Bab 20

Tidak sampai tiga jam bekerja, hal dia sudah menikah diam-diam dengan Amr menjadi bahan bualan syif mereka. Belum hilang segala kerunsingan di hatinya dia dibebani masalah baru. Kemana-mana dia pergi, semua rakan sekerjanya sibuk bertanyakan hal tersebut. Nika tidak mampu untuk menyembunyikannya lagi sama seperti Zakiah yang tidak tahan hati untuk menyimpan rahsianya. Dia cuma boleh mengangguk dan mengiyakan kenyataan yang dia memang telah berkahwin dengan seseorang yang memandu kereta Range Rover. Mujurlah mereka tidak mengenali orangnya. Dan Nika berharap mereka tidak pula meminta untuk mengenali Amr... grrr... dia tak sanggup!

Pembongkaran status sudah berkahwinnya juga menyebabkan dia tidak boleh bekerja dengan betul kerana Dr. Ishak yang dijadualkan ke dalam syif mereka menggantikan Dr. Kumar menjadi orang yang paling bingung dan aneh kelakuannya. Lelaki itu sentiasa mencari ruang lapang supaya mereka berdua boleh bercerita lebih lanjut yang mana Nika sangat keberatan untuk menjelaskannya.

Bagaimanapun, dia tidak lagi dapat lari ketika syif bekerja tamat. Dr. Ishak berjaya menemuinya disebabkan dia terpaksa menunggu Amr yang mahu mengambilnya. Ketika itu dia sedang bersandar pada tiang bulat yang besar di depan pintu gerbang unit kecemasan tanpa Zakiah  yang  telah pun pulang.

“Kenapa awak rahsiakan?” soal lelaki itu, terus kepada pokok asal.

Nika menoleh sesaat dan kembali memandang jalan yang hangat membahang sambil menghela nafas panjang.

“Tak ada apa-apa. Saya perlu ikut kehendak suami saya, dia mahu kami percepatkan pernikahan kami sebab dia ada komitmen lain,” ujarnya berbohong serta-merta.

“Atau awak terpaksa lakukannya.”

 Dia membuka mulutnya mahu menjawab. Tapi kata-katanya mati dan sekadar menggeleng, tidak sanggup mengakui kebenaran pendapat Ishak. 

“Benar?” desak Ishak.

“Ya.” Akuinya lemah.

“Awak boleh beritahu saya sebelum ia berlaku, awak pun sedia tahu perasaan saya pada awak, kenapa awak boleh menerima keputusan tu,” luahnya kecewa dan ketawa kecil yang lebih menjurus kepada marah. “Patutlah, awak mengelak terus dari saya kebelakangan ni,” sambungnya lagi.

Kalau sahaja dia memiliki perasaan sama seperti Ishak, dia mungkin akan turut bersedih atas keadaan mereka. Tapi tidak.... dia cuma mampu bersimpati pada lelaki itu. Tidak lebih dari itu. Perasaan mereka berdua sekarang berlainan kerana Nika telah meletakkan rasa cintanya pada Amr. Dan Amr pula tidak layak untuk mengetahui hal itu. Jadi, apa situasi yang dihadapinya sekarang. Dia sendiri pun tidak mengerti.

“Saya percaya awak tak bahagia Nika..” kata Ishak berterus-terang dan sekali lagi dia benar.

“Bahagia atau tidak, itu urusan saya Ishak. Maaflah,” jawab Nika dan tersentak bila mendengar bunyi hon.

Amr sudah pun datang dan melihat dia dengan Ishak di situ. Walaupun Amr berkacamata hitam. Nika tahu, dia sedang memerhatikan mereka.


**


Memang betul tekaannya, Amr akan kembali bersikap dingin sebaik saja mereka pulang. Lelaki itu tidak menyatakan dengan jelas samada kerana dia cemburu melihatnya dengan Ishak tadi atau ada hal lain yang membuat dia begitu. Bagaimanapun dia berjaya menunjukkan wajah menyampah dan tak tentu anginnya. Sepuluh minit tadi Amr baru saja menyuruhnya menyiapkan makan tengahari yang lewat, sedangkan Amr tahu dia sepatutnya makan lebih awal memandangkan Nika pulang hampir petang hari ini. 

Dengan rasa jengkel, Nika menyiapkan makanan yang ditemuinya di dalam peti sejuk. Ayam masak merah rempah segera dan sayur timun sebagai ulam. Setelah siap, dia naik ke atas memanggil Amr turun makan. Bagaimanapun, lelaki itu langsung tidak menyahut dan enggan berpaling padanya di muka pintu. Dia lebih suka memandang rumput yang sudah memanjang di luar tingkap. 

‘Cuba bersabar Nika’ itulah kata-kata yang menjadi motivasi hidupnya setelah menukarnya dari ‘dreams come true’ sejak dua bulan lalu.

