Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 6

Bab 6

JAM 4.00 petang, Hakimi bangun dengan ceria. Manakan tidak ceria, tidurnya sampai ke petang. Dia bersiap-siap mahu bersiar-siar di taman berdekatan. T-shirt levis berwarna merah terang disarung ke badan. Track short putih dan kasut sukan Adidasdisarung ke kaki. Sambil berjalan menuju ke pintu pagar rumahnya, cap diletakkan atas kepala.

Laluan pejalan kaki di kawasan perumahan itu disusuri. Awal petang begitu tidak ramai yang beriadah di kawasan taman. Sepuluh minit kemudian dia sampai di kawasan riadah Taman Botanik, taman yang bersebelahan dengan kawasan perumahannya.

Sedang berjalan, dia terdengar seperti ada sesuatu menghampirinya dari belakang. Dia segera menoleh. Dia terkejut. “Argh...” jerit Hakimi kemudian. Dia sudah pun terjatuh di atas jalan dan tangannya terkena batu yang menjadi penghadang jalan itu. Dia mengerang kesakitan. ‘Bodoh!’ marahnya di dalam hati. Anjing yang melompat tinggi di sebelahnya tadi sudah berlari jauh ke depan. Dia terkejut melihat anjing itu tiba-tiba melompat bagaikan mahu menerpanya.

Sebenarnya anjing itu cuba menangkap piring terbang yang dilontarkan tuannya. Tapi tak pasal-pasal piring itu terbang berhampiran Hakimi. Mahu tidak luruh jantungnya. Anjing itu begitu besar. Ah, kecut perutnya.

Seorang remaja lelaki India berusia 14 tahun menghampiri Hakimi. Dia menundukkan sedikit badan dan meminta maaf kepada Hakimi sebelum berlari mengejar anjingnya yang sudah jauh ke depan.

Hakimi menggeleng. Dia tidak puas hati dengan suasana seperti itu.

Ila yang sedang berbasikal menghampiri Hakimi yang masih terduduk menahan sakit. Dia pun terkejut melihat anjing itu melompat di belakang Hakimi tadi. Mujur perkara yang lebih buruk tidak terjadi. “Awak okey?” tanya Ila sebaik turun dari basikalnya dan menghampiri Hakimi.

Hakimi memandang Ila dengan muka menahan sakit. Dia rasa ada bahagian tubuhnya yang cedera. Tetapi tidak tahu bahagian mana.

“Cuba luruskan kaki awak,” arah Ila. Manalah tahu kaki lelaki itu terseliuh setelah jatuh.

Hakimi menurut. Memang kaki dan punggungnya terasa sengal. Hisy! Kalau mereka bukan tinggal dalam negara demokrasi dan harus menghormati hak berbilang bangsa, sudah lama anjing itu ditembak. Menyusahkan orang aje.

“Sakit?” tanya Ila sebaik melihat Hakimi sudah meluruskan kakinya.

Hakimi menggeleng.

“Saya bantu awak bangun. Kita duduk kat sana sekejap,” kata Ila sambil menunding bangku tidak jauh di tepi mereka.

Hakimi mengangguk. Sudah ada orang hendak memberi bantuan, baik jangan banyak cerita. Beberapa orang yang berada di taman itu bukannya mahu menolong. Hanya tahu menonton dan tergelak sesama mereka sambil berbisik. Geram!

“Nak pergi klinik ke? Depan tu ada klinik kesihatan,” tanya Ila sebaik Hakimi duduk di atas bangku kayu.

Hakimi menggeleng.

Ila menggaru dahi. Lelaki di hadapannya ini bisu ke? Daripada tadi senyap sahaja. Tetapi dia cam wajah itu. Sengaja dia buat-buat tidak kenal. Kalau ditegur nanti, bimbang terjadi seperti malam tadi.

“Awak nak pergi klinik tak?” tanya Ila sekali lagi.

Hakimi menghembus nafas kasar. “Tak payahlah, sikit aje,” jawab Hakimi sedikit keras. Gadis yang membantunya ini banyak cakap pula. Rimas rasanya dalam sakit-sakit begitu terpaksa menjawab banyak pertanyaan.

