19
HANIM
dan anak muridnya lesu keletihan dalam bas. Sebaik pulang dari Zoo Negara
mereka singgah di Tasik Perdana untuk makan tengah hari. Mereka berkelah di
kawasan padang berhampirang pohon cassia
fistula yang sarat berbunga kuning. Kanak-kanak tentulah ada yang mengambil
kesempatan berkejaran di padang itu dengan gembira. Kemudian haluan mereka ke
Masjid Negara pula bagi menunaikan solat Zohor sebelum pulang selepas asar.
Tentulah anak-anak kecil dalam semua bas
keletihan termasuklah guru-gurunya sekali. Lentok longlai tertidur keletihan.
Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Hanim turut terkulai keletihan. Sampai
tidak menyedari siapa duduk di sebelahnya. Semasa pergi tadi dia duduk dengan
Fakrul. Balik pun Fakrul tetap duduk di sisinya. Kini?
“Cukup-cukuplah tidur tu, kalau anak-anak
awak kena culik pun tak sedar kalau tidur mati begitu,” ayat begitu terasa
memetik-metik telinga Hanim. Dalam rasa ngantuk dia buka mata. Mamai seketika
dan terfikir di mana berada.
“Lenguh bahu I ni nak tumpangkan kepala
you,” usik suara itu lagi.
Hanim segera tersedar dan spontan
menegakkan kepalanya. Toleh pula ke kiri. Melompat rasa malu. Hanim segera lap
muka dan matanya. Kenapa pula dia duduk di situ? Gerutu hati Hanim.
“Mana Fakrul awak dah halau?” marah Hanim
dalam suara serak tidur yang berbaki.
“Begitu rupa you tidur ya, dengan mulut
terlopong,” usik Aldir kemudian ketawa
terkekeh-kekeh.
Hanim toleh ke tingkap. Menahan rasa marah
dan malu dengan ejekan Aldir. Sudah berapa lama agaknya Aldir duduk
memerhatikannya tidur? Siapa suruh Aldir duduk di sebelahnya? Ikut hati mahu
sahaja dihentak-hentak bahu Aldir yang terkena bahunya.
“Fakrul tadi mana?” tanya Hanim mula
risau.
“Dia duduk dengan pak cik dialah,
harap you jaga dia, mahu penyek leper
budak tu kena tindih,” jelas Aldir bersama ejek buat hati Hanim meruap geram.
“Siapa suruh awak duduk sini? Rasanya
belum pernah ada yang penyek leper dengan saya! Tak tahulah kalau awak pulak
teringin sangat,” tembak Hanim pula sambil kerlingkan mata kepada Aldir.
Aldir gelak lagi. Tidak pula mahu meyambut
kemarahan Hanim dengan kemarahannya pula. Hanim ingin menambah ayat marah.
Tiba-tiba jari Aldir hampir kena ke bibir Hanim buat Hanim tersentak ke tingkap
bas.
“Syiiss! Malulah marah-marah, nanti apa
kata anak-anak you tu nanti,” perli Aldir pula buat mata Hanim sepet geram
lagi.
“Dia orang pun nak tidur jugak, jangan
bising…” tambah Aldir lagi.
Hanim toleh semula ke tingkap.
Memerhatikan pemandangan di luar sana. Pokok-pokok dan bangunan seakan berlari
ke belakang. Cuaca pula sangat redup. Tidak lama lagi mereka akan sampai semula
ke tadika. Bila semua murid telah diambil oleh orang tua masing-masing maka
selesailah tugas Hanim dan guru-guru yang lain pada hari itu.
“Bukan main mesra lagi Khairil layan you
tadi, siap tolong lap air mata pulak, berkongsi minuman lagi,” bisik Aldir buat
Hanim bulatkan mata.
“Mana ada,” tepis Hanim laju.
“Ada tak ada tapi itu yang I nampak,”
perli Aldir lagi.
Hanim kincupkan mata, cuba ingat, betulkah
tadi Khairil lap air matanya. Seingatnya tidak. Setakat cuba itu adalah dan
setakat hulur minuman adalah. Itu yang Hanim ingat. Fikirannya masih waras.
Atau Aldir yang kurang waras lalu reka cerita yang tidak-tidak.
