19. ISSY! ALDIR NI!.

19

HANIM dan anak muridnya lesu keletihan dalam bas. Sebaik pulang dari Zoo Negara mereka singgah di Tasik Perdana untuk makan tengah hari. Mereka berkelah di kawasan padang berhampirang pohon cassia fistula yang sarat berbunga kuning. Kanak-kanak tentulah ada yang mengambil kesempatan berkejaran di padang itu dengan gembira. Kemudian haluan mereka ke Masjid Negara pula bagi menunaikan solat Zohor sebelum pulang selepas asar.

Tentulah anak-anak kecil dalam semua bas keletihan termasuklah guru-gurunya sekali. Lentok longlai tertidur keletihan. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Hanim turut terkulai keletihan. Sampai tidak menyedari siapa duduk di sebelahnya. Semasa pergi tadi dia duduk dengan Fakrul. Balik pun Fakrul tetap duduk di sisinya. Kini?

“Cukup-cukuplah tidur tu, kalau anak-anak awak kena culik pun tak sedar kalau tidur mati begitu,” ayat begitu terasa memetik-metik telinga Hanim. Dalam rasa ngantuk dia buka mata. Mamai seketika dan terfikir di mana berada.

“Lenguh bahu I ni nak tumpangkan kepala you,” usik suara itu lagi.

Hanim segera tersedar dan spontan menegakkan kepalanya. Toleh pula ke kiri. Melompat rasa malu. Hanim segera lap muka dan matanya. Kenapa pula dia duduk di situ? Gerutu hati Hanim.

“Mana Fakrul awak dah halau?” marah Hanim dalam suara serak tidur yang berbaki.

“Begitu rupa you tidur ya, dengan mulut terlopong,” usik Aldir kemudian ketawa

terkekeh-kekeh.

Hanim toleh ke tingkap. Menahan rasa marah dan malu dengan ejekan Aldir. Sudah berapa lama agaknya Aldir duduk memerhatikannya tidur? Siapa suruh Aldir duduk di sebelahnya? Ikut hati mahu sahaja dihentak-hentak bahu Aldir yang terkena bahunya.

“Fakrul tadi mana?” tanya Hanim mula risau.

“Dia duduk dengan pak cik dialah, harap you jaga dia, mahu penyek leper budak tu kena tindih,” jelas Aldir bersama ejek buat hati Hanim meruap geram.

“Siapa suruh awak duduk sini? Rasanya belum pernah ada yang penyek leper dengan saya! Tak tahulah kalau awak pulak teringin sangat,” tembak Hanim pula sambil kerlingkan mata kepada Aldir.

Aldir gelak lagi. Tidak pula mahu meyambut kemarahan Hanim dengan kemarahannya pula. Hanim ingin menambah ayat marah. Tiba-tiba jari Aldir hampir kena ke bibir Hanim buat Hanim tersentak ke tingkap bas.

“Syiiss! Malulah marah-marah, nanti apa kata anak-anak you tu nanti,” perli Aldir pula buat mata Hanim sepet geram lagi.

“Dia orang pun nak tidur jugak, jangan bising…” tambah Aldir lagi.

Hanim toleh semula ke tingkap. Memerhatikan pemandangan di luar sana. Pokok-pokok dan bangunan seakan berlari ke belakang. Cuaca pula sangat redup. Tidak lama lagi mereka akan sampai semula ke tadika. Bila semua murid telah diambil oleh orang tua masing-masing maka selesailah tugas Hanim dan guru-guru yang lain pada hari itu.

“Bukan main mesra lagi Khairil layan you tadi, siap tolong lap air mata pulak, berkongsi minuman lagi,” bisik Aldir buat Hanim bulatkan mata.

“Mana ada,” tepis Hanim laju.

“Ada tak ada tapi itu yang I nampak,” perli Aldir lagi.

Hanim kincupkan mata, cuba ingat, betulkah tadi Khairil lap air matanya. Seingatnya tidak. Setakat cuba itu adalah dan setakat hulur minuman adalah. Itu yang Hanim ingat. Fikirannya masih waras. Atau Aldir yang kurang waras lalu reka cerita yang tidak-tidak.

