Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 31

KICAUAN burung di tepian Tasik Botanic itu tidak mampu menghiburkan hati Ila. Dia sedih dengan apa yang terjadi di Maniera. Sepanjang hidupnya, itu pengalaman bekerja yang pertama dan di dalamnya sudah tercatat satu pengalaman pahit.

Ila duduk di atas bangku batu. Itulah tempat pertama kali dia mempermainkan Hakimi. Tiba-tiba dia mengeluh. Dia langsung tidak faham kenapa fikirannya asyik memikirkan Hakimi?

Hati, kau jangan cakap Hakimi dah mula beli tapak untuk buat istana kat dalam kau? bisik Ila pada diri. Beberapa ekor rama-rama yang berterbangan di atas bunga teratai dipandang. Dia menggaru kepala. Kenapa setiap kali otaknya melalut memikirkan Hakimi, perasaan sedihnya bagaikan terbang mengikut rama-rama itu sekali? Pelik. Mungkinkah dia sudah terjatuh cinta dengan Hakimi? Tak mungkin...

Ila berpusing ke belakang sebaik terdengar suara orang berdehem.

“Hei, betul pun awak,” sapa Andrew dengan wajah gembira. Langsung tidak menyangka akan menemui Ila di situ. Bertambah indahlah harinya hari itu. Hilanglah resah di hatinya seketika.

Hmm... jejaka idaman pula yang muncul pada saat hati ni hendak curang, gumam Ila.

“Kenapa duduk sorang ni?” tanya Andrew lalu terus mengambil tempat di sebelah Ila.

Ila tersenyum. Senang melihat Andrew di situ. Dia pun perlukan teman.

“Kenapa awak nampak macam tak gembira?” tanya Andrew sambil memandang muka Ila yang kelihatan bermasalah itu. Kehadiran gadis itu di situ dalam waktu itu sangat mencurigakan. Bukankah sepatutnya Ila di Maniera. Maklumlah gadis itu baru sahaja melebarkan sayap kehidupannya sebagai gadis bekerjaya. Sibuk sepanjang hari sampaikan mereka tiada masa hendak bersua muka seperti selalu.

Aik, aku dah senyum pun nampak juga ke muka tak lawa tu? gumam Ila.

“Penat kerja ke?” tanya Andrew lagi walau semakin pelik melihat Ila termenung sendiri di situ. Hatinya tertanya-tanya, apa masalah yang dihadapi Ila. Jika tidak bermasalah, masakan gadis itu sendirian di situ. Mulalah hatinya resah melihat Ila yang tidak ceria.

“Hari ni last saya kerja,” beritahu Ila. Mulutnya dimuncungkan sedikit, sengaja hendak menunjukkan muka sedih. Dia bukan mahukan simpati Andrew tetapi memang automatik hatinya mahukan seseorang untuk mendamai rasa. Andrew lelaki yang tepat dirasakan. Orang yang selalu ada pada masa-masa dia mengharapkan bahu seseorang untuk bersandar.

“Ooo...” Andrew mengangguk sebelum dahinya berkerut. Ada sesuatu yang tidak kena dengan jawapan diberikan Ila. “Eh, bukan ada satu bulan lagi ke?” Andrew masih ingat Ila pernah memberitahunya, gadis itu akan bekerja sehingga bulan depan. Jika mengikut perkiraannya, Ila baru sahaja tiga minggu bekerja. Kenapa awal sangat sudah tamat kontraknya?

“Saya kena pecat,” beritahu Ila selamba. Buat apa hendak disorok jika itu kenyataannya. Cakap pun dia sakit hati, tak cakap pun dia sakit hati. Sama sahaja.

“Hah...” Mulut Andrew sedikit ternganga.

“Tutuplah mulut tu. Terlopong macam terkejut dengar berita sensasi aje,” tegur Ila, masih ada hati hendak bergurau.

Andrew tersengih dan menutup mulutnya. Selamba aje gadis sorang ni. Tak rasa sedih ke kena buang kerja? Hisy, gumam Andrew. Dia pula yang risau. Apa kesalahan yang dilakukan Ila? “Kenapa?”

“Saya hilangkan sehelai gaun,” beritahu Ila perlahan. Peristiwa di Maniera sebentar tadi bermain di minda semula. Sampai hati Hakimi tidak mempercayai dirinya. Memanglah dia bersalah kerana tidak menyimpan gaun itu sebelum balik, tetapi dia tidak meninggalkan gaun itu di lobi. Apa salahnya dengan Fradie sampai dianiaya begitu? Betul kata Hakimi, Fradie tu teruk. Argh... yang sebenarnya adik-beradik tu memang teruk! Cemuh hati Ila.

