Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 34

Setelah seminggu berehat di hospital, hari ini Puan Alia dibenarkan pulang ke rumah. Keadaannya masih agak lemah dan tidak boleh banyak bergerak, mungkin kesan ubat yang membuatkan dia jadi begitu.

Hakimi memapah mamanya naik ke tingkat atas. “Mama rehatlah dulu. Kim nak mandi,” beritahu Hakimi sebaik melihat Puan Alia sudah duduk melunjur sambil bersandar di kepala katil. Selimut yang menutupi sebahagian kaki Puan Alia dibetulkan.

Puan Alia tersenyum lemah. “Hmm... pergilah,” balas Puan Alia.

Firdaus pula menjenguk Puan Alia.

“Hashim tak balik, Fir?” tanya Puan Alia. Sedih hatinya kerana Hashim langsung tidak mahu menghubungi mereka untuk bertanyakan khabar berita. Tidak rindukah anak itu kepada mamanya yang sedang sakit ini?

“Tak ada, ma,” jawab Firdaus sambil membetulkan ikatan langsir yang menutup tingkap kaca bilik Puan Alia.

“Mama nak apa-apa? Fir boleh suruh Sarah ambilkan.” Firdaus menghampiri Puan Alia.

Puan Alia menggeleng. “Mama nak tidur. Sekejap lagi kalau mama haus, mama beritahu,” jawab Puan Alia. Dia tidak mahu menyusahkan Sarah lagi. Cukuplah kebaikan yang sudah diberikan menantunya itu sewaktu dia di hospital.

“Baiklah, ma.” Firdaus tersenyum. “Fir keluar dulu.” Dia berjalan ke luar.

Puan Alia merebahkan badan. Dia berpaling ke tingkap kaca. Memandang rembang cahaya. Dia berusaha memejamkan mata walau sebenarnya ada rasa terkilan dalam dada. Terguris benar perasaannya dengan sikap yang ditunjukkan Encik Harun. Sepatutnya bukan Hakimi yang menjemputnya dari hospital tadi.

HAKIMI tersedar daripada lenanya. Dia tertidur. Sudah lama dia tidak dapat tidur lena. Dia melangkah ke balkoni. Semenjak mengenali gadis arnab, berdiri di situ setiap hari sudah menjadi perkara wajib. Sambil memerhatikan kawasan persekitaran perumahan yang membosankan dia mencuri pandang balkoni bilik Ila.

Ke mana gadis arnab itu menghilang di hari Sabtu ni? Hakimi menggaru kepala sebelum masuk ke dalam bilik semula. Tuala mandi dicapai dari ampai kayu. Baru sahaja dia mahu menolak pintu bilik mandinya, satu suara sayup-sayup menyapa gegendang telinganya. Suara mamanya ke? Hakimi resah. Lekas-lekas dia meluru ke luar.

“Mana anak kurang ajar tu!” jerit suara lantang dari tingkat bawah.

Siapa yang membenarkan perempuan itu masuk ke rumahnya? Hakimi mengeluh. Silap hari bulan ada yang bakal makan penumbuknya. Anak tangga dituruni dengan cepat.

“Hei, kau nak apa datang sini, hah” marah Hakimi dengan suara yang sedikit perlahan. Dia tidak mahu mamnya sedar kehadiran perempuan itu.

Perempuan itu memandang Hakimi dengan muka meluat. “Ada pun kau!” jerit perempuan itu. Melihat Hakimi sahaja perasaan marahnya semakin berapi. Berani Hakimi mencari pasal dengannya. Siaplah anak itu, pasti akan dikerjakan nanti.

“Adalah! Kalau aku dah mampus, aku takkan berdiri depan kau!” balas Hakimi kasar.

“Kau ni memang kurang ajar! Perangai macam samseng!” herdik perempun itu. Hubungan antara mereka memang tidak mungkin aman selagi dia membenci Puan Alia dan anak-anaknya. Dia selalu berfikir Puan Alia dan anak-anaknya mahu membolot harta Encik Harun. Andai sahaja punya jalan untuk menyingkirkan mereka daripada kehidupan Encik Harun, pasti sudah dilakukan.

Hakimi buat muka tidak berperasaan. Dia bukan suka tetamu tidak diundang itu berlama-lama di situ. Sebelum perempuan itu mencipta lebih banyak onar, baik dia bertindak.

“Kalau dah tahu aku ni samseng, kau datang sini buat apa? Nak aku pecahkan muka kau ke?” soal Hakimi geram. Datang rumah orang tak beri salam, nak marah-marah orang pulak, cemuh hatinya.

Perempuan itu merengus geram. “Aku nak Tanya, kenapa kau pukul Adie?”

Hakimi tergelak. Memang sudah dijangkakan hal itu yang membawa perempuan itu ke situ. Alahai, memang Fradie tidak berguna menjadi anak jantan. Dari dahulu suka sangat menggunakan ibunya sebagai perisai. Tetapi Hakimi pelik, kenapa ibu tirinya itu tidak datang menyerang lima hari yang lalu? Kenapa menunggu ibunya keluar dari hospital dahulu baru hendak datang. Sajalah tu mahu mencari pasal.

