Home Novel Cinta IMAMKU ENCIK PILOT
IMAMKU ENCIK PILOT
Pena Putera
4/7/2017 20:14:49
179,897
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4
KENAPALAH masa tiba-tiba berlalu lambat sangat ketika ini? Bumi berputar perlahankah pada paksinya? Sudahlah jantung aku berdebar-debar sampai proses peredaran darah berlaku dengan sangat cepat. Ditambah lagi dengan kesejukan di dalam restoran ini yang membuatkan aku mengigil daripada biasa. Macam duduk London pula sejuknya!


“Qasha Irdina?” sapa seseorang. Aku angkat muka dan memandang dia. Lelaki, tubuhnya tinggi dan raut wajahnya cukup aku kenali. Berkulit kuning langsat dan berkening lebat dengan matanya yang cantik itu. Wah... Dia sudah jauh berubah. Berbanding dahulu, kini benar-benar lain.


Diakah di depan aku ini? Tak akan hantu raya pula.


“Izz Daniel?”


Dia senyum dan mengangguk. Senyuman itu membuatkan aku terubat rindu pada dia.


Long time no see, right?” ujarnya. Dia kelihatan kekok denganku. Aku faham, kerana aku juga rasa benda yang sama.


“Betullah itu. Lama betul saya tak jumpa awak.”


Fikir soalan seterusnya, Qasha. Nak sembang pasal apa selepas ini? Cuaca yang panas terik ke, akan menjadi topik kami selepas ini? Namun, segala sistem suria aku cerita nanti. Menunjukkan dunia ini ada empat musim.


“Awak apa khabar?” tanyanya ketika sudah duduk di hadapanku.


“Baik aje.” Aku jawab lembut dan sopan-santun. Kalau Adara dan Kak Anita nampak kelembutan aku ini, mahu mereka ketawakan aku.


“Awak pula?” Aku tanya dia pula.


“Sihat aje.”


Selepas membuat pesanan, kami sama-sama diam. Tidak hairan kalau Daniel tak banyak cakap, sebab dari zaman sekolah dulu, memang dia seorang yang pendiam. Cumanya, diam-diam dia, berisi. Pandai gila! Bukan saja nombor satu dalam kelas, malah nombor satu dalam tingkatan.


Aku? Bolehlah cukup-cukup makan.


“Saya dengar, awak sekarang jadi pilot. Nampaknya, cita-cita awak dah tercapai.” Aku buka mulut memandangkan mulut dia itu tak nak terbuka.


“Alhamdulillah. Rezeki Allah beri.”


“Maknanya, keraplah awak melancong ke luar negara, kan?”


Dia cuma angguk dan tersenyum.


“Awak pula? Buat apa aje sekarang ini?” Giliran dia pula bertanya.


“Goyang kaki di rumah. Ada kerja lain, saya buat.”


“Tak kerja?”


“Kerja. Tapi, dah tiga bulan berhenti. Sebab alasan-alasan tertentu.” Tak tipu! Aku berhenti sebab nak fokus dengan tugas aku sebagai seorang suri rumah nanti. Ini semua demi permintaan Hafiz, that stupid guy!


Glad to hear that. Bolehlah awak sentiasa di sisi saya.”


“Bosanlah nanti kalau asyik duduk rumah pula.”


“Kalau bosan, keluarlah jalan-jalan dengan kawan-kawan. Saya izinkan.”


Aku diam lagi. Tak tahu nak cakap apa dah. Kering idea ini. Kenapalah dia tak ramah macam orang lain? Pendiam, tapi dia jugalah pernah aku gilakan suatu ketika dahulu. Mana tidaknya. Dulu, dialah ikon pelajar di sekolah. Pandai dalam akademik, jaguh dalam sukan dan kacak pada rupa. Mahu tak dengki pelajar-pelajar lain?


Well, we look like… You know, right?


Aku faham. Dia nak cakap kami ini macam terlalu kekok. Canggung antara satu sama lain.


“Apa kata, kalau kita cakap tentang kehidupan awak sekarang ini. Tentu menarik kalau dapat dengar.” Aku cuba beri cadangan.


“Boleh juga.”


Akhirnya, tak adalah kebisuan mengisi ruang antara kami.


“Nak cerita apa, ya?” Dia bingung dan tidak tahu apa yang perlu diceritakan.


