Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
ALAHAI! ISTERI-ISTERIKU ~ BAB 26


Syifa Umaira berdehem kasar. Amir Hudzaifa duduk di sofa sambil memejamkan mata. Dia kecewa dengan apa yang terjadi. Dalam dirinya turut merasa  bersalah  pada anaknya Aiman Haikal. Tidak pernah dia memukul anak sulongnya itu. Tidak pernah tangannya naik ke muka anaknya itu. Tapi hari ini semuanya berubah. Semuanya sudah berlaku. Dia tidak akan membiarkan anaknya itu berkelakuan tidak sopan dengan orang lain lebih-lebih lagi dengan isteri mudanya, ibu tiri mereka.

“Anak abang tu memang kurang ajar!” Marah Syifa’ Umaira. Dia sengaja menyemarakkan kemarahan Amir Hudzaifa terhadap anak-anaknya. Dia tidak mahu mereka berbaik. Kenapa dia bersikap begitu Syifa’Umaira sendiri tidak tahu. Tetapi ada satu perasaan baru timbul di hati. Ada perasaan jahat sudah mula menjalar di sanubarinya. Hatinya tiba-tiba sakit apabila pagi tadi sebelum ke surau untuk solat subuh suaminya memberitahu akan giliran madunya pula. Seminggu bersama bagaikan tidak puas bersama. Syifa’ Umaira mendengus sendiri. Apakah dia cemburu? Cemburu suaminya ke rumah madunya? Itukah namanya cemburu? Hatinya sakit. Jiwanya tersiksa. Tertekan. Panas membara sakit memang sakit. Ah! Dia cemburu? Syifa’ Umaira mengetap bibir.

“Abang! Hari ni tak payah balik rumah kak Ija! Dia harus dihukum kerana perbuatan anaknya itu.” Syifa Umaira tersenyum yakin. Amir Hudzaifa mengeluh. Dia memandang siling. Esok anak-anaknya akan kembali ke asrama. Hubungannya dengan mereka bukan semakin baik malah semakin renggang pula.

“Betul ke Aiman menolak awak, Mai?” tanya Amir Hudzaifa tanpa memandang wajah Syifa’ Umaira. Matanya masih lagi memandang siling. Sebab kejadian pagi tadi, terbantut dia hendak ke kelas. Nasib baik ada ustaz yang sanggup menggantikannya.

Syifa’ Umaira terkejut dengan pertanyaan suaminya. Dia tergamam. Tersentak dan tidak mampu berkata apa-apa. Mencari akal untuk menjawab pertanyaan suaminya itu. Dia mengetap bibir. Rasa takut pun ada, takut tersilap cakap, nampaklah tembelangnya nanti.

“Kenapa awak diam? Betul ke, Aiman menolak awak ke sungai?” Kali ini suaranya sedikit ditekankan. Dia memandang Syifa’ Umaira yang terkebil-kebil memandangnya tanpa apa-apa jawapan. Amir Hudzaifa memandang tepat ke mata isterinya itu meminta kepastian.

“Be…betullah! Takkan Mai nak tipu pula?” Jawab Syifa’ Umaira gugup. Dia menelan air liur. Cuba berlagak biasa namun jiwanya kacau tidak tenang. Ah! Nanti orang akan lupa akan kejadian itu. Anak tirinya pun tidak akan ingat akan kejadian tadi.

“Kalau betul, abang takkan marah. Tapi kalau awak menfitnah anak abang. Abang takkan maafkan awak!” Amir Hudzaifa mengecilkan mata memandang wajah isteri mudanya. Dia berasa hairan buat apa Syifa’ Umaira ke tepi sungai? Cari apa?

