8. RINDU LAGI.

8

HANIMintai laman Facebook Aldir. Tiada status terbaru daripada Aldir. Dalam senarai mereka yang online pun Aldir tiada. Ke mana agaknya Aldir? Betulkah sibuk? Atau sengaja buat-buat sibuk.

Semasa Aldir datang siang tadi tidak sibukkah? Agak lama juga Aldir di rumahnya. Bukan main lagi menyembang baik dengan emaknya. Emaknya memang begitu. Siapa sahaja yang bertemu mesti terperangkap dengan keramahannya. Termasuk Aldir yang konon serius ala-ala tentera Nazi itu.

Hanim mengeluh. Kemudian termenung pula di hadapan lapetop. Kenapalah dia jadi begini? Semasa Aldir datang tadi dia tidak teruja untuk bertemu Aldir. Kini rasa rindu pula. Kenapa? Bukankah dia sudah cuba membenci dan melupakan Aldir? Kini, tengah malam buta ini kenapa rindu menyapa pula? Adakah kerana teringat dulu-dulu masa-masa sebeginilah dia dan Aldir sering chatting. Hem, rindunya untuk chatting dengan Aldir lagi.

Bukan tiada orang lain yang cuba menyapanya di ruang Facebook. Ada. Tetapi hatinya tidak berminat. Malah, malas untuk membalas sapaan mereka. Cuma pada Aldir sahaja dia suka. Malah rasa suka itu masih melekat hingga kini.

“Kenapalah rasa benci tak bertapak terus di hatiku untuk kau?” rungut Hanim.

Rasa ingin menulis kepada Aldir menggaru hati. Dia pejamkan mata. Cuba

beristrigfar berulang kali. Cuba sabar. Ingat apa Aldir telah buat padanya. Sangat ralat dan menyedihkan hatinya. Hanim wajib ingat itu. Peringat akalnya.

“Dia cuma dingin sahaja, mungkin boleh cuba menyapa dia, kalau bukan sebagai teman di hati, teman di jari pun boleh kut,” pertimbang Hanim.

Hanim pejam seketika. Ligat kepalanya berfikir. Menentukan kata putus untuk menyapa Aldir atau tidak. Lagipun, bila diingat hal lalu, selepas pertemuan mereka, Aldir tidak pernah membalas ketika disapa. Hanim geleng kepala melepas rasa sebal di dada. Namun rindu itu tidak pernah kenal erti jangan.

Awak, buat apa tu? tertaip juga tulisan begitu untuk Aldir dan sampai ke kotak tuannya. Hanim mengalah dalam terpaksa. Rebah dibadai rindu.

Tak reti bagi salam ke? terpacul ayat Aldir buat Hanim tergamam dan rasa mahu menjerit antara bahagia dan terkejut.

Kalau saya bagi salam pun, belum tentu awak jawab… balas Hanim, ayat ala merajuk.

Bukan you dengar I jawab, tingkah Aldir.

Terima kasih pulangkan semua buku saya… saya ingat dah kehilangan semua harta saya tu, tulis Hanim dengan hati yang mulus dan bahagia.

Baru nak ucap terima kasih, sengat Aldir.

Hanim diam. Kelu untuk menulis balas.

Lama I di rumah you, ada sudi nak tegur? sengat Aldir lagi.

Awak tunggu saya ke? Ingat awak dah syok kat mak saya, tingkah Hanim pula.

Ada pulak. I bujang lagi tau, berilah peluang I dengan anaknya.

Yelah, macam mesra aje saya dengar dari bilik.

Menebing boleh! Jumpa tak mau, pasang telinga dan mengintai, sengat Aldir lagi.

Saya tak mau rosakkan pertemuan awak dengan bakal mak mentua awak, usik Hanim berani mati.

Heheh… ye ke? Ada ke yang sudi nak buat I ni menantu?

Hanim rasa mahu menjerit bila Aldir tulis ayat begitu. Rupanya selama ini Aldir sengaja mahu menduganya. Hanim capai kipas kertas di atas meja dan kipas diri yang mula hangat teruja dalam bahagia di kenyamanan malam.

Manalah saya tahu, tak tanya ke mak saya siang tadi? Adakah dia sudi ambil awak jadi menantu? Hanim sudah syok teramat.

Mana boleh terlajak bahasa. Kenalah jaga budi bahasa, balas Aldir.

Yalah tu, Hanim ramas-ramas jarinya tanda bahagia tidak terkira.

Hanim kian tersenyum-senyum. Nampaknya Aldir sudah baik semula. Dulu mungkin Aldir mengujinya. Atau Aldir benar-benar sibuk.

You buat apa tadi?

Tak buat apalah. Awak? Hanim makin bahagia. Aldir masih ambil berat padanya.

Chat youlah, balas Aldir.

Dah tak sibuk ke?

Masa rehat I ni, nak sembang dengan you, nanti you kata I lupakan you pulak.

Hanim rasa mahu menjerit teruja. Rupa-rupanya Aldir tidak pernah buang dirinya lagi. Benar rupanya, selama ini Aldir menyepi kerana sibuk. Kini Aldir tidak sibuk.

Saya rindu awak, Hanim terlepas bebanan rindu di dada.

Heheh… siapalah I nak dirindukan, balas Aldir.

Jangan cakap begitu, saya tak pernah lupa saat indah kita di sini, Hanim luahkan apa yang terbuku di hati. Air mata terharu rindu mula berlinang di mata. Mengalir sopan di pipi gebunya. Hanim biarkan sahaja. Bagai itu hadiah indah daripada Aldir.

Yelah tu, I datang siang tadi buat tak tau aje, sengat Aldir lagi.

Nak bagi peluang kat awak sembang-sembang dan ambil hati mak saya.

Jajan di meja disuap ke mulut. Sedap sungguh bagi Hanim. Bahagia rasanya.

Sembang mak aje, anak-anaknya macam bosan kat I aje, tulis Aldir.

Taklah, tak pernah bosan tau, tingkah Hanim.

Lama I tunggu, tak sorang pun yang sudi menyapa I… mujur nasi lemak dan kuih-muih yang mak you hidangkan mahu bersembang dengan I.

Hanim tergelak di malam sepi. Terasa ayat Aldir benar-benar mesra dan jinak seperti dulu-dulu. Dia mengunyap jajan lagi. Hirup nescafe pula. Bahagia segala anggota jiwa. Aldir masih seperti dulu rupanya. Cuma dia yang salah sangka. Tidak mahu percaya Aldir sibuk. Malam ini Aldir free. Jadi dia akan gunakan kesempatan malam ini untuk bersembang mesra dengan Aldir.

Awak, Hanim terhenti seketika.

Ada apa?

Kenapa kebelakangan ini awak langsung tak mahu sembang saya di sini? Telefon pun tak mahu? Takkan kerana sibuk kerja, awak menjauhkan diri daripada saya.

Betullah I sibuk, jawab Aldir pantas.

Hanim terpaksa terima alasan Aldir. Lelaki memang sukar dimengerti. Mungkin kerana wanita ini bersifat sangat sensitif. Walaupun merasa ada sedikit perubahan sahaja sudah dapat rasa dan teruja rasa.

Perempuan bersama you di tangga tadi, siapa? Adik you? tanya Aldir pula.

Kalau adik kenapa? Hanim mula terasa hati. Terasa dia dituakan sangat di mata Aldir.

Cantik adik you, puji Aldir buat hati Hanim tersentap. Dirinya langsung Aldir tidak sudi komen apa-apa. Paling tidak pun kalau tak cun cakaplah kiut atau comel.

Kakak tak tidur lagi, adiknya dah tidur? Boleh I berkenalan dengan adik you? tanya dan pinta Aldir pula.

Hanim baru sedar. Sakit membakar hati bagai direnjat elektrik. Rupanya Aldir mahu bersembang dengannya kerana kakaknya Hana. Benar seperti kata Aldir dulu. Dia terima siapa sahaja dalam hidupnya asal cantik dan seksi. Hati Hanim tersentap layu semula dan terus menutup lapetopnya. Tiba-tiba malam indah sudah jadi malam punah-ranah buat Hanim pula.

Previous: 7. MEREKA.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh