Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
BILAKAH AKAN JUMPA TENANG DI HATI ~ BAB 33- 35

BAB 33

Merah padam muka Amir Hudzaifa. Kalau boleh nak dicekik-cekik Syifa’ Umaira ketika itu juga. Apa nak jadi pun jadilah. Lain yang dipesan lain yang dibuat. Kucar-kacir jadinya pengurusan mahaad. Pandai-pandai mengubah apa yang selama ini telah ditetapkan. Suka-suka mengubah jadual belajar dan mengajar. Kelam-kabut jadinya. Para pelajar pening kepala. Kepala ustaz-ustaz lagi pening. Wajah Syifa’ Umaira yang menunduk memandang lantai rasa nak disapu dengan penyapu. Eee! Garang bunyinya kan. Memang sakit hatinya. Baru seminggu dia keluar daerah sudah macam-macam terjadi.

“Kan abang suruh Mai jaga maahad, jadi Mai jagalah. Apa masalahnya?” Syifa’ Umaira mendengus kasar. Salahkah dia mengubah jadual waktu belajar pelajar-pelajar ini. Puas dia bertengkar dengan Ustaz Din sehingga ustaz itu tidak datang ke pejabat kerana berkecil hati dengannya. Ah! Peduli apa? Ini maahad suaminya. Ikut suka dialah. Dia memeluk tubuh dengan wajah mencuka.

“Abang suruh jaga… bukan ubah!! Awak faham tak?” Marah Amir Hudzaifa. Melengking suaranya . Syifa’ Umaira menutup telinga.

“Ustaz Din sudah tiga hari tak datang, awak tahu kenapa?”

“Mana Mai tahu?”

“Staf yang lain kata awak bertengkar dengan Ustaz Din, dia tak benarkan awak ubah jadual tapi awak ubah juga! Kenapa engkar?” Marahnya masih berbaki. Sakit hatinya tidak kunjung padam. Orang kepercayaannya sendiri berjauh hati. Siapa yang tidak sakit hati. Gara-gara sikap sembrono isterinya semuanya jadi berantakan.

“Ala, setakat jadual je, itu pun nak bising ke?” Syifa’ Umaira bertegas dengan keputusannya. Kalau dia tidak boleh buat keputusan tidak bermakna dia membantu menjaga maahad ini. Bukankah menjaga sama dengan mengurus. Apatah lagi dia isteri Ustaz Amir Hudzaifa. Tentu lebih berhak buat keputusan. Ini maahad suaminya.

“Mai pergi benarkan budak-budak ambil sayur di kebun tanpa mengikut jadual yang telah kita tetapkan, habis sayur yang masih putik dipetik oleh mereka. Apa semuanya ini?” Tinggi suara Amir Hudzaifa.

“Abang ni… semuanya tak kena!”

“Memanglah tak kena! Apa yang Mai buat menyusahkan semua orang, faham tak!”

“Lain kali Mai tak nak tinggal di maahad, abang keluar daerah je, Mai ikut… abang apa tahu? Bosan duduk di sini, tahu tak!” Syifa’ Umaira tidak mahu kalah. Amir Hudzaifa hanya mampu menggelengkan kepala. Isteri mudanya ini kuat melawan. Engkar dan sukar menerima nasihat.

“Mai sudah lupa dengan perjanjian kita bertiga, semuanya kena ikut giliran.” Amir Hudzaifa mengingatkan. Syifa’Umaira mencebik. Pergi mampus dengan perjanjian itu.

“Macam ni jelah bang… biar Mai balik je ke rumah keluarga Mai… selesai semua masalah,” dia membuat keputusan. Peduli apa, yang penting dia tidak mahu tinggal di sini. Baru beberapa keputusan dibuat suaminya sudah membentak-bentak memarahinya.

“Itu jelah modal Mai? Balik, balik, balik… belajarlah menerima teguran orang, belajarlah menjadi dewasa. Mai sudah ada tanggungjawab sebagai seorang isteri, takkan itu pun tak faham? Belajar sampai masuk universiti tapi mana akal dan fikiran Mai? Ugut abang nak balik ke rumah keluarga Mai? Tak malu ke, baru sebulan dua berkahwin dah nak duduk jauh dari suami? Apa orang keliling cakap? Apa kata keluarga Mai? Semua tu kena fikir, tahu tak? Jangan fikir nak lepas diri sendiri je?” tegur Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mencebik. Bertambah sakit hatinya.

“Abang nikan, baru je balik tau, seminggu kita tak jumpa. Balik bukan nak belai, nak sayang tapi kemarahan yang dapat. Tak hargai langsung Mai bantu jaga maahad abang ni, semuanya salah, semuanya tak betul… abang jelah yang betul!” dengus Syifa’ Umaira kasar. Dia memandang ke arah lain. Malas dia nak tengok wajah cemberut suaminya itu. Amir Hudzaifa terduduk. Semakin di marah semakin galak isterinya itu melawan.

“Belajarlah menghormati abang sebagai suami, Mai. Asyik menjawab cakap abang. Asyik melengking je suara tu. Malu abang pada staf-staf. Mai tak tahu ke bercakap dengan lembut macam dulu,” dia mengeluh.

“Lepaskan Mai. Mai tak rela hidup berkongsi suami dengan orang lain, abang faham tak?” Suaranya dengar dengan tidak.

“Cakap kuat sikit boleh tak?”

“Mai nak cerai! Cerai! Faham tak?” Jerit Syifa’ Umaira macam orang hilang akal. Amir Hudzaifa memandang tepat wajah isterinya.

“Mengucap… mengucap Mai!” Amir Hudzaifa menarik tangan Syifa’Umaira yang berdiri di hadapannya.

“Mai tak boleh bang!” Syifa Umaira menangis macam budak kecil. Dia sudah tidak mampu meneruskan hidup berkongsi suami dengan perempuan lain. Seminggu ditinggalkan berbagai perkara bermain dibenaknya. Seminggu tidak bersama suaminya membuatkan dia banyak berfikir tentang masa depannya. Sanggupkah dia hidup begini sebulan, dua bulan atau setahun. Dia sendiri tidak pasti.

