Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
KALAU SUDAH JODOH ~ BAB 18

Amir Hudzaifa memandu kereta sendiri menuju ke Bukit Merah Lake Resort, sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah, rumah Haji Salleh. Kenduri untuk meraikan perkahwinannya akan di adakan di rumah sahabatnya itu. Dia singgah di resort itu hanya untuk merehatkan diri. Bukan sempena berbulan madu atau apa, sekadar menyinggah menghilangkan penat memandu seorang diri.

Syifa’ Umaira tidak berkata sepatah pun, membisu sepanjang perjalanan. Kalau bercakap pun ketika Amir Hudzaifa bertanya. Dia cuba melelapkan mata, berbagai perkara bermain dibenak dan fikirannya. Tidak pula bertanya ke mana suami yang baru dinikahinya itu akan membawanya. Pesanan emaknya terngiang-ngiang di telinga.

“Mai dah jadi isteri orang. Pandai-pandailah jaga diri. Ini pilihan Mai sendiri. Emak dan ayah akan mendoakan kebahagian Mai,” kata Hajah Halimah sambil memeluk Syifa’ Umaira erat. Hanya butir mutiara mengalir di pipi mengambarkan perasaan sedih dengan perpisahan ini. Syifa’ Umaira memeluk Hajah Halimah erat.

“Mai minta ampun dan maaf, emak,” tangis Syifa’ Umaira. Hajah Halimah mengusap lembut belakang anak bongsunya.

“Mak maaf dan ampunkan Mai,” jawab Hajah Halimah. Mereka saling berpelukan. Perpisahan pun bukan selamanya namun di hati tetap terasa kehilangan.

Di sana meniti bahagia, di sini berendam air mata. Ummi Khadeeja masih bertelekung. Matanya memandang kosong seluruh isi kamar tidurnya. Ahh! Kenapa hatiku berasa kosong? Sepi dan rindu silih berganti. Bukannya aku tidak biasa ditinggal pergi, acap kali dia bermusafir tetapi kali ini lain sekali, perginya membawa misi. Misi kebahagian diri sendiri. Aku ditinggal sepi menanggung rindu sendiri. Ummi Khadeeja bermonolog dalam hati. Dia bingkas bangun sudah terlalu lama dia duduk di atas sejadah sejak lepas maghrib sehingga hampir ke tengah malam.

Telekung dibuka dan disangkut kemas di tempat penyidai. Sms dari suaminya berkali-kali masuk, dijawab dengan tenang memberi semangat kepada hati suaminya yang sedang gusar menunggu pengantin tidak kunjung datang. Kenapa dan apa terjadi tidak diketahui. Tidak putus-putus Ummi Khadeeja memanjatkan doa agar dipermudahkan segala urusan suaminya. Biar hatiku sengsara wahai kekasih, asalkan kau bahagia mengecap nikmat syurga dunia.

“Betul ni Ija tak nak ikut? Lagi pun kita akan ke rumah Haji Salleh,” pelawa Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Ikhlaskah kau, bang? Ingin aku bersama-sama di hari pernikahanmu dengan perempuan lain, bisik hati kecilnya. Wajah ceria Amir Hudzaifa jelas terpancar. Ummi Khadeeja turut tersenyum. Aku bahagia melihat kau bahagia, bang. Hatinya masih berkata-kata“Tak apalah bang, nanti tak selesa pula bakal isteri abang lihat Ija di situ. Biarlah, malam inikan mala untuknya… Ija tunggu abang pulang di sini, ya,” lembut Umi Khadeeja menuturkan kata-kata. Amir Hudzaifa masih tersenyum manis.

“Doakan yang terbaik untuk abang ya, sayang.” Amir Hudzaifa mencuit pipi Ummi Khadeeja.

“Insya-ALLAH bang... semoga semuanya berjalan lancar. Emak dan ayah ada telefon bertanyakan abang. Mereka pun mendoakan agar semuanya berjalan dengan baik,”

“Insya-ALLAH… harap-harap begitulah hendaknya.” beg pakaian dimasukkan ke dalam kereta. Ummi Khadeeja bersalaman dengan Amir Hudzaifa. Matanya berkaca, ditahan agar tidak menangis. Suamiku bukan pergi mana-mana. Minggu depan baliklah dia, detik hati kecil Ummi Khadeeja.

Malam ini biarku isi kesepian ini dengan bersujud kepada ALLAH SWT memohon Redhanya, memohon rahmat dan kasih sayangnya. Ummi Khadeeja mengeluh. Dia memakai telekungnya semula. Matanya tidak mengantuk. Dari termenung dan memikirkan nasib diri baiklah dia bersujud kepada ILAHI.

‘Ya, ALLAH… jangan kau uji aku dengan ujian yang tidak mampu aku hadapi. Jangan kau tinggalkan aku terkapai-kapai sendiri dalam mencari RedhaMu. Jangan kau tinggalkan aku sepi sendiri. Jangan kau jauhi aku lantaran kejahilan hambaMu yang hina ini. Amin… Ummi Khadeeja mengusap ke dua belah tangan ke pipinya. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Setitis air mata kewanitaannya jatuh ke pipi. Sahlah kini aku di madukan. Sahlah kini aku akan berkongsi segala-galanya dengan orang lain. Sahlah kini suamiku sudah beristeri dua. Ummi Khadeeja seboleh-bolehnya tidak mahu menangis. Tetapi perasaan seorang wanita tidak mungkin berdusta. Redha, memang aku redha. Ikhlas… telah aku cuba mengikhlaskan segalanya. Namun hati kecilku tetap berduka. Pergilah jauh-jauh rasa sedih ini. Pergilah jauh-jauh rasa sepi ini. Hadirlah damai. Hadirlah kau mententeramkan hati yang gundah gulana ini.

Ummi Khadeeja menangis sayu. Mudah sungguh kau mengalir dan menangis wahai mata. Jangan dipandang sakitnya hati, jangan dilihat sakitnya jiwa. Inilah ketentuan ILAHI kepada hamba-hambanya tiada dusta. Sudah tercatit sejak azali aku akan berkongsi suami. Ummi Khadeeja mengesat air mata yang mengalir sehingga mengaburkan pandangan matanya.

Abang tetap sayang pada Ija dan anak-anak. Ija tetap sebahagian dari diri abang. Begitu juga anak-anak. Abang berkahwin lagi bukan bermakna terhentinya hubungan antara kita. Bukan terputusnya kasih sayang antara kita. Abang hargai pengorbananmu sayang, akan abang kenang sehingga ke akhir hayat abang. Terima kasih sekali lagi.

Itulah ayat sms dari suaminya untuk kesekian kalinya terputus apabila sahaja pengantin perempuan tiba. Itu juga harapanku bang, kau tidak akan melupakan isterimu yang sudah meniti senja, dan anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Ummi Khadeeja mengeluh perlahan. Semakin difikir, semakin laju air mata mengalir. Bukan sengaja dia mencari duka, bukan sengaja membuat sakitnya hati tetapi iya hadir sendiri ketika mengamit sepi. Air mata tetap mengalir bagaikan air terjun tiada penghujungnya. Ummi Khadeeja bersujud lagi kepada Yang Maha Esa.

Di jalan yang berliku Amir Hudzaifah memandu dengan tenang, beberapa minit lagi sampailah ke destinasi. Syifa Umaira sudah pun terlena. Dia memandang sekali imbas wajah isteri barunya dengan bantuan cahaya lampu neon di sepanjang jalan. Memang tidak dinafikan kecantikan Syifa’ Umaira. Memang benar kata Ummi Khadeeja, ada iras-iras wajahnya. Siapa sangka, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tiada siapa yang tahu. Amir Hudzaifa tersenyum lagi. Dia memasang radio untuk menghilangkan rasa sunyi sendiri. Terfikir sejenak isteri yang berada nun jauh di maahad, sudah tidur agaknya. Kali terakhir dia menghantar sms kepada Ummi Khadeeja sebelum pengantin perempuan tiba. Semoga isteri pertamanya itu baik-baik saja, detik hati kecilnya. Berkumandang di radio lagu Fantasia di Bulan nyanyian penyanyi rock tanahair terkenal Amy Search. Amir Hudzaifa tersenyum sendiri. Macam tahu-tahu sahaja aku baru bernikah, detik hati kecilnya. Amir Hudzaifa beristighfar, hati jangan kau lalai, bisiknya sendiri. Amir Hudzaifa membiarkan sahaja radio terbuka sambil menikmat senikata lagu tersebut.

