Bab 10

Satu lagi rencana rompakan yang hendak dilakukan di sebuah bank gagal bila van yang membawa empat orang lelaki yang terbabit dalam pelbagai kes jenayah diserbu sebelum tiba ke bank yang mereka rancangkan iaitu CIMB bank. Kesemua lelaki dalam van itu ditangkap atas maklumat penuh perisik yang berjaya membongkar rancangan jahat tersebut. 

Malas membaca berita selanjutnya Nika meletakkan kembali suratkhabar itu di atas meja ruang tamu dan masuk ke dapur hendak menjamu makan malam ala kadar disediakan maknya yang mungkin masih sibuk di rumah besar. Dalam keadaan berwaspada selepas apa yang berlaku semalam dia tetap meneruskan aktiviti rutinnya. Bagaimanapun, dia tidak dapat menafikan hatinya bimbang sendirian di dalam rumahnya, kejap-kejap dia akan mengintai ke luar.

Setakat ini cuma laman kosong sahaja yang terbentang di luar sana. Ketika dia menceritakan hal itu pada mak, mak turut bimbang dan bercadang lebih baik kalau mereka laporkan perkara itu pada polis. Tetapi, betul lah kata Amr, dia tak ada bukti malah tak kenal pun siapa dua lelaki semalam tu. 

Kalau ayahnya kena siasat pun belum tentu ayah senang-senang mahu mengaku pada polis dan cakap ‘ya memang dia nak jual anak sebab nak tutup hutang.’ Bukannya ayah bodoh sangat nak kena tangkap biar pun dia memang berotak tepu.

Masa tempat kerja tadi, tak juga dia bimbang pasal ni. Tetapi sebaik berada di rumah tak semena-mena dia gelisah dan takut sendirian.

Di saat benaknya masih dipenuhi cerita-cerita dari suratkhabar dan nekad mahu membuat laporan polis tiba-tiba dia dikejutkan dengan ketukan bertalu-talu dari pintu depan. Suara ayahnya memekik kuat memanggil namanya berkali-kali. Antara nekad mahu memarahinya ayahnya dan takut ditangkap Nika membukakan juga pintu dengan mood yang mendadak teruknya.

“Apa lagi ayah mahu!” tempelaknya sebaik membuka pintu. Nasibnya masih baik sebab ayahnya balik seorang diri selepas tiga hari tak balik. Tidak ada lelaki lain bersamanya. Bagaimanapun kemunculan ayahnya memang selalu menyakitkan hati, dia benci bila menghidu bau arak yang merebak pantas di muka pintu.

“Mana mak kau!” ayah meredah masuk mencari isterinya.

“Mak tak ada!” pekik Nika berang ketika ayahnya memeriksa rumah kecil mereka seperti pegawai polis mencari penjenayah yang bersembunyi.

“Jangan tipu Nika! Dia di rumah besar kan!” tidak puas hati, ayahnya kemudian keluar semula dan menghayun langkah pantas menuju ke rumah besar. 

Nika yang gerun dengan tingkah ayahnya yang sedang mabuk itu lantas menyusul dari belakang, dia harus menghalang ayahnya dari membuat hal di rumah Amr pula. 

“Ayah…! Ayah mak tak ada di situ!” pekik Nika kuat sambil berlari, dia hampir terjatuh bila kakinya tersandung batu. 

Ayahnya langsung tidak peduli terus berjalan lebih laju. Beberapa langkah lagi mereka akan sampai ke pagar halaman belakang. Nika semakin tidak sedap hati. Angin awal malam itu bertiup laju dan terasa hangat sepanjang dia berlari. 

Emak muncul dari pintu belakang dan berlari mendapatkan ayahnya yang terus berteriak. Nika berdoa dalam hati semoga Amr tidak berada di dalam rumah besar itu sekarang.

“Ros! Ros aku perlu duit Ros..! Mereka akan bunuh aku kalau aku tak bayar hari ni.. tolonglah Ros…” rayu ayahnya sambil memegang tangan emaknya.

“Maaflah ayah.. tapi ini bukan masalah kami! Pergilah dari sini..!” kata Nika geram. 

Sekarang ini mereka bertiga betul-betul berada di belakang halaman rumah Amr dan saling bertengkar dengan suara yang kuat.