“Jangan buat macam ni Mai… bukan sekarang. Kenapa tidak dulu sebelum kita berkahwin? Kenapa baru sekarang Mai rasa tak sanggup. Mai ada hati tak? Ada perasaan tak?” Amir Hudzaifa tidak tahu apa lagi yang harus dia lakukan. Apakah dia harus mengikut kehendak Syifa’ Umaira? Atau membiarkan sahaja perasaan isterinya itu tertekan. Bingung dia dibuatnya.

“Habis? Abang nak Mai buat apa? Hati dan perasaan Mai sakit setiap kali abang bersama kak Ija? Takkan nak tahan je? Takkan nak biarkan je? Sakit tau… sakit!”

“Cuba bertenang. Ingatkan semula sebab apa kita berkahwin. Bukankah Mai sendiri yang rela bermadu, berkongsi dengan Kak Ija. Semua dan tertulis dan tersurat jodoh kita Mai. Abang takkan tunaikan permintaan Mai. Kalau abang ikut, bermakna abang sama bodoh dengan Mai. Bergegar tiang Arasy bila Mai meminta cerai dari abang. Kenapa abang mesti ceraikan Mai dan kenapa Mai minta cerai dari abang? Kalau ke pejabat agama pun mereka tidak akan terima kerana alasan itu tidak kuat. Melainkan abang menyia-nyiakan Mai. Tidak beri nafkah lahir dan batin atau abang dera Mai. Faham tak?” Jelas Amir Hudzaifa panjang lebar. Syifa’ Umaira terdiam. Habis kata-kata dan mati akal. Dia terduduk dan menangis sepuas-puasnya. Apakah sudah tiada jalan keluar untuknya. Ah! Jeritnya dalam hati.

Amir Hudzaifa melangkah keluar dari rumah isteri mudanya apabila sahaja azan maghrib berkumandang. Hatinya sedih. Dadanya sebak. Usai solat dia merancang untuk ke rumah Ustaz Din. Dia tidak mahu rajuk pembantunya itu berterusan. Teruk dia nanti. Isterinya harus belajar cara menguruskan maahad bukan mudah-mudah begitu sahaja. Perlu tahu dasar, misi dan visi maahad. Ummi Khadeeja sendiri tidak berani mengubah apa yang dia telah tetapkan. Ummi Khadeeja hanya memantau dan memastikan semuanya berjalan mengikut jadual. Mungkin salah dia juga kerana tidak mengajar Syifa’Umaira cara yang sepatutnya menguruskan maahad ini. Ah! Amir Hudzaifa mengeluh.

Wajah Ustaz Din ditenungnya. Pembantunya itu menunduk. Tidak berani bertentang mata dengan majikannya itu. Dia tahu dia bersalah kerana sudah tiga hari tidak menghadirkan diri. Dia berkecil hati dengan kata-kata isteri muda majikannya. Tidak pernah ada orang berkata begitu padanya. Selama bertahun-tahun dia bekerja di maahad milik Ustaz Amir Hudzaifa tidak pernah dia berkecil hati walaupun di marah atau ditegur oleh majikannya .

“Ustaz makan gaji buta ke? Buat kerja macam ni punya senang, setakat pergi mengajar, duduk di kerusi sebulan dapat beribu ringgit? Apa kelulusan yang ustaz ada sampai melayakkan ustaz dapat upah sampai RM5,000? Tak sesuai langsung. Mulai esok semua jadual ustaz berubah. Kalau sebelum ni ustaz mengajar dua masa sahaja dan masa yang lain duduk goyang kaki di pejabat saya rasa setakat RM1200.00 sudah cukup,” sindir Syifa’ Umaira. Tersembol mata Ustaz Din memandang wajah sombong isteri majikannya itu. Dia bekerja di situ bukan terus mendapat imbuhan sebesar itu. Dia bermula dari hanya mendapat beberapa ratus sahaja sebulan. Bila dia diberi tanggungjawab mengurus dan membantu Ustaz Amir Hudzaifa baru gajinya dinaikkan. Bukan gajinya sahaja dinaikkan malah semua staf yang bekerja di Maahad Darul Hikmah.

“Din… esok masuk pejabat seperti biasa ya? Saya mohon pada awak? Jangan buat saya macam ni Din? Isteri saya tak tahu apa-apa, dia baru nak belajar membantu saya menguruskan maahad,” mata Amir Hudzaifa masih melekat diwajah pembantunya.

“Maafkan saya ustaz. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan,”

“Tak… awak tak salah. Saya yang bersalah. Semuanya kesilapan saya. Kembali bertugas macam biasa, ya?” Rayu Amir Hudzaifa. Ustaz Din serba salah. Dia tidak sanggup bersemuka lagi dengan isteri muda majikannya itu. Sombong dan angkuh.

“Awak semua yang ada di pejabat ni… ee! Gaji mengalahkan orang dapat Phd. Mahal semuanya. Haliza, hampir RM2500.00 sebulan. Kerja hanya buat surat dan duduk je, Ustaz Kasim, begitu juga. Tak sesuai langsunglah, ikut tangga gaji mana ni? Swasta ke kerajaan?” Wajah seorang demi seorang staf suaminya dipandang dengan jelingan tajam. Ustaz Din berdiri di sebelah Haliza mengetap bibir.

“Esok semuanya berubah. Haliza kena tolong di kebun, bagi makan ikan, ayam dan kambing, begitu juga awak Ustaz Kasim, waktu mengajar awak cuma lima masa sahaja, masa lain awak duduk dalam bilik ni.” Syifa’Umaira terus mengarah.

“Maaf puan, kerja kami bukan duduk saja makan gaji buta. Kami uruskan semua urusan pelajar, keluar masuk pelajar, urusan sumbangan dan derma, pastikan pelajar berdisplin, makan-minum pelajar cukup. Guru atau ustaz yang cuti berganti. Kebersihan maahad, keperluan pelajar semua kami yang uruskan.” Ustaz Din bersuara. Syifa’ Umaira menjengilkan mata

“Berani awak melawan saya, ya? Awak lupa siapa saya?” tegas. Syifa’ Umaira mencekak pinggang.

