika hanya mendengar dengan jelas bunyi pintu kereta di buka. Dengan wajah ralit yang tak tahu nak buat apa Nika turut keluar. Dia masih juga berasa janggal. Kekok. Nika benar-benar pasti yang penyakit kekok itu akan menjadi kebiasaannya selama mana dia tinggal dengan Amr. 

Dia masuk ke dalam kereta Range Rover berkilat itu dengan hati yang tidak rela kerana terpaksa berada di sebelah Amr ‘si bisu’ sambil menikmati haruman yang menyamankan hati yang membuatkannya terfikir untuk meminta kebenaran tinggal dalam kereta itu. Sejak beberapa hari tinggal dengan Amr otaknya selalu sahaja berfikir yang bukan-bukan. Kalau dibiarkan lama dia mungkin akan mendaftarkan dirinya di rumah sakit jiwa.

Sepanjang kereta itu menyusuri jalan raya yang sesak menuju ke bandaraya matanya sekejap-kejap menjeling setiap minit yang bertukar pada dashboard kereta. Dia mencerna satu teori yang kereta itu sedang bergerak sendiri tanpa pemandu kerana mereka berdua langsung tidak bercakap. Yang menambahkan rasa bosannya radio pun tidak cuba diputar oleh Amr yang hanya tahu menggerakkan steering kereta. 

Dalam kegelisahan yang menyesakkan Nika berjaya juga mengeluarkan bunyi keluhan yang membuatkan Amr berpaling sebentar melihatnya. Akhirnya lelaki itu sedar juga bahawa di sebelah ada seorang perempuan yang sedang kebosanan. Tetapi itu saja pergerakan yang dibuat oleh Amr. Dia kembali seperti manusia yang kekurangan anggota mulut. Cuma tangan dan matanya saja yang sibuk mencari tempat parkir di depan sebuah hotel mewah di tengah bandaraya.

“Kita nak ke mana?” soal Nika akhirnya terpaksa bersuara dengan perasaan seram bila berada di depan hotel mewah.

“Dinner.” Jawabnya ringkas. Setelah mendapat tempat parkir Amr terus turun dari kereta.

Lelaki itu baru sahaja hendak berpusing tetapi terhenti bila Nika membuka pintu dan turun. Amr, menunggunya sesaat sebelum mereka jalan beriringan dengan wajah Nika yang kelihatan benar-benar berat hati hendak makan malam di restoran hotel mewah.

“Amr, aku tak biasa makan di tempat macam ni. Ada banyak kedai makan di sebelah sana. Aku, erm aku, boleh tunjukkan jalan,” bagaimanapun pendapatnya itu seperti angin lalu yang tidak diperasankan oleh Amr yang menarik lengannya masuk ke dalam hotel tersebut. Seperti dia seorang anak kecil yang degil.

Sesaat melangkah masuk Nika ternganga kagum melihat kecantikan hotel tersebut. Lampu-lampu mewah menghias silingnya merentas hingga ke bahagian ruang makan. Cahaya kekuningannya menyimbah tenang ke serata sudut. Semua pengunjung kelihatan makan dengan senyap dan kelihatan seperti tetamu kehormat kecuali dia. Seorang pelayan lelaki membawa mereka berdua ke sebuah meja yang berhias mewah dengan sepasang lilin yang bernyala tenang. Lagaknya bagai hendak meraih pernikahan mereka yang tak seberapa itu. 

Sejurus duduk di meja makan,  pelayan yang berseragam kemas dan berwajah bersih itu melayan mereka dengan penuh tatatertib. Amr memesan makanan untuk mereka berdua yang hanya tiba setelah menunggu dalam masa dua puluh minit yang begitu menyeksakan hati Nika. Dia akhirnya memutuskan untuk memulakan perbualan yang dikhuatirinya mereka berdua menjadi bisu sepanjang hayat.

“Kenapa kau tak pulang semasa arwah Tuan Rahmad meninggal dunia?” soalan pertama yang dianggapnya sangat kejam sekali.

Amr tidak menyahut pada mulanya tetapi dia mendengar soalan itu. Bila Nika serius menunggu jawapan, Amr berhenti makan dan memandangnya sekejap, kemudian kembali pada makanannya lalu berkata dengan wajah serius. 

“Aku datang pada hari pengebumiannya. Lepas itu aku berada di rumah pak cik Rosli.”

Nika mengangkat keningnya dan mengangguk faham. Hatinya berbisik, oh.. pandai juga dia menjawab sambil bersedia dengan soalan seterusnya.

“Kenapa kau tak pulang sewaktu arwah Tuan Rahmad masih hidup dulu?”  tanya Nika lagi semakin berani.

“Arwah… dia datang ke sana.” 

“Ke mana?”

“New York.”

“New York?  Patutlah tak pernah nampak.” 

Jujur Nika merasakan yang mereka berdua bukan pasangan suami isteri kerana mereka sekarang seolah-olah rakan baru yang saling  mengenalkan diri masing-masing.

“Aku pun tak pernah nampak kau, sebelum ini aku cuma tahu tentang Irfan,” kata Amr dan hampir menghabiskan makanannya. 

Nika berasa gembira buat seketika bila Amr mengetahui serba sedikit latar belakang keluarganya. Dia tersenyum-senyum sambil memandang pinggannya.

“Apa yang lucu? Makanan tu?” tanya Amr tiba-tiba.

