Amir Hudzaifa
memejamkan mata serapat-rapatnya, kalau boleh dia tidak mahu mengenang kembali
apa yang telah dilakukannya hari
ini. Perkara yang tidak pernah dilakukan
sama sekali. Kenapa dia melakukannya? Amir Hudzaifa mengeluh sendiri. Mengeluh dan menyesal sudah tiada
gunanya. Dia perlu membetulkan
keadaan. Sebagai ketua keluarga dia
tidak seharusnya cepat melatah, cepat membuatkan keputusan tanpa usul
periksa. Berfikir dahulu lebih baik dari
membuat keputusan terburu-buru.
Bagaikan skrin besar berada di hadapannya memperlihatkan perjalanan hidupnya seharian
ini. Mula-mula kejadian di sungai dia
menarik tangan Aiman Haikal dengan kasar dan melempang anaknya itu berkali-kali
agar mengaku akan kesalahannya. Puas
Aiman Haikal menafikannya tapi tidak diendahkannya. Tuduhan dan ketegasan Syifa’ Umaira
meyakinkannya bahawa memang benar Aiman Haikal telah menolak isterinya itu ke
dalam sungai. Walaupun sungai itu tidak
terlalu dalam tetapi arusnya agak deras juga terutama selepas hujan. Kalau terjadi apa-apa pada isteri mudanya itu
bagaimana? Bagaimana dia hendak menjawab dengan keluarga Syifa’ Umaira? Dengan
masyarakat sekeliling, teman dan kawan.
Apa jawapan yang akan diberi?
Adakah dengan mengatakan anaknya yang telah menolak isteri mudanya ke
sungai dan meninggal. Amir Hudzaifa
meraup mukanya. Dia bingkas bangun dan duduk di birai katil. Jauh di sudut hatinya tetap terasa hibanya
dengan apa yang terjadi.
Kata-kata Syifa’
Umaira membuatkan hatinya sakit, marah dan geram sehingga dia mengambil
tindakan di luar batasan yang sepatutnya.
Masih terbayang wajah Aiman Haikal memohon simpati agar dirinya tidak
dipukul lagi. Anak itu memeluk kakinya
merayu dan memohon ampun namun tidak didengarinya. Hampir lima
belas minit dia memukul anak sulongnya itu setengah mati. Dengan rotan setebal satu inci dia menghayun
sekuat hati. Dia ingin mengajar anaknya
itu agar tidak melakukan perkara itu lagi.
Dia ingin anaknya tahu bahawa perbuatan itu salah.
Tidak pernah dia
mengajar anaknya bersikap kurang ajar
dengan orang yang lebih tua. Pendidikan
dunia dan akhirat rasanya tiada yang kurang.
Amir Hudzaifa melepaskan keluhan.
Dia kenal Aiman Haikal. Dia tahu
anaknya itu tidak akan bercakap bohong.
Dia tahu anaknya itu tidak akan menyakiti hati orang lain. Anak yang ditatang bagaikan minyak yang
penuh, sarat dengan kasih dan sayang dari dia dan Ummi Khadeeja. Jauh di sudut hatinya dia dapat rasakan Aiman
Haikal tidak melakukannya. Dia percaya
anak itu tidak lakukannya. Dia yakin
itu. Amir Hudzaifa mengetap bibir. Kalau dia percaya Aiman Haikal tidak
bersalah,kenapa dia memukul anaknya?
Mungkin terlalu sakit hati dengan kata-kata Syifa’ Umaira menyebabkan
dia bertindak keterlaluan terhadap anak sulongnya itu.
Bagaimana agaknya
keadaan anaknya itu? Sewaktu
ditinggalkan Aiman Haikal terkulai layu di lantai. Tiada sedikit pun rasa simpati di hati. Tiada sedikit pun rasa kasihan pada Aiman
Haikal. Apa sudah jadi dengan dirinya,
Amir Hudzaifa mendengus kasar.
Belum selesai
masalah dengan Aiman Haikal, timbul pula masalahnya dengan Ummi Khadeeja. Sewaktu sampai dari kedai berhampiran dia
dapat mendengar dengan jelas suara isteri pertamanya memarahi Syifa’ Umaira dan menuduh isteri
mudanya itu pembohong. Fikirannya sedang
berserabut ditambah dengan jerkahan
isterinya. Belum pernah Ummi Khadeeja
bersikap seperti itu terhadapnya. Apatah
lagi meninggikan suara. Dia pula tidak
sengaja telah menaikkan tangan ke muka gebu isterinya. Tentu Ummi Khadeeja marah dengannya, benci
padanya. Selama enam belas tahun
berkahwin belum sekali pun dia bersikap kasar dengan isterinya, begitu juga
sebaliknya. Setiap masalah dalam
keluarga mereka selalunya diselesaikan dengan musyawarah. Saling memberi pandangan dan pendapat.