Ila tersenyum. Bersuara juga rupanya. “Tapi belakang tangan awak tu luka,” beritahu Ila. Dia baru nampak luka itu sebaik Hakimi menyengetkan sedikit duduknya. Dari air muka lelaki itu, Ila tahu lelaki itu sedang menahan malu dengan egonya.

Hakimi memusingkan sedikit belakang tangannya. Ah, ini yang dia tidak suka. Pasti berparut nanti. Besar juga luka itu. Patutlah daripada tadi terasa pedih dan sakit.

Ila pantas mendapatkan botol air mineral di basikalnya. Penutup botol itu dibuka. “Hulurkan sikit tangan awak,” arah Ila. Dia sudah bersedia mahu membasuh luka di belakang tangan Hakimi. Daripada membiarkan darah itu terus mengalir dan luka Hakimi dijangkiti kuman eloklah dibersihkan.

Hakimi memandang Ila. Mahu tidak mahu dia menurut juga. Nasib baik terjumpa jururawat percuma ini.

Ila mencurah air dari dalam botol itu perlahan-lahan.

Hakimi mengerang kecil sambil punggungnya sedikit terjungkit menahan rasa pedih.

“Okey dah bersih. Awak ada sapu tangan?” tanya Ila.

Hakimi mengangguk dan segera menyeluk ‘key’ yang berada dalam poket belakang seluarnya. ‘Key’ itu diserahkan kepada Ila.

Ila membuka lipatan kain empat segi itu. Dia melipat tiga segi dan mengecilkan sedikit lipatan memanjang supaya dapat menutup luka Hakimi. “Saya rasa elok awak pergi klinik,” cadang Ila. Dia sudah bersedia mahu terus berbasikal di sekitar taman itu.

“Saya... Hakimi,” beritahu Hakimi. “Nama awak siapa?”

Ila tersenyum. Dia terus bangun dan mengahmpiri basikalnya. Dia menoleh ke arah Hakimi.

“Saya?” Ila memandang Hakimi dengan mata yang sengaja dikecilkan. “Sayaaa...” Sengaja Ila buat Hakimi tertunggu-tunggu. Dia tersenyum lagi.

“Saya ni jiran belakang rumah awak. Yang awak marah malam tadi,” beritahu Ila pantas.

Kening Hakimi terangkat. Wah, dia betul-betul terkena hari itu. Malunya dia. “Hal malam tadi tu... saya minta maaf,” ucap Hakimi. Tengoklah apa yang sudah terjadi dengan dirinya sekarang. Orang tidak bersalah yang dimarah malam tadi menjadi penyelamatnya hari itu. Argh! Terasa mahu pindah dari situ pula.

“Itulah, lain kali jangan suka-suka hati aje nak marah orang. Maaf diterima. Saya pergi dulu,” beritahu Ila.

Hakimi buat muka tidak berperasaan. Memang dia yang bersalah pun. “Awak... janganlah pergi dulu. Nama awak siapa?”

Ila memandang Hakimi seketika. Perlu ke dia beritahu siapa namanya? Tak perlulah kot. Biarlah Hakimi tertanya-tanya sendiri. “Saya rasa awak dah okey, kan?”

Hakimi terus memandang Ila. Dia menggeleng. Rasanya dia malu hendak berjalan pulang dengan kaki yang terdengkot-dengkot.

Ila memandang Hakimi atas dan bawah. Apa masalah lelaki di hadapnnya itu lagi?

“Boleh tolong hantarkan saya balik?” pinta Hakimi walau sebenarnya kurang senang mahu menaiki basikal. Terasa seperti zaman kanak-kanak pula.

Ila tersengih. “Tak takut ke kalau tiba-tiba boyfriend saya ternampak dan dia salah faham? Saya takut awak kena pukul dengan kayu pulak.” Dia sengaja mahu mempermainkan Hakimi. Alah, bergurau sedikit apa salahnya. Hakimi boleh sahaja marah-marah orang sesuka hati.

“Sayakan sakit. Takkanlah boyfriend awak tu tak ada mata,” balas Hakimi.

Ila memandang Hakimi. Pandai Hakimi mencipta alasan. “Okey...” Menumpangkan Hakimi sehingga ke rumahnya bukan masalah besar pun.

