12
“HEP!
Jangan usik barang-barang cikgu!” marah Hanim kepada Fakrul yang cuba menyentuh
alat solek di atas meja solek.
Anak kecil itu tersentap. Hanim bulatkan
matanya. Sebelum ini tiada siapa yang mengacau barang-barangnya. Kalau adapun
dia yang akan kacau barang-barang kakaknya. Terlebih lagi minyak wangi kakaknya
sering dikebas jika perlu. Kini ada anak kecil pula cuba menyentuh barang-barangnya.
Dia memang tidak suka.
“Cikgu suruh siapkan kerja rumah kan?”
marah Hanim.
“Pelik budak sorang ni, cakap tak mau,
tangan aje laju.” Bebel Hanim pula.
Ketika itu tangan Fakrul terjatuhkan bedak
Hanim. Berderai ke lantai. Hanim berkejar ke situ. Secekak tangan Fakrul
dicengkamnya kuat. Sehingga Fakrul terjerit dan menangis.
“Tak lalu diam! Dahlah tiba-tiba tumpang
rumah orang! Pak cik kau ada nak ambil peduli? Kerja terus!” marah Hanim lantas
goncang-goncang tangan Fakrul.
Makin terjerit Fakrul dan menangis
ketakutan dijegil oleh Hanim. Wajahnya sudah berserabai dengan air mata. Hanim menjuih. “Elele…” ejek Hanim geram.
“Usik-usik barang orang kenapa?” marah
Hanim lagi.
“Apa yang bising-bising ni Hanim?” suara
Puan Maimun mampir tergopoh-gapah.
“Budak ni mak, habis bedak Nim pecah hah,”
adu Hanim geram.
“Tak payahlah marah sangat, nanti belilah
lagi. Bukan mahal bedak itu, bedak nyonya aje…” kata emaknya sambil melihat
bedak gambar cina putih bertabur di atas permaidani.
“Mahal ke, murah ke, itu hasil titik peluh
Nim mengajar mak,” tingkah Hanim.
“Sudah, sudah, jangan menangis lagi
Fakrul, Nim, esok pasar malam mak belikan yang baru. Dapat kat Mak cik Hanim
jelejeh air mata dia ya, dah… diam,” pujuk Puan Maimun.
Hanim bulatkan mata pada Fakrul. Bengkak
hatinya bila dia dipanggil mak cik.
“Rosakkan harta orang aje,” juih Hanim
sambil kutip semua bedak dan dibuang ke dalam bakul sampah.
“Budak-budak Nim, jangan diambil hal
sangat,” nasihat emaknya sambil membelai-belai belakang Fakrul.
“Tambah kerja nak jaga dia, mana pak cik
dia tah,” bebel Hanim lagi.
“Kerja, petang nanti baliklah, kan dia
cakap macam itu pagi tadi.”
“Mudah aje mak percaya dia, tiba-tiba tak
balik-balik, budak ni nak letak mana?” tingkah Hanim tidak puas hati.
“Berpahala kita jaga dia,” nasihat emaknya
pula.
“Entah anak siapa dia culik, nanti tak
pasal-pasal kita diburu polis,” tingkah Hanim lagi.
“Taklah, kan ada surat beranaknya tu, masa
daftar tadika tadi kau bawak surat
beranak
dia sekali kan? Biasa orang menculik tak
culik surat beranak rasanya, tak ada pulak mak dengar berita orang culik budak sama surat beranak
sekali,” pertahan Puan Maimun atas rasa
percaya kepada Khairil.
“Mak percaya sangat, bencilah pada Si
Khairil tu, mak suruh dia cari rumah lainlah, susahlah duduk dalam rumah
sendiri, tak pakai tudung disindir-sindirnya,” gumam Hanim dengan wajah
mencuka.
“Masa dia ada pakailah tudung, bila tak ada
suka hatilah, petang baru dia balik.”
“Bencilah tak bebas di rumah sendiri,
nanti mak suruh dia cari rumah lain ya, kalau tak, Nim pindah rumah lain,” kata
Hanim dengan sebal sambil menjeling Fakrul yang terlentok manja di ribaan
emaknya.
“Janganlah macam itu, Kak Hana kau tak
kata apa pun, kau aje yang benci sangat pada dia orang ni hah, lagipun dia
duduk di bilik belakang kat dapur sana. Dia masuk pun ikut pintu dapur, tak
naik rumah atas ni.” Puan Maimun mulus memujuk Hanim.
“Mak mudah percaya kat orang, buatnya
nanti malam-malam dia ceroboh masuk bilik kita macam mana?”
“Hanim, kenapalah berubah sangat ni,
selalu kau tak pulak begitu syak wasangka pada orang, ni pada budak ini pun
buat macam musuh aje, bukan ke kau suka budak-budak, sebab itu kerja tadika
yang kau pilih.”
“Kat tadika tu sah-sah ada mak bapak dia
orang mak, budak ini… dicurigailah,”
tepis Hanim sambil renung Fakrul yang
kembang kecut muka dijeling oleh Hanim.
“Mak percaya penjelasan Khairil semalam,
budak ini anak adik dia. Belajar di luar negara.”
“Mak bapak apalah, sanggup tinggal anak
kat orang lain,” sinis ayat Hanim.
“Kalau ada orang yang dipercaya tak apalah
Hanim, mungkin hubungan Khairil dengan adiknya rapat,” sahut Puan Maimun masih
berbaik sangka.
“Sekarang ni, bukan dia jaga anak buah
dia, kita ni kan mak,” Hanim masih belum puas hati.
“Tak apalah Hanim, bukan susah jaganya.
Dia dah besar boleh jaga diri dia. Dia tak menyusahkan pun,” pertahan emaknya.
“Nim tetap rasa tak selesalah mak,” omel
Hanim lagi lantas memuncungkan bibir sepanjang-panjangnya.
“Assalamualaikum, apa yang dimesyuaratkan
tu?” suara Hana mara ke bilik.
Hana kemas berpakaian cantik, demipun baru
pulang dari sekolah. Hana senyum mesra
pada Fakrul lantas hulurkan coklat kepada anak kecil itu.
“Nim tak ada? Dah dapat adik baru, Nim dah
lupa!” sindir Hanim. Merajuk hati.
“Heh, sejak bila tak pandai beli coklat
sendiri ni?” usik Hana sambil cebik-cebikkan bibir ke arah Hanim.
Hanim bangun dari situ. Dia berjalan ke
dapur. Hatinya rasa lain sahaja. Melihat semua orang dia rasa lain. Melihat
Khairil rasa lain. Benci. Melihat Fakrul dia sebenar rasa simpati tetapi tetap
rasa tidak puas hati. Melihat Hana pula dia rasa macam sukar dimengerti.
Segera dia duduk di meja makan. Tanpa mahu
memanggil emak dan kakaknya, dia cedok nasi ke pinggan. Mahu makan sahaja. Agar
rasa lain boleh hilang. Itu harapannya.
“Makan tak ajak oranglah,” tegur Hana
sambil menepuk bahunya.
“Dah rumah sendiri, buatlah apa patut
kan,” tingkah Hanim tanpa menoleh. Emaknya juga ada bersama Fakrul ke situ.
“Berangin aje ni, kenapa?” siasat
Hana.
Hanim mengangkat muka. Terlihat Fakrul ada
bersama, Hanim sengaja kembangkan duduknya. Dia tidak mahu Fakrul duduk di
sebelahnya. Dua kerusi ditarik rapat
dengannya, kaki sebelah diletak ke situ.
Paha kanan dihimpit ke kerusi satu lagi.
“Hoi hoi, ini cikgu ke apa? Fiil buruk macam ni?” tegah kakaknya.
“Selalu tak begini, sopan ayu…” tambah
Hana lantas menarik kerusi yang Hanim letak kaki.
“Entahlah Hana, apa yang dah menyampuk
adik kau ni hah, berubah benar…” sahut emaknya pula lantas menyuruh Fakrul
duduk di kerusi berhadapan Hanim.
“Apa masalah negara yang dah buat kau
hilang akal ni Nim,” usik Hana atas tujuan merisik.
Hanim tidak menjawab. Malas. Baik diam.
Bimbang timbul salah faham. Melihat Hana tertingat Aldir. Adakah kerana masalah
itu membuat jiwanya melalut-lalut jadi tidak siuman seperti sekarang? Hanim
makan cepat-cepat dan segera sudah lantas pergi dari situ. Hana dan emaknya
berpandangan. Akhirnya geleng kepala.