“Saya hormat puan tapi puan tak boleh hina kami dengan kata kami makan gaji buta? kami ada tugas masing-masing yang telah ditetapkan oleh ustaz. Itulah yang kami ikut. Mungkin puan rasa kami duduk sahaja di meja ini tapi sebenarnya kami melakukan kerja kami,”

“Lakukan kerja? Kerja apa? Duduk mengadap komputer awak kata kerja?”

“Cuba puan tengok apa yang Haliza buat.” Ustaz Din memusing skrin komputer Haliza. Data akauan maahad sedang dikemas kini. Syifa’ Umairah tidak memandang langsung. Dia mencebik. Ustaz Din menggelengkan kepala. Kurang senang dengan perbuatan Syifa’ Umaira.

“Saya tak peduli… esok pelajar boleh ambil sayur di kebun bila-bila masa sahaja yang mereka perlukan, faham!” Berkeras.

“Tak boleh puan… sayur-sayuran itu ada masa matang dan masa untuk menuainya. Tak boleh sesuka hati petik, nanti rosak semua pokok-pokok tu. Itu sebab Ustaz dan Pak Itam buat jadual. Kalau tidak sudah lama pokok-pokok sayur tu mati, puan.” Ustaz Din masih boleh berlembut. Dalam hatinya menggelegak macam gunung berapi yang menunggu masa untuk memuntahkan lavanya. Haliza menunduk begitu juga staf yang lain. Cuma hati mereka sahaja berkata-kata.

“Awak ni kenapa ustaz? Semua cadangan saya awak nak bangkang? Siapa bagi gaji kat awak, hah! Sudah lupa ke?”

“Jika apa yang puan buat menganggu-gugat kelancaran maahad memang saya terpaksa masuk campur. Lagi pun ustaz sudah amanah pada saya untuk menjaga maahad sepanjang ketiadaannya di sin.” Tegas.

“Saya akan adukan pada suami saya.”

“Saya tak takut.” Ustaz Din masih berdiri kekal di sebelah Haliza. Kecut perut Haliza melihat kedua-duanya bertegang urat. Tidak mahu mengalah.

“Awak ni memang nak cabar saya, ya?” Lengking Syifa’ Umaira

“Saya tak bermaksud begitu.” tetap mengawal nada suaranya.

“Awak tak hormat saya sebagai isteri pemilik maahad ini?”

“Kami hanya hormat orang yang hormat kami,” lembut tetapi tegas.

“Ustaz Din! Awak jangan kurang ajar?” Mata Syifa’ Umaira mula merah. Dadanya sakit menahan kemarahannya.

“Saya tak kurang ajar dengan puan, semua yang ada di sini nampak dan dengar.”

“Saya tak peduli, itu awak punya pasal. Mulai esok awak semua ikut jadual yang saya tetapkan, faham.” Syifa’ Umaira mencampak kertas yang telah ditaip dengan jadual baru. Ustaz Din membiarkan sahaja. Haliza serba-salah. Hendak ambil ke tidak. Dia menoleh.

“Apa yang awak pandang Haliza, kutiplah jadual tu,” jerit Syifa’ Umaira. Haliza terkejut. Dia menapak untuk mengambil jadual yang ada di atas lantai.

“Kami manusia puan, bukan binatang!”

“Apa maksud awak?”

“Kalau ya pun takkan tak boleh letak atas meja atau bagi sahaja pada tangan Haliza,” bukan niat mengajar tetapi ingin membuat isteri muda Ustaz Amir Hudzaifa faham bahawa tindakannya itu nampak tidak sopan.

“Awak semua hanya kuli suami saya tau, samalah macam binatang dengan tuannya,” kata Syifa’ Umaira tanpa rasa bersalah. Perkara itu benar-benar membuatkan hati Ustaz Din panas. Dia mengetap bibir. Untung dia masih sedar dan mampu menahan marahnya jika tidak pasti penumbuk naik ke muka Syifa’ Umaira.

“Tolong keluar dari pejabat kami puan, kalau puan tidak mahu keluar secara hormat jangan sampai saya halau pula nanti,” marah Ustaz Din.

“Awak nak halau saya? Awak tu sepatutnya keluar dari sini, bukan saya!”

“Baik! Jika itu yang puan mahu!” Ustaz Din mengambil begnya dan melangkah keluar. Haliza dan staf yang lain terlopong dan terkejut melihat tindakan Ustaz Din. Syifa’ Umaira tersengih. Haliza menggelengkan kepala. Dia memandang wajah Syifa’ Umaira dengan pandangan yang sedih dan hampa.

“Din… Din!” panggilan Ustaz Amir Hudzaifa mematikan lamunan Ustaz Din. Dia tersipu malu terlalu jauh dia mengelamun mengenangkan kisah yang terjadi antara dia dan isteri muda majikannya.

“Maafkan saya Ustaz. Saya tidak berniat nak bertengkar dan bersikap kurang ajar dengan isteri ustaz. Saya hanya mempertahankan hak kami sebagai pekerja ustaz.” Sedih hati Ustaz Din mengucapkannya. Amir Hudzaifa tersenyum dan menepuk bahu pembantunya.

“Saya kenal awak lebih dulu, Din. Jadi saya tahu hati budi awak. Jangan bimbang. Saya tidak berkecil hati atau marah. Tindakan awak betul. Kalau saya tentu saya akan bertindak lebih dari itu.”

“Tindakan saya macam budak-budak pula, kan.” Ustaz Din ketawa. Amir Hudzaifa turut ketawa.

“Esok datang kerja macam biasa ya. Kasihan pekerja-pekerja yang lain. Mereka asyik bertanyakan awak sahaja. Jangan hampakan saya. Awak bekerja dengan saya. Bukan isteri saya.’

“Insya-ALLAH ustaz. Cuma saya minta, biarlah kami sahaja yang uruskan maahad. Itu pun jika ustaz percaya pada kami.”