“Ceritalah pasal kisah cinta awak sebelum ini? Awak tentu pernah jatuh cinta, kan? Beritahulah pada saya.”


Daniel geleng. “Tak. Saya tak pernah bercinta sebelum ini.”


“Serius?” Terkejut aku dibuatnya.


“Saya tak tipu. Memang saya tak pernah jatuh cinta dengan sesiapa sebelum ini.”


“Tak akanlah awak tak pernah sukakan sesiapa?”


Sekali lagi, Daniel menggeleng, menafikannya.


“Awak gay, eh?” Ops! Mulut… Minta ganyang dengan cili! Mahu aku tak terkejut bila dia cakap dia tidak pernah sukakan sesiapa. Tipulah, mesti dia ada crush dengan sesiapa. Macam aku. Daniel ini bekas crush aku waktu sekolah dulu. Bekas kau. Macam bekas kekasih pula bunyinya.


“Kalau saya gay, saya tak akan kahwin dengan awak.” Dia tetap senyum manis, seolah tidak terkesan dengan apa yang aku katakan. Lega… Mujur dia tidak terasa.


“Kenapalah awak tak pernah jatuh hati dengan sesiapa sebelum ini?”


“Study hard? Okey tak jawapan saya?” tanyanya.


“Klise sangat. Jawapan jujurlah.”


“Mungkin, hati saya dah ada orang curi. Jadi, saya tak mampu jatuh hari pada orang lain lagi.”


Tadi kata tak pernah sukakan sesiapa. Alih-alih, cakap hatinya telah dicuri. Bukankah itu bermakna dia pernah sukakan seseorang? Tak sangka, sebijak-bijak Daniel… terselit juga ketidakbijaksanaannya itu.


“Siapa yang curi?” Aku berminat, mahu tahu.


“Seseorang yang saya pernah kenal. Tapi, dia dah pergi.”


“Pergi? Maksud awak?”


“Dia hilangkan diri. Suddenly.”


Maksudnya, bukan akulah orangnya. Sebab, dalam kes aku… Daniel yang hilangkan diri. Bukan aku. Jadi, aku boleh kecewalah kerana Daniel tak pernah sukakan aku pun sebelum ini. Cintaku hanya bertepuk sebelah tangan. Nak menangis dekat mana lepas ini? Tandas awak, port baik juga.


“Tak jumpa dah dia sampai sekarang?” Prihatin aku tanya. Marah sebenarnya.


“Entahlah. Dia mungkin tak pernah sukakan saya. Saya pun bodoh. Tak pernah luahkan perasaan saya pada dia. Akhirnya, saya terlepas peluang saya ketika itu.”


“Kenapa awak tak cari saja dia? Kahwin dengan dia?”


Daniel diam. Agaknya, soalan aku dah buat dia terasa. Bukan kecil rasa sesalnya itu. Mulut aku ini pun satu. Tak pandai nak jaga hati orang. Rasa-rasanya, cili apa yang boleh buatkan mulut orang insaf?


“Maafkan saya, kalau saya dah tanya soalan yang tak sepatutnya,” ucapku dengan nada bersalah.


“Tak apa.”


Diam lagi. Aku benci bila suasana terlalu diam ketika ini. Aku perlu cakap sesuatu supaya suasana tidak terus menyepi begini.


“Awak… ikhlas, kan nak kahwin dengan saya?” Mana tahu, dia juga terpaksa.


“Ikhlas atau tidak, awak akan ketahuinya juga.”


“Saya tak faham.”


“Buatkan saya rasa benar-benar ikhlas untuk terima perkahwinan kita ini.”


Maksudnya… dalam bahasa yang lebih spesifik, buatkan dia jatuh cinta dengan aku? Seduce him? Oh nooo… Aku mana reti bab-bab ini. Dengan lelaki yang bernama Izz Daniel pula itu. Kekok gila kut!


Kenal lama pun, bila dah lama berpisah tetap juga rasa canggung begini. Kena pula orangnya pendiam. Lagilah susah. Kalah tahap susah dia dengan soalan SPM Add Math. Nak pakai formula apa?


Siapa yang boleh aku minta tunjuk ajar?




“KAMU dah jumpa orang yang betul, dik. Akak dah berpengalaman sangat dalam hal ini. Pakar! Kalau ada PhD dalam bidang ini, mungkin akak boleh jadi Dr. Anita.” Kak Anita ketawa bangga.


“Masa belajar universiti dulu pun dua kali repeat semester, perasan nak sampai ada PhD.” Aku tembak sekali. Terus muka Kak Anita bertukar masam. Betul apa yang aku cakap? Itu kenyataannya.


“Yang lama, usah dikenang lagi.”


“Mana boleh. Kenalah kenang selalu. Biar jadi pembakar semangat untuk kejayaan masa hadapan.”


“Suka hati kamulah.” Kak Anita mencebik. Dah ada dua orang anak pun masih buat perangai budak-budak. Anak-anak buat perangai, tahu pula marah. Yang ibunya buat perangai, nak aku marahkan ke? Aku boleh aje.


“Cepatlah bagi tips-tips. Tadi kata nak tolong Qasha.”


“Malas ah. Nak merajuk.”


“Patutlah anak-anak degil. Rupanya, mak dia pun sama. Eloklah itu. Ke mana lagi kuah nak tertumpah kalau tidak ke nasi, kan?” sindirku sambil mengajuk wajah Kak Anita merajuk.


“Budak ini, kan…” Kak Anita acah-acah mahu tampar aku. Tak takut pun. Kak Anita mana berani buat. Kalau berani, maknanya Kak Anita juga berani dengar kuliah perdana ibu selama dua jam nanti.


“Baiklah. Kak Anita akan beri memandang kamu nak sangat.” Kak Anita mengalah akhirnya.


“Cepatlah cakap!” desakku tidak sabar lagi. Nak tips daripada orang berpengalaman ini.


“Masa malam pertama nanti…”


Pantas tangan aku tambar lengan Kak Anita. Situ pula ceritanya. Kak Anita ketawa besar. Geram betul. Aku ini masih suci lagi. Janganlah rosakkan aku. Penat selama ini aku jaga pendengaran dan penglihatan daripada semua ini.


“Maaflah, ya… Itu saja tips yang akak boleh bagi.”


“Tak boleh pakai punya kakak.”


Kak Anita ketawa lagi. Suka benar dia dapat kenakan aku.


“Tadi jumpa lelaki itu, macam mana? Hensem tak orangnya? Segak tak? Dia kan kerja pilot. Selalunya dalam drama Melayu itu, pilot mesti hensem. Ceritalah,” ujar Kak Anita mahu tahu kisah lunch aku dengan Daniel.


“Hensem jugalah.”


“Wow!” Kak Anita mula menggedik. “Ada rupa Lee Min Ho, tak?”


“Agak-agaklah. Cuma, not bad. Tak kacak pun macam dalam TV itu.” Tetapi lebih kacak daripada yang itu. Tak mahulah aku beritahu.


“Kalau tak dapat rupa Lee Min Ho pun, dapat yang hensem pun jadilah juga. Sedap sikit mata memandang malam-malam.” Bila sebut malam-malam itu, Kak Anita pandang aku dengan senyuman nakalnya. Gatal sungguh kakak aku sorang ini.


“Kepala itu, tak boleh fikir benda baik-baik ke?”


“Eh, mana ada akak fikir bukan-bukan. Cuma fikir, bilalah nanti akak nak timang anak saudara ini. Tak tahulah cepat atau lambat.”


Pasal itu pun nak fikir. Awal lagi, kut. Kak Anita pun kalut fikir. Aku tak sampai situ lagi. Tak pedulilah lambat atau cepat, asalkan semuanya berjalan dengan lancar. Sekejap… Kenapa aku rasa lain macam ini? Macam ada maksud yang tersirat.


“Tengok jugalah macam mana lelaki itu nanti. Kalau dia pandai buat kerja, cepatlah sikit dapat,” sambung Kak Anita sebelum tawanya pecah sekali lagi.


Cis! Kepala itu, nak aku betulkan macam mana, ya?




HUJAN turun dengan lebat. Aku ambil keputusan untuk lepak di butik Ilyana. Ilyana ini bekas majikan aku dulu merangkap kawan baikku. Masa aku nak berhenti dulu, beriya-iya dia menghalang aku. Katanya, aku pekerja terbaik butik dia dan sanggup naikkan gaji aku. Oleh kerana aku ‘jahilliah’ sangat, jadi aku tetap berhenti juga.


“Hensem tak dia?” tanya Ilyana. Aku dan dia, memang tiada rahsia. Lagi satu, menjadi satu kewajipankah tanya bakal suami orang hensem atau tidak?


“Bolehlah.” Aku jawab ringkas.


“Hensem dia tahap mana? Ada gaya Lucas Gill, tak?”


Kalau Kak Anita gilakan K-Drama dan segala K, kini di depan aku, lebih minat hollywood dan segala wood.


“Lucas Gill itu orang mana, weh? Kau ingat aku kahwin dengan mat saleh?”


“Dapat mat saleh celup pun, okey.” Ilyana senyap kemudian. Tapi, tersengih-sengih seorang diri. Mesti terfikir bukan-bukan itu. Miang betul kawan aku seorang ini.


“Fikir apa itu?”


Ilyana seperti terkejut bila aku sergah dia dengan soalan. Kemudian, dia jeling aku tajam.


“Sibuklah kau!” Ilyana mencebik bibirnya.


“Butik ini apa khabar? Sejak aku berhenti, ada tanda-tanda nak nazak tak?” Aku ketawa kemudiannya. Bengang saja muka Ilyana pandang aku. “Relax, sis. Just joking.”


“Tak ada nak nazak pun. Cuma, kalau aku tak masuk campur, terus meninggal dunia kut!”


“Kenapa pula?”


“Pekerja baru ini tak boleh harap sangat. Semuanya kena aku suruh, baru buat kerja.”


Kasihan, Ilyana. Dengarnya, pekerja yang Ilyana ambil ini adalah fresh grad. Panas lagi keluar daripada universiti. Biasalah… Sedang cari pengalaman. Lama-lama, luar biasalah dia. Kalau semua tempat kerja nak orang yang berpengalaman, tidak mustahil kekurangan pekerja berpengalaman akan berkurangan suatu hari nanti kerana tidak diberi peluang kepada mereka ketika ini.


“Qasha, aku nak tanya kau sesuatu.”


“Tanyalah.” Aku memberi keizinan.


“Kau rela bersuamikan orang yang kau tak kenal sebelum ini?”


Aku terdiam. Mencari jawapan untuk soalan itu. Macam mana aku nak jawab, apabila hati ini sungguh keliru. Aku gembira, dalam masa yang sama aku takut. Aku gembira, kerana bakal suamiku itu, orang yang aku kenal. Aku takut, jika perkahwinan kami tidak akan bahagia.


“Aku pun tak tahu. Aku serahkan semuanya kepada takdir.” Akhirnya, jawapan klise itu aku berikan. Sungguh, jawapan yang sebenarnya, masih samar-samar lagi kelihatan.


“Kau kena ingat, perkahwinan ini bukan benda main-main. Kau tak suka, cakap saja tak suka. Buat apa kau nak fikirkan mulut orang? Biasalah itu… Mereka tetap akan bercerita. Bezanya, lambat-laun nanti mereka akan penat dan kurang bercerita tentang hal ini,” kata Ilyana sambil membetulkan tudungnya.


“Haih… Kau tak duduk tempat aku. Jadinya, kau tak faham perasaan aku.”


“Apa yang aku tak faham? Bab yang mana itu? Cuba fahamkan aku.”


“Ini melibatkan maruah keluarga.”


Ilyana seperti kelihatan kesal dengan apa yang aku katakan.


“Kenapalah lelaki tak guna itu tinggalkan kau masa macam ini? Cari pasal ke?” Ilyana merungut. Dia juga rasa marah bila aku ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Kiranya, dia satu bot dengan akulah.


“Biarlah. Bukan jodoh aku dengan dia. Nasib baik dia tak tinggalkan aku waktu nikah dulu. Lagi naya.”


“Itulah. Nasib baik, kan? Tak apa, weh. Nanti, kau`mesti akan jumpa yang lebih baik daripada dia. Percayalah cakap aku.”


Amin… Aku mengaminkan dalam hati. Harapnya, Daniel akan jadi seribu kali lebih baik daripada Hafiz. Ya, Daniel jauh lebih baik dibandingkan dengan Hafiz. Aku kena mindset benda itu dalam kepala.


By the way, bakal suami kau yang terkini kerja apa?”


Tet… tet…. Sesi soalan tentang bakal suami akan dibuka.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.