Home Novel Cinta IMAMKU ENCIK PILOT
IMAMKU ENCIK PILOT
Pena Putera
4/7/2017 20:14:49
179,897
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

MAJLIS kenduri kesyukuran sempena meraikan aku dan Daniel sebagai suami isteri telah selesai. Aku dikerah ke dapur untuk tolong kemas apa yang patut. Ibu yang paksa walaupun yang lain suruh aku rehat. Ibu kata, jangan malas. Dah tak jadi anak dara pun, kena tunjuk rajin juga.


Bila ibu sebut anak dara, aku sentap. Tapi, cepat-cepat aku buat bodoh. Selamba. Tak ambil kesah dan akur dengan arahan ibu.


“Dah nikah pun masih rajin lagi si Qasha ini. Bertuah tok laki dia dapat perempuan macam Qasha ini. Ingat waktu bujang dulu jah rajin. Yalah, kononnya nak cari bakal tok laki. Ternyata, Qasha ini memang rajin sungguh!” puji Mak Cik Halimah. Aku sengih lebar.


“Mana adalah… Biashe-biashe jah.”


“Tengoklah anak siapa. Anak aku.” Waktu paling sesuai untuk ibu tumpang naik nama. Bangga wooo dapat anak rajin macam aku. Yalah, rajin sangat… Kalau tak kena jeling maut dengan ibu, tak ke sini aku.


Aku meliau ke sekeliling. Hanya aku dan mak cik-mak cik saja di sini. Yang lain, pakat berswafoto di luar. Yang balik itu lain cerita. Yang tumpang tidur di rumah mek sekali, apa kes?


“Eh, tadi sero aku nampak si Fara. Dia gi mana ni? Dia tak kelik rumah lagi sero.” Mak Mah mencari-cari bayang Mak Cik Fara. Aku pun sama tercari. Rasanya, tak balik lagi diva kepoh itu. Tiba-tiba, hati ini dipagut rasa bimbang. Kalau tak silap, Yana pun ada sekali.


No… Lain macam aje ini.


Ketika aku pandang ibu, ibu seperti memberi isyarat mata untuk pergi. Seperti beri green light untuk aku berhenti buat kerja dapur. Rasanya, ibu juga ada perasaan syak wasangka yang sama dengan aku. Sehati sejiwa senaluri betul!


Aku bangun dan lekas-lekas mencari Daniel.


Bingo! Memang tepat naluriku. Mak Cik Fara dan Yana sedang menempel dengan Daniel. Maksud aku, mereka duduk semeja dengan Daniel dan nampak rancak berbualkan sesuautu. Hanya Daniel sahaja yang kelihatan janggal di situ.


“Ehem!”


Mereka menoleh ke arah aku. Muka Mak Cik Fara nampak meluat bila perasan dengan kehadiran aku. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana lagi.


Sepatutnya, bila dah tua ini bawalah banyak beramalan. Bukan tambah dosa.


“Nampak seronok aje. Borak apa?” Aku maniskan muka.


“Daniel ini… Nak tahu pasal Yana. Mak cik kenalkan jah. Orang nak ambik tahu itu gak.” Mak Cik Fara kelihatan bangga. Sayang seribu sayang… Dia silap orang nak tipu. Daniel nak ambil tahu tentang Yana?


Jangan buat lawaklah. Daniel itu orangnya penyegan dan tak minak nak ambil tahu pasal orang lain. Aku kenal dia. Nampaknya, misi Mak Cik Yana nak buat aku cemburu, gagal.


“Daniel hok nak tahu Yana sangat ke, atau mak cik terhegeh-hegeh nak kenalkan anak mak cik ini?”


Mak Cik Fara nampak bengang. Aku tak peduli. Jika dibiarkan, makin melampau Mak Cik Fara ini. Sekali-sekala, kena diajar juga mereka ini. Biar ada akal sikit.


“Kalau mak cik nak kenalkan anak mak cik dengan orang kaya, mak cik gi jumpa dengan orang itu. Dengar cerita, kaya juga pak cik itu. Ada banyak rumah.” Aku tunjuk kepada orang kaya kampung aku, Pak Senin yang sudah kahwin tiga.


Kebetulan sangat. Ada lagi satu kuota.


“Mu ingat, anak aku ini tak laku sangat?”


“Kalau tak laku, jangan terhegeh-hegeh cari tok laki orang.” Aku masih berlembut. Namun, bernada tegas di dalamnya.


“Kurang ajar mu ini!”


Hampir sahaja tangan Mak Cik Fara mahu terkena pipi aku, namun tangan lain terlebih menepis dulu. Mujur Kak Anita sempat menghalang. Kalau tidak, mahu berbekas merah pipi aku.


“Mak Cik Fara tak soh buat perangailah. Buat malu dekat orang lain jah.” Kak Anita menegur.


“Dahlah. Aku nak kelik. Serabut aku duduk sini!”


Mak Cik Fara terus mengheret Yana untuk pulang. Yana seperti bingung dengan apa yang terjadi. Kadang-kadang, lucu juga aku melihat mereka. Seperti mahu meraih simpati orang, namun hanya meraih cacian.


Keliklah weh. Aku pun tak suka mana bila mu mari. Mu jah mari tiba-tiba, jadi kalau nak kelik itu keliklah.” Mak Mah membidas sekali.


Setelah Mak Cik Fara berlalu pergi, masing-masing mula buat kerja mereka. Tak ambil peduli lagi tentang apa yang berlaku. Aku pula memandang Daniel dan heret dia ke tempat yang privasi.


“Abang borak apa dengan mereka?” Lagakku saling tak tumpah macam detektif ketika ini.


“Tak borak apa. Cuma, mak cik awak itu yang asyik cerita pasal anak dia. Siap puji bagai lagi.”


Aku cuba mencari kejujuran di sebalik mata Daniel dan aku dapat rasakannya.


“Abang tak tertarik dengan dia, kan?”


Pipiku terus dicuit olehnya. Aku terkedu sesaat.


“Boleh tak abang buat awak cemburu selalu?”


“Tujuan?”


“Untuk buatkan awak nampak comel.”


Danggg… Kenapa cair sangat hati ini bila dengar dia kata begitu? Nak marah pun tak jadi. Daniel memang pandai pujuk aku.


“Abang tak perlu nak buat saya cemburu untuk nampak comel. Saya boleh comel secara semula jadi. Dan, saya memang comel. Tak boleh dinafikan lagi.” Makin berbakul aku puji diri sendiri.


And look beautiful and sexy too.


Again here we go… Hati aku makin cair sehingga aku rasa aku perlukan hati yang baru.


“Tapi, abang sukakan hati awak yang lebih tulus. Lebih tabah. Dan itulah yang membuatkan abang jatuh cinta dengan awak.” Daniel menyambung lagi.


Aku… gembira mendengarnya.




AKU menggeliat kecil. Mata cuba dibuka perlahan-lahan. Bila aku toleh ke sebelah, Daniel tiada di sisi. Maknanya, dia sudah tiada di bilik. Selepas subuh tadi, kami sama-sama terlelap. Bilik yang khas untuk kami berdua sebagai pengantin baru. Aku tolak selimut dan bangun sambil regangkan badan.


Ketika melangkah ke dapur, kelihatan beberapa ibu saudaraku sedang berperang menyiapkan juadah untuk dihidangkan sebagai sarapan pagi. Malu rasanya bila aku bangun lewat dalam keadaan begini.


“Baru bangun?” Mak Mah bertanya. Aku hanya mengangguk.


“Gi mandi dulu. Lepas itu, kita makan sama-sama.”


Aku angguk dan mengatur langkah ke bilik semula. Cari baju dan tuala.


Usai mandi, aku duduk di meja makan. Mereka semua baru sahaja mahu bersarapan. Ada yang tidak makan lagi, ada yang makan di bawah. Yang makan di bawah, sepupu-sepupu aku yang masih kecil.


Aku pilih untuk duduk di sebelah Daniel. Baru sahaja duduk, dia terus tuangkan air kopi susu untuk aku. Aduh, sweet pula dia depan orang ramai ini.


“Amboi, bukan main romantik mu dua orang ini.” Mak su menegur. Aku hanya tersenyum. Daniel pun tersenyum. Tak banyak songeh, aku cedok nasi goreng ke dalam pinggan. Ada lauk kenduri semalam. Aku cedok juga ayam masak merah ke dalam pinggan.


Kelakar rasanya bila tengok gabungan nasi goreng dan lauk ayam masak merah.


Selesai makan, aku lepak di pangkin luar rumah. Daniel juga ikut.


“Kita pergi ronda-ronda lagi, nak tak?” pelawa Daniel. Pantas aku menggeleng.


“Kenapa pula?” Daniel kelihatan kecewa.


“Saya merajuk. Orang itu dah mempermainkan saya. Kata tak pandai bawa motor, rupa-rupanya sengaja tipu saya semata-mata nak jadikan saya kuli dia.”


Daniel cubit hidung aku, manja.


“Mengada-ada betul dia ini. Okey… Kali ini abang yang bawa motor. Macam mana?”


Aku geleng.


“Habis itu, nak macam mana?”

“Macam itulah. Saya tak nak ambil tahu.”


“Awak ini… Kalau awak merajuk, abang pun nak merajuk jugalah.”


Eh, terbalik pula. Salah tindak balas ini.