Tetapi kali ini lain sekali, dia bertindak bagaikan tidak bertamadun mengikut
hati dan perasaan marah. Sudah pasti
syaitan mentertawakan dirinya. Berbelas
tahun dia menjaga keharmonian rumah tangganya serta hubungan dengan keluarganya
tetapi hari ini dia telah merosakkan
segala-galanya.
“Abang…!” Syifa’ Umaira menerpa dan duduk di
sebelahnya. Amir Hudzaifa mendengus
kasar. Kalau boleh hari ini dia tidak
diganggu. Dia mahu menyendiri. Memikirkan kewajarannya bertindak menghukum
Ummi Khadeeja dan anak-anaknya. Dia
tidak mahu hubungan dia dan anak-anak renggang.
Dia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.
“Abang!!” panggil
Syifa’ Umaira sambil menampar-nampar lengannya.
Amir Hudzaifa memandang wajah Syifa’ Umaira tidak berkelip. Memang isteri mudanya ini cantik, kalau
diperhatikan orang akan beranggapan
isterinya ini seorang yang lemah-lembut.
Berbudi bahasa. Bersopan-santun
tapi bila berdua bersama-sama dengannya semua sifat itu bagaikan ditinggalkan
di pintu luar sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Macam hidup dalam dua alamlah pula.
“Abang nak tanya
lagi sekali. Abang harap Mai jawab
dengan jujur. Benarkah Aiman yang
menolak Mai jatuh ke dalam sungai?” tanya
Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira
terdiam. Dadanya berdebar-debar. Kenapa suaminya bertanyakan perkara itu lagi? Apakah dia tidak percaya pada aku? detik
hati kecil Syifa’ Umaira.
“Betullah
bang! Takkan Mai bohong pula?” Syifa’ Umaira cemberut. Dia cuba berlagak biasa bagaikan kata-katanya
itu adalah benar belaka. Dia tidak mahu
Amir Hudzaifa mengesan pembohongannya.
Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Tidak sesekali dia membetulkan apa yang telah
terjadi. Dia tidak mahu suaminya
mensyaki dia berbohong. Tidak sama
sekali.
“Mungkin Mai
tersilap. Agaknya Mai terjatuh sendiri
tak ? Mungkin Mai tersilap tengok sehingga menyangka Aiman Haikal yang menolak Mai.” Amir Hudzaifa terus memaksa Syifa’ Umaira bercerita perkara yang sebenar.
“Abang ni kenapa
ha! Tak percayakan Mai ke? Betullah! sudah berapa kali Mai cakap memang
Aiman yang tolak Mai! Abang nak suruh
Mai bersumpah junjung a5l-Quran pula ke?”
Syifa’ Umaira menjegilkan mata.
“Abang cuma nak
tahu jawapan yang benar, Mai! Abang
kenal anak-anak abang, sebab abang ayah mereka. Abang kenal benar dengan Aiman. Dia tidak akan berani mencederakan orang
lain hatta binatang sekali pun,” masih
terbayang diruangan matanya bagaimana Aiman Haikal membantu seekor kura-kura
yang terbalik di tepi sungai. Anak
burung yang patah sayapnya dirawat sehingga mampu terbang semula. Itulah Aiman Haikal sangat penyayang
orangnya.
“Itulah
kebenarannya, anak abang tu tolak Mai jatuh sungai!!” Lengking suara Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa terdiam. Syifa’ Umaira bertegas dengan
kata-katanya. Amir Hudzaifa tidak mampu
berbuat apa-apa. Dia tidak mahu memaksa
nanti bertegang urat pula. Sudahlah dia
bergaduh dengan Ummi Khadeeja ditambah pula dengan Syifa’ Umaira. Kalau itu berlaku ‘ana kahwin
tiga’ Amir Hudzaifa tersenyum sendiri.
Sempat pula dia menghiburkan hatinya yang sedang gundah gulana itu.
“Apa senyum
sorang-sorang!” Cebik Syifa’
Umaira. Amir Hudzaifa memandang wajah
isterinya dan tersenyum lagi. Syifa’ Umaira mendengus kasar.
“Takkan nak nangis pula.