“Hari-hari boleh jumpa Khairil, maklumlah
tinggal serumah. Perhatian dan cinta you tentu dah beralih pada dia, tak gitu?”
bisik Aldir pula penuh ayat sindir.
Mata Hanim bulat pula. Apa yang Aldir
merapikkan? Bila masa pula dia beri perhatian dan cinta pada Khairil? Sengaja
Aldir cari pasal dengannya. Namun begitu, Hanim dapat idea pula. Kalau Aldir
boleh suka pada kakaknya Hana tanpa minta kebenaran dirinya, apa salah kalau
dia juga buat begitu?
“Tak kisahlah kalau hari-hari saya nak
bermadu kasih dengan Khairil pun, awak siapa dengan saya?” terjah Hanim seselamba
mungkin.
“Murah betul cinta you ya? Macam hujan,
sekejap lebat, sekejap renyai… sekejap dah hilang,” sindir Aldir lagi.
“Okey juga macam hujan, buatnya macam
petir, ada yang mati legam kehangusan, bila dia yang mengkhianati cinta kena
panah petir!” sindir Hanim pula bercakap dengan gigi terkacip rapat.
Aldir mendesis. Seperti tidak puas hati. Sudah berpeluk tubuh
pula.
“Kena serang demam perasaan ke?” sindir
Hanim pula sambil tersenyum puas.
Aldir diam dan pura-pura tidur pula. Hanim
terseringai melihat tingkah Aldir.
“Nampak orang aje buat salah, dia tak?”
sindir Hanim lalu toleh ke luar tingkap. Kalau boleh mahu membuang rasa rimas
terhadap Aldir.
“Dah tak sayang I macam dulu dah,” bisik
Aldir ke tepi telinga Hanim.
“Perlukah?” bisik Hanim semula dengan
perasaan sebal dan mual.
“Setidak-tidaknya sayang macam bakal abang
ipar,” bisik Aldir lagi buat Hanim bulatkan mata.
“Bencilah!” marah Hanim terlepas geram.
Aldir cepat-cepat angkat tangan minta
Hanim jangan teruskan ayat marah. Hanim kacipkan gigi dan berpaling ke cermin
bas semula. Melihat pemandangan di luar rasanya lebih bahagia berbanding
melihat wajah Aldir yang menyakitkan hati dan perasaannya. Di luar kelihatan
sudah petang benar. Begitu redup.
*****
MALAM ITU,belumsempatHanim tidur nyenyak telefonnya berbunyi. Dengan malas dijawab.
Suara di sana membuatkan matanya bulat tanda pelik.
“Kenapa?” tanya Hanim.
“Tidur aje kerja dia, mana badan tak
bulat,” ejek suara di sana yang sah-sah milik Aldir.
“Eh, suka hati sayalah nak badan bulat ke
bujur ke?” marah Hanim pula.
Entah kenapa sudah tiada lagi rasa gemuruh
indah di jiwa bila mendengar suara Aldir. Kenapa agaknya? Tiba-tiba hilang
rasa. Masakan baru jumpa sehari siang tadi dia sudah rasa puas dan jemu pada
Aldir.
Hanim garu-garu kepala. Rasa ngantuk masih
ada. Memang penatlah seharian berjalan ke
sana
sini dan harus menjaga begitu ramai kanak-kanak. Bukan mudah untuk menguruskan
anak-anak kecil yang bermacam fiil. Mujur ada Aldir dan Khairil. Letih berjalan memusing zoo lagi. Jadi rasa
letih itu menimbun dalam diri Hanim. Dia mahu tidur awal. Kepada emaknya dia
minta kebenaran membantu sekejap sahaja. Sekarang Aldir kacau tidurnya pula. Rimaslah.
“Awak nak apa?” tanya Hanim dan berharap
Aldir janganlah bercakap lama-lama.
Dia sudah rindu pada bantalnya dan tidak
pada Aldir lagi. Sekarang tidur lebih baik daripada bercinta. Itulah prinsip
Hanim malam ini. Gara-gara letih dan gara-gara hati yang tidak aman dan
tercalar gara-gara tindak-tanduk Aldir siang tadi.
“I minta you ajak kakak you tak mahu, I
dah tolong you, jadi you masih hutang dengan I, esok you datang tolong I kat
restoran sebagai bayar hutang. Pekerja I nak cuti.”