“Oh, sebab gaun aje awak kena pecat?” soal Andrew pelik.

“Sebab tu bukan gaun biasa. Gaun tu mahal,” beritahu Ila sedih. Bukan sahaja sedih, dia malu. Malu dituduh penipu. Dia akui, dia telah memalsukan gaun itu tetapi dia tidak tipu soal kehilangan gaun itu. Kenapalah Mira percaya kata-kata Fradie? Hakimi pun sama. Itukan kesalahan pertamanya, kenapa dia tidak diberi peluang menjelaskan keadaan? Tetapi kalau Mira beri peluang apa yang hendak diberitahu? Hakimi paksa dia balik secara terburu-buru dan gaun itu hilang? Nampak sangat dirinya tidak bertanggungjawab. Lebih buruk lagi dia mungkin dituduh cuba mengoda Hakimi. Oh! Tidak.

Andrew mengangguk. Tetapi hatinya masih tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat ke atas Ila. Jika Maniera tidak kisah, dia juga boleh membayar ganti rugi gaun itu. Apa sangatlah nilai wang setakat seribu, dua berbanding nama baik dan maruah gadis itu. Andrew sudah membayangkan situasi orang yang dipecat seperti di kaca TV. Dimarah atau diherdik di hadapan pekerja lain. Terpaksa menahan malu. Kesiannya jika itu yang terjadi kepada Ila.

“Apa yang buat gaun tu mahal? Tak boleh ganti ke?” tanya Andrew simpati.

Ila menggeleng. “Gaun tu ada potongan rahsia. Lepas tu perhiasan kat dada gaun tu bukan batu biasa, tapi dari jenis Swarovski,” beritahu Ila. Dia mengeluh.

“Wow.” Andrew terkejut mendengar perhiasan gaun itu. Patutlah Ila dipecat. Batuan mewah itu sangat mahal harganya. Duit yang dia ada pun belum tentu cukup untuk membayar ganti rugi beberapa butir Swarovski asli.

“Eh, elok juga awak dah tak kerja. Boleh teman saya.” Andrew mengerakkan keningnya beberapa kali. Sengaja hendak menghibur hati Ila. Itu sahaja yang boleh dibantu saat itu. Entah kenapa dia ingin selalu menjadi lelaki pertama yang mengetahui masalah Ila. Mungkin teori majalah yang dibacanya betul. Dia sedang dilamun cinta. Hati Andrew tersenyum.

Ila tersenyum nipis. Andrew pasti suka dirinya sudah tidak bekerja. Nak kena belasah apek ni, bisiknya dalam hati. Entah kenapa hatinya berputik riang. Siapa yang hendak kena belasah ni? Dia ke Andrew? Alahai hati, sudah-sudahlah menguntum bunga. Dia tidak mahu lemas dalam haruman hati yang belum pasti.

“Eh, lupa nak Tanya. Awak buat apa kat sini? Cari amoi ya?” usik Ila.

Andrew mencebik dengan gaya mata terkelip-kelip. “Yelah, cari amoi saya yang dah sibuk kerja. Dia tak ingat pun saya lagi,” balas Andrew pura-pura merajuk.

Ila tersengih. Buat merah pipi sahaja mendengar apa yang Andrew katakan. Terasa pemuda itu hendak mengucapkan I love you kepadanya pula. Dia kemam bibir menahan malu. Pandangannya dialih ke tempat lain sesaat.

“Helo, helo… mana ada amoi tu lupakan awak. Bukan ke tiap-tiap hari awak dengan dia ada berbalas masej? Ila pandang atas. Buat muka bodoh sebaik habis bercakap.

Andrew tersengih. “Betullah, tapi kenapa saya tak rasa puas? Rasa tak sempurna hari kalau tak nampak dia?” Jantungnya bekerja lebih laju. Perasaannya deras mengalir membelai jiwa. Dia rasa bahagia. Argh, hatinya menguntum bunga-bunga sayang.

Ila kelip-kelip mata. Buat muka comel. Hatinya yang membengkak kerana hal Maniera tadi semakin ditumbuhi taman-taman bunga. Suka! Andrew menyukai dirinya juga. Tetapi malu-malu lagi hendak mengaku. Dia buat muka sengal. Rasanya mereka tidak boleh terlalu lama di situ. Ada yang terucap I love you pula. Perlahan-lahan dulu. Soal hati tidak boleh laju-laju, nanti malu. “Eh, jomlah kita balik. Saya nak rehatlah,” ajak Ila.

“Okey, jom,” kata Andrew. Dia pun sudah letih berpusing-pusing di Taman Botanic itu sebelum bertemu Ila.

“Jom. Saya hantar,” ajak Ila.

“Boleh ke awak yang kurus tu bawak saya yang besar ni?” tanya Andrew bimbang jika Ila gagal mengawal keadaan, mahu kelongkang mereka nanti.

“Tengok kakilah,” ujar Ila berlagak. Alah, setakat Andrew yang kurus dan tinggi itu tidak menjadi masalah pun padanya.

Andrew tersenyum. “Hati-hati tau. Saya belum kahwin lagi,” gurau Andrew. Seumur hidup, ini kali pertama dia menaiki motosikal. Dia rasa teruja.

Ila turut ketawa. “Saya pun tak kahwin lagi.”

Ketawa mereka sama-sama berderai.

“Okey, sekarang duduk diam-diam. Jet nak berlepas,” arah Ila masih mahu bergurau. Ila sudah bersedia untuk memasukan gear. Dari cermin sisi dia tersenyum melihat muka Andrew yang sedikit cuak. Alahai, comelnya apek ni.

“Okey...” Andrew meletakkan tangan atas peha sendiri. Bersedia membonceng motosikal yang bakal dikendalikan Ila.

Ila memulakan perjalanan mereka.

Tanpa mereka sedar, Hakimi juga melalui kawasan itu. Sengaja Hakimi mahu melihat Ila selamat tiba di rumah tetapi lain pula yang dilihatnya. Dia menjeling benci.

JAM baru menunjukkan pukul 4.30 petang tetapi Ila sudah balik daripada kerja. Berkerut dahi Hanim sebaik terlihat anak saudaranya itu. Novel di tangannya ditutup dan diletakkan ke atas meja kopi. “Awal balik hari ni? Tak banyak kerja ke?” tanya Hanim.

Ila menarik nafas sebelum menghempas punggungnya ke sofa. Tiada hati mahu mengulang tayang apa yang berlaku di Maniera tadi. Tidak boleh ke perasaan indahnya bersama Andrew tadi terus dinikmati tanpa perlu mengungkit tentang Maniera? “Dah tak payah kerja. Dah kena pecat.”

“Kena pecat?” soal Hanim tidak faham. Tetapi dua hari kebelakangan ini dia nampak Ila ke pejabat sendiri. Mungkinkah dia bergaduh dengan Hakimi, Ila dipecat?

Ila pandang Hanim dengan muka sedih.

“Bergaduh ke?” duga Hanim. Dalam hati dia rasa pergaduhan Ila dan Hakimi itu hal lain, bukan membabitkan pekerjaan. Mungkin kerana soal hati mereka yang masih belum jelas.

Ila mengeluh malas. Ada-ada sahaja ibu saudaranya ini.

“Mana ada... achik ingat Ila kerja kat tempat boxing ke?” jawab Ila.

“Tahulah tak kerja kat tempat boxing. Tapi kena pecat tu kenapa?”

Ila memandang Hanim. Dia mengeluh. “Sebab Ila hilangkan gaun mahal kat situ.” Mukanya berubah monyok. Dalam hati dia berharap Hanim merupakan orang terakhir yang bertanyakan hal itu.

“Hah?” Hanim terkejut. Biar betul anak saudaranya ini.

“Betul. Tapi eloklah kena pecat daripada kena penjara, kan?” jawab Ila. Dia rasa tindakan yang diambilMira itu sudah cukup baik. Mira? Teringat perempuan itu dia berasa terhina pula. Kalau hendak memecat dirinya pun janganlah lancang sangat mulut tu. Manusia mana yang tidak pernah membuat silap? Mira tu berlagak sangat! Habislah... Mira sudah menjadi orang yang dia benci pula.

“Dah tu, gaun tu dah dapat ke belum?”

Ila menjongketkan bahu.

“Hmm...” keluh Hanim. Dia memandang Ila. Betul ke sebab gaun? “Bukan sebab bergaduh dengan Hakimi ke?” duga Hanim.

