Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 18

Bab 18

ISNINhari penuh tekanan untuk kembali bekerja. Tetapi berbeza dengan Ila yang akan memulakan pengalaman baru pada hari itu. Dari ekor mata, Hakimi mencuri pandang wajah Ila. Semula jadi seperti selalu, bisik hatinya. Dia suka dengan penampilan sederhana Ila yang tidak bersolek tebal.

Ila memandang cermin hadapan kereta. Dia melepaskan keluhan. Berdebar betul menghadapi semua itu, bagaikan hendak masuk ke dewan peperiksaan.

“Dah lama saya nak tanya awak.” Hakimi bersuara.

“Tanya apa?” Ila menoleh.

“Awak pakai minyak wangi apa, eh?” tanya Hakimi.

Hugo Purple. Kenapa?” beritahu Ila. Dia memang suka bau lavender bercampur nilam itu. Kali pertama mendapatkan minyak wangi itu melalui peraduan anjuran majalah Nona. Selogannya terpilih antara yang terbaik dan dia dihadiahkan sebotol HUGO PURPLE. Semenjak itu melekatlah jenama minyak wangi itu di hatinya.

“Saya suka bau dia,” beritahu Hakimi. Itu kata hati Hakimi. Tetapi rasanya kalau Ila menyembur minyak cap kapak ke badan pun, Hakimi kata wangi. Hatinya semakin tidak betul kebelakangan ini.

Ila tersenyum. Pandangannya beralih ke depan. Memerhati fenomena yang bakal menjadi perkara harian dalam hidupnya beberapa bulan ini. Kesesakan lalu lintas.

Sebaik turun dari kereta Ila menarik nafas lagi, menahan debar di dada. Hakimi dipandang seketika. Hakimi turut memandang.

“Dah sedia?” tanya Hakimi.

Ila mengangguk. Tidak sedia pun kena paksa diri juga. Dia sudah melangkah ke situ.

Mereka menuju ke lif.

Mata Ila terpaku pada perkataan Maniera Grup Sdn Bhd. Biar betul dia akan bekerja di situ?

Hakimi sengaja melangar sedikit bahu Ila dengan badannya. “Kenapa?” Hakimi angkat kening.

“Betul ke syarikat ni?” tanya Ila tidak percaya.

Hakimi mengangguk. “Betullah. Takkan syarikat keluarga saya pun saya tak kenal,” ujar Hakimi.

Hah?” Ila terperanjat besar.

Hakimi buat pandangan pelik. “Apalagi ni?” tanya Hakimi buat-buat tidak faham. Dalam hati terasa bangga kerana dirinya sebahagian daripada Maniera. Itulah, dahulu dia sudah cakap jangan pandang dia sebelah mata hanya kerana dia tidak bekerja, bisik hatinya ala-ala meniru gaya lagu Diva Anita Sarawak.

Ila menelan air liur. Biar betul Hakimi ini salah seorang daripada keluarga pemilik syarikat majalah terkenal ini. Huhuhu... tak mungkin. Dia bermimpi ni. Tetapi kalau mimpi, kenapa kakinya terasa sakit dipijak kaki sendiri?

“Hmm...” Ila rasa hendak balik. Tengoklah penampilannya. Huk huk huk... tidak sesuai langsung untuk bekerja di situ. Dua tiga orang pekerja lelaki dan perempuan yang sama-sama menunggu lif semuanya kelihatan bergaya. Dia dengan baju kurung sahaja. Tidak ubah seperti budak kampung yang baru datang ke bandar. Tapi rasanya budak kampung zaman ini pun sudah tidak berpakaian begitu.

“Dahlah, jom.” Hakimi terus menyeret lengan Ila.

Terpaksa juga Ila masuk ke dalam lif. Dalam lif, dia asyik diperhatikan. Tidak selesalah dipandang begitu. Dia makhluk asing ke? Teruk sangat ke penampilannya? Ini semua salah Hakimi. Kenapa lelaki itu tidak memberitahu latar belakang tempat kerja mereka? Tapi sebenarnya dia pun bersalah. Siapa suruh tidak meringankan mulut bertanya. Uwaaa... nak balik!

Sampai depan bilik Mira, Zalikha menyuruh mereka duduk, menunggu kedatangan Mira. Ila dan Zalikha berbalas senyuman sebelum duduk di ruang menunggu bersama Hakimi.

