Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
BILA CEMBURU ADA DI HATI ~ BAB 28


Amir Hudzaifa melangkah masuk ke dalam rumah setelah memberi salam. Usai solat subuh dia terus pulang ke rumah Ummi Khadeeja. Sudah sampai giliran isteri tuanya pula. Anak-anak sedang mengaji. Isterinya mungkin di dapur. Bau masakan memenuhi ruang tamu.

“Ayah!” Aiman Haikal menoleh. Mata mereka saling bertembung. Wajah Aiman Haikal sembab, mungkin kesan menangis semalam. Tubuh kurus itu melangkah bangun. Aiman Haikal menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ayahnya.

“Maafkan Aiman, ayah!” Amir Hudzaifa merenung wajah anaknya. Aiman Haikal memeluk erat tubuh kurus ayahnya. Amir Hudzaifa membalas pelukkan anak sulongnya itu. Hiba hatinya. Hiba hati seorang ayah melihat keadaan anaknya yang pucat bagaikan orang sakit. Aidil Hakim dan Airil Hakimi turut bersalaman dengan ayah mereka.

“Abang?” Ummi Khadeeja mendekati suaminya. Dia menghulurkan tangan. Kalau ikutkan sakit hati, mahu sahaja dia mogok bercakap. Tetapi mengenangkan tindakannya itu akan mengeruhkan lagi keadaan rumah tangganya biarlah kedukaan dan kelukaan itu dipendamkan sahaja di hati. Biarlah diri sendiri yang lara, asalkan kau bahagia suamiku, detik hati kecil Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa memegang umbun-umbun kepala isterinya. Senyuman dilemparkan, Ummi Khadeeja turut membalas dengan senyuman. Amir Hudzaifa mencuri pandang pipi isterinya sedikit bengkak, kesan tamparannya semalam. Hiba hatinya. Namun segera Amir Hudzaifa melarikan matanya dari memandang wajah isterinya.

“Bersembanglah dengan anak-anak, kejap lagi sarapan siap.” Ummi Khadeeja menghilang ke dapur. Amir Hudzaifa duduk bersama anak-anaknya. Mereka bersembang seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku. Ummi Khadeeja mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Mudah sangat air matanya mengalir tanpa dipaksa. Mungkin hatinya sudah terluka dan kecewa. Dia menyeka air matanya dan meneruskan kerja-kerjanya. Hari itu mereka menikmati sarapan bersama. Suasana tidak lagi semesra dahulu. Namun digagahi juga mewujudkan suasana ceria dan santai seperti dahulu. Ummi Khadeeja hanya mengeluh dalam hati. Dia tidak pandai berpura-pura tentulah keadaan itu begitu janggal baginya.

“Esok abang nak minta tolong Ija ajar Syifa’ Umaira memasak,” laju sahaja ayat itu keluar dari mulut Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja yang sedang melipat kain baju menoleh. Dia tersenyum sinis. Mengajar memasak? Kenapa? Isteri mudanya tidak pandai memasak ke? Ummi Khadeeja tidak menjawab. Dia membiarkan sahaja suaminya termenung jauh. Fikirlah bang, selagi boleh, bisik hati kecilnya lagi. Tangannya terus menghabiskan kerja yang masih berbaki.

Amir Hudzaifa mencuri pandang tingkah laku Ummi Khadeeja dengan ekor matanya sahaja. Entah kenapa, terasa kekok untuk bergurau dan bermesra dengan isterinya sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah kering dari gurau senda dan usik mengusik. Apakah kerana perkara semalam? Atau perasaan bersalah yang masih menebal di hati. Anak-anak sudah kembali seperti biasa tetapi kenapa hatinya masih berat dan masih tidak tenang. Amir Hudzaifa melepaskan keluhan, perlahan. Tidak mahu didengari oleh isterinya. Nanti macam-macam pula difikirkan.