“Hari-hari boleh jumpa Khairil, maklumlah tinggal serumah. Perhatian dan cinta you tentu dah beralih pada dia, tak gitu?” bisik Aldir pula penuh ayat sindir.

Mata Hanim bulat pula. Apa yang Aldir merapikkan? Bila masa pula dia beri perhatian dan cinta pada Khairil? Sengaja Aldir cari pasal dengannya. Namun begitu, Hanim dapat idea pula. Kalau Aldir boleh suka pada kakaknya Hana tanpa minta kebenaran dirinya, apa salah kalau dia juga buat begitu?

“Tak kisahlah kalau hari-hari saya nak bermadu kasih dengan Khairil pun, awak siapa dengan saya?” terjah Hanim seselamba mungkin.

“Murah betul cinta you ya? Macam hujan, sekejap lebat, sekejap renyai… sekejap dah hilang,” sindir Aldir lagi.

“Okey juga macam hujan, buatnya macam petir, ada yang mati legam kehangusan, bila dia yang mengkhianati cinta kena panah petir!” sindir Hanim pula bercakap dengan gigi terkacip rapat.

Aldir mendesis. Seperti tidak puas hati. Sudah berpeluk tubuh pula.

“Kena serang demam perasaan ke?” sindir Hanim pula sambil tersenyum puas.

Aldir diam dan pura-pura tidur pula. Hanim terseringai melihat tingkah Aldir.

“Nampak orang aje buat salah, dia tak?” sindir Hanim lalu toleh ke luar tingkap. Kalau boleh mahu membuang rasa rimas terhadap Aldir.

“Dah tak sayang I macam dulu dah,” bisik Aldir ke tepi telinga Hanim.

“Perlukah?” bisik Hanim semula dengan perasaan sebal dan mual.

“Setidak-tidaknya sayang macam bakal abang ipar,” bisik Aldir lagi buat Hanim bulatkan mata.

“Bencilah!” marah Hanim terlepas geram.

Aldir cepat-cepat angkat tangan minta Hanim jangan teruskan ayat marah. Hanim kacipkan gigi dan berpaling ke cermin bas semula. Melihat pemandangan di luar rasanya lebih bahagia berbanding melihat wajah Aldir yang menyakitkan hati dan perasaannya. Di luar kelihatan sudah petang benar. Begitu redup.

*****

MALAM ITU,belumsempatHanim tidur nyenyak telefonnya berbunyi. Dengan malas dijawab. Suara di sana membuatkan matanya bulat tanda pelik.

“Kenapa?” tanya Hanim.

“Tidur aje kerja dia, mana badan tak bulat,” ejek suara di sana yang sah-sah milik Aldir.

“Eh, suka hati sayalah nak badan bulat ke bujur ke?” marah Hanim pula.

Entah kenapa sudah tiada lagi rasa gemuruh indah di jiwa bila mendengar suara Aldir. Kenapa agaknya? Tiba-tiba hilang rasa. Masakan baru jumpa sehari siang tadi dia sudah rasa puas dan jemu pada Aldir.

Hanim garu-garu kepala. Rasa ngantuk masih ada. Memang penatlah seharian berjalan ke

sana sini dan harus menjaga begitu ramai kanak-kanak. Bukan mudah untuk menguruskan anak-anak kecil yang bermacam fiil. Mujur ada Aldir dan Khairil. Letih berjalan memusing zoo lagi. Jadi rasa letih itu menimbun dalam diri Hanim. Dia mahu tidur awal. Kepada emaknya dia minta kebenaran membantu sekejap sahaja. Sekarang Aldir kacau tidurnya pula. Rimaslah.

“Awak nak apa?” tanya Hanim dan berharap Aldir janganlah bercakap lama-lama.

Dia sudah rindu pada bantalnya dan tidak pada Aldir lagi. Sekarang tidur lebih baik daripada bercinta. Itulah prinsip Hanim malam ini. Gara-gara letih dan gara-gara hati yang tidak aman dan tercalar gara-gara tindak-tanduk Aldir siang tadi.

“I minta you ajak kakak you tak mahu, I dah tolong you, jadi you masih hutang dengan I, esok you datang tolong I kat restoran sebagai bayar hutang. Pekerja I nak cuti.”