“Encik Hakimi nak minum apa-apa ke?” tanya Zalikha,ramah. Manalah tahu untung nasibnya dipandang Hakimi, menjadi cik puan nanti.

Hakimi menggeleng.

Zalikha tersenyum lagi sebelum berlalu ke mejanya.

Ila meliarkan matanya. Ruang pejabat itu kelihatan unik dan berbeza dengan ruang pejabat yang biasa dilihat. Suasananya seperti sebuah kafe dengan pengunaan pelbagai warna yang sesuai. Sempat juga Ila melihat penyambut tetamu yang sedang mendengar radio sambil makan. Nampak gayanya cara bekerja di situ bebas. Mungkin asal kerja siap cukuplah.

Melihat Mira tiba, Hakimi mencuit lengan Ila. Mereka bangun menyambut kedatangan Mira.

Mira berdiri di hadapan mereka sambil tersenyum memandang Ila. “Ini ke kawan Kim?” tanya Mira. Matanya sudah beralih ke jam di tangan. Dia sedang diburu waktu.

“Ha’ah...” jawab Hakimi.

“Kak Mira tak ada masa ni. Ada mesyuarat penting,” beritahu Mira dengan muka serius. “Zalikha, panggil Shasha,” arah Mira. “Akak rasa Kim tengok dulu apa yang Kim boleh buat hari ni. Kejap lagi Zalikha akan tunjukan bilik Kim. Nanti petang akak jumpa Kim,” beritahu Mira.

“Puan,” sapa Shasha sebaik berdiri di sebelah Mira. Sempat juga dia melirik kepada Hakimi walaupun Hakimi buat bodoh dengan kehadirannya di situ. Dia tahulah dia bersalah kerana lancang menutur kata tempoh hari. Tetapi Hakimi janganlah hendak emosi sangat.

“Sha, awak tolong bawak dia jumpa Bella,” arah Mira sambil memandang Ila.

Shasha mengangguk dan memberi isyarat kepada Ila untuk mengikutnya.

Ila akur. Sambil mereka berjalan, Ila mencuri pandang apa yang sempat dilihatnya.

You dengan Encik Hakimi tu ada hubungan apa?” tanya Shasha. Dari tadi dia melihat mereka datang bersama dan bersembang mesra. Jika tidak saling mengenali tidak mungkin Hakimi yang ‘berangin’ itu melayan gadis itu dengan baik.

“Hah?” Ila menoleh.

Shasha tersengih. “Opsss...” Dia menutup mulut dengan tangan. “Bukan nak menyibuk, saja nak kenal lebih dekat,” tambah Shasha. Tetapi dalam hati andai boleh bergosip pasti dilakukan. Alah, bosan-bosan duduk di meja penyambut tetamu itu apa salahnya membuka cerita pengarah kreatif baru Maniera dan gadis itu. Pasti ramai kakitangan mahu mengetahui cerita mengenai pengarah kreatif mereka yang tampan bergaya dan berlagak itu.

Ila tersenyum. “Nama saya Ila Nadirah. Panggil aje Ila.”

“Saya Shasha,” balas Shasha. Mereka berhenti berjalan. “Awak tahu, tempat yang awak nak kerja tu best. Boleh bersenang-lenang,” beritahu Shasha.

Ila memandang Shasha penuh minat. Tetapi lebih dahulu Shasha menekan butang lif ke tingkat atas.

“Kat situ macam Syurga,” beritahu Shasha. “Kat situ tempat simpan barang-barang yang disponsor syarikat-syarikat iklan. Contoh pakaian berjenama. Kalau sesak-sesak nak melaram, bolehlah ambil kat situ dulu. Tapi pandai makan, pandailah simpan,” jelas Shasha.

Ila mengangkat kening. Menarik. Sudah lama dia hendak melihat rekaan pakaian daripada jenama terkenal dengan lebih dekat.

Mereka keluar dari lif. Shasha tersengih dan menyiku sedikit badan Ila.

“Nanti kalau I perlukan baju untuk berparti, bolehlah you tolong seludup keluar, ya,” ujar Shasha bersahaja.

Ila sedikit terlopong. Kerja pun belum mula, Shasha sudah menyuruh dia bersikap tidak amanah. Apa ni? Protes Ila dalam hati.

