Home Novel Cinta IMAMKU ENCIK PILOT
IMAMKU ENCIK PILOT
Pena Putera
4/7/2017 20:14:49
179,881
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

“TAKUTLAH sayang. I risau kalau perkara ini sampai ke telinga orang. You pun tahulah mulut orang itu macam mana. I memang tak suka mereka itu. Sibuk aje.”


Aku terpegun bila mendengar Dania beryou-I dalam talian. Dia sudah ada kekasihkah? Bagaimana aku tidak tahu pula? Diam-diam, ubi berisi.


“Okeylah. Nanti I tengok balik jadual I. Takut tak sempat jumpa you pula. Take care. Bye.” Dania mengucup telefon bimbitnya sebelum dia bangun dan menoleh aku. Mukanya terus pucat menyedari kehadiranku.


Aku tersengih. Lucu melihatnya.


“Kau… buat apa… dekat sini?” ujar Dania dalam nada yang gagap. Haruslah gagap, selepas apa yang terjadi. Dah kantoi, kan?


“Apa yang aku buat dekat sini? Sepatutnya aku yang perlu tanya sekarang, apa yang kau baru buat tadi? Kau terbayangkan siapa waktu kau kiss tadi?” usikku.


“Mana ada siapa-siapa. Aku cuma… Errr…”


“Aku tak kesah pun sebenarnya kalau kau nak bercinta, tapi sampai hati kau tak beritahu aku. Aku ini kawan baik kau, tau?” Aku rasa kecil hati juga bila Dania tidak beritahu tentang kisah percintaannya.


Namun, aku faham. Itu privasi Dania. Aku tak boleh melebih-lebih dalam hal ini.


Dania terus tarik tangan aku dan paksa aku duduk. Lalu, dia duduk berhadapan dengan aku.


“Kau jangan cerita dekat sesiapa tentang hal ini. Seorang pun tak boleh tahu. Hanya aku atau kau sahaja. Faham?”


“Kenapa? Bukan ini perkara yang baik, ke?” Aku tidak memahami apa yang dimaksudkan Dania.


“Tapi, tunggulah sampai masanya. Sekarang ini, kami baru nak berkenalan. Kalau dah confirm nanti, aku beritahulah semua orang.” Dania mula tersipu-sipu malu.


“Oh… Apa ini? Nak confirm apa?”


Dania menutup mukanya. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Aduhai… Malu sangatlah itu.


“Jangan lupa kalau dah confirm nanti, ajak aku makan nasi minyak.”


“Kau ini kan… Saja, eh?”


“Mana ada. Kau itu, saja nak sorok semua ini? Sampai hati tak beritahu aku.”


“Aku dah kata, yang aku akan beritahu semua orang bila dah confirm nanti.”


“Apa-apapun, congrats! Tak lama lagi, kau dah tak membujanglah! Hensem tak lelaki itu?”


“Amboi! Boleh pula tanya macam itu?”


“Dulu kau tanya benda yang sama. Aku pun dah lama tunggu saat ini nak tanya balik soalan untuk kau.” Aku ketawa kecil diikuti dengan Dania.


“Bolehlah. Tak dapat rupa hero Hollywood pun tak kesah. Dapat muka hero Malaya pun jadilah. Boleh buat stok cuci mata.”


Aku ketawa. Pula dah. Biarlah hidup dia, dia punya pasal.


“Kau datang sini kenapa? Aku tak jemput, pandai-pandai pula kau cari jalan nak ke butik aku ini?”


“Macam tak suka pula aku datang. Kalau tak suka, aku boleh balik.”


“Payahlah kau ini. Baru nak bergurau-senda sikit, dah emo. Sensitif memanjang.”


“Aku tak sensitif. Haih… Sebenarnya, aku tak tahu nak luahkan kepada siapa lagi tentang hal ini. Tapi, kalau aku simpan perkara ini sendiri lama-lama nanti aku sendiri yang merana.”


Dan aku mahu luahkan semuanya. Tidak mahu menyembunyikannya. Biarlah seorang pun yang tahu, asalkan cukup meringankan beban yang ditanggung.


“Bunyi macam serius. Masalah rumahtangga?”


Aku menggeleng. “Aku dan Daniel tak ada masalah.”


Dania kelihatan bingung dan menggaru kepalanya beberapa kali.


“Masalahnya aku. Aku yang bermasalah sekarang.”


Mata Dania membulat memandangku. Riak wajahnya terkejut. Dania pasti tertanya-tanya apa masalah aku sebenarnya. Lantas, aku menarik nafas dalam-dalam dan mengumpul segala kekuatan untuk meluahkan perkara ini.


“Aku rasa ada orang ikut aku selama ini,” ujarku berterus-terang dengan apa yang aku rasa dan alami. Bukan daripada pemikiran yang tidak waras dan memang aku yakin, ada orang yang sedang mengikut aku.


“Maksud kau, stalker?” teka Dania. Dan tekaannya benar. Aku mengangguk lemah.


Seriously? Weh, kalau dah sampai tahap macam ini… Aku rasa kau kena buat report polis. Perkara macam ini bukan main-main.” Dania memberi nasihat dalam menyelesaikan masalah ini.


Aku menggeleng, kerana aku tidak rasa itu jalan yang terbaik.


“Kenapa pula kau tak setuju? Benda macam ini kalau dibiarkan, boleh bertambah teruk. Aku takut, nyawa kau yang menjadi taruhan. Kita tak tahu niat dia macam mana,” bentak Dania tidak setuju dengan aku.


Aku membuka telefon dan mencari sesuatu di dalamnya sebelum dihulurkan kepada Dania untuk membacanya. Tidak memerlukan masa yang lama untuk membuatkan Dania terkedu.


“Dia… hantar ini… dekat kau?”


Aku angguk. Aku mengambil telefon itu dan membaca mesej yang tertera di skrin telefonnya.


Keep this as secret, sweetheart. I really love you. Kalau you berani buat laporan polis dan beritahu suami you kejadian malam itu, I akan pastikan yang semuanya menjadi penamat dan kita akan mulakan hidup baharu.


Aku tak takut dengan kau! Kau jangan cuba kacau hidup aku lagi. Aku ada hak untuk buat laporan polis.


Dan I akan pastikan, you jumpa mayat suami you berlumuran darah.


“Apa dah jadi, Qasha? Malam apa yang dia maksudkan ini?”


“Kau ingat tak waktu kau minta aku jadi model untuk pertunjukkan fesyen itu? Malam itu, aku hampir terbunuh.”


“Apa? Kenapa aku tak tahu?” Terbeliak mata Dania ketika itu.


“Apa yang aku boleh buat. Dia ugut aku untuk jangan beritahu sesiapa.”


“Ini cuma mesej, Qasha. Kenapa kau perlu takut? Entah-entah dia cuba main-mainkan kau. Dia sengaja nak takut-takutkan kau.”


“Habis itu? Malam itu apa benda? Dia hampir nak bunuh aku. Aku tak boleh bayangkan kalau aku tak diselamatkan malam itu, mungkin aku tak akan hidup dan bernafas di muka bumi ini. Mungkin… aku… akan mati!”


Aku menangis. Air mata tidak dapat ditahan lagi untuk mengalir. Trauma. Itulah yang kurasakan kini. Aku sedar, aku semakin berhati-hati dan hidup dalam ketakutan.


Dania duduk di sebelah aku dan memeluk aku, cuba menenangkan aku. Aneh, aku terasa seperti ini semua belum cukup. Aku memerlukan dia. Daniel.


Hanya pelukan Daniel yang dapat membuatkan aku terasa aman dan selamat.


“Sabar, Qasha. Sabar… Aku yakin, semua ini ada jalan keluarnya.”


“Kenapa hidup aku jadi macam ini? Kenapa?” Aku tertanya-tanya sendirian. Bagaimana semuanya boleh bermula? Mengapa dia begitu obses dengan aku? Aku kenalkah dengan dia?


“Aku akan ada di sisi kau, Qasha. Kau jangan risau.”


“Terima kasih, Dania.”




SUDAH sehari aku sendirian di dalam bilik. Rasa tak sedap badan. Lemah saja aku hari ini. Hanya berbaringan di atas katil. Kepala terasa berat sehingga tak mampu untuk aku membuka mata. Terasa khayal dengan suatu dunia yang cukup asing.


