Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 14

Bab 14

ESOK Hashim akan terbang ke Sabah, menikmati keindahan alam di Pualu Semporna. Dia ingin melupakan kisah duka penuh luka dalam jiwanya. Dia duduk di atas katil bertemankan Hakimi. Sejak akhir-akhir ini, hanya Hakimi tempat dia meluahkan rasa hati.

“Lama ke abang nak pergi?” Hakimi memandang beg besar yang terletak di atas katil. Nampak gayanya memang Hashim akan pergi lama.

“Tak tahu lagi,” jawab Hashim. Gitar di tangan Hakimi diambil. Talinya dipetik tanpa tujuan. Irama yang kedengaran tidak ubah seperti kehidupannya yang kehilangan not-not lagu yang indah. Kerana perempuan kehidupannya bercelaru. Dia perlukan waktu untuk mengutip semangatnya yang hilang.

“Kim rasa nak tolong Kak Mira sementara abang bercuti,” beritahu Hakimi. Sebenarnya dia sendiri ada perancangan lain. Semoga kakak sulungnya itu akan bersetuju.

Hashim tersenyum.

“Tapi... ada tak jawatan kosong sementara?” risik Hakimi.

Hashim berfikir seketika walau sedikit pelik dengan pertanyaan Hakimi. Sudah berubah fikiran ke adiknya itu. “Ada rasanya. Kerani yang uruskan rekod barang keluar masuk bilik pakaian tu dah nak bersalin. Sebelum dia cuti, syarikat memang perlukan penganti sementara,” jelas Hashim.

Hakimi tersenyum lebar. “Bolehlah selit kawan Kim kat situ.” Siaplah gadis arnab tu. Dia akan heret gadis arnab itu ke Maniera.

“Boleh. Tapi kena tanya Kak Mira dululah,” kata Hashim.

“Okey.” Hakimi bersandar di kepala katil dan bersiul senang hati.

Hashim tersenyum. Dia menggeleng. “Esok Kim hantar abang pergi KLIA, ya?” pinta Hashim. Siapa lagi yang hendak diharapkan kalau bukan Hakimi. Keluarga mereka memang tiada mengajikan pemandu peribadi.

No hal lah. Balik nanti boleh Kim singgah pejabat. Jumpa Kak Mira.” Hakimi tersenyum. Kepalanya asyik membayangkan Ila. Dia kenapa sebenarnya?

Alah, telefon aje kan senang. Nak pergi pejabatlah pulak.” Hashim mengerutkan dahi. Rasanya adiknya hendak bekerja kerana sudah mengenali seseorang yang menarik minatnya hendak bekerja. Jika tidak berbuih hendak menyuruhnya bekerja. Beribu alasan diciptakan. “Kau nak kumpul duit hantaran ke?” usik Hashim.

Hah?” Kepala Hakimi sedikit terangkat. Dia terperanjat.

“Tiba-tiba aje bersungguh sangat nak kerja. Mesti ada sebab ni,” duga Hashim.

“Bosanlah, bang. Hari-hari tak ada apa nak buat. Kawan-kawan semua dah ada kehidupan masing-masing,” dalih Hakimi. Sebenarnya dia memang mahu bekerja kerana Ila. Dia tidak tahu kenapa hatinya mula mahukan gadis arnab itu selalu dekat dengannya.

SEMINGGUtidak bertemu, Ila dan Andrew bersiar-siar di taman rekreasi Bandar Botanic yang bersebelahan taman perumahan mereka.

Sambil mereka berjalan dan berbual, Ila mencuri pandang muka Andrew. Dia senang dengan sikap sopan Andrew.Tidak seperti Hakimi yang suka mencari pasal dengannya.

“Jom kita duduk sana,” ajak Andrew.

Ila mengangguk. Mereka berjalan seiringan ke bangku batu di bawah pohon kayu yang tegak merendang.

“Tadi saya nak join budak-budak tu main bola keranjang,” beritahu Andrew sambil memandang ke arah beberapa orang remaja lelaki yang sebangsa dengannya sedang bermain di gelanggang bola keranjang taman itu.

Ila memandang. Memang itu aktiviti setiap petang remaja berbangsa Cina di situ. “Oh, kenapa tak pergi?”

“Tak laratlah... panas,” adu Andrew sambil tersenyum.

Ila turut tersenyum.