“Kita dah sampai. Tapi kat sini you kena berhati-hati dengan musuh nombor satu I. Cdan, si tukang jahit lorat tu,” beritahu Shasha. Dia memang tidak sebulu dengan Cdans.

“Hah?” Ila mengerutkan dahi. Kenapa pelik sangat nama tu? Tidak sabar dia mahu melihat siapa Cdans yang dimaksudkan Shasha. Tukang jahit? Perempuan ke?

Welcome to haven,” ucap Shasha. Pintu besar ditolak.

Ila mengikuti Shasha masuk. Sibuknya suasana di situ. Tetapi penuh glamor. Kelihatan beberapa orang model sudah disolek rapi sedang duduk berbual sesama mereka.

“Pintu kanan tu ke bilik solek. Kalau rasa-rasa nak make over diri, bila-bila free bolehlah minta stylish kat situ tolong. Idulu pun masa mula-mula datang macam you. Sekarang tengoklah.” Shasha buat gaya mengedik. Menayang rupa parasnya yang sudah berubah glamor.

Ila tersenyum. Budak baru tidak boleh banyak bercakap. Walaupun sebenarnya teringin hendak bercakap.

“Tempat kerja you, kat pintu sebelah kiri ni.” Shasha menolak daun pintu kayu yang besar itu.

Bilik yang sangat luas dengan rak-rak dan beribu helai baju yang tersangkut itu buat Ila terpegun. Banyak betul baju, kasut, beg tangan dan aksesori lain. Fuhhh... Dia hanyut dalam khayalan. Tidak sedar seorang wanita berusia lingkungkan 40-an menghampiri mereka.

“Ila, yang ni Kak Bella. Dia penyelia kat sini. Sekejap lagi dia akan ajar you apa nak buat,” beritahu Shasha.

Ila memandang Bella yang masih anggun tu.

“Hai,” Bella menghulur tangan.

“Hai,” balas Ila sambil mesra. Dari wajah Bella yang kelihatan seperti pan-asia dan nama lengkapnya ‘Issabella’ yang terlekat di baju, Ila meneka wanita itu bukan beragama Islam. Pakaian Bella juga menterjemahkan siapa dirinya. Mata Ila terhenti pada rantai kecil di leher Bella. Ada lambang keagamaan orang Kristian di situ.

“Kat sini kita akan bekerja seperti keluarga. Kalau ada apa-apa masalah, boleh berbincang,” beritahu Bella mesra. Dia antara penyelia yang baik hati dalam Maniera. Selalu menjadi kawan kepada rakan sekerja lain tidak kira apa jawatan mereka.

Ila tersenyum senang.

“Kak Bella, tak ada apa-apa ke?” tanya Shasha. Setiap kali ke situ, dia berharap ada sesuatu yang boleh di bawa pulang.

“Hmm...” Bella herotkan mulut. “Kejap,” beritahunya kemudian. Pantas dia ke belakang.

Shasha tersenyum meleret. Adalah habuannya itu.

“Nah,” hulur Bella. Skirt edisi musim luruh rekaan Chanol diberikan. Nasib baik dia belum memasukan ke dalam kotak untuk dihantar keluar.

Shasha melompat kesukaan.

Ila memandang tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Okey, pergi dulu,” pinta Shasha sebelum terus menghilang.

Bella tersenyum dan menggeleng. “Macam tulah kerja kita orang kat sini. Kadang-kadang tolong seludup pakaian yang dah tak diperlukan lagi. Daripada dibuang selepas enam bulan, elok kami pakai, kan?” beritahu Bella.

Ila tersenyum.

“Nama kau apa?” tanya Bella.

“Ila Nadirah,” beritahu Ila.

Bella mengangguk. “Jawatan kau kat sini sebagai kerani kaunter. Jom akak beritahu tugas kau,” ajak Bella. Tetapi dia berhenti memandang Ila sebaik terdengar pintu ditolak masuk. Muncul seorang lelaki.

“Yang tu Cdans. Dia bukan mak nyah, tapi spesis lelaki lembut. Cerewet sikit tapi okey,” beritahu Bella.

Ila memandang Cdans. Ketika mata mereka bertentangan Cdans mengalih pandangan walau Ila tersenyum padanya. Lelaki rupanya, bisik hati Ila.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.