“Awak buat apa di sungai? Sudah seminggu awak di sini, awak jarang keluar. Tiba-tiba keluar, kenapa?” Tanya Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Saja nak ambil angin. Bosan duduk rumah sorang-sorang. Lagi pun abangkan nak ke rumah isteri tua abang. Sudah seminggu Mai di sini tak pernah keluar berjalan di persekitaran maahad dan terlanjur abang tak ada. Mai ambil peluang keluar melawat kawasan persekitaran,” cerita Syifa’ Umaira. Memang benar itulah niatnya pada awalnya tetapi sedang berjalan di tepi sungai dia tidak perasan ada bahagian tanah yang rendah dan licin menyebabkan dia terpelecok dan mengelungsur jatuh ke dalam sungai. Kebetulan dia ternampak kelibat Aiman Haikal yang sedang memancing, tidak menghiraukan dia menjerit meminta tolong. Aiman Haikal hanya memerhatikan dia jatuh dan menjerit meminta tolong. Anak tirinya itu ada datang menolong atau tidak selepas itu, dia tidak perasanlah pula. Sehinggalah Haji Salleh dan Pak Hamid datang membantu, kalau tidak pendeklah umurnya. Dia tidak pandai berenang. Nau’zubillah, dia tidak mahu mati lagi. Dia masih muda, walaupun dia tahu jika ALLAH SWT hendak mengambil nyawanya tidak kira muda atau tua, kecil atau besar. Entah kenapa lancar sahaja mulutnya menuduh anak tirinya menolak dia jatuh. Apakah kerana dia merasa malu kerana terjatuh ke dalam sungai dan tidak tahu berenang. Atau kerana dia tidak mahu hubungan anak beranak itu baik, jahatnya dia. Syifa’ Umaira mengeluh sendiri. Tuduhan sudah dibuat, kalau dia tarik balik dan mengata dia tersilap tentu teruk dia dimarahi suaminya. Tentu semua pelajar dan mereka di maahad akan menganggap dia jahat dan tidak berperikemanusian sehingga sanggup menabur fitnah. Kalau tiada siapa yang membuka mulut pasti tiada siapa yang tahu dia membuat fitnah. Dia pasti tiada orang yang nampak dia terjatuh melainkan Aiman Haikal.

“Abang tak izinkan awak dekati sungai itu lagi, sudah tak tahu berenang jangan berani-berani menjejakkan kaki di situ, faham!” Tegas Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mencebik.

“Ala! Takkan tak boleh?” Syifa’ Umaira membantah. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala. Dia tetap dengan keputusannya. Semakin tajam muncung Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa tersenyum, walaupun begitu isteri mudanya itu tetap cantik, buatlah macam mana pun sudah tersedia cantik.

“Ada apa nak makan ni? Perut abang dah laparni ?” Tanya Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mengerutkan sudahi. Dia baru sedar yang dia sendiri belum bersarapan. Dia menyengih. Amir Hudzaifa tahu akan jawapannya. Dia bingkas bangun dan berjalan keluar. Syifa’ Umaira mengerutkan dahi.

“Abang!”panggilnya. Amir Hudzaifa menoleh.

“Beli sarapanlah.” Amir Hudzaifa memandang ke arah rumah isteri tuanya. Sunyi dan sepi. Hari itu dia tidak akan di rumah Ummi Khadeeja. Mereka harus dihukum dengan apa yang telah berlaku. Dia tidak mahu mereka melakukan kesalahan yang sama lagi. Kalau Syifa’ Umaira berbuat begitu dia juga akan mengambil tindakan yang sama terhadap isteri mudanya itu dengan menarik sehari dari hari giliran mereka. Syifa’ Umaira menarik nafas lega, semoga kebohongannya itu akan tersimpan kemas dan juga merasa lega kerana dia tidak perlu menyediakan sarapan.

Syifa’ Umaira menuju ke dapur. Dia menjerang air. Satu mug besar kopi dibancuh untuk suaminya. Dia tidak menyediakan sarapan sekurang-kurangnya dia membancuh air untuk suaminya. Perutnya sendiri sudah terasa lapar. Kalau sudah tidak pandai memasak, apa yang hendak dia masakan. Alahai! Menyesal pula tidak belajar dengan emaknya dahulu.

“Syifa’ Umaira! Syifa Umaira!!” panggil seseorang dari luar. Dahi Syifa’ Umaira berkerut. Seperti suara madunya. Dia melangkah laju ke ruang tamu. Pintu luar tidak berkunci. Ummi Khadeeja berdiri tegak sambil mencekak pinggang dengan wajah yang bengis, tiada senyuman di bibir. Syifa’Umaira kehairanan. Kenapa pula ni? detik hati kecilnya.