Permintaan Aldir buat Hanim terduduk.
Matanya yang layu sudah jadi bulat. Sudah tidak betulkah Aldir mengarahkan
dirinya bekerja di restoran. Macamlah dia pekerja Aldir. Apa kerja yang dia boleh buat? Kepala Hanim
tergeleng-geleng. Tanda tidak setuju dan tanda cuak. Bimbang Aldir akan buli
dia melakukan bermacam kerja. Terlebih lagi menghadap dapur masak restoran yang
pastilah bukan seperti dapur di rumahnya. Tentulah banyak.
“Boleh?” kejut Aldir.
“Saya letihlah,” jawab Hanim memberi
isyarat menolak.
“Amboi, letih dia aje tahu, letih orang
tak ingat?” tingkah Aldir.
“Awak pun tahu kan, jauh berjalan tadi…”
Hanim agak merengek agar Aldir mengerti.
“Habis, I naik Ferrari ke tadi?” tempelak Aldir pula.
“Awak lainlah, awak lelaki, tenaga lebih.”
“Tak tak tak, itu bukan alasan, I dah
tolong you, ingat mudah ke nak kawal anak-anak you all tu semua, 100
orang,” peringat Aldir pula.
Memang betul pun. Aldir memang pandai jaga
budak-budak. Pandai ambil hati anak-anak kecil agar terus berdisiplin mendengar
kata dan arahan. Aldir pandai buat lawak dan Aldir pandai pujuk budak yang
meragam. Aldir sabar dengan kerenah kanak-kanak.
Begitu juga dengan Khairil, dua insan
lelaki itu kalau sudah bergelar ayah nanti mesti beruntung isteri mereka. Puji
hati Hanim. Malah Nani juga turut memuji dan ramah bersembang dengan Aldir dan
Khairil. Cuma kenapa dengannya Aldir sering berkeras, buat hati Hanim tersentap
semula untuk menobatkan Aldir sebagai lelaki budiman.
“Datang tepat jam 7.00 pagi, okey?” arah
Aldir pula buat Hanim bulatkan mata.
“Saya tak beri persetujuan lagi,”
tingkah Hanim laju.
“Belajarlah membalas budi orang,” sahut
Aldir di sana agak serius.
“Tak sangka pulak saya kenal orang yang
berbudi tapi tak ikhlas, minta balas dalam masa terdekat pulak,” sindir Hanim
pula tidak puas hati.
“Ini bukan masalah minta balas budi sahaja
tetapi macam I jugalah, lebih kepada
perikemanusiaan. Eh, I tak tolong you
kalau I ni tak ada perikemanusiaan tau?”
“Tapi
saya letihlah, tau tak? Jalan kaki satu zoo tu bukan dekat?” tingkah Hanim pula
memberi alasan lagi.
“Habis tu I tak jalan kaki? Siap jaga
anak-anak you lagi. Adalah naik tram sekejap,” tingkah Aldir lagi.
“Eh bencilah, orang mengungkit-ungkit jasa
ni,” cemuh Hanim, hilang ngantuk gara-gara
tercocok saraf ngantuknya oleh
kejutan daripada Aldir.
“Ini bukan soal ungkit jasa, ini soal
minta tolong tahu? Macam you minta tolong I, ikut I pun malas, I pun letih, I
pun banyak kerja tapi bila orang minta tolong, sebagai manusia I kenalah
bertimbang rasa…” ceramah Aldir pula.
Hanim mendengus benci. Ada sahaja tingkah
Aldir mematahkan ayat dan alasan, buat Hanim rasa sesak perasaan. Kemudian
menyala lampu idea untuk meningkah lagi.
“Tapi awak mesti ingat, mula-mula ada awak
setuju? Kemudian beri syarat, kalau saya tak setuju syarat awak nak bertemu
kakak saya, rasanya potong telinga awak tu pun, tentu tak mahu,” tekan Hanim.
“Apa pun alasan you, jam 7.00 pagi mesti
datang okey, assalamualaikum.”
“Awak!” pekik Hanim.
Aldir sudah mematikan telefon. Hanim
hentak bantal peluknya dengan geram dan bayangkan itulah dada Aldir.
Berdebum-debum bantal peluk ditumbuknya.