Aiman Haikal duduk
bersandar di pohon rambutan di tepi sungai sambil memeluk lutut. Air matanya diseka dengan hujung baju. Hiba hatinya tidak terkata. Marah, geram, benci semuanya berpaksi di
hati. Kenapa ayahnya tergamak berkahwin
lagi? apa yang kurang pada mamanya.
Kenapa begitu mudah ayahnya beralih kasih. Ah! Hati orang tua susah untuk
dimengertikan.
Masih terbayang di
ruang mata sewaktu dia melangkah hendak ke rumah dan melalui rumah setingkat
yang tidak berapa jauh dari rumah mamanya.
Kelihatan di dalam rumah itu kelibat ayahnya sedang duduk berdua-duaan
dengan seorang perempuan muda, kebetulan pintu luar terbuka luas.
Perempuan muda itu melentok manja sambil memaut lengan ayahnya. Mendidih hatinya melihat sandiwara di depan
mata. Siapa perempuan itu? Aiman Haikal yang sedang menjijit beg
pakaiannya meninggalkan beg di tepi jalan dan melangkah ke rumah tersebut. Terasa darah menyirap seluruh mukanya. Geram benar dia melihat adengan berpegangan
tangan sambil mencuit satu sama lain.
“Ayah! Ayah buat
apa ni?” Jerit Aiman Haikal. Hilang rasa hormatnya pada ayahnya yang
selama ini disanjung dan dihormati.
Ayahnya seorang guru agama, berilmu dan sangat tawaduk takkan bermain
gila dengan perempuan lain, fikir Aiman Haikal dalam hati. Mukanya merah padam menahan marah. Marah dengan keadaan yang dilihat. Marah dengan perempuan yang mengada-ngada dan
tidak tahu siapa orangnya. Marah kerana
ayahnya bermain kayu tiga.
“Aiman?” Amir
Hudzaifa terkejut. Dia menolak tangan
Syifa’ Umaira dan mendekati anak sulongnya yang sedang meningkat remaja
itu. Amir Hudzaifa cuba memeluk Aiman Haikal tapi ditolak dengan
kasar. Terkejut Amir Hudzaifa dengan
tindakan anaknya itu. Tidak pernah
anaknya itu bersikap kasar dengannya.
“Siapa perempuan ni? Ayah
main gila dengan perempuan lain ya? Mana
mama? Apa semua ini ayah?” Sebak dada Aiman Haikal. Bertalu-talu soalan ditanyakan kepada ayahnya
yang berdiri hampir dengannya. Wajah
lelaki yang amat dirindui itu ditenung tajam meminta jawapan dan kepastian.
Amir Hudzaifa baru tersedar yang anaknya itu masih belum tahu akan
perkahwinannya dengan Syifa’ Umaira, tentulah anaknya terkejut apabila dia
berada bersama perempuan lain selain dari Ummi Khadeeja.
“Sabar Aiman! Mari masuk
dulu, nanti ayah kenalkan pada Aiman.
Mari masuk, nak.” Amir Hudzaifa menarik tangan Aiman Haikal masuk ke
dalam rumah. Aiman Haikal masih
dingin. Matanya bulat memandang Syifa’ Umaira dan ayahnya
silih berganti. Dadanya berombak
kencang.
“Siapa perempuan ni?” tanya
Aiman Haikal tegas. Amir Hudzaifa
mengerutkan dahi. Kurang selesa dengan
suara kasar anaknya.
“Cakap elok-elok Aiman! Ayah
tak pernah ajar Aiman berkasar begini?”
Tegur Amir Hudzaifa. Aiman Haikal
menarik tangannya dari genggaman ayahnya.
“Maafkan Aiman! Tapi Aiman
nak tahu siapa perempuan bersama ayah ni?
Ayah tak tahu ke berdosa duduk berdua-duaan dengan perempuan yang bukan
muhrim?” Aiman Haikal mencebik. Ayahnya tahu hukum-hakam tetapi masih sanggup
melakukan kemungkaran. Malah di kawasan
maahadnya sendiri, apa kata para pelajarnya nanti? Tak malukah ayah, hatinya
terus berkata. Amir Hudzaifa tersenyum
dan akhirnya ketawa. Aiman Haikal
kehairanan. Dahinya berkerut.
“Aiman, jangan melatah. Lain
kali tanya dulu. Ini Ibu Syifa’ Umaira. Ibu muda Aiman. Bermakna isteri muda
ayah. Ayah dah kahwin lagi, Aiman.” Amir Hudzaifa memperkenalkan Syifa’ Umaira
kepada anak sulongnya. Syifa’ Umaira
mendekati Aiman Haikal dan menghulurkan tangan.