“Bukan kalau seseorang itu merajuk, bukan ke kita kena pujuk?” Aku pandang Daniel yang mencebik lima puluh sen.


“Kalau begitu, biar kita sama-sama pujuk. Baru adil!”


Pula dah!


Sebuah kereta memasuki halaman rumah. Seperti aku kenal siapa pemilik kereta itu. Cepat-cepat aku seret Daniel dan berlari masuk ke rumah. Kelam-kabut mencari seseorang.


“Abang Firdaus!” Aku panggil Abang Firdaus yang sedang bergelak tawa dengan ayah dan Pak Su.


“Kenapa?” Abang Firdaus nampak buntu.


“Dia datang!”


“Siapa yang datang?”


“Mak Cik Zainab dan Pak Cik Muslim!”


Bukan sahaja Abang Firdaus, malah yang lain juga terkejut. Hanya Daniel saja yang blur ketika ini. Sebab dia memang tak tahu apa-apa.


Siapa Mak Cik Zainab dan Pak Cik Muslim ini? Sehingga ramai yang kecut perut bila mendengar nama mereka? Yang pasti, tidaklah membawa ancaman kepada negara sehingga mengugat kedaulatan negara. Hanya perlu bersiap-sedia dari segi emosi dan mental.


“Assalamualaikum!”


“Waalaikumusalam.” Ibu dan mak su tukang jawab. Mereka berdua menghampiri muka pintu. Alangkah terkejutnya wajah mereka bila ternampak tiga beranak itu muncul. Aku cepat-cepat pegang tangan Daniel, kuat-kuat.


Daniel masih begitu. Blur.




“SIAPA Mak Cik Zainab dan Pak Cik Muslim itu?” Daniel masih ingin tahu.


“Mereka itu ibu saudara dan ayah saudara sayalah.”


“Habis itu, kenapa nampak macam ada masalah negara sahaja?”


Aku pandang ibu dan ayah serta kedua-duanya di ruang tamu. Duduk pun dah jauh-jauh. Gamaknya, kalau diukur dengan pita pengukur, mahu sampai semeter. Mana si Daniel tak dapat tangkap sesuatu? Otak dia geliga kut.


“Begini kisahnya. Pada zaman dahulu…” Ewah, macam nak bercerita kisah dongeng pula.


“Mak Cik Zainab dan Pak Cik Muslim ada seorang anak perempuan. Namanya Umaira. Dulu, Abang Firdaus pernah bercinta dengan Umaira. Tapi, entah kenapa, Umiara beralih hati dan kahwin dengan orang lain senyap-senyap. Sampaikan, Umiara tuduh yang Abang Firdaus curang dengan dia, jadi dia balas dendam dengan cara ini.”


“Memang betul Abang Firdaus buat macam itu?”


Aku geleng. “Gila ke apa? Abang saya setia orangnya. Umaira itu… Dia yang curang, tapi demi nak tutup malu dia, dia katalah orang lain curang. Maklumlah, rakyat Malaysia memang suka hentam kalau lelaki yang curang berbanding perempuan.”


“Teruknya. Habis itu, semua orang percaya bulat-bulat?”


“Tak pun. Mak ayah dia aje percaya. Yalah, mak ayah kenalah mempercayai kata-kata si anak. Biarlah pembohongan semata-mata.”


Jika diikutkan, aku masih marah dengan Umaira. Dah berani buat hal, dia tuduh abang aku macam-macam. Nasib baik si Umaira tak ada. Kalau tidak, memang aku basuh cukup-cukup.


“Kasihan Abang Firdaus… Tak apalah, setiap kejahatan pasti ada balasannya kelak.”


“Tak payah tunggu balasan akan datang sebab memang dah sedia dapat.” Aku tersenyum jahat.


“Maksud awak?”


“Umaira itu, kahwin dengan suami orang! Bukan jadi isteri nombor dua, tapi isteri nombor tiga!” Siap tunjuk tiga jari lagi depan Daniel. Biar terlebih faham!


“Dasyat betul. Kahwin dengan orang tua la, ni?”


“Tak. Lelaki itu usia dalam 30-an rasanya. Hebat, kan? Dah kahwin tiga dalam usia begitu? Gamaknya, sebelum mati dah ada koleksi isteri berderet.”


Daniel menggeleng-geleng kepala. “Macam-macam!”


“Apa-apa pun, awak jangan nak buat macam itu. Kalau awak tak nak arwah cepat, baik jaga-jaga.”


Daniel angkat tangan seperti mahu bersumpah.


“Tak. Saya tak akan buat. Awak adalah milik saya dan saya adalah milik awak. Tak ada perempuan lain yang boleh miliki saya selain awak.”


Awww… Terharunya.


Semoga apa yang dikatakannya itu jugalah akan dilakukannya.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.