“Ija dengar tak?” Amir Hudzaifa mengerling. Ummi Khadeeja mengeluh. Dia duduk di sebelah Amir Hudzaifa. Mata suaminya ditenung tidak berkelip.

“Abang nak Ija jawab apa? Okey? Setuju? Bolehlah? Itu ke yang abang nak dengar?” Ummi Khadeeja tersengih sumbing.

“Ija…!” Amir Hudzaifa kurang selesa mendengar kata-kata Ummi Khadeeja. Macam menyindirlah pula.

“Kenapa?” Sepatah Ummi Khadeeja bertanya. Amir Hudzaifa menjegilkan mata. Berubah sungguh sikap dan cara tutur kata isterinya itu . Penuh dengan sindiran dan sinis kata-katanya.

“Esok ajar Syifa’ Umaira memasak… bolehkan?” tanya Amir Hudzaifa lagi sekali. Ummi Khadeeja tersenyum sinis.

“Tak pandai memasak ke isteri muda abang tu? Waktu meminang tak bertanya dulu, mahu tak mahu terpaksalah Ija mengajar, ya?” Ummi Khadeeja mendengus kasar. Ada kerja baru pula. Perempuan apa namanya kalau tidak tahu memasak? Usia muda? Kalau sudah Sembilan belas tahun, bukan muda lagi. Sepatutnya sudah tahu masak yang ringkas dan mudah. Tidak mungkin goreng telur pun tidak tahu.

“Jangan nak perli abang pula?” Amir Hudzaifa menjeling tajam. Ummi Khadeeja ketawa kecil.

“Ija..!” Amir Hudzaifa menegur lagi sekali akan sikap isterinya yang seakan menyindir. Ummi Khadeeja mengetap bibir. Dia mengherotkan bibir. Dia berlalu meninggalkan Amir Hudzaifa sendirian di bilik. Entah kenapa hatinya bagaikan marah, geram dan sakit. Ummi Khadeeja beristighfar berkali-kali. Ini semua hasutan syaitan yang sedang bermain dengan perasaannya. Dia tidak pernah bersikap begini, menyindir dan sinis, itu bukan sikapnya.

Amir Hudzaifa mengeluh. Dingin, itulah sikap Ummi Khadeeja terhadapnya. Masih marahkah lagi terhadap dirinya. Hendak bertanya, nanti dianggap yang bukan-bukan pula. Tidak bertanya, dia pula berteka-teki dengan sikap Ummi Khadeeja terhadap dirinya. Waktu sarapan tadi pun sepatah ditanya, sepatah dijawab. Bagaikan ada yang terbuku di hati. Tidak seceria dan semesra dahulu.

Ummi Khadeeja menghilangkan resah dengan terus memasak lauk tengahari. Biarlah Amir Hudzaifa berehat sendirian di bilik. Tidak usah memeningkan kepala menyelesaikan masalah orang lain hatta masalah suami sendiri. Ada suami suka Jika isteri mereka mengambil tahu apa sahaja yang dilakukan oleh mereka ada juga yang sebaliknya. Dalam soal rumah tangga suaminya yang baru itu, perlukah dia mengambil tahu dan membantu? Ummi Khadeeja sendiri tidak pasti.

Mengajar memasak? Kenapa dia yang harus mengajar madunya itu memasak? Bodoh sangat ke sampai tidak tahu langsung? Ah! Ummi Khadeeja mengerutkan dahi. Kenapalah dia tidak bertanya dahulu pada Syifa’ Umaira. Tidakkah pelik bertanyakan soalan tentang tahu memasak atau tidak. Sudah semestinya setiap anak gadis harus pandai memasak walaupun hanya menggoreng telur dan menanak nasi. Cukuplah hanya pandai perkara asas, tidaklah perlu sampai tahu buat chicken chop atau masakan barat yang lain. Kalau tahu memasak ikan goreng, dan goreng sayur pun tidak mengapa. Mustahil madunya itu tidak tahu sama sekali. Bingung Ummi Khadeeja memikirkannya.

Syifa’ Umaira gelisah di dalam rumah. Tidak keruan. Mulutnya diherotkan. Dia mendengus kasar. Entah apa yang dibuat oleh suaminya di rumah isteri tuanya itu. Tentu sedang bercengkarama, sedang bergurau senda, memadu asmara maklumlah sudah lama madunya itu tidak disentuh oleh suaminya. Dia mengetap bibir. Dadanya berat. Sakit dan perit. Cemburukah dia? Kenapa dia cemburu dengan madunya sendiri? Mungkin juga sedang menikmati sarapan pagi yang enak. Syifa’ Umaira mencampak kusyen kecil yang terletak di atas sofa ke atas lantai. Geram dan marah.

Syifa’ Umaira bingkas bangun dan mundar-mandir di ruang tamu itu. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan di rumah itu. Sunyi dan sepi. Ruang yang berperabut sederhana dan hiasannya yang tidak mengikut citarasanya menambah kebosanan di hati. Benci, benci dengan kehidupan barunya itu. Baru sehari ditinggalkan dia sudah macam ayam berak kapur. Bagaimana kalau ditinggalkan berhari-hari, berminggu-minggu? Syifa’ Umaira menggaru kepala. Bingung seketika. Sakit hati semakin menebal. Sakit hati pada siapa? Dia sendiri tidak pasti. Tetapi yang pasti dadanya bagaikan hendak pecah apabila membayangkan suaminya membelai mesra madunya itu. Seperti mana yang dilakukan terhadap dirinya. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

Macam manalah perasaan isteri yang hidup berpoligami sehingga empat orang. Apakah mereka tidak ada perasaan cemburu? Sakit hati? Atau bosan apabila ditinggalkan, Jika selang semalam, bermakna malam kelima baru bertemu semula. Tidak! Dia tidak akan membenarkan perkara itu terjadi dalam kehidupannya. Dia tidak akan mengizinkan suaminya itu menambah cawangan lagi. Baru dua orang perasaannya sudah pelik dan merimaskan. Inikan pula hendak tambah dua orang madu lagi. Tidak sama sekali.

“Kalau ada televisyen, bolehlah juga menghilangkan kebosananku. Ini tidak, apa pun tiada?” Syifa’ Umaira mencebik. Dia mencapai telefon bimbitnya. Dia bercadang ingin berhubung dengan suaminya. Ah! Persetan dengan syarat yang telah ditetapkan oleh suaminya bahawa tidak boleh berhubung Jika waktu itu giliran madunya.

“Abang! Bosanlah duduk sorang kat rumah ni?” renggek Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa yang mendengar suara isteri mudanya beristighfar. Baru beberapa jam ditinggalkan sendirian sudah bosan.

“Kan abang sudah bagi tahu, kalau abang ada di rumah kak Ija… Mai tak boleh berhubung dengan abang,” suara Amir Hudzaifa sedikit kasar. Syifa’ Umaira yang mendengar suara kasar suaminya itu mencebik.

“Bosan tau tak!” Kata Syifa’ Umaira kasar juga.

“Buatlah kerja rumah, mengemas ke, memasak ke. Buku di dalam almari tukan banyak, baca jelah,” kata Amir Hudzaifa memberikan cadangan apa yang harus dilakukan oleh Syifa’ Umaira bagi menghilangkan rasa bosannya.

“Eeee…lagilah bosan!” Jerit Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mengeluh kesal.

“Abang nak tidur kejap. Mai jangan kacau abang macam ni, takkan semuanya abang nak kena ajar, pandai-pandailah sendiri.”

“Tu, nak belai bini tua dialah tu!” tuduh Syifa’ Umaira.