Nika menahan ketawanya. Kalau dengan Zakiah dia mesti ketawa besar mendengar pertanyaan Amr itu. “Tak…” jawabnya dan senyum lagi.

“Di mana kau selama ni?” Amr pula bertanya.

Perbualan mereka kembali serius.

“Aku tinggal di asrama sekolah. Lepas habis spm aku ambil kursus jururawat dan  tinggal kat asrama kolej. Empat tahun lalu aku kerja di HKL sebelum dapat berpindah ke sini.”

Giliran Amr pula mengukir senyuman tapi senget langsung tak padan dengan rupanya yang menawan.

“Penat ke? aku tengok kau tidur nyenyak betul di sofa tadi,” Amr kian rancak bercerita.

“Aku berdengkur?” tanya Nika sambil berharap tidak.

“Tak.” Amr menjawab. 

Dia mengeluh lega. 

“Tapi kau mengigau.”

Nika tersentak!

“Aku mengigau! Err … betul ke?” itu memang memalukan. Agaknya berapa lama Amr mendengar dia meracau petang tadi.

“Kau bercakap pasal wang. Kau perlukan wang?”

Yalah tu! Aduh…. Nika… bodohnya kau. Macam mana boleh terbawa-bawa sampai dalam tidur. Dia mimpi ayahnya datang minta wang, tak sangka pula dia sampai menyebut wang dalam tidurnya. Nika berusaha menyembunyikan perasaan malunya dan yakin yang dia bukan kemaruk dengan wang. Dia merasakan wajahnya kemerahan kerana malu pada Amr.

“Ya. Aku memang perlu wang.” 

Dahi Amr berkerut mendengarnya. 

“Wang untuk bayar hutang pada kau,” putus Nika tepat.

“Kau betul-betul mahu lari daripada aku?” soalnya dengan mata yang redup dan menyeringai memandang Nika sebelum berpaling ke lain.

Dia menunggu Amr terus berbicara mengenai perkara itu.

“Kau takkan dapat lari dari aku. Itu kesudahannya,” ujarnya tegas

Nika tersentak lagi dan merenung wajah Amr yang seperti tidak berperasaan dan tanpa sedikit pun rasa kesal berkenaan segala perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada mereka berdua.

“Sekalipun aku boleh menyelesaikan hutang itu?” Nika cuba mencari jalan yang lebih baik untuk menghindar dari terus terjerumus dalam kehidupan bersama lelaki itu.

“Aku dah katakan yang aku tidak perlukan wang kau.”

“Kalau begitu kita akan terus jadi seperti ini, macam orang asing,” nada Nika seakan berbisik menjelaskan masalahnya  pada Amr.

“Beri aku waktu untuk pulihkan semuanya,” ujar Amr lemah.

Nika semakin tidak mengerti. Dia berpenyakitkah? Apa yang hendak dipulihkannya?

“Amr… jangan sampai aku… kau, hingga kita masing-masing ada orang lain baru kita berdua hendak berdamai..” kata Nika diiringi satu perasaan yang sangat aneh, terbit mendadak dari gemuruh darahnya. Dia menghela nafas sesal kerana mengatakannya.

Tetapi… Amr, sebaik saja mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulut Nika rahangnya tiba-tiba mengeras dan urat-urat di tangannya terukir jelas ketika mengenggam kuat garpu. Matanya merenung tajam dan kemudian bingkas berdiri, dia meletakkan beberapa keping wang di atas meja sebagai bayaran untuk makan malam mereka yang teruk dan meninggalkan Nika yang ikut berdiri terpinga-pinga mengekori dari belakang. 

Amr terus keluar dari hotel tersebut.

Nika menuntun dari belakang dengan hati yang geram dan penuh kebencian. Amr melangkah laju sehingga menghilang entah ke mana. 

Di luar pintu masuk Amr tidak juga kelihatan, mungkin mengambil keretanya. Nika melihat ke sana-sini mencari kelibat Amr. Seorang pemandu teksi menawarkan perkhidmatan teksinya. Patutkah dia naik? Tetapi saat itu juga Amr muncul dan menarik lengannya. Mereka berdua berjalan dalam keadaan yang sangat terpaksa. Seolah-olah ada manusia halimunan yang cuba menyatukan mereka berdua untuk terus beriringan hingga ke tempat parkir.

Ketika Amr membuka pintu kereta menyuruh Nika masuk datang dua orang lelaki berjaket gelap menyapa Amr yang baru hendak berpusing ke tempat pemandu.

“Hei Am!” 

Tegur seorang lelaki yang sangat ramah kerana Nika melihat mereka saling bertepuk bahu.

“Cantik girlfriend kau,” kata lelaki itu lagi.

“Kawan.. dia kawan saya,” jawab Amr pada dua lelaki tadi dan sempat mengerling pada Nika yang dapat mendengar perbualan ringkas itu.

‘Kawan?’ 

Amr memperkenalkannya sebagai kawan sahaja. Jadi, Amr masih bujang di depan temannya sedangkan dia sudah menjadi milik orang. Baguslah tu! Amr lelaki dingin ini bukan saja menjengkelkan tetapi menyakitkan hati. Dia harus ada penjelasan untuk gelaran terbaru itu. Harus. Eh! Bukankah dia sepatutnya berasa lega mendengarnya?


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.