Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
Madu oi Madu! ~ BAB 32

BAB 32

Ummi Khadeeja sibuk mengemas dan menyusun kain baju suaminya dan kain bajunya ke dalam dua buah beg. Dia tersenyum puas. Dia berfikir seketika takut ada yang tinggal . Esok dia dan suaminya akan keluar daerah. Mereka akan ke Pahang, Melaka dan N. Sembilan. Ada undangan untuk suaminya memberi kuliah dan ceramah agama. Permintaan orang tidak mampu ditolak demi untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat di luar sana.

Dua hari lepas kelas masakannya bersama Syifa’ Umaira sentiasa dalam ketegangan kerana sikap madunya yang tidak mahu dan tidak tekun belajar. Sikap sambil lewa Syifa’ Umaira membuatkan hatinya sakit. Namun didiamkan demi suaminya. Dia tidak mahu suaminya susah hati dan terlalu banyak berfikir. Banyak lagi perkara besar yang harus diselesaikan dari perkara remeh-temeh. Kalau Syifa’ Umaira hendak mengamuk atau meluahkan pada suaminya sewaktu mereka bersama silakan. Dia tidak ada masalah. Bukan dia yang membuat masalah tapi madunya itu.

Tidak makan ikan sungai atau ikan darat. Itu soal dan selera madunya. Kalau mahu beli ikan laut kenalah cari di luar. Mereka menternak ikan sendiri adalah untuk mengurangkan perbelanjaan maahad dan dalam usaha berjimat cermat. Walaupun wang maahad banyak tapi harus juga menyimpan Jika berlaku apa-apa kecemasan. Memang ramai yang datang menyumbang tapi tidak bolehlah mengharapkan duit sumbangan itu dalam pengurusan maahad. Sumber lain harus di cari juga.

“Potong sayur tu biar elok-elok. Pegang pisau tu kena betul baru potongannya cantik,” nasihat Ummi Khadeeja. Syifa Umaira mendengus kasar.

“Ala… potong cantik-cantik pun buat apa? Nak masuk mulut juga. Bukan nak tayang pada orang. Makan sendiri je,” tempelak Syifa’ Umaira.

“Menghidang dan menyediakan makanan bukan sahaja yang berkhasiat tetapi yang cantik, bersih dan kemas baru orang berselera nak jamah masakan kita. Tidak boleh sambil lewa perlu ikhlas dan dari hati. Baru orang makan terasa sedap dan suka untuk menjamahnya,” nasihat Ummi Khadeeja. Syifa’ Umaira mencebik. Kalau tidak kerana suaminya jangan harap dia akan datang ke rumah madunya dan belaja rmemasak. Biar makan maggi, dia lebih rela. Tidak mampu dia membuang perasaan marah dan cemburu pada madunya itu. Perasaan benci semakin hari semakin mendalam terhadap madunya itu.

Semuanya mahu diajar. Cara menghidang, menyusun hidangan ke dalam pinggan. Ini bukan hotel. Rumah. Runggut Syifa’ Umaira dalam hati. Apa yang suami dia suka dan tidak suka. Tidak jemu ke makan makanan yang sama dari resepi yang sama. Kalau dia sudah lama termuntah. Di rumah Ummi Khadeeja suaminya makan kari. Di rumahnya pun takkan makan kari juga. Ah! Biar dia sendiri menentukan menu suaminya. Belajar sahaja yang asas. Tidak perlu memeningkan kepala meniru semua cara masakan madunya. Macamlah hebat sangat. Kalau orang tidak suka ada sahajalah yang tidak kena walaupun perkara itu betul dan benar. Syifa’ Umaira mengeluh kasar. Penat! Dia sudah penat mengikut gaya dan suruhan Ummi Khadeeja. Dia ada caranya sendiri untuk menawan suaminya dan menguruskan rumah tangga. Tidak perlu tunjuk ajar Ummi Khadeeja. Beli sahajalah buku masakan. Kenapalah dia tidak terfikir langsung soal tu. Buku masakan melambak di pasaran. Pilih sahaja yang mana suka. Hendak masakan barat, Jepun, Korea pendek kata semua ada. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Abang Amir rajin tolong Mai memasak. Mengemas rumah dan membasuh kain baju. Kadang-kadang Abang Amir sendiri yang memasak,” sengaja Syifa’ bercerita. Ummi Khadeeja berdehem. Hendak percaya atau tidak kata-kata madunya itu dia sendiri tidak pasti. Mungkin saja benar atau mungkin sahaja madunya itu berbohong untuk menyakitkan hatinya. Suaminya tidak pernah membantu di dapur. Setakat memerhati dia bekerja di dapur. Hanya duduk menunggu makanan terhidang. Mustahil di rumah isteri muda, suaminya akan buat semua itu. Ah! Syifa’ Umaira tipu. Amir Hudzaifa tidak akan buat semua kerja itu.