“Kalau abang belai pun apa salahnya? Kan, kak Ija isteri abang juga, dia berhak mendapatkan apa yang Mai dapat.” Amir Hudzaifa berterus-terang. Betullah cakapnya itu. Ummi Khadeeja isterinya, bukan pembantu rumah atau orang lain dengannya. Merah padam muka Syifa’ Umaira mendengarnya. Bertambah sakit hatinya. Amir Hudzaifa memang romantik orangnya. Membuak perasaan cemburunya terhadap madunya itu. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Bila nak balik rumah Mai ni?”  tanya Syifa’ Umaira kasar.  Amir Hudzaifa tersengih sendiri.

“Esok pagilah,” jawab Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira menghempas telefon ke atas sofa. Benci! benci ditinggalkan sendiri. Benci memikirkan madunya sedang memadu kasih dengan suaminya. Benci! memikirkan terpaksa berkongsi kasih dengan perempuan lain. Syifa’ Umaira menghempaskan punggungnya ke atas sofa dan menekup muka dengan kedua belah tangannya. Dadanya sebak, air mata mula bergenang di kelopak mata. Akhirnya mengalir. Dia menangis kerana terlalu sakit hati.

Ummi Khadeeja yang sudah selesai memasak menuju ke bilik. Langkahnya mati apabila mendengar suaminya bercakap di telefon. Dia mengeluh. Kenapa madunya telefon? Apakah dia sudah lupa bahawa mereka tidak boleh saling menganggu apabila tiba giliran masing-masing. Baru beberapa jam ditinggalkan sudah gelisah. Ummi Khadeeja mengeluh. Faham ke tidak akan kehidupan poligami? Dia menggelengkan kepala.

Ummi Khadeeja melangkah masuk setelah suaminya mematikan telefon bimbitnya. Dia mencapai tuala. Menapak ke bilik air untuk membersihkan diri setelah menyelesaikan kerja-kerjanya. Dia tidak menegur suaminya yang memandang.

“Ija!” panggil Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja mematikan langkahnya yang hanya setapak dua dari bilik air. Dia menoleh. Wajah menggoda suaminya dipandang sepi.

“Biar Ija mandi dulu bang.” Ummi Khadeeja menghilangkan diri ke dalam bilik air. Amir Hudzaifa mencuka. Dia mengeluh. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Amir Hudzaifa mencapai telefonnya. Terpampang nama isteri mudanya. Dia mengeluh.

“Ada apa lagi ni?” Keluh Amir Hudzaifa.

“Baliklah kejap! Mai tak tahu nak masak apa ni?”

“Ya! Allah… awak ni Mai? Janganlah buat abang macam ni? Baru je hari ni abang balik rumah kak Ija, seminggu abang bersama Mai… cuba faham perasaan orang lain sama,” nasihat Amir Hudzaifa. Terdengar tangisan Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mengeluh berat. Ummi Khadeeja mencuramkan pandangannya pada wajah suaminya yang sedang bercakap di telefon. Tentu madunya menelefon lagi. Dia mengeluh kasar. Menyidai tuala dan menjeling tajam. Amir Hudzaifa serba-salah.

“Mai… bawa bertenang! Jangan bersikap macam budak kecil.” Amir Hudzaifa bingkas bangun dan menarik tangan Ummi Khadeeja yang sudah mula mengatur langkah hendak keluar dari bilik itu. Isterinya mencebik.

“Kalau abang tak balik sekarang juga, Mai akan bunuh diri!” Jerit Syifa Umaira. Amir Hudzaifa beristighfar. Dia melepaskan genggaman tangan isterinya dan berlari keluar. Ummi Khadeeja mengejar suaminya dari belakang.

“Abang!” jerit Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa tidak menoleh langsung. Dia mengetap bibir. Kenapa dengan suaminya tu? Apa sudah jadi. Ummi Khadeeja tidak berkira lagi. Dia mengikut langkah suaminya menuju ke rumah madunya. Ah! Peduli apa dia. Hari ini adalah harinya bersama suaminya, ke mana sahaja suaminya pergi dia akan ikut biarpun ke rumah madunya.

“Mai…! Mai!!” Jerit Amir Hudzaifa dari luar rumah. Beberapa pelajar yang lalu lalang memandang ke arah Amir Hudzaifa.

