Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 3

Bab 3

RAIS yang baru pulang dari tempat kerja mengukir senyumanlebar apabila melihat kelibat Hanim di muka pintu menyambut kepulangannya dari pejabat.

Hanim yang menyambut kepulangan Rais juga turut tersenyum. Tangan Rais diraih penuh hormat. Sebagai balasan tanpa mempedulikan sepasang mata bundar milik seorang gadis remaja yang tersorotmemerhatikan mereka, satu kucupan mesra singgah ke pipi Hanim.

“Minggu depan kita dah boleh pindah,” umum Rais dengan wajah berseri-seri. “Rumah baru kita dah siap diubahsuai. Perabot pun dah lengkap,” tambahnya lagi dengan riak gembira.

Senyuman Hanim semakin melebar. Alhamdulillah... impiannya mahu tinggal di kawasan perumahan elite tercapai juga.

Hanim memandang gadis itu yang masih asyik menyelak majalah di tangan. “Ila dah kemas barang ke?” tanya Hanim. Dia pasti anak saudaranya itu mendengar perbualan mereka.

“Belum lagi. nantilah Ila kemas,” jawab Ila. Wajah ceria Hanim dipandang. Siapalah yang tidak gembira andai apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Beruntung sungguh ibu saudaranya itu, punya suami yang selalu berusaha menyenangkan hatinya.

Perniagaan barangan kraf yang dimulakan Rais sebelum mengenali Hanim dahulu benar-benar membuahkan hasil. Selain daripada mengimport barangan cenderamata untuk majlis-majlis perkahwinan atau seumpamanya daripada China, Rais juga mempunyai kilang arang batu di Indonesia.

“Ila...” Hanim mencuit bahu Ila. “Berangan pulak budak ni?” tegurnya sebaik melihat Ila tersipu malu. Entah apa yang diangankan Ila sehingga tersenyum begitu.

“Mana ada.” Ila buat muka tidak bersalah. “Tapi Ila fikirkan macam mana dengan rumah ni nanti?”

Hanim memandang seluruh ruang tamu rumah itu. Faham apa yang dirasakan Ila. Kerana itu juga yang dirasanya. Tetapi dia ada impian, mahu mengubah suasana kehidupan mereka. “Apalah nak difikirkan sangat. Nantikan pak long pindah sini,” pujuknya. “Dahlah, tak payah nak fikir sangat. Kita semua dah setuju sebelum ni, kan?”

Ila mengukir senyuman paksa. Huk... huk... tak nak pindah!

“Achik nak ke dapur,” pantas Hanim berlalu.

Ila memandang langkah Hanim dari belakang. Majalah di tangan ditutup. Hatinya berat mahu meninggalkan rumah itu. Tanpa Hanim dan Rais, nikmat kasih sayang daripada insan bergelar ibu dan ayah pasti tidak dirasai. Mereka terlalu baik sehingga dia tidak pernah rasa terbuang setelah keluarganya berhijrah ke Indonesia. Terlalu lama dia dibiarkan sendiri di situ. Selain Rais dan Hanim, dia juga mempunyai kasih sayang datuk dan nenek. Syukur kepada Tuhan kerana mereka masih ada.

Mengenangkan keluarga sendiri, hati Ila terus menjadi sayu. Masih segar diingatannya ketika Rais dan Hanim beria-ia mahu dia tinggal bersama mereka. Ketika itu usianya baru sepuluh tahun. Bermulalah kehidupannya sebagai anak Hanim dan Rais dalam rumah itu. Segala keperluannya ditanggung mereka.

“Ila, cukup-cukuplah berangan tu. Tolong hantar mi goreng ni kat rumah nenek.”

Sapaan Hanim secara tiba-tiba membuatkan Ila tersentak. Tidak sedar langsung bila Hanim berada di situ. Tahu-tahu sudah berdiri terpacak di sebelahnya. Dia tersenyum memandang Hanim. Pantas bungkusan di tangan Hanim diambil. Rumah neneknya bukanlah jauh sangat. Hanya selang sebuah rumah dari situ. Kurang seminit berjalan kaki, sudah sampai di depan pintu rumah neneknya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.