Dahi Aiman Haikal semakin berkerut.
“Kahwin lagi?” Aiman Haikal
terkejut. Dia mengetap bibir. Kalau ayah berkahwin lagi ini bermakna
mamanya telah dimadukan. Sebak dada
Aiman Haikal. Dia memandang wajah Amir
Hudzaifa tidak berkelip, tubir matanya semakin berair. Dadanya terasa semakin berat. Bibirnya bergetar. Terbayang dimatanya wajah
lembut mamanya. Semakin dibayang,
semakin sebak dadanya dan semakin sakit hatinya. Amir Hudzaifa cuba meraih tangan Aiman Haikal
tapi ditolak dengan kasar. Dia berlari keluar. Amir Hudzaifa terkejut dengan tindakan
anaknya, turut melangkah keluar.
“Mama!! Mama!!” Jerit Aiman
Haikal kuat sehingga menarik perhatian beberapa orang pelajar yang sedang melakukan tugasan harian
mereka. Aiman Haikal tidak terus masuk
ke dalam rumah. Dia hanya berdiri di
muka pintu dan terjerit-jerit memanggil Ummi Khadeeja.
“Aiman? Kenapa ni?” Ummi
Khadeeja terkejut mendengar jeritan anak sulongnya itu. Wajah pucat Aiman Haikal ditenung. Dia memegang pipi Aiman Haikal, diusapnya
perlahan. Air mata mula mengalir di pipi
anak bujangnya itu. Ummi Khadeeja
kehairanan.
“Kenapa ni sayang? Apa yang
buat Aiman menangis? Adik-adik
mana?” Tanya Ummi Khadeeja
bertubi-tubi. Dia risau melihat keadaan
anak sulongnya itu. Belum pernah Aiman
Haikal bersikap begini.
“Kenapa Ija?” Zaiton pula
yang muncul dari ruang tamu.
Keempat-empat mata memandang Aiman Haikal tidak berkelip dan mengharapkan jawapan. Semakin laju air mata Aiman Haikal mengalir
tapi tiada suara yang keluar dari bibirnya yang merah mekar itu.
“Dia dah tahu pasal kita Ija, pasal perkahwinan abang,” jawab Amir Hudzaifa tiba-tiba sahaja
muncul. Ummi Khadeeja terdiam. Dia tersenyum pahit. Didakapnya anak
sulongnya itu dengan penuh kasih dan sayang.
Hatinya turut merasa hiba. Dia
memandang ke arah Amir Hudzaifa, senyuman kelat diberi. Suaminya
menunduk. Syifa’ Umaira muncul
dari belakang terus memeluk lengan Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Kalau
hendak bermanja biarlah kena pada
tempatnya, detik hati kecil Ummi Khadeeja.
“Mama! Abang Long? Kenapa ni?”
Airil Hakimi dan Aidil Hakim mendekati Ummi Khadeeja. Semakin sebak dada Ummi Khadeeja apabila
melihat wajah anak-anaknya yang masih tidak tahu apa-apa itu. Aiman Haikal semakin kuat tangisannya. Semakin erat jugalah pelukan Ummi
Khadeeja. Amir Hudzaifa mendekati. Dia cuba menarik Aiman Haikal ke dalam
pelukannya. Syifa’ Umaira mencebik
apabila Amir Hudzaifa menolak tangannya.
“Abang pergilah balik, biar Aiman bertenang dulu.” Kata Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa mengeluh. Dia terasa serba-salah, selama ini Aiman
Haikal amat rapat dengannya. Sedih juga
hatinya melihat keadaan anaknya itu.
Airil Hakimi dan Aidil Hakim memandang
Syifa’ Umaira tidak berkelip.
“Airil… Aidil…masuk dulu,” panggil Zaiton. Dia sendiri terasa hendak menangis melihat keadaan Aiman
Haikal. Ummi Khadeeja menarik tubuh anak
sulongnya masuk ke dalam rumah. Aiman
Haikal masih terisak-isak. Zaiton mengeluh. Airil Hakimi dan Aidil Hakim memerhatikan
sahaja keadaan abang mereka yang menangis macam budak kecil itu.
Airil Hakimi mencuit Aidil Hakim.
Mereka saling berpandangan. Aidil
Hakimi menjungkit bahu, tanda tidak tahu sedangkan sewaktu dalam kereta bersama
Haji Salleh abangnya riang bercerita tentang pelajaran dan pengajiannya. Airil Hakimi semakin kehairanan. Aiman Haikal tidak sabar-sabar hendak
bertemu ayah dan mama sehingga tidak mahu menunggu dia dan Aidil Hakimi. Aiman Haikal berjalan mendahului mereka. Tapi kenapa Aiman Haikal menangis? Sedangkan tadi elok sahaja keadaannya, Airil
Hakimi menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kenapa mama? Kenapa mama
benarkan ayah kahwin lagi? Kenapa?” tanya Aiman Haikal sambil matanya memandang
tepat ke mata Ummi Khadeeja. Hiba hati
seorang ibu terasa menyusuk di hati.