“Ada apa Walid? Ada masalah ke?” tegus salah seorang pelajar itu. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.

“Kenapa bang?” tanya Ummi Khadeeja. Mereka saling berpandangan. Tiada jawapan.

“Kalian pergi balik ke kelas,” suruh Ummi Khadeeja. Beberapa pelajar lelaki tadi mengangguk dan berlalu. Ummi Khadeeja mencuramkan pandangannya kembali ke arah suaminya yang masih mengetuk pintu rumah madunya itu.

“Mai… buka pintu ni” Amir Hudzaifa mengetuk daun pintu dengan kuat. Ummi Khadeeja memeluk tubuh memerhatikan sahaja kelakuan suaminya. Zaiton dan Haji Salleh yang baru balik dari bandar bersama anak-anak berlari mendapatkan kedua suami isteri itu.

“Kenapa ni?” tanya Haji Salleh kehairanan. Ummi Khadeeja mengangkat bahu tanda tidak tahu.  Mata mereka menjunam ke arah Amir Hudaifa pula.

“Syifa Umaira…! Syifa’ Umaira hendak membunuh diri!” kata Amir Hudzaifa. Haji Salleh terkejut begitu juga yang lain. Zaiton mengerutkan dahi, dia menoleh memandang Ummi Khadeeja. Sahabatnya itu hanya mengangkat bahu. Tiada reaksi terkejut atau bimbang di wajah sahabatnya itu. Ummi Khadeeja memandang dengan pandangan kosong. Kalau baru beberapa jam suaminya duduk bersama dengannya, madunya sudah mengugut hendak membunuh diri bagaimana nanti Jika memerlukan waktu yang lama untuk mereka berpisah. Haji Salleh turut membantu mengetuk daun pintu tersebut. Anak-anak mendekati Ummi Khadeeja dan memeluk erat pinggangnya.

“Tidak cium bau syurga seorang Islam yang mengaku mengucap dua kalimah syahadah punya niat untuk membunuh diri!” kata Ummi Khadeeja lantang. Amir Hudzaifa menjunamkan pandangan ke wajah isterinya. Wajah yang kosong dan hambar bagaikan tiada perasaan. Daun pintu dibuka dari dalam. Terpacul wajah Syifa’ Umaira yang muram dan mencuka.

“Awak sudah gila ke apa?” soal Amir Hudzaifa. Mereka melangkah masuk kecuali Ummi Khadeeja hanya berdiri di muka pintu.

“Sayang juga abang pada Mai, ya. Sanggup abang tinggalkan isteri tua abang tu, hanya untuk Mai.” Syifa’ Umaira menyeka air mata dan memeluk lengan Amir Hudzaifa. HaJi Salleh mendengus kasar, begitu juga Zaiton. Mereka saling berpandangan dan mencebik. HaJi Salleh melangkah keluar diikuti Zaiton. Ummi Khadeeja berlalu meninggalkan rumah madunya. Anak-anak mengikut dari belakang.

“Awak memang menyusahkan abang!” Jerit Amir Hudzaida dan menolak tangan Syifa’ Umaira dengan kasar.

“Habis tu! Abang nak Mai buat apa? Bosan tau tinggal sendirian!” Syifa menghempaskan suaranya kasar. Amir Hudzaifa mengatur langkah untuk meninggalkan isteri mudanya itu sendirian.

“Abang!” Jerit Syifa’ Umaira memanggil Amir Hudzaifa.

“Mai seorang terpelajar. Belajar agama lagi? Tak tahu ke hukum hakam? Kenapa singkat sangat fikiran Mai?” Soal Amir Hudzaifa bertalu-talu. Syifa’ Umaira mengecilkan matanya memandang wajah Amir Hudzaifa yang masih marah.

“Mai tak nak abang tinggalkan Mai sendiri di rumah ini. Mai bosan! Abang faham tak?” Syifa’ Umaira menarik tangan Amir Hudzaifa. Mata mereka saling bertembung. Tajam pandangan matanya membenam ke lubuk mata Syifa’ Umaira.

“Mai… abang ada isteri seorang lagi, tahu tak? Awak sedar tak? Dia juga perlu abang beri nafkah lahir dan batin! Awak faham tak? Jangan kusutkan fikiran abang. Belum sampai sehari abang tinggalkan, Mai Sudah buat perangai. Sampai ugut nak bunuh diri! Jangan hanya pentingkankan diri sendiri saja!” Membuntang mata Amir Hudzaifa memandang wajah Syifa’ Umaira yang bersahaja bagaikan tiada perasaan bersalah. Kelmarin perkara lain, hari ini perkara lagi pula terjadi. Amir Hudzaifa mengeluh kesal.

“Kalau macam tu, Mai tak sanggup bermadu dan berkongsi dengan perempuan lain! Abang kena pilih Mai atau isteri abang yang sudah tua tu!” Tinggi suara Syifa’ Umaira. Terlopong Amir Hudzaifa mendengarnya. Dia mendekati Syifa’ Umaira.

“Mai sedar tak apa yang Mai cakap ni? Awak sedar tak?” Jerit Amir Hudzaifa. Hilang kesabarannya. Apa sudah jadi dengan isteri mudanya ini. Baru seminggu hidup bersama sudah meminta yang bukan-bukan. Baru seminggu sudah berperangai yang tidak-tidak.

“Mai sedar!!” Jerkah Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa terduduk di sofa. Dia meraup mukanya. Dia menggelengkan kepala.

“Kalau abang tak nak ceraikan isteri tua abang tu…abang ceraikan Mai. Nampaknya Mai tak mampu nak hidup berpoligami! Mai cemburu bila fikirkan abang berdua-dua dengan isteri tua abang tu. Hati Mai sakit, pedih!” Syifa’ Umaira berterus-terang apa yang sedang dia rasakan ketika itu.

“Istighfar Mai…Istighfar!!” Amir Hudzaifa mengoncang bahu Syifa’Umaira. Kenapa masalah datang bertimpa-timpa. Syifa’ Umaira menolak kasar tangan Amir Hudzaifa. Mereka saling berpandangan, tajam dan penuh kemarahan.

“Mai rasa, Mai tak sanggup teruskan. Lepaskan Mai!” Syifa Umaira memandang ke arah lain tidak sanggup bertentang mata dengan suaminya.

“Baru sekarang tak sanggup? Kenapa tidak dari dulu? Kenapa baru sekarang? Itu sebab abang bertanya dahulu, minta persetujuan Mai. Bukan main terjah! Apa yang terjadi, masalahnya ada pada diri Mai, bukan orang lain!” Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Kata pelajar aliran agama. Kenapa bersikap seperti orang yang tidak ada keimanan dan pegangan sahaja. Buat keputusan ikut nafsu tidak berfikir panjang.

“Mai tak sanggup bang! Sehari pun Mai tak sanggup! Sakit hati abang tahu tak! Pedih hati Mai!”

“Sudahlah Mai, abang ingat baik Mai ambil wuduk. Solat sunat dua rakaat minta ketenangan dari ALLAH. Mintalah petunjuk dari ALLAH. Abang tak mahu memikirkan masalah ini lagi. Abang dah letih!” Amir Hudzaifa bingkas bangun dan ingin melangkah keluar dari rumah itu. Kalau dilayan perasaan isterinya itu tidak akan ada kesudahannya.

“Tapi bang?” Syifa’ Umaira mula menangis. Amir Hudzaifa bingung. Dia mematikan langkahnya dan menoleh ke arah Syifa’ Umaira. Pandangannya jatuh ke wajah bujur sirih itu. Dia mengeluh kesal.