Abang muram, Mai marah. Abang
senyum pun, Mai marah? Jadi abang nak
buat apa?” Amir Hudzaifa tersenyum
sinis. Syifa Umaira berpaling memandang
ke arah lain. Amir Hudzaifa bingkas
bangun dan berjalan ke bilik air. Malam
ini dia akan bermalam lagi di rumah Syifa’ Umaira. Bagaimanalah keadaan anak-anak dan isterinya
yang seorang lagi. Masalahnya masih
belum selesai. Baru seminggu
berpoligami tentulah dia belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan
jadual yang baru ini. Esok pagi-pagi dia
akan berjumpa anak-anak dan isterinya.
Esok juga anak-anaknya akan pulang ke asrama. Berbulan-bulan pula baru mereka akan berjumpa semula. Itu
pun belum tentu lagi kalau dia ada kuliah di luar tentu dia tidak akan
berjumpa mereka. Amir Hudzaifa mengeluh
lagi. Entah berapa banyak keluhan yang
keluar dari bibirnya.
“Abang nak ke mana
tu?” Tanya Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa menoleh.
“Nak ke bilik
air… nak ikut ke?” Usik Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mencebik.
Perlahan-lahan dia
cuba membuka matanya. Dia juga cuba bangun.
Matanya memandang sekitar bilik. Tiada siapa di situ. Dia bangun perlahan-lahan dan duduk
seketika. Tangannya menampung berat tubuhnya yang agak kurus itu.
“Ma… mama,” panggil Aiman Haikal. Seluruh tubuhnya terasa sakit bagaikan
ditarik-tarik. Dia memandang lengannya
yang berminyak dan berbirat itu. Pasti
mamanya telah meletakkan minyak angin untuk mengurangkan bengkak. Aiman Haikal cuba bangun menuju ke pintu.
Terasa sukar untuk dia bergerak. Mungkin
kekejangan. Aiman Haikal gagahi juga
untuk mencari mamanya.
“Ma… mama!” Aiman Haikal terus memanggil. Perlahan-lahan dia menurunkan kakinya di
atas lantai. Dengan langkah berhati-hati
dia mendekati pintu. Daun pintu ditolak
perlahan. Sunyi sepi rumah itu bagaikan
tiada sesiapa. Mata Aiman Haikal liar
memerhati keadaan sekeliling. Sunyi. Tekaknya terasa haus. Perutnya mula
berbunyi. Sejak subuh lagi dia belum
menjamah apa-apa makanan. Kejadian pagi
tadi membantutkan seleranya ditambah dengan pukulan ayahnya membuatkan dia
tidak ingat untuk mengambil sarapan. Akibat terlalu letih menangis, akhirnya
dia tertidur. Sudah hampir masuk waktu
zohor. Mamanya ke surau ke? Fikirnya sendiri. Aiman Haikal berjalan perlahan menuju ke
ruang makan. Dia mendekati meja makan
dan mengangkat tudung saji. Rupanya
makanan tengahari sudah terhidang.
Sambal udang pagi tadi masih ada lagi.
Ikan kembung goreng dan masak lemak labu memang lauk kegemarannya.
“Aiman? Aiman nak
makan ke?” Ummi Khadeeja terkejut
melihat Aiman Haikal di ruang makan.
Lapar agaknya dia. Ummi Khadeeja
memegang bahu Aiman Haikal. Berkerut dahi
anak bujangnya itu, sakitkah dia? Desis
hati kecil Ummi Khadeeja.
“Duduklah… kenapa
berdiri je tu, lapar ya?” Ummi Khadeeja
berlagak ceria sedangkan hatinya menangis melihat keadaan anaknya yang lemah
tidak bermaya itu. Esok anak-anaknya akan pulang ke asrama. Bagaimana mungkin dia mengizinkan mereka
pulang dalam keadaan emosi yang tidak tenteram itu. Ditambah dengan keadaan Aiman Haikal masih
lagi sakit akibat pukulan ayahnya sendiri.
Nanti dilihat oleh pihak maahad tempat anaknya belajar panjang pula
ceritanya. Ummi Khadeeja memikirkan
sesuatu. Dia akan memohon cuti lagi
sehari dua untuk anaknya itu berehat sepenuhnya atau pun sehingga hilang bekas
lebam dan birat di badan anaknya itu.
“Pipi mama kenapa
merah?” tanya Aiman Haikal sambil
meneguk air kosong sehingga habis. Haus
benar tekaknya. Matanya juga sedikit
bengkak. Kesan dari menangis. Ummi
Khadeeja meraba pipinya yang masih terasa sakitnya.