“Pandai Abang Amir masak sambal ikan, sedap pula tu,” sambung Syifa’ Umaira. Sengaja dia mengapi-apikan perasaan Ummi Khadeeja. Dia tahu semua kerja di rumah itu Ummi Khadeeja yang buat dan bereskan. Madunya itu hebat menguruskan rumah tangga . Mungkin sebab itu suaminya tidak pernah membantu. Bukan seperti dirinya yang serba perkara tidak tahu dan perlu tunjuk ajar. Ah! Lantaklah yang penting, di rumahnya Amir Hudzaifa ringan kaki dan tangan.

“Baguslah. Bertuahkan Mai dapat merasa masakan suami sendiri. Kalau Abang Amir tak masak, dia nak makan apa? Maikan tak tahu memasak. Kalau Abang Amir tak masak kalian berdua nak makan apa? Beli di kedai? Atau makan maggi je?” Sindir Ummi Khadeeja. Syifa’ Umaira mengetap bibir. Sakit hatinya mendengar ayat yang mengalir keluar dari mulut madunya. Mata mereka saling bertembung. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Syifa’ Umaira tersenyum sumbing.

“Rasanya Mai tak payah lagi belajar memasak. Setakat nak goreng telur dan sayur Mai sudah tahu… lagi pun sudah seminggu belajar. Esok akak dan abang nak bermusafirkan? Mai balik dululah, malam inikan giliran Mai. Tentulah Mai nak bagi bekalan secukupnya pada abang Amir.” Syifa’Umairah menunjukkan wajah riang. Ummi Khadeeja menunjukkan wajah rimasnya. Inilah akibatnya mendapat madu yang tidak matang. Berperangai kebudak-budakan. Rimas, memang merimaskan.

Ummi Khadeeja mengeluh. Kalau ikutkan hati tentulah dia tidak mahu berbual, bersembang dan mengajar. Mengenangkan suaminya dia pejamkan segala-gala dalam hati. Biarlah sakit asalkan rumah tangga mereka kelihatan harmoni walaupun sebenarnya hati masing-masing tidak harmoni. Berbaloikah kepura-puraan ini. Ummi Khadeeja melepaskan keluhan kesal. Kesal kerana menipu diri sendiri. Kesal kerana terpaksa menipu orang di sekeliling.

“Sudah siap berkemas, Ija?” Amir Hudzaifa melangkah masuk . Dia mendekati isterinya yang sedang melipat baju ke dalam beg pakaian. Ummi Khadeeja tersedar dari lamunannya. Dia melemparkan senyuman. Mata mereka bersambung saling memandang antara satu sama lain.

“Ustaz Din sudah diberitahu tentang Syifa’ Umaira yang akan masuk pejabat esok?”

“Sudah… abang pun sudah pesan supaya pantau kerja-kerja Mai,”

“Abang tak risau ke tinggal dia di maahad sorang diri?”

“Kenapa?”

“Iyalah… dia baru sebulan tinggal di sini, tentulah belum benar-benar dapat menyesuaikan diri,” terpancar kerisauan di wajah Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa tersenyum.

“Insya-ALLAH semuanya akan baik-baik saja Ija… jangan bimbang, ya.” Amir Hudzaifa faham apa yang difikirkan oleh isterinya itu. Biarlah isteri mudanya belajar tinggal sendiri dan menyesuaikan keadaan tinggal di maahad. Dia mahu Syifa’ Umaira bergaul dengan staf-stafnya berkenalan dengan mereka. Mengenali keluarga mereka. Begitu juga dengan pelajar-pelajar di sini. Matlamatnya berkahwin adalah untuk membantu dia menguruskan maahad ini selain dari Ummi Khadeeja yang mengurus dan membantu menjaga maahad ini. Harapannya juga sama terhadap Syifa’ Umaira.