Mendengar nama itu, pantas Ila menggeleng. Hakimi tu manusia tidak ada otak! Percaya apa yang disampaikan Fradie. Kalaulah dia punya magik, mahu sahaja diulang tayang hari gaun itu hilang di dalam cermin sakti dan menangkap siapa pencuri sebenar. Entah-entah memang Fradie yang punya kerja. Ila sakit hati lagi membayangkan senyuman manis bermadu Fradie yang penuh beracun itu. Plastik! Marah hatinya.

“Habis achik nampak kamu bertegang leher dengan dia pagi tu, kenapa?” Hanim terus menyiasat.

“Memanglah semalam Ila gaduh dengan dia. Sebab dia tak bagi Ila pergi kerja naik motor. Dia nak suruh Ila ikut dia aje hari-hari. Malaslah. Lagipun dia tu siapa? Bukan boyfriend Ila pun,” jelas Ila.

“Dia nak ambik beratlah tu. Ila tak perasan ke dia suka Ila?” ujar Hanim yakin.

Ila mencebik. “Menyampahlah dia tu. Entah apa-apa. Suka sangat sakitkan hati orang,” protesnya. Lelaki itu selalu sahaja membuatjiwanya sakit. Semakin dilayan, semakin berbahang hatinya. Lainlah Andrew. Fikiran Ila merawang membayangkan senyuman manis Andrew. Ah, sejuk hatinya.

Hanim menggeleng. Lucu melihat telatah Ila. “Orang kata, mula-mula benci, lama-lama rindu. Lepas tu sayang,” giat Hanim. Sudah tiada kerja hendak dibuat biar digula-gulakan Ila dengan Hakimi.

Ila mencebik. “Ila tak naklah dia tu, chik. Bagi ajelah kat perempuan lain.”

“Habis kamu suka siapa? Andrew?” usik Hanim. Mulut disengetkan sedikit sebagai tanda kurang setuju dengan pilihan itu. Takut memikirkan jika Ila betul-betul berjodoh dengan pemuda Cina itu. Layak ke anak saudaranya itu memimpin seorang mualaf kelak.

Ila tersenyum mendengar nama Andrew disebut. Teringat pula perbualan mereka di tepi tasik tadi. Hehehe... Andrew macam dah bagi isyarat hijau aje, bisik hatinya gembira.

“Hah, berangan!” Sergah Hanim. Sah Ila mula angaukan Andrew. Dia menggeleng.

TERKELIP-KELIP Hakimi membuang pandang ke dinding. Gitar dalam pelukannya dipetik perlahan. Berbunyi tetapi nadanya menyakitkan telinga. Mindanya kembali ke bilik mesyuarat petang tadi...

“Encik Kuichi... Cik Miyake...” Mira menelan liur memandang dua orang wakil Pasio itu. Rasa berdebar mahu memberitahu apa yang sudah berlaku atas gaun kontrovesi itu.

“Sebelum mesyuarat ini dimulakan... saya ingin mohon maaf kerana salah seorang pekerja kami sudah memalsukan gaun terbaru Pasio,” ujar Mira dalam debar. Dia menunggu tindak balas dua orang wakil Pasio itu. Bagaimana jika hal itu akan membuatkan kontrak antara mereka terbatal? Pasti Maniera mengalami malu besar. Lebih teruk lagi jika disaman. Musnahlah reputasi hebat Maniera sebagai syarikat penerbitan nombor satu selama ini.

Encik Kuichi dan Cik Miyake saling berpandangan.

“Sebenarnya, sebelum ni pekerja kami tersalah tempat menyimpan gaun tu. Kemudian dia menyangka gaun tu hilang. Untuk menutup kehilangan gaun tu, Dia mengantikan dengan gaun yang seakan sama dengan rekaan Pasio. Dia meniru rekaan Cik Miyake,” jelas Mira dengan muka bersalah.

Encik Kuichi dan Cik Miyake menganggukk.

“Gambar yang saya e-mail kepada Pasio tu, gambar gaun palsu yang digayakan model kami. Saya minta maaf,” cerita Mira seraya menundukkan sedikit badannya mengharap sedikit tolak ansur daripada mereka.

Terbeliak mata Cik Miyake. Dia tidak percaya apa yang berada dalam gambar itu ialah gaun palsu. Segalanya kelihatan sama. Lagipun mustahil pekerja biasa mampu memalsukan rekaan rahsianya. Dia dan Encik Kuichi membincangkan sesuatu antara mereka dalam bahasa Jepun. Seketika kemudian Cik Miyake memandang Mira.

Mira semakin berdebar.