“Pipi mama
merah? Tak adalah?’ Ummi Khadeeja menafikan. Aiman Haikal memerhatikan pipi kanan
mamanya sedikit kemarahan. Ummi Khadeeja mengusapnya perlahan. Dia melemparkan senyuman pada Aiman
Haikal.
“Mata mama juga
bengkak,”
“Iya ke? Sebab menangis bersama Aiman tadi,kan,
tentulah bengkak,” alasan Ummi
Khadeeja. Aiman Haikal mengangguk. Mungkin juga, sebab dia dapat mendengar suara
tangisan mamanya tadi sewaktu memujuknya.
“Airil dan Aidil
mana, ma?” Aiman Haikal mencari-cari
kelibat adik-adiknya.
“Mereka di rumah
pak cik aji dan Mak Ton.” Ummi Khadeeja menyenduk nasi dan
menghulurkannya kepada Aiman Haikal.
Pinggan nasi bertukar tangan.
“Mama tak makan sama ke?” tanya
Aiman Haikal sambil menyenduk sambal,
kesakitan yang dirasa tidak dapat memadamkan rasa lapar dan perut yang berkeroncong. Aiman Haikal makan dengan penuh selera. Nama pun anak-anak, masalah yang mereka
hadapi cepat sahaja dilupakan tetapi tidak orang dewasa sepertinya. Selalunya
masalah akan terus bermain difikiran. Ummi Khadeeja tersenyum melihat anak
bujangnya makan dengan penuh selera.
Hilang seketika masalah yang sedang dihadapi. Perutnya juga sudah terasa lapar.
“Nak makanlah ni. Tengok
Aiman makan, berseleralah pula.” Ummi Khadeeja mengambil pinggan dan mengisi
nasi. Dia menjamahnya perlahan walaupun
tidak berselera namun kesihatan diri harus dijaga. Masalah yang datang bukan sehingga merosakkan
badan. Ini semua dugaan untuk
keluarganya. Dia harus kuat dan
tabah.
Jauh di sudut hati
Ummi Khadeeja berharap suaminya akan menyesal dengan apa yang telah
dilakukannya kepada dia dan anak-anak.
Baru berkahwih sudah berbagai masalah timbul. Entah apa yang akan terjadi lagi di masa
hadapan. Ummi Khadeeja mengeluh. Kalau boleh dia tidak mahu
memikirkannya. Biarlah masa dan keadaan
menentukan segalanya. Kepada ALLAH SWT
dia berserah dan menyerah.
“Ma…, ayah tak
balik ke?” tanya Aiman Haikal. Ummi Khadeeja memandang wajah Aiman
Haikal. Apakah anaknya itu merindui
ayahnya.
“Mungkin esok
sayang,” jawab Ummi Khadeeja. Aiman Haikal mengangguk dan terus menjamah
nasi yang masih berbaki di pinggan.
Ummi Khadeeja mencuri pandang wajah anaknya.
“Ma… mama masih
marahkan ayah?” Aiman Haikal membasuh
tangan. Dia meneguk air kosong dan
mengelap mulutnya. Ummi Khadeeja
merenung Aiman Haikal. Perlukah mama marah, detik hati kecilnya. Dia mengeluh kasar.
“Aiman masih marah
pada ayah?”
“Berdosa jika Aiman
punya perasaan macam tu, kan, mama?” Aiman
Haikal tersenyum sinis. Ayahnya berhak
memukulnya. Berhak memarahinya kerana
dia hanyalah anak. Mamanya tidak perlu
menjawab pertanyaannya dan dia juga tidak perlu menjawab pertanyaan
mamanya. Mungkin dia bersalah tanpa
sedar. Mungkin juga mamanya bersalah
juga tidak sedar. Ayahnya berhak
menghukum dia dan mamanya. Aiman Haikal memandang ke arah rumah ibu tirinya yang
terbuka luas tingkapnya. Perlukah dia
pergi memohon maaf pada ibu tirinya itu sedangkan dia tidak melakukan perkara
yang dituduh terhadapnya. Aiman Haikal
mengeluh. Dia menoleh ke arah mamanya
yang asyik membaca buku. Dia menatap
wajah mamanya. Mamanya begitu tabah dan
kuat menghadapi ujian yang sedang dihadapi.
Mampukah dia sekuat mamanya, Aiman Haikal mendengus kasar. Semoga keluarganya tetap bahagia seperti dahulu
biar berapa pun isteri ayahnya nanti.
Jauh di sudut hatinya janganlah ayahnya berkahwin lagi. Cukuplah yang seorang ini. Sudah cukup
mengkucar-kacirkan keluarganya.