“Nanti saya fikirkan. Walau apa pun khidmat awak amat saya perlukan. Datang kerja balik, ya,” pujuk Amir Hudzaifa. Mata Ustaz Din menjunam ke wajah kacak majikannya. Mereka saling tersenyum. Ustaz Din mengangguk. Amir Hudzaifa tersenyum puas. Dia bersyukur kerana masih dapat memujuk pembantunya itu kembali bertugas. Soal Syifa’ Umaira akan cuba diselesaikan. Amir Hudzaifa menarik nafas lega.

Pak Itam asyik membebel sejak dia menjejakkan kaki di maahad. Kebun sayurnya lunyai di kerjakan oleh para pelajar. Sayur yang belum cukup tua dan boleh dituai sudah dipetik oleh mereka. Anak-anak pokok habis kena pijak gara-gara Syifa; Umaira mengizinkan para pelajar ambil sendiri sayur di kebun. Sebelum ini sayur-sayur itu akan dipetik oleh Pak Itam dan pembantunya dan dihantar ke pejabat pengurusan maahad. Para pelajar akan mengambilnya di sana. Akhirnya hampir separuh dari batas sayur terpaksa dipunggah, di tanam semula. Pak Hamid pemandu di maahad turut sama membantu. Beberapa pelajar yang bertugas tekun menolong.

Pening! pening kepalanya. Baru seminggu. Bagaimana jika sebulan, dua bulan. Syifa’ Umaira harus diajar menghormati orang lain. Kenapalah lain macam sahaja sikap isterinya. Tidak seperti sewaktu mereka berkahwin dulu. Lembut dan berbudi bahasa. Apa yang merasuk isterinya atau apa yang tersimpan dihati isterinya. Apakah isterinya itu benar-benar ingin dilepaskan. Bagaimana dengan maruah dirinya. Maruah keluarganya. Amir Hudzaifa mengeluh kesal.

BAB 34

Syifa’ Umaira menyinga. Sakit hatinya mendengar keputusan suaminya. Kejam sangatkan dia. Jahat sangatkah tindakannya. Buruk sangatkah perbuatannya sehinggakan dia tidak dibenarkan campur tangan dalam pengurusan maahad. Kalau dia bersalah sekali pun takkanlah tindakan sebegitu diambil kepadanya. Tentu ini kerja Ustaz Din yang tidak mahu dia campur tangan dalam pengurusan maahad.

“Abang tak mahu berkompromi, walaupun Mai isteri abang, tapi masa depan dan hati pekerja-pekerja abang perlu diambil kira. Abang suruh Mai bantu bukan kucar-kacirkan keadaan. Banyak perkara Mai harus belajar lagi. Buat masa ini abang tidak izinkan Mai ke pejabat dan ganggu pekerja-pekerja abang,”

“Ingatkan sudah habis, rupanya masih ada lagi?” sindir Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menjeling. Dia menggelengkan kepala.

“Ija tetap membantu abang macam biasa.” Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja yang tenang duduk di hadapannya. Dia tersenyum. Senyuman sinis dan penuh makna. Amir Hudzaifa menunduk. Apalah yang difikirkan oleh isteri pertamanya itu. Cuma tidak bercakap tetapi dari riak dan bahasa tubuh menampakkan isterinya itu menyimpan satu perasaan tidak selesa dengannya.

“Oo! Kak Ija boleh pula? Tapi Mai, tak boleh? Abang tak adil, tak adil! berat sebelah!” Lengking suara Syifa’ Umaira.

“Kak Ija tak pernah mendatangkan masalah pada pekerja abang, tak pernah menganggu urusan maahad. Dia cuma pantau dan pastikan semua mengikut jadual yang ditetapkan. Bukan macam Mai, buat sesuka hati. Tak merujuk dan bertanya. Buat keputusan sendiri.” Terang Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja menoleh. Wajah madunya dipandang denga penuh tandatanya. Dia hairan dengan sikap sombong dan angkuh Syifa’ Umaira. Sedangkan waktu pertama kali bertemu sikap madunya itu baik sahaja. Syifa’ Umaira menjeling apabila perasan dia diperhatikan oleh Ummi Khadeeja.

“Kalau tak ada apa lagi, Ija minta diri dulu bang. Kain baju banyak nak dibasuh. Rumah masih tidak berkemas.”

“Baiklah… abang seminggu di sini, kalau ada kecemasan jangan tak telefon abang pula.” Amir Hudzaifa menghantar Ummi Khadeeja ke pintu. Syifa’ Umaira memerhati dengan perasaan marah. Membuak perasaan cemburu yang sedia tertanam di hati. Lebih-lebih lagi melihat suaminya memegang tangan Ummi Khadeeja. Mesra sekali mereka berdua di hadapan matanya pula. Dia mengetap bibir. Dia memerhati lagi. Ummi Khadeeja mencium tangan suaminya. Syifa’ beralih memandang ke arah lain. Tidak sanggup melihatnya.

“Sudah masak?” tanya Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira memandang suaminya tidak berkelip. Sakit hati belum hilang. Makan sahaja yang dia tahu.

“Belum!” Sepatah.

“Sudah pukul berapa ni?”

“Kalau sudah lapar pergi je beli di kedai depan tu”

“Apa guna ada isteri kalau nak makan pun kena beli?” Sinis

“Abang ni, kan… hati saya ni masih sakit lagi tau! Tak puas-puas nak sakitkan lagi!” Syifa’ Umaira mengetap bibir. Hilang rasa hormat pada suami yang sebelum ini dipuja dan dicintai. Kerana rasa cemburu dan sakit hati, maka lahirlah perkataan dan kata-kata yang tidak menyenangkan. Malah perbuatan dan tindakannya juga bersebab dari rasa yang ada di hatinya. Cemburu, sakit hati pada madunya, dilahirkan pada suaminya.

“Kalau ikut rasa sakit hati awak tu, sampai bila-bila pun takkan hilang Mai… selagi awak layan dan belai. Iya akan tumbuh dan terus membesar, berbunga dan berbuah di sanubari awak. Cuba buang, gantikan dengan pokok hormat, bunga kasih dan buah sayang. Tak boleh ke?”

“Mai tak mampu bang,” jelas dan tegas. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.

“Kalau pokok tu di bina rumah untuk syaitan tinggal, tidur, makan dan minum di situ memanglah susah nak buang.” Amir Hudzaifa berharap Syifa’ Umaira faham dan akan bertindak dengan lebih bijak lagi.

“Kalau jaga maahad pun tak boleh. Biar Mai sambung belajar balik. Abang kena pilih salah satu, menguruskan maahad atau sambung belajar? kalau tidak lepaskan Mai! Mai korbankan cita-cita dan impian emak dan ayah Mai kerana nak kahwin dengan abang, bantu abang jaga maahad, akhirnya apa yang Mai dapat? Mai tak boleh jaga maahad. Mai nak buat apa di sini? Kuli abang?” Keras.

“Syifa’ Umaira! Abang masih mampu bersabar dengan awak, tapi jangan lebih-lebih. Mengikut perjanjian awak tak boleh sambung belajar kalau nak jadi isteri abang. Awak sudah lupa? Awak sendiri yang nak kahwin dengan abang. Bukan abang paksa. Jangan letak kesalahan itu dibahu abang seorang. Awak juga harus bertanggungjawab atas keputusan awak sendiri!” merah padam muka Amir Hudzaifa.

“Memang dulu Mai cinta dan sayangkan abang… tapi kini Mai tak pasti. Betul kata orang, tak kenal maka tak cinta. Mai sudah kenal abang, kenal keluarga abang. Gah pada nama je, tapi sikap dan perangai entah apa-apa!”

“Diam Mai!” Jerit Amir Hudzaifa.

“Kenapa suruh Mai diam? Tak sanggup hadapi kenyataan? Itulah diri abang, sombong, ego, bongkak!” Tuduh Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Hatinya sakit mendengar setiap butir bicara tidak beradap isterinya itu. Sombongkah dia? Bongkakkah dia? Egokah dia? Pada siapa dia sombong? Pada siapa dia bongkak? Pada siapa dia ego? Dia membelek dirinya sendiri. Semua yang dikatakan oleh Syifa’ Umaira tiada padanya. Apa yang terlihat semua itu ada pada Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mengetap bibir. Wajah Syifa’ Umaira semakin kecil di pandangannya.

“Lepaskan Mai! Lepaskan Mai, bang!” Sambung Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menunduk. Hiba hati mendengarnya. Kecewa rasanya jiwa. Inikah isteri yang dikahwininya. Dia bagaikan tidak percaya. Wajah Syifa’ Umaira yang basah dengan air mata di pandang sekali imbas. Dayuskan dia membiarkan sikap kurang ajar isterinya itu. Amir Hudzaifa meraup wajahnya.

“Kenapa abang diam?”

“Awak sudah hilang kewarasan agaknya, Mai.” Masih berlembut. Masih sabar.

“Kalau abang kurung Mai di sini… Mai boleh gila tau, gila!”

“Mai!”

“Kenapa? Abang sukalah, kan? Boleh cari lain… abangkan boleh kahwin sampai empat. Mai ni tak guna, tak pandai masak, tak pandai kemas rumah, tak pandai urus maahad, buat apa simpan Mai lagi. Lepaskan Mai!” Masih tidak mahu mengalah.

“Kenapa dengan awak ni? Tak boleh ke bersabar? Tak boleh ke bertenang?”

“Nak bertenang apanya bang? Mai tak tahan lagi hidup berkongsi? Asyik kena tinggal je.” Tangisannya semakin kuat.

“Ya, ALLAH! kenapa jadi macam ni? Dulu awak yang setuju, Mai.” Amir Hudzaifa kesal.

“Itu dulu! Sekarang ni Mai tak nak berkongsi, abang faham tak?” Dia mengharap pengertian dari suaminya itu. Biarlah dia hidup sendiri. Tidak sanggup lagi meneruskan perkahwinan ini.

“Abang tidak sebodoh Mai. Abang tidak segila Mai,”

“Memang Mai bodoh! Bodoh sebab setuju berkahwin dengan abang! Bodoh sebab rela berkongsi suami dengan perempuan lain. Bodoh sebab berhenti belajar. Bodoh sebab jatuh cinta pada abang. Bodoh sebab setuju dengan perjanjian abang suami isteri. Bodoh sebab tidak mendengar kata dan nasihat orang tua. Bodoh sebab tidak mendengar nasihat kawan-kawan. Memang Mai bodoh!” Syifa’ Umaira menundukkan muka. Air mata menitis laju.

“Syifa’ Umaira!” Amir Hudzaifa mendekati isterinya dan ingin memeluknya tapi ditepis dengan keras. Syifa’ Umaira bingkas bangun dan duduk menjauh dari Amir Hudzaifa.

“Tolonglah bang!” rayu Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Perkara itu tidak mungkin terjadi. Dia berkahwin bukan untuk bercerai-berai.

“Awak masih keliru, Mai. Bawa bertenang. Jangan ikut kata hati,” pujuk Amir Hudzaifa. Masih cuba berlembut. Masih boleh bertenang.

“Mai tak keliru bang… kasihanilah Mai. Simpatilah pada Mai.”

“Mai sedar tak apa yang Mai cakapkan ni?”

“Mai sedar. Mai masih waras bang,”

“Tak mungkin abang menceraikan Mai,”

“Mai tak sanggup! Abang faham tak?”

“Mai ikut perasaan,”

“Abang!”

“Maafkan abang Mai,” mata Amir Hudzaifa menjunam ke wajah kusut isterinya.

“Abang, kasihanilah Mai… lepaskan Mai,” masih merayu dan berharap. Dia tidak mahu lagi berkurung di maahad itu. Dia tidak mahu lagi hidup bersama suaminya. Dia ingin lepas bebas seperti dahulu. Biarlah dia sendiri. Biarlah emak dan ayahnya marah, dia sudah tidak peduli.

“Tak mungkin Mai, awak dengar tak saya cakap. Tak mungkin!” Tegas.

“Abang kejam! Kejam!” jerit Syifa’ Umaira. Air mata mengalir laju ditubir matanya. Dia hilang rasa hormat dan sayang pada suaminya itu. Semuanya musnah. Dia tidak boleh belajar dan tidak boleh mengurus maahad. Habis dia nak buat apa? Semakin kuat tangisannya.