“Mana saya nak cari duit Zali... dari dulu lagi awak tahu kita tak ada wang,” jawab emak dan cuba menarik tangan ayahnya pergi dari situ.

“Mana rantai emas yang Tuan Rahmad beli dulu.. beri pada aku!” desak ayah.

“Bukankah awak dah gadai!” rintih emak hampir menangis. 

Nika semakin risau.

“Aku ingat kau dah tebus balik rantai tu. Nika… mana kau simpan rantai tu,” ayah berpaling padanya pula dengan muka merayu yang tidak tahu malu.

Nika hanya mampu meredam perasaan marah hingga dia tidak mampu berkata lagi. Suara guruh dari langit di kejauhan menyahut pertengkaran mereka.

“Rantai tu dah tak ada… sudah! Pergilah dari sini, awak tu mabuk.. tak malukah dengan perangai buruk awak..”

“Tidak!” bantah ayah.

Tiba-tiba ayah menerpa Nika dan menariknya ke dakapan lalu mencekik leher Nika dengan tangan dan sebilah pisau lipat ditusuk ke lehernya.

“Razali!!!” jerit emak bimbang. “Lepaskan Nika! Itu anak awak!” mak melangkah ke depan mahu menghalang.

Seperti orang kerasukan setan ayahnya berundur ke belakang dengan Nika tercekik tidak mampu melawan. Dia hampir-hampir tidak bernafas dan meronta-ronta dalam cengkaman kuat tangan ayahnya.

“Berikan aku wang atau aku jual Nika pada Samuel! Beritahu mana rantai tu..!” ayah merapatkan lagi ancamannya. 

“Ayah…” rayu Nika dengan perasaan gerun ketika mendengar nama bapa ayam yang pernah didengarnya dari cerita Husin.

“Razali! Tolonglah…. lepaskan Nika,” rayu emak lagi hingga berlutut di depan ayahnya yang berbau arak itu. 

Angin berhembus kuat. Awan gelap meliputi dada langit mungkin memberi petanda musibah bakal tiba. Nika sedaya upaya meronta hendak melepaskan diri dari cengkaman ayahnya.

“Lepaskan dia!” bentak satu suara asing. 

Mereka bertiga serentak berpaling. Nika tidak percaya melihat Amr muncul di situ. Pandangan tajamnya terpana tepat kepada ayah. Nika berasa sangat malu tetapi dalam keadaan terdesak begitu cuma Amr yang bisa diharap untuk menolongnya.

“Lepaskan dia!” desak Amr lagi lebih tegas dengan nada mengancam.

“Tidak! Sebelum perempuan dua ni tak bagi aku wang!” kata ayahnya. 

Nika menjerit kecil, lehernya terasa pedih dengan tusukan pisau yang masih terhunus. Wajah Amr kelihatan bimbang. Rahang pipinya bergerak-gerak. 

Airmatanya menderu memohon simpati ayahnya supaya tidak memperlakukan dia sedemikian rupa di hadapan Amr.

“Saya akan berikan awak wang tapi lepaskan dia!” kata Amr jelas. “Berapa awak mahu!”

“Dua puluh ribu! Tunai!” sahut ayahnya.

Serentak dengan rengekan emak. “Jangan tuan!” pekik emaknya.

Tetapi Amr langsung tidak mempedulikan bantahan mak, dia terus masuk semula ke dalam rumah. Nika berharap benar moga-moga lelaki itu keluar dengan senapang patah dan mengusir ayahnya dari situ. Namun sangkaannya meleset dia mengerang kecewa. Apa yang diharapkannya tidak berlaku ayah mengekeh kemenangan melihat satu ikat wang dalam not seratus di tangan Amr.

“Ambil wang ini lepaskan dia..!” Amr menghulurkan wang tersebut.

Dengan muka tidak tahu malu ayah merampas wang itu dari tangan Amr kemudian dia menolak Nika ke arah emak hingga mereka berdua terjatuh di atas rumput dalam keadaan benar-benar terhina.

“Dia tak boleh bayar..” suara Nika serak, matanya basah merayu pada Amr agar mengambil balik wangnya.

“Tolonglah tuan.. kami tak mahu berhutang, biarlah suami saya uruskan perkara tu,” emak mencelah. Nika memegang tangan emak dan membawanya bangun.

