Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 16

Bab 16

USAIsolat, Ila melayan muka buku. Melihat gambar-gambar kawan-kawannya yang menyertai PLKN. Dia terfikir, kenapa rayuannya untuk menyertai PLKN masih tidak dijawab? Hurm... mungkin dia memang tidak ditakdirkan ke situ.

Sejam berlalu...

Laptop yang masih terpasang ditinggalkan atas meja tulis. Port biasa untuk melepak ditujui. Kereta yang lalu lalang di atas jalan raya utama dipandang. Pandangannya terhenti pada sekumpulan pengayuh basikal. Dia tersenyum. Dia teringatkan Hakimi. Pintu kaca bilik Hakimi yang tertutup rapat dipandang.

Mana mamat ni pergi? Seharian tak nampak. Selalu ada aje dia kat sini dengan gitarnya, tanya hati Ila.

Pantang disebut! Macam tahu-tahu ada yang sedang merindunya. Hakimi menyelak langsir. Dari sebalik kaca yang berwarna hitam itu dia boleh melihat Ila berdiri membelakanginya. Pintu dibuka.

Ila berpusing. “Hai?” tegur Ila dengan muka ceria.

“Hai,” balas Hakimi dengan senyuman. Senang hati melihat Ila.

“Satu hari tak nampak. Mana awak menghilang?” tanya Ila. Rasanya tidak lengkap harinya tanpa mengusik Hakimi.

“Kenapa? Rindu ke?” tanya Hakimi kembali. Entah kenapa dia mengharapkan jawapan ya daripada Ila. Dia sudah mereng agaknya.

Ila buat muka comel. “Rindu juga,” akui Ila. Dia tersenyum malu sambil meletakkan tangan ke mulut. Alahai hati, mengada sahaja hendak mengoda lelaki itu.

Hakimi tergelak. Seronok rasa hatinya mendengar pengakuan itu. “Dari malam tadi saya tunggu awak, tapi tak muncul pun,” keluh Hakimi. Sampai hati Ila tidak mengajaknya berkaraoke bersama.

“Oh, malam tadi saya keluar dengan Andrew dan adik-adik,” akui Ila.

Hakimi tersenyum. Dia tahu tetapi sengaja hendak bertanya. Manalah tahu Ila tidak suka dia menyibuk seperti selalu.

“Kenapa tunggu saya semalam?” tanya Ila.

“Hmm... saya dah dapatkan kerja untuk awak,” beritahu Hakimi. Walhal semalam dia sendiri tidak pasti jawatan untuk Ila itu masih ada atau tidak. Sampailah dia berjumpa Mira tadi, baru tahu jawatan itu masih kosong.

“Kerja?” Ila buat muka pelik. Bila masa dia mohon kerja kosong? Belum lagi rasanya.

Hakimi megangguk. Alah, janganlah nak buat-buat lupa. Bukan ke mereka pernah bercakap dengan tentang hal itu kelmarin.

“Kerja apa?” tanya Ila.

“Lebih kurang macam keranilah. Awak kena rekodkan pakaiaan yang keluar masuk setiap hari,” beritahu Hakimi seringkas yang boleh. Dia pun belum tahu dengan jelas tentang tugasan yang perlu Ila lakukan, tetapi dia tahu kerja itu tidak memenatkan.

“Kerja dengan pakaian?” Ila perlukan maklumat tambahan. Masih belum faham hal berkaitan pekerjaan. Itu pengalaman pertama.

Hakimi mengangguk.

“Alah... nanti awak dah kerja, tahulah apa yang saya maksudkan,” ujar Hakimi.

Ila memandang Hakimi lagi. Bilalah dia bersetuju hendak bekerja?

“Awak buat resume dan e-mail pada saya,” pinta Hakimi.

Ila memandang Hakimi. Dia masih berfikir. Nak kerja ke tak? Berkaitan dengan pakaian memang dia suka. Tetapi pakaian bagaimana? Stor atau gudang pakaian? Bundle ke? Dia garu kepala.

“Boleh ke tak?” sergah Hakimi. Suka sangat berangan gadis arnab ni.

Hah? Okey,” jawab Ila.