Hakimi tersenyum. Mujurlah gadis di depannya ini tidak banyak ragam. Jika tidak seksa juga dia mahu balik ke rumah. Perlahan-lahan dia cuba berdiri. Nasib baik tidak sakit. Hanya terasa sedikit sengal sahaja. Dia melangkah dengan berhati-hati ke basikal Ila. Berhati-hati dia duduk di seat belakang. Tiba-tiba dia berdiri semula.

Ila menoleh Hakimi dengan perasaan pelik. “Kenapa? Tempat duduk tu ada duri ke?” tanya Ila pelik.

Hakimi memandang Ila seketika. Bukan berduri tetapi dia tidak selesa mahu duduk beralaskan besi tu. “Awak duduk belakanglah. Biar saya yang bawak,” beritahu Hakimi.

“Hah?” Ila sedikit pelik. Hakimi ni sakit ke pura-pura?

“Err, saya lelaki. Eloklah saya yang kayuh,” dalih Hakimi.

“Tapi awak tu sakit,” tolak Ila. Hakimi ini sudah dibantu banyak pula kerenahnya. Hisy!

“Sikit aje ni. Cukuplah saya malu tadi. Janganlah bagi orang gelakan saya lagi sebab awak yang bawak saya,” ujar Hakimi. Ada sahaja alasan yang melintasi akalnya. Asalkan Ila setuju dia akan rasa menang.

Ila menghembus nafas. Kepala digaru. Boleh ke Hakimi hendak memboncengnya? Hmm... tak cuba mana tahu, kan? Sudahnya dia beralah juga.

Hakimi tersengih. Kedudukan mereka pun bertukar. Dia di depan dan Ila di belakang. Hakimi menaikan kakinya yang sakit ke atas tempat pengayuh terlebih dahulu, sementara yang sebelah lagi masih bertahan di atas tanah.

“Awak berat tak?” tanya Hakimi.

Ila menjeling ke langit. Apa lagilah Hakimi ni. Buat dia rimas pula. “Saya bukan batu konkrit,” jawab Ila.

Hakimi tersenyum sumbing. “Bukan macam tu. Sebenarnya saya ni tak berapa pandai bawak basikal. Kalau awak berat karang kita ke longkang.”

Ila buat muka ngeri. Macam tulah pulaknya... Hisy! Dia rasa tidak sedap hati. Cukuplah Hakimi seorang sahaja yang terjatuh, dia tidak mahu.

“Kalau macam tu kita tukarlah. Saya tak ada masalah nak bawak orang berat macam mana pun,” beritahu Ila lurus.

“Eh, tak apa. Kita cuba dulu,” tolak Hakimi. Jangan mimpilah dia hendak duduk di belakang. Apa jadi sekejap lagi itu lain cerita. Dia bukannya tidak tahu membawa basikal, cuma sudah lama tidak buat semua itu sahaja.

Ila diam. Dia kena percayakan Hakimi. Tidak salah memberi lelaki itu peluang. “Awak duduklah diam-diam. Banyakan baca bismilah,” beritahu Hakimi sebelum mula mengayuh. Terasa sakit juga kakinya tetapi ditahan. Dia lelaki, takkan sakit sedikit seperti itupun hendak meraung.

Ila herotkan bibir.

Selepas 15minit akhirnya mereka sampai juga di halaman rumah Hakimi. Hakimi berjaya mengawal basikal yang dikayuh sebaiknya walaupun dia terlanggar bonggol dan membuat Ila terjerit kesakitan tadi. Merah padam muka Ila menahan rasa sakit yang tiba-tiba sahaja menghentak punggungnya. Dia hanya boleh mengenggam tanggan sekuat hati sahaja. Kalau dipukul Hakimi dari belakang kerana tidak memperlahankan kayuhan sewaktu melanggar bonggol itu tadi, pasti mereka terjatuh. Argh... Hakimi, dah tahu awak tu bawak basikal pun tak stabil, ada hati nak bonceng orang, gumam Ila dalam hati.

Ila turun dari tempat duduk belakang dan menunggu Hakimi juga turun dari basikalnya.