“Mai yang kejam pada diri Mai sendiri! Bergaullah dengan adap dan sopan, dengan semua orang di sini. Bukan seperti bos dan kulinya. Kalau Mai hormat Kak Ija, hormat anak-anak abang, sayang mereka, hormat pekerja-pekerja abang, Mai akan diterima baik disini. Abang tidak akan melarang Mai membantu abang menguruskan maahad ini. Mudah je, kan. Mai yang buatnya jadi susah dan membebankan diri sendiri. Jangan selalu suka salahkan orang lain. Jangan suka cari kesalahan dan kesilapan orang lain,” panjang lebar. Amir Hudzaifa mengeluh. Syifa’ Umaira bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik. Daun pintu dihempas dengan kuat. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Bingung.

Syifa’ Umaira menghempaskan diri di atas katil. Dia menangis semahu-mahunya. Semua ini salah suaminya. Dulu dia bukan begini. Ini bukan sikapnya. Ini bukan perangainya. Ini bukan Syifa’ Umaira yang dikenalinya. Terasa seperti duduk di dalam tubuh orang lain sahaja. Emak! Ayah! Tolong Mai, tangisnya. Dulu dia seorang yang lembut, sopan dan penuh dengan adab terhadap orang lain. Dia baik dengan semua orang. Walaupun kurang bergaul namun dia dapat menyesuaikan diri.

Apakah perkahwinan ini telah mengubah dirinya menjadi orang lain. Mengubah sikapnya dari lembut menjadi garang dan tidak berperikemanusiaan. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dia lakukan. Semua impian dan harapan bagaikan menghilang seperti angin lalu, pergi dan tidak akan kembali lagi. Jiwanya kacau, hatinya membengkak, sakit, pedih, perit dan mungkin bernanah, berdarah, tiada siapa yang tahu. Suaminya juga tidak faham. Suaminya juga tidak mahu memujuk dan menyelami hati dan perasaannya. Dia tanggung sendiri perasaan sakit ini. Dia tanggung sendiri kedukaan ini.

Tiada teman, tiada kawan, tiada sahabat yang sudi mendengar luahan rasa hatinya, luahan rasa fikirannya. Sakit tanggunglah sendiri, pedih letaklah ubat sendiri. Dadanya sebak, tangisannya tidak berhenti. Air mata teman setia terus menitis bagaikan air hujan. Semakin tebal rasa rindu pada kedua orang tuanya. Sudah lama dia tidak menghubungi mereka. Mereka juga tidak menghubunginya. Semakin lama mereka semakin jauh darinya. Emak, Ayah, jangan kalian buang diri ini.

Amir Hudzaifa merebahkan diri di sofa. Dia memandang siling. Hari masih awal untuk solat asar. Dia mengeluh. Perutnya berkeroncong. Isteri dua orang tetapi masih makan di kedai. Nanti apa orang cakap. Selama ini dia tidak pernah menjamah makanan di kedai. Semuanya disediakan oleh isterinya Ummi Khadeeja dengan baik. Akhirnya dia melangkah ke dapur. Mee segera di keluarkan dari almari. Dia mula memasak. Sedap atau tidak bukan ukuran. Apa yang penting dia dapat makan dan perutnya terisi. Malulah nak ke rumah isterinya yang seorang lagi. Nanti panjang ceritanya. Biarlah dia tanggung sendiri apa yang terjadi. Redhalah hati, ikhlaslah menerima dugaan ini.

Ummi Khadeeja terkejut mendengar kenyataan suaminya. Syifa’ Umaira tidak akan mengguruskan maahad? Jadi buat apa dia ada di sini? Untuk apa suaminya berkahwin? Bukankah tujuan perkahwinan itu untuk membantu menguruskan maahad. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengari dari mulut suaminya itu. Mudahnya. Sudah pun bernikah apa sahaja yang berlaku semuanya boleh berubah. Dia mengeluh.

Dia rasa tertipu. Semua ini sandiwara sahaja. Lakonan semata-mata. Sampai hati suaminya menggunakan alasan menjaga maahad untuk berkahwin lagi. Bila sudah kahwin lain pula jadinya. Kenapa semua ini terjadi? Kenapa harus berubah? Kenapa harus kahwin? Ah! Amir Hudzaifa sudah pandai main sandiwara, detik hati kecilnya. Ummi Khadeeja mengetap bibir. Dia mundar-mandir di dalam rumah. Dirinya merasa tertipu dan dipermainkan oleh suaminya sendiri. Dia redha suaminya berkahwin lagi kerana ingin sama-sama menjaga maahad. Tiada sebab lain. Tetapi hari ini nada itu berbeda. Sudah lupakan suaminya akan sebab-sebab terjadinya perkahwinan ini.

Ummi Khadeeja sebak. Dirinya terasa ditipu. Kenapa semua ini terjadi. Dia seperti tidak percaya. Kenyataanya itulah yang terjadi. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata dan perbuatan inilah akibatnya. Apakah suaminya tidak sedar kata-kata suaminya itu juga menggores hati dan perasaannya. Dia izinkan suaminya bersebab. Bukan suka-suka mahu kahwin lagi. Bukan suka-suka izinkan kahwin lagi.

Dia tahu Syifa’ Umaira tidak pandai memasak. Tidak tahu menguruskan rumah tangga. Dia tahu Syifa’ Umaira kuat melawan. Dia tahu Syifa’ Umaira mengucar-kacirkan maahad. Dia tahu semuanya. Dari riak wajah suaminya dia tahu hati suaminya tidak pernah gembira sejak berkahwin dengan Syifa’ Umaira. Di mana perginya rasa cinta madunya itu pada suaminya. Dia juga tahu Syifa’ Umaira tidak suka padanya. Dia sendiri tidak suka dengan madunya itu . Tiada sefahaman antara mereka. Tiada keserasian antara mereka. Mana mungkin membina keharmonian jika tiada kesesuaian antara mereka bertiga.