“Abang ke sana dulu ya, saja balik ni tengok Ija mengemas. Semua sudah siapkan. Tidak payahlah abang bawa baju dari sana. Kalau semua keperluan untuk seminggu Ija sudah bawa.”

“Sudah bang, semuanya sudah siap.”

“Alhamdulillah, terima kasih Ija.” Amir Hudzaifa mencium dahi isterinya dengan penuh kasih dan sayang. Ummi Khadeeja tersenyum dan menyalami tangan Amir Hudzaifa. Malam ini dia tidur sendiri. Malam yang penuh kesunyian dan sepi. Ummi Khadeeja tersenyum kembali apabila memikirkan dia akan bersama-sama suaminya selama seminggu. Tiada gangguan. Tiada kekacauan. Semakin lebar senyumannya. Hampir sahaja dia ketawa. Namun apabila pulang nanti seminggu pula dia akan tinggal sendiri kerana menggantikan giliran yang telah diambil waktu bermusafir bersama suaminya. Itulah keadilan. Ummi Khadeeja mengeluh kembali. Kadang-kadang terselit perasaan bosan. Suaminya baru sahaja berkahwin dua orang. Bagaimanalah dengan mereka yang bermadu sehingga empat orang. Untuk sampai giliran bersama suami terpaksa tunggu tiga hari, tiga malam. Wah! terasa amat lama. Ala bisa, tegal biasa. Tetapi tentulah mengambil masa untuk menyesuaikan diri seperti dirinya yang sudah terbiasa selama ini suaminya sentiasa ada di sisi.

Tidak ada beban cari beban. Ummi Khadeeja tersenyum kembali. Memikirkan kehidupan yang sedang dilaluinya yang berubah sama sekali membuatkan dia kadang-kadang menangis, termenung dan ketawa sendiri. Ikutkan kehendak suami yang semakin hari semakin menyayangi isteri mudanya. Ikutkan rasa hati suaminya yang semakin hari semakin rajin membantu isteri mudanya mengurus rumah tangga memasak dan mengemas. Sesak nafasnya. Terasa berat di dada. Cemburu. Ummi Khadeeja beristighfar. Menjauhkan perasaan cemburu jika dibiarkan akan bersarang di dadanya pasti akan menjadi racun dalam kehidupan rumah tangga. Bohong jika dia katakan dia tidak cemburu. Suami! Orang yang di sayangi, dicintai. Mana boleh tidak cemburu. Pasti ada perasaan itu walaupun sedikit, sekelumit cuma. Suami yang selama enam belas hanya menjadi miliknya. Suami yang selama enam belas hanya tidur sekatil dengannya. Hanya manusia yang tiada perasaan dan hati sahaja tidak ada perasaan cemburu. Apatah lagi kadang-kadang terlihat kemesraan dan kemanjaan Syifa’ Umaira terhadap suaminya waktu mereka bertiga bersama-sama. Syifa’ Umaira sengaja atau tidak sengaja menunjuk-nunjukkan kemanjaannya pada suami mereka di hadapannya tanpa segan-silu. Ah! Meluat betul. Semua itu permainan perasaan cemburu. Itulah cemburu. Melihat sesuatu yang pernah menjadi milik abadi jatuh ke tangan, pelukan orang lain akan timbul rasa sakit hati, pedih, berat di dada. Ummi Khadeeja meraup wajah dengan kedua telapak tangan. Dia mengeluh sendiri.

Syifa’ Umaira hanya masak tumis air sawi dan goreng ikan sahaja untuk makan malam. Cili padi dipotong kecil-kecil bersama bawang besar dicampur kicap untuk rasa pedas. Sambal kicap cili padi. Cukuplah. Hanya makan malam. Tidak perlu sedap-sedap. Kesihatan perlu dijaga. Suaminya sudah berumur. Kalau hari-hari asyik makan masakan yang berlemak dan bersantan, manis dan bergula boleh sakit tiga serangkai, kencing manis, darah tinggi dan jantung. Dia masih muda, dia tidak mahu ada suami yang berpenyakit. Tidak pasal-pasal nak kena jaga siang malam. Ubat-ubatan lagi, pemakanan lagi. Baik jaga sebelum kena bak kata orang mencegah lebih baik dari mengubati.

“Sibuk nampak?” Amir Hudzaifa mengjengah di dapur. Syifa’ Umaira sedang menuangkan kicap ke dalam hirisan cili padi dan bawang. Usai solat isyak tadi dia terus ke rumah isteri mudanya ini.

“Abang!” Syifa’ Umaira memanggil manja. Amir Hudzaifa tersenyum dan mendekati isterinya. Dia memerhatikan sahaja lauk yang terhidang. Sawi bening, ikan goreng dan sambal kicap. Ini sahajakah menu yang di ajar oleh Ummi Khadeeja. Setiap kali balik hanya lauk ini sahaja yang terhidang. Mahu tidak mahu terpaksa jugalah dijamah. Nanti kecil hati pula isterinya ini.

“Masak lauk ni lagi?” Sekilas dia memandang wajah Syifa’ Umaira yang berdiri di hadapannya.

“Kalau makan di rumah Kak Ija, abang sudah makan, makanan yang berlemak dan berminyak. Di sini biarlah yang abang makan yang sihat-sihat dan yang bening-bening sahaja. Demi kesihatan abang,” jelas Syifa’ Umaira riang. Amir Hudzaifa ketawa kecil.

“Makanan yang sihat atau hanya tahu masak yang ini sahaja?”sindir Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mencemberut. Dia menghempaskan punggung di kerusi. Dia memandang ke arah lain. Amir Hudzaifa ketawa. Inilah padahnya berkahwin dengan anak remaja. Perangai dan tingkah laku pun kebudak-budakkan.

“Apa pun Mai masak abang makan… Cuma satu jangan buat perangai,”

“Perangai apa?”

“Perangai hari tu,”Amir Hudzaifa tersenyum sinis.

“Sudahlah bang! kalau balik saja nak sakitkan hati Mai, baik tak payah balik,” wajah Syifa’ Umaira tetap mencuka.

“Jadilah isteri yang baik Mai… hari ni genap sebulan kita berkahwin. Abang harap Mai faham erti sebuah rumah tangga. Abang nakhoda, Mai anak kapalnya. Jangan Mai juga nak jadi nakhoda. Sebuah kapal tidak boleh ada dua orang nakhoda nanti berlaku lain-lain arahan, kapal akan terbalik, faham tu,” nasihat Amir Hudzaifa.

“Taulah…”jawab Syifa’ Umaira kasar.

“Belajar menghormati abang, bercakap biar lembut, tak boleh cakap kasar macam ni, takkan nak jadi isteri yang nusyuz lagi?”

“Abang memang suka dan sengaja nak menyakitkan hati Mai, kan? Iyalah esok keluar dengan isteri abang tu sampai seminggu, tinggalkan Mai sendiri di sini, malam ni je kita bersama tak boleh ke, jangan ingatkan Mai semua perkara yang sudah lepas tu,”

“Boleh… abang pun tak nak bertekak dengan Mai. Esok abang dah nak keluar daerah. Abang dah pesan pada Ustaz Din, Mai boleh masuk pejabat dan bantu mana yang perlu. Jaga diri dan tingkah laku sepanjang waktu abang tidak ada. Jangan menyusahkan orang lain. Buat kerja dengan ikhlas. Walaupun ini maahad abang tapi kita juga kuli dan hamba. Kuli pada diri sendiri dan hamba ALLAH SWT. Jaga maahad ini seperti mana abang dan Kak Ija jaga. Hormati mereka yang ada di sekeliling kita walaupun mereka makan gaji dengan kita tapi mereka juga manusia. Lagi satu jangan pandai-pandai buat keputusan sendiri, berbincang dengan Ustaz Din atau staf yang lain. Kalau tak faham boleh tanya dengan mereka, faham Mai,” jelas Amir Hudzaifa panjang lebar. Syifa’ Umaira mencebik.

“Panjangnya arahan,” sindir Syifa’ Umaira.