“Sepatutnya… dulu kau bagi papa aku anak perempuan, bukan anak lelaki yang pakai skirt macam tu,” sindir Hakimi sengaja membakar hati ibu tirinya itu.

Rosmini meluru Hakimi. “Kurang ajar!” marah Rosmini. Dia mahu menampar muka Hakimi.

Tetapi tangan Hakimi lebih pantas menangkap dan memulas tangan Rosmini ke belakang. Perempuan itu terjerit kesakitan.

Sarah dan pembantu rumah itu berlari melihat apa yang terjadi di ruang tamu. Pembantu rumah mereka sudah beristifar. Sarah pula hamper terjerit. Tetapi tangan kiri Hakimi pantas member isyarat diam sambil matanya melirik ke atas menunjukkan yang Puan Alia sedang berehat.

Sarah menghembus nafas dan menarik pembantu rumah mereka ke dapur. Rasanya mereka tidak perlu ikut campur urusan Hakimi dan Rosmini.

“Sakitlah! Lepas!” Ronta Rosmini.

Hakimi buat tidak peduli.

Tidak tahan diperlakukan begiru Rosmini menjerit lagi. “Aliaaa…” laung Rosmini.

Terus Hakimi menekup mulut ibu tirinya.

“Kau tak payah nak babitkan mama aku! Tadi kau nak tunjuk hebat dengan aku, kan?” gertak Hakimi.

Rosmini meronta-ronta.

Hakimi memperkukuhkan pegangannya ke tubuh Rosmini.

“Lain kali datang rumah orang, biarlah beradab,” bisik Hakimi keras. “Sekarang pergi balik!” halaunya sambil berusaha mendorong tubuh Rosmini ke pintu utama.

Puan Alia yang tidak sedap hati mendengar kekecohan yang tengelam timbul turun ke tingkat bawah. Terkejut dia melihat Hakimi menyeret seorang wanita di dalam pelukannya.

“Ya ALLAH! Kim!” tegur Puan Alia.

Hakimi berpaling. “Mama.” Tangan Rosmini dilepaskan. Dia segera menghampiri Puan Alia. Tubuh itu dipapah. “Kenapa mama turun? Kim boleh selesaikan perempuan tu.” Hakimi memandang Rosmini yang berdiri sambil mengosok-gosok tangannya yang sakit. Padan muka! Ejek Hakimi dalam hati.

“Kau tengok apa anak kau dah buat?” Rosmini menghampiri Puan Alia.

Hakimi menjegilkan matanya membuatkan langkah Rosmini kaku. Ingat dia tidak berani hendak mematahkan tangan ibu tirinya itu. Cubalah kalau berani.

Rosmini tidak puas hati. Selama 26 tahun bermadu, dia memang tidak menyukai Puan Alia. Baginya Puan Alia selalu cuba mengawal Encik Harun dan berhasrat mahu memiliki semua harta suami mereka itu. Apatah lagi, ketiga-tiga anak yang dilahirkan Puan Alia lelaki. Pasti anak-anaknya yang akan mendapat lebih berbanding madu-madunya yang lain.

“Hei, kau nak balik ke nak aku patahkan leher kau pulak?” gertak Hakimi.

“Kim...” tegur Puan Alia. Dia tidak pernah mengajar Hakimi bersikap demikian.

Hakimi diam. Bukan takut tetapi mahu menjaga hati dan kesihatan mamanya.

“Ros, baliklah. Tak elok kau datang bergaduh dengan anak-anak sebab hal mereka. Dia orang dah besar, boleh berfikir sendiri,” ujar Puan Alia.

Rosmini merengus. “Anak dengan mak sama aje!” marahnya sebelum berlalu sambil menghentak-hentakkan kaki.

Hakimi tersenyum. “Macam budak-budak,” cemuhnya.

“Kim...” tegur Puan Alia lagi.

Hakimi memandang ibunya.

“Tolong... mama nak naik atas,” pinta Puan Alia.

Hakimi mengangguk. “Mama nak Kim dukung ke? Cepat sikit sampai atas,” usiknya.

Puan Alia menggeleng. Bahu Hakimi dipukul manja sambil tergelak kecil. Nakal sungguh anaknya itu.

Hakimi turut tergelak.

Sampai di bilik, Puan Alia terus duduk di katil.

“Kim, mama nak cakap sekejap,” beritahu Puan Alia sambil memandang Hakimi yang menepuk-nepuk bantalnya. Anak itu sudah cukup dewasa untuk mengetahui kisah lalu dalam kehidupannya. Setelah jatuh sakit begitu dia terfikir, mati pasti datang menjemputnya pada bila-bila masa. Andai takdir itu datang dan dia tidak sempat menjelaskan segala-galanya kepada Hakimi, bagaimana? Dia tidak mahu begitu.

“Cakaplah, ma,” Hakimi meletakkan bantal dan memandang ibunya.

Puan Alia membalas pandangan Hakimi dan tersenyum. “Kim duduklah dulu,” pinta Puan Alia.

Hakimi menurut.

“Kim...” bahu Hakimi disentuh.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.