Ummi Khadeeja mendengus kasar. Air mata yang ingin mengalir ditahan dari mengalir tiada gunanya dia menangis. Untuk apa dia menangis. Apa yang telah terjadi tidak boleh berpatah balik. Sakit hatinya memikirkan apa yang berlaku. Pada siapa dia hendak mengadu? Siapa tahu perasaannya yang merasa tertipu. Untuk apa sebenarnya suami dia berkahwin lagi? Untuk merasa pucuk muda? Apakah benar dia sudah tidak menarik lagi di mata suaminya. Apakah sudah hilang perasaan cinta antara mereka. Hubungan mereka juga dingin. Bagaikan ada batu penghalang antara mereka.

Rimas. Ummi Khadeeja rimas dengan apa yang terjadi. Semuanya di luar dugaan. Semuanya lintang pukang. Lain yang diharap. Lain pula yang mendatang. Ya, ALLAH apakah dia berburuk sangka pada suaminya sendiri, dia beristighfar. Kalau hati tengah sakit apa sahaja yang akan difikirkan. Baik buruk semuanya dihati. Hadis Rasulullah s.a.w. “Dalam tubuh anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badan, sebaliknya apabila daging itu jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu adalah sekeping hati”. Hadis Riwayat al-Bukhari. Ya, ALLAH… bersihkan hatiku dari sifat mazmumah. Ummi Khadeeja termenung jauh. Jauh memikirkan kehidupan rumah tangganya. Akan adakah bahagia menanti antara mereka bertiga? Apakah masih betah Syifa’ Umaira di sini? Soalan yang dia sendiri tidak mampu menjawabnya.

BAB 35

Ummi Khadeeja merenung dalam ke anak mata suaminya. Dia mengetap bibir. Dirinya merasa tertipu. Apa sebenarnya terjadi? Apa permainan suaminya? Apa sebenarnya yang suami dia mahukan dengan perkahwinan kedua ini? Benarkah perkahwinan ini kerana ingin membantu menjaga maahad. Terlalu tipis alasan yang digunakan. Tidak masuk akal. Tidak boleh diterima pakai. Hampir sahaja air matanya tumpah. Dia bingung memikirkannya. Nasi sudah menjadi bubur. Kalaulah dia berkeras tidak membenarkan suaminya berkahwin lagi tentu hidupnya tidak kucar-kacir seperti hari ini.

Madunya sering buat hal. Dia pula sering memberi masalah pada suaminya. Masing-masing bagaikan menyimpan sakit di hati. Kalau tidak memikirkan kewajipan seorang isteri menghormati suami sudah lama dia menyerang Amir Hudzaifa. Kenapa syarat yang dipersetujui bersama dengan mudah diubah oleh suaminya. Bulan depan madunya akan kembali ke Mesir menyambung pelajaran yang tertinggal. Ummi Khadeeja tidak dapat menerimanya. Bukan ini yang dipersetujuinya apabila dia mengizinkan suaminya berkahwin lagi. Dia tertipu. Tertipu dengan sandiwara suaminya sendiri. Maahad tidak terjaga malah boleh sambung belajar kembali. Sakit hati Ummi Khadeeja.

“Apa sebenarnya ni, bang? Ija tak faham! Abang tipu Ija ya? Abang lupa syarat yang telah kita tetapkan? Abang sudah lupa kenapa Ija benarkan perkahwinan kedua terjadi?” Soalnya bertubi-tubi bagaikan pistol automatik memuntahkan pelurunya.

“Abang tak tahu nak buat apa lagi Ija? Dia sudah berbadan dua. Abang tak sanggup mendengar ugutan Mai setiap hari. Cuba faham perasaan abang dan keadaan yang sedang abang hadapi. Tolong jangan tambah lagi!” Amir Hudzaifa tersandar di birai katil. Ummi Khadeeja mencebik.

“Senangnya abang bercakap! Dah terlanjur bang, sudah tak boleh tarik balik! Abanglah yang untung, Ija juga yang gigit jari!” Pedih kata-kata Ummi Khadeeja.

“Ija!!” Jerkah Amir Hudzaifa. Kenapa keadaan menjadi haru-biru? Ummi Khadeeja yang tidak pernah melawannya sudah pandai meninggikan suara padanya.

“Apa sebenarnya bang? Jangan berahsia lagi dengan Ija… sudah cukuplah dengan apa yang terjadi. Mai tidak pernah nak berbaik-baik dengan Ija. Dan kami tak mungkin dapat jalan bersama dan duduk sebangku!” Hiba hati Ummi Khadeeja menuturkannya. Amir Hudzaifa memadang wajah isterinya tidak berkelip. Dalam hati perasaan marah sedang membuak. Dia harus bersabar melayan kerenah isteri-isterinya. Kedua-duanya buat perangai. Nasib baik baru dua. Sedaya upaya dia cuba melawan perasaan marahnya. Tidak boleh terlalu mengikut perasaan marah. Apakah dia telah menyakiti hati isterinya itu? Apakah perasaan Ummi Khadeeja terlalu kecewa dengan apa yang terjadi? Tidaklah mereka tahu dia sendiri kecewa dengan apa yang terjadi. Bukan ini keadaan yang dia harapkan waktu berkahwin lagi.

Dia ingin rumah tangga yang harmoni. Aman. Damai. Tenang. Tenteram. Saling berkasih sayang. Saling tolong-menolong. Saling bantu- membantu. Kenapa Salleh Yaakob seorang artis mampu hidup aman dengan empat orang isteri tetapi dia baru dua orang sudah kucar-kacir hidupnya. Di mana silapnya? Kedua-dua isterinya ada pendidikan agama. Belajar agama. Ummi Khadeeja sendiri sudah banyak ilmu yang diajarnya. Begitu juga Syifa’ Umaira ambil jurusan agama. Tentu tahu tanggungjawab masing. Memahami cara kehidupan Islam. Mungkin ini dinamakan ujian. Ujian ALLAH SWT untuk menguji kesabarannya. Keimanannya.