“Akak nak kau tarik balik tuduhan kau terhadap anak akak… sampai hati kau fitnah anak akak. Apa salah anak akak pada kau? Kalau nak marah akak, nak maki akak, makilah. Tapi jangan kau cemarkan nama anak-anak akak!” Ummi Khadeeja memandang wajah Syifa’ Umaira tidak berkelip. Dia tidak memperdulikan beberapa pelajar yang lalu lalang memandang ke arah mereka berdua.

“Akak cakap apa ni? Saya buat fitnah? Eh! Tak baik akak tuduh saya macam tu tau? Akak ingat saya orang tak ada agama ke? Nak tuduh-tuduh orang! Memang anak akak tolak saya, tak percaya?” Syifa’ Umaira masih mempertahankan tuduhannya itu. Dia tidak akan mengaku kalah begitu mudah. Dia tidak akan menarik balik kenyataannya. Ini melibatkan maruahnya juga. Tidak sama sekali.

“Kau bohong! Ada saksi mengatakan kau jatuh sendiri. Aiman pun mengatakan kau jatuh sendiri!!” Jerkah Ummi Khadeeja. Hilang semua perasaan hormatnya pada isteri muda suaminya itu. Hilang perasaan malunya sebagai ibu di maahad itu demi maruah anak-anaknya.

“Akak jangan tuduh saya pembohong! Saya ada maruah tau kak! Saya takkan tuduh tanpa sebab. Siapa saksi tu? Akak jangan main serkap jarang je?” Syifa’ Umaira mengetap bibir. Ada saksi? Tapi siapa? Saksi tu nampakkah dia terjatuh sendiri. Bimbang. Dia meneka-neka siapaka saksi itu, Haji Salleh atau Pak Hamid? Sewaktu dia berjalan mendekati sungai tiada siapa di situ. Hanya kelibat Aiman Haikal sahaja yang kelihatan. Dia pasti itu. Syifa Umaira mengetap bibir. Buat wajah selamba.

“Memang kau pembohong!!” Jerit Ummi Khadeeja.

“Ija!!” Amir Hudzaifa mendekati Ummi Khadeeja. Berkerut dahinya memandang wajah Ummi Khadeeja yang berdiri di hadapan rumah Syifa’ Umaira seperti hendak bergaduh sahaja.

“Abang pun nak bela isteri abang yang pembohong ni?” Tengking Ummi Khadeeja. Satu tamparan melekat di pipi Ummi Khadeeja. Terkejut Syifa’ Umaira. Tergamam Ummi Khadeeja. Amir Hudzaifa lelaki yang dikahwininya enam belas tahun dahulu sudah pandai meletakkan tangan ke mukanya. Belum pernah tangan yang pernah membelai dan memanjakannya itu menampar pipinya. Ummi Khadeeja mengusap pipinya yang terasa perit akibat tamparan Amir Hudzaifa. Mereka saling berpandangan. Setitis demi setitis air mata Ummi Khadeeja mengalir di pipi. Hatinya bertambah marah.

“Wah! Hebat abang sekarang ya, sudah pandai menaik tangan ke muka Ija. Sudah pandai memukul anak abang yang tidak bersalah tu,” sendu hati Ummi Khadeeja menuturkannya. Amir Hudzaifa mengetap bibir. Dia menoleh ke arah lain. Dia sendiri terkejut dengan tindakan spontannya tadi.

“Ija sendiri sudah pandai meninggikan suara pada abang! Takkan abang nak biar?” Amir Hudzaifa mempertahankan perbuatannya. Syifa’ Umaira hanya memerhatikan kedua suami isteri itu saling bertelingkah. Dia tidak menyangka suaminya akan menampar pipi madunya.