Hakimi memandang Ila. “Nah, take the bike. Terima kasih,” ucap Hakimi dengan senyuman.

Ila mengambil basikalnya. Sebelum berlalu sempat segaris senyuman dihadiahkan buat Hakimi.

Hakimi memerhatikan gadis itu sehingga hilang dari pandangan. Namanya masih belum diketahui. Dia menggeleng sebelum terdengkot-dengkot mendapatkan pintu pagar rumahnya.

ILAmasuk ke biliknya dengan muka letih. Mindanya masih memikirkan apa yang terjadi di taman tadi. Dia rasa lelaki bernama Hakimi itu memang sengal. Agaknya apalah rasa hati Hakimi bila mendapat pertolongan daripada orang yang dimarah sesuka hati malam tadi?

Dia duduk atas kerusi almari soleknya, menghilangkan rasa kebas di punggung yang masih terasa. Boleh pula Hakimi melanggar bonggol tadi sesuka hati. Ila tersenyum sendiri dan menggeleng.

20 minit kemudian dia menuju ke balkoni. Pintu kaca ditolak perlahan. Dia melangkah keluar dan terus bersandar di grill membelakangkan bilik Hakimi.

“Hai...” sapa Hakimi yang baru keluar dari biliknya ke balkoni bersama mug di tangan. Walaupun gadis itu membelakangkannya, daripada baju yang dipakai gadis itu dia tahu itu gadis yang membantunya tadi.

Ila berpusing ke belakang dan memandang Hakimi. “Hai...” balasnya sepatah.

“Minta maaflah sebab susahkan awak tadi,” pinta Hakimi.

Ila hanya diam. Rasanya tiada apa yang hendak dimaafkan. Hal itu berlaku secara kebetulan dan sebagai manusia yang masih mempunyai hati dan perasaan, tidak mungkin dia membiarkan Hakimi sendiri dalam keadaan memerlukan bantuan.

“Awak, tadi tak beritahu pun nama awak. Nama awak apa, ye?” tanya Hakimi.

“Kenapa nak tahu?” tanya Ila perlahan. Memang tidak menjadi salah lelaki itu mengetahui namanya, tetapi entah kenapa hatinya malas hendak memberitahu namanya kepada lelaki itu.

“Kitakan jiran. Takkan saya nak panggil nama awak hoi, hoi aje?” jawab Hakimi.

Ila mengangguk. Namun, baru sahaja dia mahu membuka mulut, telefon bimbitnya pula berbunyi. Pantas Ila menjawab panggilan itu.

Hakimi sekadar memerhati. Minuman dari mugnya dinikmati sementara menunggu gadis itu habis berbual.

Ila tersenyum sambil berbual dengan orang yang menghubunginya.

‘Boyfriendlah tu,’ teka Hakimi sambil mencebikkan sedikit mukanya.

“Okey... saya tunggu kat balkoni,” beritahu Ila sebelum mematikan panggilan. Dia berjalan ke kanan menghadap balkoni rumah sebelah. Beberapa minit kemudian, Andrew berdiri di situ.

Hakimi terus memerhati.

“Hai?” sapa Andrew.

“Hai,” balas Ila. Tangannya dilambaikan sedikit.

Andrew yang perasan dengan kehadiran orang lain di situ menghadiahkan senyuman sebagai tanda hormat buat Hakimi. Perbualannya dan Ila disambung.

Hakimi membalas. Dia tersenyum melihat mereka berbual mesra.

“Saya masuk dulu, bye.” Andrew tergesa-gesa meminta diri.

Ila mengangguk. Dia dan Andrew akan keluar makan malam pada jam 8.00 malam nanti.

Melihat pemuda Cina itu sudah berlalu pergi, Hakimi memandang Ila.

Your taste is not bad,” ujar Hakimi.

Ila tersengih sambil memusingkan badannya menghadap Hakimi. Apa yang Hakimi maksudkan? Dia tidak faham.

Boyfriend?” tanya Hakimi.

“Kawan. Kenapa?” jelas Ila.

“Ooo...” balas Hakimi ringkas. Dia tersenyum sebelum melambai Ila dan berlalu masuk ke biliknya. Terlupa lagi mahu bertanya nama gadis itu lagi.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.