Tidak mahu memikirkan karenah Amr, Nika mengalihkan fikirannya membuat kerja memvakum lantai ruang tamu sambil berharap-harap dikurniakan kuasa sihir. Kalau dia boleh membuat sumpahan, dia mahu menyihir Amr menjadi lampu hiasan atau apa-apalah benda tidak bernyawa di dalam rumah itu supaya dia tidak perlu lagi melihat muka menjengkelkan Amr hari ini.

Ketika malam berlabuh, Nika bersembunyi dalam biliknya. Dia melancarkan mogok lapar terhadap Amr yang langsung tidak menjamah hidangan malam yang disediakannya. Sekarang, dia tidak tahu samada Amr sudah keluar atau masih ada di rumah... fikirnya ketika asyik membaca majalah di atas katil. 

Artikel buah delima yang ditulis berkesan untuk merawat beberapa jenis penyakit menarik perhatiannya hingga ketika berpaling ke kanan tangannya tak sengaja melanggar air mineral di dalam botol yang terbuka dan menumpahkan air ke atas karpet.

“Alamak... ish,” gerutunya dan kelam-kabut turun dari katil mencapai tisu dan mengelap air yang membasahi karpet. Deringan isyarat pesanan dari telefon tidak dipedulikannya hingga kembali senyap. Cepat-cepat dia mengeringkan air yang mula meresap di atas permaidani.

“Siapa dia?”

Tangan Nika serta-merta berhenti mendengar suara Amr. Dia mendongak dari bawah katil dan terpandang wajah serius Amr yang sedang membaca pesanan masuk di telefon bimbitnya.

“Dr. Ishak,” jawab Amr sendiri lalu berdengus. “Kawan atau ex?” tambahnya lagi.

Nika bingkas berdiri, mereka berdua kini di perantaraan katil, seorang di kiri, seorang lagi di kanan.

“Kembalikan,” Nika menuntut telefon di tangan Amr sekarang. “Apa kau mahu?” katanya bengang bila Amr enggan memberi handphone itu semula. 

Sebaliknya, Amr duduk di atas katil Nika dengan posisi separuh berbaring sambil tersenyum angkuh. 

“Temankan aku,” sahutnya malas sambil menepuk-nepuk tilam dan berkata lagi. “Duduklah di sini, aku perlu teman.... bukankah kau juga yang sarankan pada aku supaya jangan selalu bersendirian.”

Nika memutarkan matanya ke siling. Tidak tahu hendak berkata apa-apa lantas ikut duduk dengan sebiji bantal menjadi penghalang antara mereka berdua. Amr mengembalikan handphone, dia cepat-cepat menyambarnya dan membaca pesanan Dr. Ishak yang masuk tadi. Darahnya tersirap.. 

‘beritahu saya klu dia cuba apa2kan awak!’  Itu pesanan yang dikirimkan oleh Ishak padanya yang datang tepat pada waktu yang salah.

Dia mengerling Amr yang cuba berlagak tenang tapi sebenarnya tidak dan dia dapat merasakan kemarahan dari kata-kata Amr.  “Jadi, kau cuba dapatkan pakar nasihat untuk mengatasi masalah kita..” ujarnya tanpa memandang Nika.

“Apa? Tak!” Dia menggeram.

“Sedang mencari teman berbual tentang masalah rumahtangga?” soalnya lebih sinis.

“Kau mungkin tak perasan, tapi orang lain jelas melihat kalau aku tak bahagia, ada yang tak kena dengan aku!” balas Nika geram.

“Aku sudah bayar harga kebahagiaan kau Nika..”

“Oh.. Tuhan... begitukah caranya kau meletakkan nilai kebahagiaan Amr?” ucap Nika dan terlopong memandang Amr yang hanya memejamkan matanya. 

“Beritahu aku! Adakah aku tak berhak terhadap kau!” tiba-tiba saja dia berang.

“Aku tahu kau berhak sepenuhnya terhadap aku tapi aku juga tahu kita tak mampu melakukannya.”

“Jadi! Semudah itu kau lupakan aku!”

“Amr!! Apa kau cakap ni?” Nika mula bengang. 

“Apa hubungan  kau dengan lelaki tu?” 

Nika mendengus kuat dan mahu turun dari katil ketika Amr menangkap tangannya.

“Jawab Nika!”

“Tak ada apa-apa, puas!!” sahutnya marah.

Tapi tiba-tiba sahaja Amr seperti kegelisahan, nafasnya turun naik! 

Nika diragut bimbang. Dia tahu kenapa dengan Amr.

 “Tarik nafas Amr, tarik nafas panjang-panjang,” kata Nika sambil berlutut di sebelahnya  dan memegang dada Amr cuba merasakan degupan jantung yang berdegup laju. Berkali-kali Nika mengarahkan Amr menarik nafas dan menghembusnya perlahan sehingga keadaannya kembali normal. 