Lama-kelamaan, seperti ada suatu cahaya yang menyilaukan pandanganku. Walaupun sakit kepala ini mahu membuka mata dan mencari tahu dari mana cahaya itu muncul, namun aku kuatkan diri juga.


Bila pandanganku semakin jelas, aku terasa tubuh ini ringan. Tidak rasa lemah lagi. Seperti semua kesakitanku telah hilang. Bila aku cuba untuk bangun, anak mata meliau ke sekeliling. Mengenal pasti tempat ini.


Aku mengeluh sendirian. Tidak pasti di mana tempat ini. Nampaknya macam aku terperangkap di sebuah gudang yang amat besar. Pasti ini salah satu gudang kilang.


Dalam kegelapan bangunan ini, aku cuba mencari jalan keluar. Hari di luar sudah malam. Otak fikiran ligat memikirkan apa yang telah terjadi. Bagaimana aku boleh berada di sini?


Sayup-sayup kedengaran suara bising dari suatu sudut. Aku cuba mencari dari mana suara itu datang dan melangkah mengikut arah gerak hati. Selangkah demi selangkah, getaran dalam dada ini semakin kencang. Debaran jantung tidak dapat ditenangkan lagi.


Aku tidak pasti apa yang dirasakan kini.


Ketika mendekati sebuah pintu, aku curi-curi pandang di sebaliknya.


Daniel! Dia ada di sana! Aku tersenyum gembira dan lega kerana suami aku ada di sana dan terasa lebih tenang dari tadi.


“Aku tak akan pernah lepaskan dia. Aku tak akan biarkan dia jatuh kepada kau. Lelaki yang penuh hina.”


Kedengaran suara ketawa sinis dari satu sudut. Tapi, aku tidak dapat melihatnya dengan jelas kerana seperti ada sesuatu yang menghalangnya.


“Menyerahlah. Semuanya sudah terlambat. Tak lama lagi dia akan jadi milik aku. Kau tak akan dapat berada di sisinya nanti untuk selama-lamanya.”


Aku tidak dapat mengecam suara itu. Suara itu kedengaran pelik. Seperti sudah diubah suaranya kepada suatu suara yang lain. Macam suara Transformers lebih kurang. Tapi, siapa dia?


“Kalau jodoh kami kuat, aku percaya yang Allah akan lindungi kami.”


“Jangan terlalu bodoh, Daniel. Jodoh Qasha, adalah aku. Dan aku akan dapatkan dia tak kira macam mana sekali pun.”


Baru aku teringatkan sesuatu. Jangan-jangan itu… stalker aku!


“Tak. Aku tak akan biarkan kehidupan Qasha musnah sebab lelaki macam kau. Aku cintakan dia.”


Aku tersentak.


“Apa yang kau cakap?!”


“Aku, Izz Daniel mencintai Qasha Irdina, isteri aku untuk selamanya dengan sepenuh hati!”


TUM!


Serentak itu juga, kedengaran bunyi tembakan pistol yang kuat di telinga. Aku menoleh dan memandang ke tempat Daniel berdiri tadi di sebalik pintu. Dan aku… Tergumam.


Sekujur tubuh Daniel terbaring di atas lantai sudah berlumuran darah.


“Abang!”




“QASHA!” 


Aku cuba membuka mata. Kepalaku menjadi semakin sakit. Dalam samar-samar, aku melihat suatu wajah yang tidak asing dalam hidupku. Perlahan-lahan, aku tersenyum sendirian.


“Qasha, awak tak apa-apa?”


“Abang…” Aku memanggilnya perlahan. Lemah suaraku.


“Kenapa menangis ini? Apa yang dah jadi?” soal Daniel dengan bimbang. Kebimbangannya itu benar-benar memberi aku suatu kebahagiaan yang tersendiri.


“Qasha pun cintakan abang…”


Pandangan aku semakin kelam. Kabur. Namun, kehangatan di pipiku terasa. Pasti tangan Daniel terlekap di pipiku.


Aku mahu kehangatan ini dapat dirasakan sehingga ke akhir hayat.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.