“Sudahlah bang, perut Mai ni dah lapar. Waktu semakin larut, dengar leteran abang bukan menyejukkan hati, tapi semakin sakit,”

“Ikut suka Mailah… .” Amir Hudzaifa malas nak bertegang urat dengan isterinya. Dia akan cuba didik sebaik mungkin. Dia akan cuba mengubah diri dan keperibadian Syifa’ Umaira ke arah yang lebih baik dari sekarang. Manusia boleh berubah jika mahu berubah. Makanan yang dihidang tetap dijamah.

“Jangan lupa telefon abang, tapi jangan waktu kuliah berlangsung. Abang tinggalkan jadual, alamat tempat kuliah dan nombor telefon orang yang boleh Mai hubungi jika ada kecemasan.” Amir Hudzaifa tidak henti-henti meninggalkan nasihat dan pesanan. Ada kebimbangan di dalam hati Amir Hudzaifa. Dia berdoa semoga isterinya dapat menyesuaikan diri. Dapat membawa diri dengan baik.

“Apa lagi abang nak pesan? Takkan itu je?” sinis. Syifa’ Umaira tersenyum sumbing. Amir Hudzaifa menarik hidung isterinya.

“Oo… nakal ya,” usik Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mengemas meja makan. Dia mencebik. Usai mengemas mereka duduk di ruang tamu.

“Bang… Mai nak beli komputer riba, netbook atau apa sahaja yang sewaktu dengannya, boleh tak?” Syifa’ Umaira menunggu dengan sabar jawapan dari suaminya. Amir Hudzaifa mengeluh.

“Baiklah… kalau abang beli untuk Mai, abang juga kena belikan untuk kak Ija. Tapi memandangkan kak Ija tak pandai sangat  menggunakan komputer riba, abang akan belikan yang lain untuk Kak Ija harga yang sama dengan harga komputer riba yang Mai beli. Abang kenalah berlaku adil dengan isteri-isteri abang.”

“Tak kisahlah, asalkan Mai dapat komputer riba,” Syifa’ Umaira tersenyum riang. Apa yang dia inginkan dia akan dapat. Komputer riba lamanya sudah teruk sangat itu sebab dia tinggalkan di rumah emaknya. Sengaja dia tidak membawanya bersama.

“Abang pergi dengan Kak Ija nanti jangan sampai lupa kat Mai di sini,”

“Kenapa pula nak lupa? Maikan isteri abang juga,”

“Iyalah tu,” dia menjeling.

Suaminya lena di sebelahnya. Nyenyak sekali. Dia pula masih tidak dapat melelapkan mata. Macam mana hari-hari yang akan dilalui tanpa suami di sisi. Sejak berkahwin baru kali ini mereka berpisah agak lama. Seminggu? Lama tu. Apa dia nak buat selama seminggu. Pergi ke pejabat? Buat kerja apa? Semua kerja sudah dilakukan oleh pekerja-pekerja suaminya. Sukalah madunya. Ke sana, ke sini bersama suami di sisi. Dia sendiri di sini. Ah! Bosannya. Syifa’ Umaira menggereng. Wajah suaminya yang sedang tidur ditenung lama. ‘Kerana wajah tampanmulah aku di sini. Kerana rasa cinta yang lahir tanpa sedar membuatkan aku berada di sisimu. Namun aku hanya seorang perempuan, rasa cemburu, iri hati dan dengki adalah kelemahanku. Aku menyangka tidak akan cemburu pada isterimu, namun pertimbanganku silap. Aku terlalu cemburukannya kerana dia adalah wanita sempurna yang benar-benar menyayangimu. Maafkanku, suamiku!’ Setitis air jernih mengalir di pipi. Cepat-cepat diseka dengan hujung jari. Dadanya sebak. Dia tidak mampu menghilangkan perasaan cemburu yang masih bersarang di dada. Dia tidak dapat menghilangkan rasa cemburunya pada Ummi Khadeeja. Dia tidak suka berkongsi. Sudah tidak sanggup. Kenapa dia harus bertahan dan menunggu lagi. Syifa’ Umaira sebak. Walaupun suaminya cuba melayannya dengan baik namun dalam hatinya masih belum dapat menerima sepenuhnya. Masih ada rasa was-was di hati. Masih ada rasa cuak di jiwa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.