Amr kemudian bangun dan terus keluar dari biliknya. Tingkah pelik Amr itu bukan hal remeh pada Nika, kalau tidak diberi perhatian teliti ia akan membawa musibah. Bimbang hal semalam berulang Nika mengejar Amr yang telah menghilang dalam biliknya. Pintu dikunci dari dalam. Berkali-kali Nika mengetuk dan memusing-musingkan tombol pintu itu tapi Amr tetap tidak mahu membukanya.

“Amr! Amr!” panggil Nika berulang kali.

Dia kelam-kabut mencari kunci pendua di almari rak tv dan berlari semula ke pintu bilik Amr. Tangannya bergetar bimbang memasukkan kunci dan akhirnya terbuka. Amr duduk di hujung katil.

“Jangan dekat Nika...!” arah Amr serius.

Nika takut tetapi enggan menurut arahan. “Kenapa?” dia maju selangkah.

Amr kelihatan berperang dengan emosinya sendiri. Dia seperti kebingungan.

“Jangan dekat, aku tak mahu apa-apakan kau, tinggalkan aku sendirian,” pintanya dengan suara garau tanpa memandang Nika.

“Itu, tanda-tanda serangan anxiety disoder. Jangan fikir yang bukan-bukan, tak ada apa-apa yang perlu kau bimbangkan! Berhenti berfikir perkara yang buat kau takut. Aku tahu kau kuat. Kau dah sesakkan fikiran kau dengan hal yang tak keruan. Tarik nafas dan lapangkan hati..”  jelas Nika berhati-hati sambil memandang risau.

 “Beristigfar banyak-banyak, cuba solat, mohon pada Allah diberikan kelapangan hati. Jangan minum alkohol lagi ia akan memburukkan penyakit kau dan jangan makan ubat penenang, kalau tak... kau akan bergantung harap sepenuhnya pada ubat yang mendorong kau mengambil dadah nanti.” 

“Kau betul...” katanya lemah.

“Cuba fikirkan perkara positif.” Jelas Nika lagi pada Amr yang sedang cuba mengawal emosinya. Dia masih menarik nafas dalam-dalam. Nika mula mengerti, barangkali inilah hal yang dimaksudkan oleh Amr awal pernikahan mereka dulu. Beri dia waktu untuk pulihkan semuanya.

“Apa yang kau bimbangkan Amr,” soal Nika ingin tahu.

“Kehidupanku,” jawabnya perlahan dan tertunduk. 

Nika tidak memahami apa yang cuba Amr jelaskan tapi dia juga tidak inginkan penjelasan lanjut. “Macam mana kau kerja dalam keadaan begini?”

“Ubat penenang. Kadang-kadang perasaan itu hilang bila aku kerja atau bila aku fikirkan kau...”

Nika tersentuh mendengar pengakuan yang keluar dari mulut Amr malam itu. Sebenarnya ucapan itu sangat menyenangkan hatinya sendiri, sekurang-kurangnya dia tahu yang Amr menyayanginya. Cuma situasi mereka berdua sangat mengelirukan. Terutamanya keadaan Amr yang hidup dalam kecelaruan fikiran. Bagaimanapun Nika cuba menguatkan semangat untuk mengatasinya. Dia tahu apa yang Amr takutkan. Hubungan mereka yang seakan tidak punya jalan keluar ini mungkin membuatkan Amr lebih banyak berfikir dan nama Dr. Ishak yang dilihatnya terpapar pada skrin telefon tadi mungkin telah membuat perasaannya semakin bercelaru. Mesti ada punca mengapa Amr menjadi begitu, dia perlu mencari puncanya. 

“Ada memori masa silam yang  buat kau jadi beginikan,” duga Nika lebih jauh. 

Amr mengangkat muka memandang Nika. Matanya sayu, tulang pipinya termasuk membuatkan raut wajahnya seperti dilukis dengan begitu sempurna.

“Perkara silam tu akan buat kau takut Nika, aku tak mahu mengenangnya lagi,” kata Amr lalu menunduk dan menghela nafas yang tersangkut.

Nika berlutut di depan Amr, dia mahu meredakan kegelisahan lelaki itu. Membiarkan Amr terkontang-kanting sendirian akan memburukkan lagi keadaannya.

“Luahkanlah apa yang kau pendamkan, itu lebih baik,” kata Nika.

Bunyi telefon bimbit Amr mematikan perbualan mereka. Amr mengeluarkan telefon dari poket seluar. Dia menjawab sambil jari telunjuknya mengurut dahi, dia sekadar menyahut ‘ya’ dan ‘sekejap aku sampai’ kemudian talian ditutup.

“Kau boleh tinggal seorang?” tanya Amr janggal.

“Tak apa aku dah biasa,” jawabnya.

“Aku ada kerja.”

“Ok ... err.... hati-hati,” ucapnya tersekat-sekat dan melihat saja Amr keluar dari pintu tanpa menoleh padanya lagi.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.