Hakimi sekadar memerhati. Dia masih terasa bersalah dengan apa yang sudah Ila lakukan.

Watashi wa doresu o miru koto ga dekimasu ka! (Saya mahu melihat gaun tu!),” pinta Cik Miyake sedikit tegas. Hatinya tertanya-tanya siapakah yang begitu hebat meniru hasil ciptaannya yang penuh kerumitan itu. Gaun yang dihasilkan untuk golongan atasan itu mengambil masa yang lama untuk direka, tetapi orang menirunya mengambil masa yang singkat sahaja mengkaji dan meniru gaun itu. Dia tidak cukup hebat ke? Hatinya sedikit tercabar.

Mira mengangguk dan mengarahkan Zalikha menyerahkan gaun yang ditiru Ila. Apa pun keputusan yang bakal diterima, Maniera terpaksa menerima.

Cik Miyake meneliti gaun itu. “Totemo yoi (Sangat bagus).” Dia terpegun melihat kekemasan dan skil jahitan itu. Hasil itu terlalu baik untuk seorang amatur. Hampir setaraf dengannya yang sudah lama dalam industri fesyen. Pasti tangan dan penelitian orang yang menghasilkan gaun itu sangat baik. Dia teringin hendak berkenalan dengan peniru itu.

Dare ga watashi no dezain o kopi sa remasu ka (Siapa yang meniru rekaan ni)?” tanya Cik Miyake. Berminat mahu berkenalan dengan tukang jahit gaun palsu itu.

Mira memandang jurubahasa menterjemahkan apa yang disampaikan Cik Miyake. Nasib baik Maniera ada mengupah jurubahasa, kalau tidak mahu tujuh hari tujuh malam mereka menyelak kamus mencari maksud kata-kata Cik Miyake. Dua orang wakil Pasio itu tidak boleh berbahasa Inggeris.

“Hanya seorang kerani biasa,” beritahu Mira perlahan. Dia pasti wakil Pasio itu akan tersinggung. Layak ke gadis biasa itu menyentuh gaun semahal itu dan menirunya? Hati Mira sedikit jengkel mengenangkan Ila. Padanya gadis itu langsung tidak tahu meletakkan diri di tempat selayaknya. Gadis itu fikir jika mempunyai hubungan baik bersama Hakimi, dia bole membuat sesuka hati? Menyusahkan sahaja.

Cik Miyake mengangguk beberapa kali. Riak mukanya kelihatan gembira walau sedikit terkejut.

Hakimi yang memerhati mula selesa dengan wakil Pasio itu. Dia rasa senang pula bekerja dengan orang Jepun yang banyak mengangguk kepala dari bercakap ini. Dia sangka orang Jepun itu akan memaki hamun mereka tadi.

Watashi wa kare ni aitai (Saya mahu menemui dia),” pinta Cik Miyake. Bakat hebat seperti itu tidak mahu dilepaskan. Jika boleh memberi peluang untuk peniru itu menonjolkan bakatnya, dia bersedia menawarkan peniru itu tempat sebagai pembantunya.

Mira menelan liur. Itu pula yang dimahukan Cik Miyake. Ke mana dia hendak mencari Ila? Takkan hendak menyuruh Hakimi membawa gadis itu ke Maniera semula? Tidak! Itu tidak mungkin. Dia tidak mahu menjatuhkan air muka sendiri. Gadis itu sudah dipecat dan dia tidak mahu gadis itu kembali lagi di situ.

“Maaf, Cik Miyake. Gadis tu dah dipecat,” akui Mira.

Cik Miyake mempamerkan muka hampa. Sayang sekali, keluh hatinya.

Kanojo wa hijo ni saino ga aru (Dia sungguh berbakat),” keluh Cik Miyake sambil matanya terus meneliti gaun yang sudah ditiru Ila. Alangkah baiknya jika orang yang sudah meniru rekaannya itu berada di situ. Pasti dia berbesar hati mahu berkongsi sedikit pengalaman dan mempengaruhi peniru itu supaya lebih berminat dengan dunia rekaan fesyen.

Tanpa perasaan marah Encik Kuichi dan Cik Miyake meminta mesyuarat diteruskan.

Hakimi berasa tidak puas hati dengan Mira. Dia rasa Mira sengaja menyalahkan Ila atas pergaduhan dia dan Fradie. Wakil syarikat Jepun itu tidak kisah pun. Cik Miyake seboleh-boleh mahu menemui Ila.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.