“Bawa bersabar Mai… bawa bertenang. Abang nak Mai fikirkan masak-masak keputusan itu. Jangan pula keputusan yang Mai ambil ini akan membuatkan diri sendiri menyesal seumur hidup,” nasihat Amir Hudzaifa. Dia mendekati Syifa’ Umaira dan memeluk erat isterinya itu. Hati seorang perempuan tiada siapa mampu mengerti.

Ummi Khadeeja duduk tenang mengadap makanan tengahari. Anak-anak sudah ke surau, waktu zohor sudah hampir. Makanan sudah terhidang di hadapan mata, dengan siapa dia hendak menikmatinya. Bukankah hari ini dia akan bersama suami dan anak-anak menikmati hidangan ini. Mana suaminya? Masih sibukkah memujuk isteri muda yang berperangai kebudak-budakan itu. Ummi Khadeeja mengeluh berat. Seberat perasannya ketika ini. Resah dan keliru.

“Sabarlah Ija. Semua ini dugaan. Ton percaya pasti ada hikmahnya kan?” Pujuk Zaiton. Dia sendiri bingung memikirkan apa sebenarnya yang terjadi. Kenapa Syifa’ Umaira bersikap begitu. Sampai ugut nak bunuh diri. Tidak terfikir ke tindakannya itu mengundang masalah pada orang lain.

“Ija sedang bersabarlah ni, Ton” sinis sahaja jawapan Ummi Khadeeja. Zaiton menelan air liur. Dia menoleh, suami yang setia di sisi disengol dengan sikunya. Haji Salleh mengangkat bahu. Dia sendiri pun sedang berfikir bagaimana caranya hendak membantu. Masalah keluarga Amir Hudzaifa berat. Pasti masalah cemburu. Cemburu seorang perempuan kepada perempuan lain. Terpaksalah bersihkan hati dahulu barulah boleh buang perasaan tersebut. Tetapi mudahkah hendak membuang perasaan cemburu itu. HaJi Salleh mengeluh sendiri.

“Tak sudah-sudah dia buat perangai! Macam orang tak ada perasaan lagaknya. Mudah nak buruh diri dan menuduh orang nak bunuh dia.” Ummi Khadeeja mengetap bibir. Zaiton mengurut dada. Tidak tahu bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah sahabatnya itu. Esok lusa dia dan suami sudah bercadang untuk pulang ke Kedah. Risau memikirkan keadaan Ummi Khadeeja. Masalah yang menerjah bertimpa-timpa bagaikan tiada kesudahan.

“Aji dan Ton baliklah dulu… masalah kecil je ni. Ija tak apa-apa.” Ummi Khadeeja memandang wajah kedua orang sahabatnya itu. Dia tahu sahabatnya itu ingin membantu tetapi soal rumah tangga dia dan suaminya hanya mereka sahaja yang mampu menyelesaikannya.

“Betul ni Ija?” Tanya Zaiton meminta kepastian. Tidak sampai hatinya hendak meninggalkan Ummi Khadeeja sendirian di rumah. Anak-anak sudah disuruh ke surau. Cukuplah mereka melihat apa yang terjadi sebentar tadi. Perkara kelmarin baru sahaja diselesaikan, ditambah perkara baru. Kacau bilau jadinya.

“Kalau macam tu kami minta diri dulu. Ija jangan fikir sangat dengan apa yang terjadi tadi. Syifa’ Umaira tu masih muda. Banyak perkara dia harus belajar.” Haji Salleh bingkas bangun. Kalau boleh dia tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga Amir Hudzaifa. Biarlah mereka selesaikan sendiri masalah mereka. Itu lebih baik. Tidak manis soal rumah tangga mereka dicampuri oleh orang luar. Walaupun dia dan isterinya sudah dianggap bagaikan keluarga namun mereka tetap orang luar.

“Kami minta diri dulu Ija.” Zaiton memeluk erat tubuh Ummi Khadeeja. Dia menepuk bahu sahabatnya itu. Memujuk dan menyatakan, ada orang di belakang Ummi Khadeeja. “Jazakumullah khoir, Ton,  Aji.” Ummi Khadeeja menemani mereka sehingga ke pintu utama. Dia kembali ke dalam rumah setelah kelibat kedua suami isteri itu menghilang dari pandangan mata. Sempat juga dia memandang pintu rumah madunya yang tertutup rapat. Azan zohor sudah berkumandang dari surau maahad. Di mana suaminya ketika dan saat itu dia sendiri tidak pasti. Malas Ummi Khadeeja ingin memikirkan masalah yang baru sahaja menerjah dalam keluarganya. Biarlah. Kalau suaminya rasa hendak pulang menjenguk si tua ni, pulanglah. Jika suaminya rasa memujuk dan membelai si muda lebih penting, lantaklah. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Makanan yang terhidang ditutup dengan tudung saji. Dia akan menunggu anak-anaknya pulang dari surau. Biarlah dia makan dengan anak-anaknya sahaja. Belajarlah membiasakan diri. Inilah yang akan berlaku kalau hidup berkongsi. Ummi Khadeeja mendengus kasar.

Dia menuju ke bilik. Bercadang hendak solat zohor dahulu. Sejak akhir-akhir ini berat hatinya hendak ke surau lantaran perkara yang memalukan terjadi dalam keluarganya. Pejabat maahad pun sudah seminggu tidak dijengok. Sibuk menguruskan anak-anaknya. Ustaz Din ada membantu. Kelas pengajian berjalan seperti biasa. Makan minum para pelajar dijaga dengan baik. Begitu juga kebun sayur, penternakan ikan dan ayam. Bila agaknya madunya itu hendak belajar menguruskan maahad. Sudah seminggu takkan duduk sahaja. Ummi Khadeeja mengerutkan dahi. Sukar nak mentafsir hati orang dari mencari tafsiran isi kandungan al-Quran. Minggu depan suaminya akan keluar daerah semula. Kelas pengajian akan padat kembali. Kenduri untuk menyambut kehadiran Syifa’ Umaira pun tidak dapat diteruskan gara-gara masalah yang timbul. Para pelajar mula berkata sesama sendiri akan masalah yang sedang melanda rumah tangganya. Silapnya juga menyerang Syifa’ Umaira di rumah madunya tempoh hari.

Usai solat, Ummi Khadeeja menunggu kepulangan anak-anaknya. Lusa mereka akan pulang ke asrama semula. Kesihatan Aiman Haikal juga sudah pulih sedia kala. Wajah mereka juga ceria kembali. Entah apa yang dinasihati oleh Haji Salleh dan Zaiton pada anak-anaknya. Tanpa mereka entah bagaimanalah dia hendak menyelesaikan masalahnya dengan anak-anak.

“Ma!” Aiman Haikal dan adik-adiknya melangkah masuk. Mata mereka menjunam ke meja makan yang terhidang lauk tengahari. Bau harum kari kepala ikan membangkitkan selera mereka. Ummi Khadeeja menarik tangan anak-anaknya menuju ke meja makan.

“Kena makan semua ni tau!” Ummi Khadeeja tersenyum. Aiman Haikal, Aidil Hakim dan Airil Hakimi saling berpandangan.

“Tak tunggu ayah ke, ma?  Ayah kata dia akan balik makan,” beritahu Aiman Haikal. Ummi Khadeeja mengetap bibir.

“Ayah tak sampai lagi.” Ummi Khadeeja menyenduk nasi ke dalam pinggan. Akhirnya anak-anak akur. Mereka duduk di meja makan. Seboleh-boleh Ummi Khadeeja cuba menceriakan wajahnya. Dia tidak mahu anak-anaknya pulang ke asrama dengan perasaan bercampur baur,  risau dengan keadaan dirinya. Biarlah mereka beranggapan mama mereka riang selalu, gembira selalu. Tiada masalah yang menghantui fikiran mama mereka. Ummi Khadeeja memaniskan senyumannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.