“Ila, malam ni nak keluar tak?” ajak Andrew.

“Nak pergi mana?” tanya Ila.

Clubing?” cadang Andrew.

Ila kerut dahi. Ampun! “Saya tak pergi tempat macam tu,” beritahu Ila. Gila! Kalau dia beritahu Hanim mereka terkinja-kinja di kelab malam, mahu dikurungnya nanti. Seumur hidup belum sekalipun kakinya melangkah ke tempat seperti itu.

“Oh, minta maaf. Saya fikir awak tak kisah.” Andrew rasa tidak sedap hati.

Ila tersenyum.

“Kalau karaoke macam mana?”

Ila diam berfikir.

“Kita pergi awal, kita balik awal. Mungkin sejam dah cukup,” tambah Andrew.

“Kat mana awak nak pergi?” Ila memandang Andrew. Kalau dekat mungkin ada harapan. Kalau jauh lupakan ajelah.

“JJ,” beritahu Andrew.

Ila menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba salah juga hendak mengatakan tidak.

Hmm... awak tanyalah mak cik saya. Kalau dia bagi, bolehlah pergi. Kalau dia tak bagi, awak karaoke kat rumah saya ajelah,” beritahu Ila.

Andrew mengangguk dan tersenyum.

“Jom joging. Dah redup sikit ni.” Ila melihat langit. Cahaya matahari yang hangat menyimbah bumi mula berkurangan.

Andrew menghulurkan tangan mahu menarik Ila bangun.

Ila memberi isyarat untuk bangun sendiri.

Mereka berlari perlahan menyusuri jalan kecil.

PENAT Hakimi menunggu. Selalunya selepas jam 9.00 malam, Ila akan berdiri di balkoni biliknya sambil mengira bintang di langit. Ila suka bintang. Sampai Hakimi terfikir mahu membawa gadis itu mengira bintang dari laut satu hari nanti. Ila pasti suka melihat dada langit yang dipenuhi dengan berjuta butiran bintang. Tetapi gadis arnab tu pergi mana? Kenapa malam ini dia tidak muncul?

Letih keluar masuk dari biliknya ke balkoni menunggu Ila, Hakimi berbaring di atas katil. Lama-lama dia kebosanan. Entah kenapa, tidak dapat megusik gadis arnab itu sebelum tidur hatinya menjadi tidak tenang.

Ah, tak boleh jadi ni! Dia mesti lakukan sesuatu untuk melupakan gadis itu.

Telefon bimbit atas meja di tepi katilnya dicapai. Nombor telefon Dion didail.

NAK nyanyi lagu apa ni?” tanya Andrew sebaik mereka masuk ke salah sebuah bilik karaoke Green Box yang disewa di dalam bangunan AEON Bukit Tinggi itu.

“Setiap orang kena pilih dan nyanyi lima lagu,” beritahu Ila. Lama juga dia tidak berkaraoke. Apa salahnya malam itu mereka bergembira sehingga suara menjadi serak.

“Saya tak pandai nyanyi lagu Melayu,” beritahu Andrew dengan muka bersalah. Dia yang mengajak Ila berkaraoke tetapi bermasalah pula hendak memilih lagu. Andai dinyanyikan lagu-lagu Cina kegemarannya, pasti Ila tidak faham.

“Nyanyi aje lagu Cina. Kita orang faham,” beritahu Ila sambil memandang Seira dan Aril. Mujurlah ada sepupu-sepupunya sebagai peneman. Jika tidak pasti dia dan Andrew berkaraoke di ruang tamu rumah Hanim sahaja.

Sepupu-sepupunya itu tersenyum dan mengangguk.

“Tak baiklah macam tu. Kamu semua tak faham. Saya nyanyi lagu Inggeris ajelah,” kata Andrew.

“Okey.” Ila menaikkan jari menunjukkan isyarat okey.

Bila sudah banyak sangat terjerit, terlolong test vokal dalam tu mulalah masing-masing haus. Botol mineral yang bersusun atas meja dicapai seorang satu. Walau Andrew ada memesan minuman berkarbonat tadi, tetapi mereka tidak mahu minum.