“Ayah kahwin lagi?” Hampir
serentak Airil Hakimi dan Aidil Hakim bersuara.
Ummi Khadeeja menoleh ke arah mereka.
Ya, ALLAH… apa harus aku cakapkan pada mereka? Desis hati kecil Ummi Khadeeja. Airil Hakimi
dan Aidil Hakim mendekati Ummi Khadeeja.
Pelukkan Aiman Haikal direnggangkan.
Ummi Khadeeja mengelap air mata anak sulongnya dengan tisu.
“Kenapa? Kenapa harus merasa
hairan ayah kahwin lagi? Apakah hanya
ayah sahaja yang berkahwin? Bukankah
ramai lagi lelaki di luar sana yang berpoligami? Ustaz Aiman juga berpoligami, kan?” Soal Ummi Khadeeja. Aiman Haikal mengeluh kasar.
“Kalau lelaki-lelaki di luar sana berkahwin, itu hal mereka! Mereka bukan ayah dan mama Aiman,” kata Aiman Haikal agak kasar. Ummi Khadeeja menjegilkan mata.
“Hati-hati bila berbicara dengan mama, Aiman! Mama tak pernah mengajar Aiman cakap kasar
begini?” Lengking suara Ummi
Khadeeja. Aiman Haikal menundukkan muka.
“Maafkan Aiman,” sayu dan
perlahan suara Aiman Haikal. Sakit di hati
masih bersisa. Jawapan dari mama pula bagaikan tiada kepuasan di hati.
“Sebagai anak, tidak seorang pun punya hak untuk bertanya dan
mempersoalkan kenapa ayah kahwin lagi?
Ini urusan orang tua! Sebagai anak Aiman, Airil dan Aidil ikut sahaja
dan taat akan kata-kata mama dan ayah.
Siapa pun perempuan yang bersama
ayah, kamu bertiga wajib menghormatinya seperti mana kamu menghormati mama…
faham!” Kata Ummi Khadeeja tegas.
Terkebil-kebil mata mereka memandang Ummi Khadeeja.
“Tapi mama!” Aiman Haikal
masih tidak berpuas hati dengan jawapan dari mamanya. Bukan jawapan seperti itu yang dia inginkan
dari mulut mamanya. Dia ingin tahu
kenapa ayahnya sanggup berkahwin
lagi? Kenapa mama tidak menjawab
pertanyaannya atau mama sendiri tidak ada jawapan untuk soalannya tadi.
Aiman Haikal mencampak ketulan
batu ke dalam air sungai yang mengalir tenang. Dia mengeluh kasar. Sudah dua hari dia berada di rumah dan sudah
dua hari juga dia tidak bercakap dengan
ayahnya. Hatinya menjadi sakit apabila
terpandangkan wajah ayah dan ibu tirinya sedang bermesraan. Terbayang pula wajah mamanya yang bagaikan
menyimpan duka.
“Aiman.” Haji Salleh
mendekati anak sulong sahabatnya
itu. Dia melemparkan senyuman apabila
sahaja Aiman Haikal menoleh ke arahnya.
“Jom sarapan. Dari
tadi mama cari. Kenapa duduk seorang diri di sini?”
Haji Salleh duduk di sebelah Aiman Haikal sambil matanya turut menjunam
ke arah sungai yang jernih itu.
“Aiman tak lapar, pak cik
aji,” jawab Aiman Haikal lemah dan tidak
bersemangat. Keriangan sewaktu baru
sampai dari maahadnya bagaikan telah diragut dan direntap. Tiba-tiba dia merasa menyesal balik bercuti
kali ini. Kalaulah dia tahu ayahnya sudah berkahwin lagi pasti dia tidak
akan pulang ke rumah dan pasti dia tidak akan melihat atau mendengar suara
tangisan mamanya di malam hari sewaktu bertahajud.
“Jangan macam ni? Kasihan
mama, penat dia masak makanan kegemaran Aiman. Nasi lemak dengan Sambal Ayam.
Jomlah! Aiman tak nak temankan
pak cik aji, ke? Pak cik aji
bukan selalu datang sini, kan? pak cik aji bercuti seminggu semata-mata nak bertemu Aiman dan adik-adik, Bukankah
kita nak memancing di sini sepanjang Aiman bercuti.” Haji Salleh cuba memujuk Aiman Haikal yang
masih tidak dapat menerima kehadiran Syifa’ Umaira ke dalam keluarganya dan
juga isteri kepada ayahnya itu.