“Ija… ini semua ujian. Ujian untuk menguji kesabaran kita, menguji keimanan kita. Sedangkan kita selama ini mengaku kita beriman, bertakwa, penyabar. Tapi apabila diuji sedikit kita sudah menjadi seperti orang hilang arah, hilang pedoman. Apakah kita benar-benar beriman dan bertakwa seperti yang kita katakan?” Amir Hudzaifa mengeluh. Ummi Khadeeja terdiam.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.(yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezki (nikmat) yang mulia."(QS.Al Anfal 2-4)

Berimankah aku? Dia bertanya pada dirinya sendiri. Solat lima kali sehari. Tidak termasuk sunat sebelum dan selepas. Tidak termasuk solat sunat dhuha, tahajud, taubat dan sebagainya. Dia berzikir, mengaji dan berselawat menandakan rasa cinta dan kasih pada ALLAH SWT. Tuhan Pencipta langit dan bumi. Tuhan sekalian alam. Tuhan yang telah menjadikan manusia dan makhluk yang hidup melata di muka bumi ini. Cabaran dan dugaan yang datang adalah ujian dari ALLAH SWT kepada hamba-hambaNYA yang disayangi. Sesungguhnya yang baik itu dari ALLAH SWT dan yang buruk itu adalah kerana dirinya sendiri. Ummi Khadeeja pula mengeluh.

Amir Hudzaifa menyandar di birai katil. Ummi Khadeeja sudah lama memejamkan mata. Lusa dia akan bermusafir lagi kali ini bersama isteri mudanya pula. Seminggu di Kuala Lumpur. Seminggu lagi dia akan terbang ke Mesir. Bermakna dua minggu dia akan tinggalkan Ummi Khadeeja sendiri di maahad. Tiada kegusaran di hati kerana isterinya itu sudah cekap menguruskan maahad. Kegusarannya hanya kerana sikap Ummi Khadeeja yang telah berubah. Berubah sungguh isterinya itu. Mudah marah dan melenting. Pantang silap sikit pasti pedih telingannya menerima sindiran.

Inilah natijahnya berkahwin lebih dari satu. Bukan semua mampu menangani perasaan seorang perempun. Kadang-kala sukar untuk memahami mereka. Mudah berubah, ada ketika bagaikan orang tiada pendirian. Cemburu kuat. Begitu juga perasaan iri hati. Dia tahu bukan mudah membuang perasaan cemburu yang ada dalam diri manusia. Pembersihan hati dengan zikir dan doa. Bukan menghilangkan perasaan cemburu tetapi mengawal agar tidak menjadi keterlaluan. Perasaan cemburu harus dikawal bukan membiarkan perasaan itu tumbuh subur. Dia juga cemburu. Tetapi dia cemburu kepada siapa dan untuk siapa? Cemburukan Ummi Khadeeja dengan lelaki lain? Tidak mungkin kerana isterinya itu jarang berhubung dengan lelaki lain selain dia dan Ustaz Din atau pun para pekerjanya yang semuanya sudah dia kenali. Akhirnya dia terlelap dengan perasaan bercampur baur. Dia tidak mampu mengembalikan keadaan rumah tangganya seperti dahulu. Dia akan cuba memperbaiki hubungan kedua-dua isterinya. Walaupun bukan satu kerja yang mudah namun dia akan berusaha untuk melakukannya. Demi kebahagian diri dan keluarganya juga.

Syifa Umaira sibuk mengemas kain bajunya. Dia berfikir hendak bawa balik semua pakaiannya. Kalau boleh dia tidak mahu lagi kembali ke maahad ini. Dia sebenarnya tekad untuk pergi dari sini. Dia tidak sanggup lagi terus berkongsi suami dengan perempuan lain. Kenapalah susah sangat untuk suaminya memahami kehendak dirinya. Sudahlah dia berhenti belajar. Membantu menguruskan maahad pun tidak dibenarkan untuk apa dia kekal di sini.

Semuanya berantakan. Apa yang dia hendak lakukan lagi. Perasaan sayang yang selama ini terhadap suaminya bagaikan tidak berguna lagi. Perasaan marah lebih tinggi permintaannya. Ah! Sukarnya untuk membuang jauh-jauh perasaan cemburu dan iri hati. Apatah lagi suaminya suka memuji madunya itu. Pandai memasak, masakan sedap. Memanglah jauh lebih baik madunya dari dirinya sendiri tetapi tidaklah perlu terlalu memuji di hadapannya. Tidakkah suaminya tahu dia cemburu? Atau sengaja membangkitkan perasaan itu agar dia sakit hati. Memberontak.

Dia baru sahaja mengenal kehidupan berumah tangga. Baru sahaja belajar cara mana untuk melayan suami. Mana mungkin dia dapat memberi yang terbaik sedangkan dia seperti budak baru belajar. Tidak mungkin dia dapat memberi kesempurnaan dalam kehidupannya sebagai seorang isteri. Madunya hebat pun bukan sehari dua berkahwin mampu menjadi seperti hari ini. Mungkin juga sebelum ini Ummi Khadeeja juga sepertinya, tidak tahu memasak. Tidak tahu mengemas rumah. Bila sudah lama melayari bahtera rumah tangga pastilah cekap serba-serbi. Janganlah dirinya dibandingkan dengan Ummi Khadeeja. Tidak mungkin dia mampu menjadi secekap madunya itu. Kalau sudah bagus sangat madunya itu kenapa perlu tambah isteri? Untuk apa? Kenapa? Ah! Lelaki sengaja mencari alasan untuk berkahwin lagi. Sudah tentu mangsanya kaum hawa yang hanya mampu menjadi pak turut. Syifa’ Umaira mencebik. Kalaulah kedua orang tuanya tahu apa terjadi tentu dia akan diketawakan. Dia sendiri yang memilih jalan ini. Dia sendiri yang memutuskan untuk menjadi isteri kedua. Bukan ada paksaan dari sesiapa. Pasti mereka akan memulangkan paku buah keras kepadanya. Pesan orang tua-tua jangan ikut nafsu, takut diri merana dan badan binasa. Setitis air jernih mengalir di pipi. Jalan yang dilalui bagaikan tiada jalan keluar. Jalan mati. Bagaimana dia hendak keluar dari kemelut ini? Bagaimana dia hendak melarikan diri dari kehidupan ini? Ya, ALLAH. Engkau Maha Mengetahui.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.