“Kalau begitu Tuan ambil anak saya Nika sebagai bayarannya, tuan boleh jual atau buat apa saja..” kata ayahnya. 

“Ayah!!” jerit Nika lebih nyaring. Tergamak betul lelaki itu berkata begitu.

“Tergamaknya awak Razali!!” maknya memekik terkejut. 

Amr merenung muka lelaki tua tidak sedar diri itu dengan mata yang galak.

“Saya pun tak mahu lagi berhutang dengan sesiapa jadi tuan boleh ambil dia sebagai bayarannya lepas ni kita tak ada apa-apa hutang lagi..” kata ayah yang langsung tidak memandang pun pada Nika dan emak. Dia cuma melihat wang itu dengan riak gembira.

“Kenapa dengan awak ni Zali! Pulangkan wang tuan Amr!” kata maknya yang benar-benar malu dengan keadaan mereka di depan majikannya.

“Saya akan mengahwininya..” 

Dalam sayup-sayup gerimis yang menempias ke muka Nika terkejut mendengar kata-kata Amr.

Nika mengangkat muka dan berpaling pantas, memandang Amr yang turut merenungnya. Renungan lama dan dalam. Penuh emosi yang tidak jelas. Jawapan Amr benar-benar mengejutkan selepas dari tadi dia mendengar sahaja mereka anak beranak saling berbantah.

“Saya tidak perlu bayar balik..” ujar ayahnya dan Amr menyahut.

“YA!” dengan matanya masih tetap pada mata Nika. “Dengan syarat..!!” Amr mengalihkan pandangannya pada lelaki pemabuk yang tidak sedar diri itu lagi tapi bersedia menunggu syarat seterusnya dari Amr.

“Pergi dari sini! Saya tidak mahu melihat kamu berada di rumah itu lagi ataupun di kawasan ini!” perintahnya tegar. 

Ayah mengangguk-angguk dan tersengih. Baginya itu syarat paling mudah.

“Saya akan serahkan kamu pada polis jika kamu kembali ke sini lagi! Faham!”

“Baiklah… baiklah..”

Nika memandang geram pada kedua-dua lelaki itu. Apa yang hendak dikatakannya sekarang mereka telah menyelesaikan satu masalah dengan mencipta satu lagi masalah baru. Dia benci ketika ayahnya hanya mengekeh ketawa. Dia berang kerana mereka melakukannya seperti barang dagangan. Lantas keberangan itu mendorongnya menuntut hak dari ayahnya juga. Dia juga mahu membuat tuntutan.

“Satu perkara lagi ayah…!” tiba-tiba dia bersuara sebelum ayahnya pergi. Dia maju selangkah  mahu turut serta dalam perjanjian itu. 

Amr berpaling merenungnya, renungan sama sewaktu mereka di hospital tempohari dan sedang menunggu apa yang mahu dikatakannya. Nika tidak lagi peduli apa akan berlaku selepas ini kerana dia mahu perkara yang sudah berlanjutan lama ini benar-benar selesai dan dia tidak lagi dikejar oleh masalah yang sama. Dia memandang muka ayahnya dengan pandangan benci yang terpatri kuat dalam hatinya. Dengan nekad Nika berkata.

“Lepaskan mak… Nika akan ikut semuanya. Nika akan bayar hutang ayah itu! Tapi tinggalkan mak dan jangan pernah jumpa kami lagi. Anggaplah kami sudah mati dan hari ini, hari terakhir kita bertemu..” kata Nika muktamad. Dia memegang tangan emaknya kuat.

Ayahnya hanya mengangguk dan mengekeh ketawa sebelum pergi melangkah dengan tidak stabil langsung tidak peduli akan keadaan dia dan isterinya.

Suasana kembali senyap. Tiada lagi suara saling membentak, merayu mahupun menghalang. Nika sekali lagi menjadi perenung dada langit yang telah menitiskan titisan hujan renyai sambil memikirkan semua hal yang tidak masuk akal bila difikirkan semula. Adakah cara untuk berundur dari perjanjian ini. Adakah Amr cuma menipu ayahnya supaya ayah pergi dari rumah – kalau begitu bukankah lebih baik.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.