“Kenapa ayah kahwin lagi, pak cik aji ? Kenapa ayah tega sakitkan
hati mama? Kenapa ayah menduakan mama? Apakah ayah dah tak sayangkan mama
lagi?” Bertubi-tubi soalan keluar dari
mulut Aiman Haikal, anak remaja yang sudah mencecah enam belas tahun. Wajah saling tak tumpah seperti Amir
Hudzaifa, kacak, hidung mancung. Kulit
putih bersih, tinggi lampai. Bibir
nipis. Rambut Aiman Haikal juga tersisi
rapi, kemas dan segak penampilannya.
“Aiman, kadang-kala jawapan
yang kita harapkan dari mulut orang tua, penjelasan mereka tidak seperti yang
kita harapkan. Seperti mama cakap semalam. Sebagai anak, Aiman dan adik-adik tidak punya
hak untuk mempersoalkan tindakan ayah berkahwin lagi. Dalam Islam sendiri, tindakan ayah tidak
salah. Mungkin ayah berkemampuan dan
bukankah berpoligami adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Aiman tidak akan faham sehinggalah Aiman
cukup dewasa dan ketika itu mungkin Aiman juga akan mempunyai dua isteri,
mungkin tiga atau empat,” sempat juga Haji Salleh mengusik anak remaja itu.
“Kenapa pak cik aji tak
kahwin lagi?” Aiman Haikal memandang
wajah teman baik ayahnya itu. Haji
Salleh ketawa. Sempat pula budak ni
bertanyakan soalan cepumas kepadanya.
“Pak cik aji takut mak cik Ton!
Dia garang. Nanti diparangnya pak cik
aji, siapa nak tolong?” Haji Salleh
ketawa. Terbayang wajah isterinya. Tidak mungkin dia berkahwin lagi kerana dia
sedar dari segi kemampuan harta mungkin dia mampu tapi dari segi kemampuan
batin, hati dan perasaan belum tentu dia boleh berlaku adil. Aiman Haikal
tersenyum mendengar jawapan Haji Salleh.
“Tu, kan dah senyum… jomlah! Temankan pak cik aji makan.
Lepas ni kita ke bandar. Semalam
Aiman kata banyak barang nak beli, pak cik aji belanja.
Apa Aiman nak, Aiman bagi tahu.
Semuanya ditanggung beres.” Haji
Salleh memeluk bahu Aiman Haikal yang sama tinggi dengannya.
“Tergamak ayah ya, pak cik aji.
Kasihan mama, dua hari Aiman lihat mama menangis waktu bertahajud. Hiba hati Aiman,” cerita Aiman Haikal. Wajah riang Haji Salleh bertukar muram. Dia mengeluh.
Isterinya ada bercerita tentang Ummi Khadeeja yang sekarang ni asyik
ketawa sahaja. Asalkan bercakap sahaja
pasti ketawa sedangkan perkataan yang keluar atau ayat yang dituturkan tidak
kelakar pun. Apakah hati wanita itu sedang menderita
lantaran perkahwinan suaminya. Haji
Salleh mendengus kasar.
“Tak semestinya mama menangis kerana mama sedih, Aiman. Ada juga orang menangis kerana dia
gembira. Mungkin mama menangis kerana
mama gembira dapat bertahajud di hadapan ALLAH SWT tanpa gangguan dari sesiapa. Itu sebab mama menangis kerana terlalu
gembira dapat berkhalwat bersama ALLAH.
Pernah dengar cerita tentang
Rabiatul Adwiyah? Beliau sering
menangis bila bertahajud. Bukan sedih
tapi merindui Kekasih hatinya, ALLAH SWT.”
Haji Salleh tersenyum pahit.
Aiman Haikal memandang kosong wajah Haji Salleh.
Siapa yang tidak tahu kisah Rabiatul Adawiyah. Wanita
yang kuat ibadah. Tinggalkan
dunia kerana cintanya yang begitu mendalam kepada Pencipta. Tetapi mamanya bukan Rabiatul Adawiyah. Biar kuat pun beribadah, di hati mamanya ada
ayah. Di hati mamanya ada adik-adik dan
dirinya. Rabiatul Adawiyah tiada
siapa-siapa. Dia benar-benar mengabdikan
diri pada ALLAH SWT. Beliau tidak
berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Walaupun pernah dipinang oleh seorang raja. Rabiatul Adawiyah menolaknya. Beliau tidak cintakan harta dunia. Dia tidak dapat menerima jawapan Haji
Salleh. Dia pasti hati mamanya terluka.
Hati mamanya kecewa.