Alasannya tidak biasa minum minuman bergas sebaik habis menyanyi. Walhal mereka geli hendak minum dari bekas yang sama diisi arak sebelum dicuci sekali lalu dan diganti dengan minuman lain. Uwekkk... kalau Ila tidak ke tandas dan lalu di depan bahagian dapur penyedia minuman karaoke itu, mesti dia tidak ternampak pekerja di belakang pusat karaoke itu membuang baki arak dari dalam jug dan gelas ke dalam sinki.

Lepas itu pekerja itu mencuci mengunakan air paip sahaja sebelum mengelap dengan kain dan mengisi minuman baru sama ada arak atau minuman depannya itu. Huhuhu... tidak pasal satu dosa lagi dapat. Sudahlah membuang waktu menikmati nikmat dunia seperti itu dikira berdosa. Adeh!

HAKIMI, Dion dan Rudy mengikut pelayan lelaki itu ke bilik yang mereka sewa. Dion dan Rudy yang tadi bermain snuker dipaksa Hakimi menemaninya berkaraoke di situ. Kawan punya pasal, ikut ajelah.

“Apa hallah kau nak lepak kat sini, Kim! Tempat ni beku. GRO pun tak ada. Kalau pergi clubbing tadi mesti ramai girl,” keluh Dion.

“Tak muak-muak ke berkepit aje dengan perempuan. Cubalah tukar angin. Aku rimaslah kalau perempuan kat situ asyik meleseh aje macam kucing mintak ikan. Nak lagi kalau Juliesa ada sama,” beritahu Hakimi sambil melabuhkan punggungnya ke sofa.

“Kau ni betullah tolak nikmat,” keluh Dion.

Rudy yang masih berdiri tersengih. “Dahlah tu, Dion. Sesekali enjoy kita bertiga aje pun okey. Cukup-cukuplah berseronok dengan perempuan. Nanti dapat penyakit bukan-bukan, baru kau tahu,” ujar Rudy lebih kepada mengingatkan dirinya juga.

Eleh, macam kau tu baik sangat!” balas Dion begang.

“Bila aku kata aku baik? Tapi aku rasa dah cukuplah kita enjoy selama ni,” jelas Rudy. Dia mula terasa mahu mencari cinta sebenar dan berkahwin daripada berterusan begitu.

“Dahlah tak payah bising-bising lagi. Kita datang sini nak enjoy. Jom melalak sampai anak tekak bengkak,” ajak Hakimi. Microfon dicampak ke peha Rudy. Dia bukan suka mendengar Rudy dan Dion bertegang leher. Masalah kecil aje pun. Jadi tidak perlulah merosakan susana hati mereka yang tidak berapa hendak gembira itu menjadi lebih tidak gembira. Nikmati sahajalah apa yang ada.

“Kau orang nyanyilah dulu. Aku nak pergi tandas,” beritahu Dion dan segera berlalu meninggalkan bilik itu. Dia tidak mahu perasaan yang berbahang dalam hati menjejaskan mood berhibur mereka.

Selesai menyempurnakan hajatnya, Dion menuju ke bilik karaoke mereka semula. Dia berjalan sambil bersiul. Masa itu jugalah telefon bimbitnya berbunyi. Dia berhenti di hadapan pintu kaca sebuah bilik yang telah disewa oleh pelanggan lain. Ketika sibuk menjawab panggilan, dia ternampak seorang gadis yang agak dikenali. Pintu kaca bilik itu ditinjau lebih dekat. Dalam samar-samar cahaya, dia memang mengenali gadis itu. Dion menamatkan panggilan dan berjalan pantas mendapatkan kawan-kawannya semula.

“Kim... aku nampak girlfriendkau kat bilik depan tadi,” bisik Dion. Hatinya tertanya-tanya juga, benar ke gadis itu kekasih Hakimi? Andai betul, mahu sahaja dia bersemuka dengan lelaki yang bersama kekasih Hakimi itu. Tetapi bagaimana jika lelaki itu saudara kepada gadis itu?

Hakimi memandang Dion. “Kau salah orang tu.” Hakimi pura-pura tidak percaya. Tetapi hatinya melonjak mahu melihat betul atau tidak apa yang disampaikan Dion. Patutlah Ila hilang sepanjang malam itu. Berkaraoke di situ rupanya. Kenapa gadis itu tidak ajak dia? Dia rasa tidak puas hati. Perasaan cemburu menyelinap di hatinya.

“Aku cakap betul, kau tak percaya,” ujar Dion.

Hakimi buat tidak dengar.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.