“Abang sudah tak kenal kami lagi kan? Abang percaya cakap orang yang baru abang kenal tak sampai sebulan pun. Tapi abang kenal kami sudah berbelas-belas tahun… sampai hati abang!” Ummi Khadeeja berlari meninggalkan Amir Hudzaifa bersama Syifa’ Umaira yang tersenyum sinis kepadanya. Amir Hudzaifa bagaikan orang bingung. Semua tindakannya di luar dugaan dirinya sendiri. Dia seperti orang hilang arah. Dia memandang kosong ke arah langkah Ummi Khadeeja yang semakin laju. Dia telah menampar isterinya, kenapa ringan sahaja tangannya menampar isterinya itu. Belum pernah dia lakukan dan tidak pernah sekali pun dia melakukannya. Amir Hudzaifa mengeluh kesal.

“Ija… Ija!!” panggil Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja tidak menghiraukan panggilan tersebut. Dia terus balik ke rumah dengan hati yang sakit bertambah sakit. Marah bertambah kemarahannya. Kecewa bertambah dukanya.

“Abang! Sudahlah tu…jom masuk,” ajak Syifa’ Umaira. Amir Hudzaifa mengeluh. Dia kebingungan. Kenapa keadaan menjadi kucar-kacir? Kenapa keadaan menjadi kelam-kabut. Semuanya berantakan. Bungkusan di tangan Amir Hudzaifa diambil dan dia menarik suaminya ke dapur. Kopi panas sudah pun terhidang. Nasi dagang yang dibeli Amir Hudzaifa dimasukkan ke dalam pinggan. Amri Hudzaifa masih lagi seperti orang bingung. Syifa’ Umaira mencium dahi suaminya. Dia melemparkan senyuman manis buat kekasih hati yang sudah menjadi suaminya itu. Dia juga tersenyum melihat adegan yang di luar dugaannya itu. Apakah sudah hilang rasa kasih dan sayang suaminya kepada keluarga yang satu lagi itu? Dia tiada jawapan untuk soalan yang sedang berlegar difikirannya ketika itu.

“Sampai hati kak Ija tuduh Mai pembohong… ibu dan anak sama teruknya,” runggut Syifa’ Umaira. Tiada apa-apa reaksi dari Amir Hudzaifa. Syifa’ Umaira mendengus kasar.

“Makanlah bang, nanti lapar pula,” nasi yang sudah diisi ke dalam pinggan dihulurkan kepada Amir Hudzaifa. Mati selera Amir Hudzaifa. Kepalanya berserabut dengan masalah yang datang bertimpa-timpa itu.

“Abang tak lapar,” Dia berlalu masuk ke dalam bilik. Syifa’ Umaira mencebik. Kalau tidak mahu makan, sudahlah, biar dia saja yang makan. Syifa’ Umaira makan dengan penuh selera. Perut tengah lapar apa sahaja sedap. Dia tidak suka nasi dagang namun terpaksa dijamah juga.

Ummi Khadeeja mengesat air mata yang mengalir. Zaiton dan Haji Salleh sudah lama balik setelah dia anak-beranak tenang. Usai mereka pulang, dia ke rumah Syifa’ Umaira. Dia berharap dapat membersihkan nama baik anaknya tapi sebaliknya berlaku. Hadiah paling berharga diberi oleh suaminya sendiri. Sungguh mahal hadiah itu dan tidak pernah diterima selama mereka hidup bersama. Air mata mengalir tanpa dipinta lantaran terlalu sedih mengenangkan apa yang terjadi. Dia tidak sengaja meninggikan suara pada suaminya tadi kerana terlalu marah dengan Syifa’ Umaira. Aiman Haikal masih lagi tidur. Aidil Hakim dan Airil Hakimi mengikut Zaiton dan Haji Salleh ke rumah mereka. Ummi Khadeeja menyandar di birai katil yang sudah seminggu sepi sendiri. Hari ini sepatutnya gilirannya tapi dia pasti Amir Hudzaifa membatalkan gilirannya itu sebagai hukuman dengan apa yang terjadi. Kejam, abang kejam!! Jeritnya dalam hati. Pipi yang masih terasa panas tangan suaminya diusap lembut. Ija tidak pernah meminta tamparan tapi Ija rindukan belaian manja, desis hati kecilnya. Ummi Khadeeja menangis semahu-mahunya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.