“Beri saya nombor telefon awak. Saya nak mesej alamat e-mail,” arah Hakimi mula hendak menjadi bos.

Ila menggaru leher. Tidak ada pilihan. Nombor telefon bimbitnya disebut satu per satu.

“Jangan lupa e-mail,” pesan Hakimi sebaik menghantar mesej ke telefon bimbit Ila.

“Kejap lagi saya hantar,” beritahu Ila. Sekali lagi dia terpaksa melayan kerenah Hakimi.

Hakimi tersenyum puas. Lepas ni siaplah kau. Aku jauhkan kau daripada budak Cina tu, bisik hatinya sambil ekor mata menjeling ke balkoni bilik Andrew. Akan dipastikan Ila tidak punya banyak masa untuk selalu bersama Andrew. Sekarang masa Ila untuk dirinya. Hakimi tergelak jahat dalam hati. Tetapi kenapa dia hendak berebut perhatian Ila dengan Andrew? Sekali lagi Hakimi tidak faham dengan kemahuan hati sendiri.

HANIM memandang jalan di hadapan rumahnya. Jam sudah melewati pukul 6.00 petang. Rais jarang-jarang pulang awal kerana masih banyak kerja yang harus diselesaikan di pejabat. Lagi pun suaminya itu berniaga sendiri, kenalah berusaha bersungguh-sungguh untuk memantapkan kedudukan syarikatnya.

Hanim teringat kakaknya di rantau orang. Jika benar wanita yang ditemui Rais itu Nadia, dia tidak sabar mahu terbang ke Jakarta dan melihatnya sendiri. Ila pasti gembira.

“Achik mengelamun apa sampai senyum sorang diri ni?” tegur Ila. Entah apa yang difikirkan Hanim agaknya. Jauh lamunan ibu saudaranya itu. Barangkali sudah sampai ke pejabat pak ciknya.

“Achik tengah fikir nak pergi Jakarta.” Hanim memandang Ila. Dia tahu hati Ila pasti tersentuh dengan berita itu. Namun, dia masih belum boleh memberi Ila berita gembira.

“Nak bercuti ke?” tanya Ila. Seronok betul kalau dapat bercuti sekeluarga. Tetapi hatinya tidak rasa begitu. Dia rasa Hanim mahu ke Jakarta kerana keluarganya. Ada apa-apa berita ke?

“Rasanya macam tulah,” jawab Hanim menyembunyikan niat sebenarnya. Sebelum dia benar-benar bertemu Nadia, dia tidak mahu Ila mengetahui hal itu.

Tiba-tiba Andrew menyapa dari tepi pagar yang memisahkan rumah mereka.

“Selamat petang, auntie?” tegur Andrew.

“Petang,” balas Hanim sambil tersenyum memandang Andrew.

Ila juga tersenyum.

Hanim bangun daripada duduk. Dia rasa Andrew ada hal mahu dicakapkan dengan Ila.

Auntie masuk dulu,” beritahu Hanim sebelum berjalan masuk.

Melihat Hanim sudah masuk, Ila menghampiri Andrew. “Esok petang awak free?” tanya Andrew. Dia semakin selesa berjiran dan berkawan dengan Ila. Setiap kali mereka keluar bersama, perasaannya menjadi gembira. Hatinya terasa terisi, tidak seperti sebelum ini dia rasa kosong dan sendiri sahaja walau ramai kawan-kawan yang mengelilingi hidupnya.

“Kenapa?” tanya Ila.

“Saya nak ajak awak pergi main ice skating,” beritahu Andrew dengan muka penuh harapan. Berlagu rianglah hatinya andai Ila bersetuju.

Teruja Ila mendengar pelawaan itu. Selama ini dia memang teringin menyertai kawan-kawannya bermain permainan mahal itu. Tetapi dia tidak punya waktu. “Boleh juga.” Alang-alang sudah diajak apa salahnya diterima.

“Okey, esok pukul 2.00 petang,” beritahu Andrew.

Ila tersenyum lagi. Seronoknya jejaka pujaan ajak keluar dating. Hehehe... Dia perasan sendiri.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.