Demi cintaku padamu

Ke mana pun kan ku bawa

Ke hujung dunia ke bintang kejora.

Demi cintaku padamu

Ku korbankan jiwa dan raga

Biarpun harus ku telan lautan bara

Bulan madu di awan biru

Tiada yang mengganggu

Bulan madu di atas pelangi

Hanya kita berdua

Mengecap nikmat cinta

Yang putih tak terbanding

Sesuci embun pagi

Andai dipisah

Laut dan pantai

Musnahlah ilham

Hilang pedoman

Andai dipisah

Cahaya dan bulan

Gelap gelita

Punah asmara

Amir Hudzaifa tersenyum sendiri mendengar senikata lagu tersebut. Bulan madu di atas pelangi hanya kita berdua, mengecap nikmat cinta, yang putih tak terbanding, sesuci embun pagi. Wajah Syifa’ Umaira dipandang sekali imbas dan tersenyum lagi. Lagu nyanyian Allahyarham P. Ramlee Madu Tiga tiba-tiba muncul difikiran.

‘Senangnya dalam hati,

kalau beristeri dua,

seperti dunia ana yang empunya

kepada isteri tua, ana sayang padamu,

Kepada isteri muda, I say I love you…

Amir Hudzaifa tersenyum lagi. Ya, ALLAH terlalu jauh fikiranku merawang, bisik hati kecilnya. Syifa’ Umaira sesekali mengeliat, mungkin lenguh tidur duduk begitu. Sabarlah sayang, sebentar lagi kita sampai, bolehlah sayang tidur dengan selesa, berkata hati Amir Hudzaifa sendiri. Akhirnya perjalanan itu sampai ke penghujungnya. Seperti mana impian dan harapannya sampai juga ke penghujungnya. Tersergam indah di hadapan mata bangunan Resort Bukit Merah Lake tempat dia dan Syifa’ Umaira akan menginap. Hanya dia dan Syifa’ Umaira. Hanya mereka berdua, menikmati nikmat cinta sebagai suami isteri yang sah. Kereta diletakkan di parking resort. Amir Hudzaifa melangkah keluar. Tidak sampai hati hendak mengejutkan Syifa’ Umaira. Dia terus ke kaunter pendaftaran dahulu. Setelah mengambil kunci bilik, Amir Hudzaifa kembali ke kereta barulah dia mengejutkan Syifa’Umaira.

“Syifa’ Umaira… bangun kita dah sampai,” panggilnya lembut. Amir Hudzaifa mengusap pipi Syifa’ Umaira perlahan. Isteri mudanya mengeliat dan membuka mata. Dia mengonyoh matanya yang masih terasa kelam. Amir Hudzaifa melemparkan senyuman apabila sahaja matanya bertemu mata Syifa’ Umaira.

“Kita di mana ni?” tanya Syifa’ Umaira yang masih mamai.

“Kita dah sampai di resort … cepatlah keluar. Dah lewat malam ni.” Amir Hudzaifa membuka but kereta di belakang untuk mengeluarkan beg pakaiannya dan Syifa’ Umaira. Enjin kereta di matikan.

Syifa’ Umaira mengikut langkah Amir Hudzaifa menuju ke bilik sewaan mereka. Dari belakang dia memerhatikan langkah lelaki pujaan hatinya. Lelaki yang dimimpikan siang dan malam sudah berada di hadapan mata. Syifa’ Umaira akhirnya tersenyum bahagia. Hilanglah duka, hilanglah sengsara yang ada hanyalah senyuman bahagia. Hati bernyanyi riang seketika melihat wajah tampan Amir Hudzaifa yang sudah sah menjadi miliknya. Mak… Mai menuju bahagia, doakan kebahagian ini milik Mai, detik hati kecil Syifa’ Umaira sebelum melangkah masuk ke dalam ruang kamar sewaan mereka.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.