Permintaan Aldir buat Hanim terduduk. Matanya yang layu sudah jadi bulat. Sudah tidak betulkah Aldir mengarahkan dirinya bekerja di restoran. Macamlah dia pekerja Aldir. Apa kerja yang dia boleh buat? Kepala Hanim tergeleng-geleng. Tanda tidak setuju dan tanda cuak. Bimbang Aldir akan buli dia melakukan bermacam kerja. Terlebih lagi menghadap dapur masak restoran yang pastilah bukan seperti dapur di rumahnya. Tentulah banyak.

“Boleh?” kejut Aldir.

“Saya letihlah,” jawab Hanim memberi isyarat menolak.

“Amboi, letih dia aje tahu, letih orang tak ingat?” tingkah Aldir.

“Awak pun tahu kan, jauh berjalan tadi…” Hanim agak merengek agar Aldir mengerti.

“Habis, I naik Ferrari ke tadi?” tempelak Aldir pula.

“Awak lainlah, awak lelaki, tenaga lebih.”

“Tak tak tak, itu bukan alasan, I dah tolong you, ingat mudah ke nak kawal anak-anak you all tu semua, 100 orang,” peringat Aldir pula.

Memang betul pun. Aldir memang pandai jaga budak-budak. Pandai ambil hati anak-anak kecil agar terus berdisiplin mendengar kata dan arahan. Aldir pandai buat lawak dan Aldir pandai pujuk budak yang meragam. Aldir sabar dengan kerenah kanak-kanak.

Begitu juga dengan Khairil, dua insan lelaki itu kalau sudah bergelar ayah nanti mesti beruntung isteri mereka. Puji hati Hanim. Malah Nani juga turut memuji dan ramah bersembang dengan Aldir dan Khairil. Cuma kenapa dengannya Aldir sering berkeras, buat hati Hanim tersentap semula untuk menobatkan Aldir sebagai lelaki budiman.

“Datang tepat jam 7.00 pagi, okey?” arah Aldir pula buat Hanim bulatkan mata.

“Saya tak beri persetujuan lagi,” tingkah Hanim laju.

“Belajarlah membalas budi orang,” sahut Aldir di sana agak serius.

“Tak sangka pulak saya kenal orang yang berbudi tapi tak ikhlas, minta balas dalam masa terdekat pulak,” sindir Hanim pula tidak puas hati.

“Ini bukan masalah minta balas budi sahaja tetapi macam I jugalah, lebih kepada perikemanusiaan. Eh, I tak tolong you kalau I ni tak ada perikemanusiaan tau?”

“Tapi saya letihlah, tau tak? Jalan kaki satu zoo tu bukan dekat?” tingkah Hanim pula memberi alasan lagi.

“Habis tu I tak jalan kaki? Siap jaga anak-anak you lagi. Adalah naik tram sekejap,” tingkah Aldir lagi.

“Eh bencilah, orang mengungkit-ungkit jasa ni,” cemuh Hanim, hilang ngantuk gara-gara tercocok saraf ngantuknya oleh kejutan daripada Aldir.

“Ini bukan soal ungkit jasa, ini soal minta tolong tahu? Macam you minta tolong I, ikut I pun malas, I pun letih, I pun banyak kerja tapi bila orang minta tolong, sebagai manusia I kenalah bertimbang rasa…” ceramah Aldir pula.

Hanim mendengus benci. Ada sahaja tingkah Aldir mematahkan ayat dan alasan, buat Hanim rasa sesak perasaan. Kemudian menyala lampu idea untuk meningkah lagi.

“Tapi awak mesti ingat, mula-mula ada awak setuju? Kemudian beri syarat, kalau saya tak setuju syarat awak nak bertemu kakak saya, rasanya potong telinga awak tu pun, tentu tak mahu,” tekan Hanim.

“Apa pun alasan you, jam 7.00 pagi mesti datang okey, assalamualaikum.”

“Awak!” pekik Hanim.

Aldir sudah mematikan telefon. Hanim hentak bantal peluknya dengan geram dan bayangkan itulah dada Aldir. Berdebum-debum bantal peluk ditumbuknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh