Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
INI PILIHANKU ~ BAB 13

Syifa’ Umaira mendengus kasar. Di rumah, kedua orang tuanya jarang bercakap dengannya. Marah masih bersisalah. Sepatah ditanya, sepatah emaknya menjawab. Ayahnya pula sibuk dengan urusan kenduri-kendaranya. Emaknya bagaikan tidak mahu membantu apa-apa. Sedih pun ada. Syifa’ Umairah mengesat peluh. Penat dia ke Bandar Ipoh bertemu dengan bakal madunya. Dia tidak menyangka akan ada surat perjanjian antara dia, Ummi Khadeeja dan Ustaz Amir Hudzaifa. Ah! Kalau macam itu, tentulah rancangannya untuk belajar kembali tidak akan kesampaian. Peduli apa dia, yang penting perkahwinan akan berlangsung dan berjalan lancar. Soal belajar balik, pandai-pandailah dia nanti.

Syifa’ Umaira termanggu sendiri. Dia tidak menyangka orang tuanya akan membantah kehendak hatinya. Salahkah dia menjadi isteri kedua? Hinakah berkongsi suami dengan perempuan lain? Setahu Syifa’ Umaira Islam tidak pernah melarang seorang lelaki berkahwin lebih dari satu. Orang yang menjadi pilihannya itu pula bukan calang-calang orang. Sepatutnya kedua orang tuanya berbangga kerana dia telah memilih seorang yang berilmu, beriman dan bertakwa, bukankah itu ciri-ciri lelaki yang terbaik untuk dijadikan suami. Bukan mudah hendak mencari lelaki seperti Ustaz Amir Hudzaifa yang mempunyai ciri-ciri lelaki pilihan seperti yang telah ditentukan oleh Islam.

Dalam hati Syifa’ Umaira berharap sangat segala urusannya akan berjalan lancar. Semoga kedua orang tuanya akan berlapang dada. Menerima dengan hati yang terbuka. Tiada siapa yang akan sakit hati dan kecewa. Syifa’ Umaira merenung gambar Ustaz Amir Hudzaifa yang berada di tangannya dan kini tersimpan baik di dalam beg tangannya. Dia tersenyum sendiri, siapa sangka orang yang dipuja-puja akan menjadi miliknya.

Setiap orang yang ditemui akan menasihati perkara yang sama. Semua orang melarang dia berkahwin dengan suami orang. Tiada yang memberi sokongan. Kenapa buruk sangat ke berpoligami ini? Dalam keadaan seperti ini Syifa’ Umaira berharap sangat sokongan dari keluarganya. Mereka harus menghormati keputusannya. Dia yang akan berkahwin. Susah senang biarlah dia sendiri yang menanggungnya. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Hai! Termenung jauh nampak?” Suara lembut menerjah telinganya. Syifa’ Umaira tersedar dari lamunannya. Dia menoleh. Syifa’ Umaira melemparkan senyuman. Dia bingkas bangun menyambut tetamu yang datang.

“Mak Su Tijah! maaflah tak perasan tadi.” Syifa’ Umaira menarik tangan Mak Su Khatijah, adik bongsu emaknya. Mereka duduk di sofa. Syifa’ Umaira tersenyum semula. Sudah lama dia tidak bertemu emak saudaranya itu.

“Balik Malaysia tak beritahu mak su pun. Untung mak su teringat nak telefon emak Mai semalam, maklah yang bagi tahu Mai ada di rumah. Kenapa balik awal? Cuti ke?” Khatijah mengusap lembut lengan anak buah kesayangannya itu. Dari kecil dialah yang mengasuh Syifa’ Umaira macam anaknya sendiri. Kini anak kecil itu sudah bergelar anak gadis, cantik dan manis orangnya.

“Cuti terus!” sampuk Hajah Halimah sambil mendekati adik bongsunya dan bersalaman. Syifa’ Umaira mencebik. Nada marahlah tu, detik hati kecil Syifa’ Umaira sambil memandang emaknya.

“Cuti terus? Tijah tak faham?” Khatijah kebingungan. Kedua anak beranak itu masam mencuka, macam musuh pula. Selalunya merekalah yang paling mesra, sering bergurau senda. Syifa’ Umaira mencebik. Hajah Halimah mendengus kasar.

“Kau tanyalah sendiri pada anak buah kau ni. Elok-elok belajar boleh masuk universiti tersohor di dunia. Eh! Senang-senang berhenti.” Hajah Halimah menjeling tajam. Hatinya masih lagi sakit dengan keputusan anak bongsunya itu. Sukar untuk dia menerima apa yang berlaku.

“Mak!” Syifa’ Umaira kurang selesa dengan nada suara emaknya. Masih tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku. Dia sudah pun bertunang. Pinangan sudah diterima, kenapa maknya masih tidak berpuas hati. Khatijah memandang wajah kedua beranak itu silih berganti. Dahinya berkerut.

“Kenapa ni?” tanya Khatijah.

“Kau tanya sendiri dengan anak buah kau! Lagi akak duduk di sini, lagi sakit hati akak dibuatnya.” Hajah Halimah bingkas bangun. Syifa’ Umaira mengeluh kesal. Kenapalah emaknya masih tidak boleh menerima jodoh itu ketentuan Ilahi. Sudah jodohnya dengan Ustaz Amir Hudzaifa dan menjadi isteri kedua. Dia sendiri tidak menyesal. Bukan emaknya yang akan berkahwin, tapi dirinya.

“Kenapa ni Mai? Mak marah semacam je tu?” Khatijah meminta kepastian dari anak buahnya. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Mai nak kahwin mak su.” Syifa’ Umaira memandang wajah emak saudaranya dengan mata yang berkaca.

“Baguslah tu! Tapi kenapa emak marah sangat? Mai berhenti belajar ke?” Khatijah terus bertanya. Dia inginkan kepastian. Pasti ada perkara yang menyakitkan hati kakaknya jika tidak mustahil kakaknya akan marah pada anak bongsu kesayangannya itu.

“Iya mak su, sudah itu syaratnya. Mahu tak mahu kenalah Mai setuju.” Syifa’ Umaira menundukkan muka. Khatijah terkejut mendengarnya.

“Kenapa pula? Takkan bila berkahwin tak boleh belajar? Ni mak su nak tanya, siapa bakal suami Mai tu? Kenapa cetek sangat fikiran sampai nak belajar tak boleh?”

“Ni… .” Syifa’ Umaira menghulurkan gambar Ustaz Amir Hudzaifa yang masih ditangannya. Teruja Khatijah melihatnya. Kacak dan berkarisma. Nampak pada wajah macam orang berilmu tapi kenapa tidak membenarkan Syifa’ Umaira menghabiskan pelajarannya?

“Kacaknya! Pandai Mai pilih. Mak su tengok tak ada cacat celanya. Cuma mak su tak faham kenapa sampai kena berhenti belajar? Dan kenapa pula mak marah-marah?” Khatijah terus mendesak. Kebisuan Syifa’ Umaira tidak membantu menyelesaikan masalah yang sedang berlaku antara ibu dan anak itu.

“Anak buah kau tu nak kahwin dengan laki orang!! Macam dah tak ada lelaki bujang dalam dunia ni, laki orang juga yang diburu!!” tempelak Hajah Halimah dari dalam bilik. Terkejut Syifa’ Umaira dan Khatijah mendengar suara Hajah Halimah. Khatijah memandang

wajah Syifa’ Umaira meminta kepastian. Anak buahnya itu tetap menunduk, hanya air mata yang menitis.

“Mai!” Khatijah mengusap belakang Syifa’ Umaira yang semakin kuat tangisannya. Dari dalam bilik Hajah Halimah berleter sehingga tidak tahu butir bicaranya. Di ruang tamu Syifa’ Umaira menangis. Khatijah mengeluh. Apa sebenarnya yang terjadi ni? Detik hati kecilnya.

“Betul ke kata mak? Mai nak kahwin dengan suami orang?” Khatijah menggoncang tubuh anak saudaranya. Syifa’ Umaira mengangguk lemah. Khatijah beristighfar. Dia tersandar di sofa terkejut mendengar berita tersebut. Sukar pula dia hendak mempercayainya.

“Ya, ALLAH! Mai?” Hanya itu sahaja yang mampu terucap di bibir Khatijah. Patutlah kakaknya marah sangat. Apa lagi yang dapat dia katakan.

“Salah ke Mai pilih suami orang sebagai suami? Kalau orang tu beriman dan bertakwa. Mampu berlaku adil dan boleh sayang Mai?” Tanya Syifa’ Umaira dalam sedu sedannya. Khatijah mengeluh.

“Memang tak salah Mai? Cuma jika ada pilihan, baiklah kita mencari pilihan lain,” nasihat Khatijah.

“Hati Mai dah sayang dan suka mak su, nak buat macam mana?” Syifa’ Umaira menyeka air mata dengan hujung bajunya.

“Tapi kenapa sampai berhenti belajar? Itu yang mak su tak faham?”

“Isterinya yang membuat syarat tersebut. Sebab Ustaz Amir Hudzaifa berkahwin kerana nak isteri barunya nanti membantu dia menguruskan maahadnya.” Syifa’ Umaira menekup mukanya dengan ke dua belah telapak tangannya.

“Jadi, Mai setujulah?” Khatijah meminta kepastian. Syifa’ Umaira mengangguk. Khatijah menggelengkan kepala. Kalau buat ikut nafsu tanpa memikirkan akibatnya, inilah jadinya. Restu orang tua penting dalam membina sebuah rumah tangga.

“Tolong Mai!… mak su. Yakinkan emak dan ayah yang pilihan Mai adalah terbaik untuk diri Mai. Dah jodoh Mai, mak su.” Syifa’ Umaira memegang tangan emak saudaranya. Dia berharap sangat emak saudaranya dapat membantu menyelesaikan masalahnya dengan orang tuanya.

“Sabarlah Mai! Mak su percaya emak dan ayah pasti akan dapat menerimanya suatu hari nanti. Walaupun bukan sekarang. Mereka tak sekejam seperti yang Mai sangkakan. Tengok, ayah tetap menguruskan soal kenduri-kendara Mai. Emak tu, biarkanlah. Lama-lama sejuklah tu. Jangan fikirkan sangat ya,” nasihat Khatijah. Hanya itu yang dia mampu buat setakat ini. Tidak pernah dia menduga anak buah kesayanganya itu akan berkahwin dengan suami orang. Biar siapa pun lelaki tersebut, dia telah berjaya mencuri hati anak buahnya itu. Khatijah tidak mahu menghalang. Jika itu sudah pilihan Syifa’ Umaira, biarkanlah saja. Mungkin Syifa’ Umaira sudah fikirkan baik buruknya. Sebagai orang tua hanya nasihat sahaja yang mampu diberi.

Syifa’ Umaira mengeluh kesal. Rupanya api kemarahan emaknya belum juga padam. Biarlah mereka tidak menerimanya buat masa ini, mungkin bila mereka sudah melihat kegembiraannya pasti mereka akan menerima bakal suaminya dengan baik dan menerima dengan hati terbuka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.