1. MERAJUK.

TAJUK: I NAK YOU, YOU NAK I?/CINTA BATU GILING.

PENULIS: AINON ZAINI ZAKARIA.

1

I merajuk dengan you…

Begitu ayat terakhir yang Aldir tulis di kotak chatting. Pada mulanya Hanim fikir Aldir main-main tetapi bila Aldir terus menyepi baru Hanim yakin Aldir memang merajuk padanya.

Apa yang boleh Hanim buat? Hingga ke hari ini Aldir masih menunjukkan rajuk. Betulkah dia merajuk? Lelaki pun pandai merajuk? Bisik Hanim masih tertanya-tanya walaupun sudah yakin Aldir memang merajuk.

Udara di luar sejuk. Sesejuk perasaan Hanim yang sepi. Merajuk? Mudahnya lelaki merajuk. Bagaimana untuk memujuk lelaki yang mudah merajuk? Dia jeling seketika skrin lapetop. Berharap ada tanda isyarat dia dihubungi semula. Namun hampa. Kosong dan sepi di situ.

Hanim dapat bernafas segar semula bila ingat tulisan Aldir dulu. I nak you, you nak I? ketika itu Hanim rasa indahnya dunia ini.

Mereka memang sering berbicara indah di Facebook. Aldir sering kata sayang pada Hanim dan Hanim juga akan balas begitu. Indahnya saat mengatur ayat di Facebook. Lupa alam sekeliling dan lupa rasa ngantuk tika chatting jauh malam. Berbalas ayat cinta di Facebook, buat Hanim sering tersenyum-senyum di alam nyata.

Hanim rasa betapa indahnya hidup ini. Betapa beruntungnya dia dipertemukan dengan Aldir di alam maya sana. Biarpun belum pernah bersua tetapi Hanim sudah merasakan lazatnya dunia cinta bersama Aldir.

Aldir sering curahkan ayat memancing hati Hanim, antaranya…

I betul-betul dah sayang pada you, I nak you, harap you pun nak kat I. Tulis Aldir di Facebook buat nyawa Hanim jadi mamai dan gila bayang melayang-layang.

“Percayalah, I sudah betul-betul cinta kat you, I janji akan berkahwin dengan you,” yakin Aldir bersambung di telefon pula buat Hanim benar-benar yakin, Aldir berkata benar.

“Awak tak kenal saya betul-betul, macam mana boleh kata sayang dan cinta?” balas Hanim di telefon, pura-pura tidak rasa apa-apa. Sedangkan setaman bahagia mekar di dada.

“I tak kisah, hati I dah kata suka kat you, I betul-betul suka dan sayang kat you, cinta suci dah berkembang dalam dada I ni, cinta I untuk you dah penuh satu dunia… percayalah,” jawab Aldir di sana penuh nada romantik teramat.

Cinta Aldir penuh satu dunia untuk Hanim. Hanim terlompat bahagia tidak terkata, bagai dapat syurga, indahnya dunia bila diri disayang dan dicintai. Nilai cinta Aldir satu dunia. Hanim yakin Aldirlah calon tepat teman hidupnya. Ya, tidak diragu lagi, pasti dia mahu jumpa dengan Aldir kekasih Facebooknya itu.

Punca Aldir merajuk mungkin kerana alasan begini. Lama mereka bercatting sehinggalah Aldir mahu bertemu dengan Hanim. Hanim kata malu. Mahu nombor telefon, Hanim kata nanti dulu. Nantilah, malulah dan sebagainya.

Lama-lama bila Hanim sering mengelak begitu, Aldir kata dia merajuk. Ketika itu Hanim fikir Aldir sekadar bergurau tetapi bila Aldir tunjukkan sikap merajuk tanpa mahu menyapanya seperti selalu baru Hanim sedar. Aldir memang sedang merajuk.

Ketika itu barulah Hanim beri nombor telefonnya. Setelah sering berbual di telefon Aldir tetap ingin jumpa. Bila Hanim kata malu dan sering mengelak lagi, sekali lagi Aldir merajuk tanpa mahu telefon Hanim dan tidak mahu chatting di Facebook. Ketika itulah sekali lagi Hanim terpaksa beralah dan setuju bertemu. Apakah hasil pertemuan

mereka?

I nak you, you nak I? Sekali lagi Hanim ingat ayat keramat Aldir itu, buat Hanim yakinkan diri untuk bertemu Aldir. Pasti Aldir lelaki baik dan tidak akan permainkan atau ambil kesempatan pada perempuan sepertinya. Sepanjang mereka berkawan di Facebookdan di telefon ternyata ayat dan kata-kata Aldir penuh ikhlas dan jujur.

‘Ya, nak… saya nak awak,’ bisik Hanim dengan perasaan mekar berbunga. Mereka akan berjumpa… tetapi sebelum itu Hanim mahu buat Aldir teruja dahulu…

*****

“ADA ke patut aku ni nak berkahwin dengan dia. Aku yang masih muda dan bujang trang tang tang, tentulah aku nak yang muda jugak, masih gadis dan yang pentingnya cantik. Kalau dia tu apa ke hal? Kenal pun tidak,” begitu sadis ayat Aldir mengeluarkan perasaan hatinya kepada Fahrin di sebelahnya.

Fahrin ketawa terkekeh-kekeh. Wajah sahabatnya itu dilihat begitu serius.

“Apa salahnya kalau itu takdir kau,” giat Fahrin kemudian ketawa terkekek lagi.

“Errrr…” kepala dan bibir Aldir menggeletar sama nada menandakan tidak rela. Hampir terbalik gelas di mejanya ketika tangannya sama berputar.

“Kalau cakap jujur dari awal tak apalah jugak, ini berbulan aku layan kerenah dia… tau-tau dah ada anak satu. Suami dah tak ada,” Aldir terhenti menarik nafas geram.

“Aku rasa tertipu dan diperbodohkan. Aku ingatkan anak dara tujuh belas, ayat sikit punya jiwang karat, sengal kepala otak aku ni membaca tiap kali dia tulis ayat. Sampai aku naik tak faham walau baca berulang-ulang,” komen Aldir sambil mengerlipkan mata tanda sungguh-sunguh kecewa.

“Berapa umur dia?” tanya Fahrin sambil bibir terkulum-kulum menahan geli hati

mendengar nasib sahabat yang seorang ini.

“Dalam 25 tahun, begitulah ikut maklumat kat FB dia tu… kot ya la tu… entah-entah umur dah cecah 50, bukan betul perempuan sekarang ni, muka nampak muda sebab botok sana sini, check IC dah 60 tahun,” gumam Aldir penuh kecewa memberat di dada.

“Macam mana kau confirm sangat yang dia tu dah ada anak?” tanya Fahrin sambil angkat kening. Wajah Fahrin pula tak kurang kacak seiras Fahrin Ahmad.

“Dia cerita kat akulah tadi… kat Facebook,” Aldir usap kepalanya sambil mengeluh berat bagai orang punya masalah business berjuta-juta.

“Kau dah jumpa dia?” korek Fahrin lagi.

“Nak jumpa macam mana, dulu minta no phone pun tak bagi, apa tah lagi nak jumpa. Kusut betul aku dibuatnya. Kini dah dapat no phone dan biasa sembang tapi tiba-tiba dia buka rahsia siapa dirinya pulak, eh aku naik entahlah, eh kat FB tu banyak perangkap tikuslah…” keluh Aldir akhirnya, pamerkan wajah kusut kecewa.

Fahrin ketawa berdekah-dekah bila Aldir katakan ruang Facebook banyak perangkap tikus. Tikus apa pun tak pastilah. Sama ada tikus kampung atau tikus mondok.

“Kenapa dia boleh cerita yang dia tu ibu tunggal anak sorang?” Fahrin makin berminat untuk tahu setelah usai gelak yang berdekah-dekah tadi.

“Entah, tetiba aje dia cerita kat aku… aku pun tak faham kenapa tiba-tiba dia buka

cerita begitu pulak,” keluh Aldir lagi.

“Kau pujuklah dia baik-baik, suruh dia cerita hal sebenarnya. Aku rasa, dia nak uji kau aje… takkan itu pun kau tak tau, kau kan dah biasa dengan kerenah macam-macam perempuan… sampai kini tak kahwin-kahwin kerana terlampau memilih miss

perfect…” nasihat Fahrin diakhiri sindiran.

“Eeee… cakap baik-baik sikit ha, bab kahwin lambat tu betul, tapi bab macam-macam perempuan tu yang salah, ya!” marah Aldir sambil bulatkan matanya kepada Fahrin.

“Ya ke?” Fahrin gelak kuat-kuat lagi.

“Kau pun sama nak naikkan darah aku?” marah Aldir. Mukanya mula naik merah.

“Itulah masalahnya kau, cepat marah, mana perempuan nak lekat… seram dia orang. Kau tengok macam aku… cool and romantic…” Fahrin gelak terkulum-kulum mengundang mata bulat Aldir semula.

Teh tarik yang tinggal separuh dihirup sampai habis. Itulah minuman kegemaran Aldir. Kalau tak dapat teh tarik sehari memang rasa hidup tak cukup syarat. Kawan kepada teh tarik pastilah roti canai.

Sambil mengunyah roti canai matanya melirik ke wajah Fahrin yang telah beristeri empat. Lalu terfikir-fikir, apa ilmu Fahrin pakai sampai empat isterinya? Fahrin bukan lelaki jutawan, sekadar berniaga direct selling tetapi dapat isteri semuanya berjawatan tinggi dan cantik-cantik belaka. Dia pula untuk cari seorang isteri pun terkial-kial hingga kini. Ada-ada sahaja masalah yang mengganggu usahanya.

“Umur kau dah 35, aku dah empat pintu… kau tu usahakanlah cepat,” nasihat Fahrin agak serius pula.

“Ingat aku tak usaha?” angin lagi Aldir. Terasa sahabatnya itu merendah-rendahkan usahanya selama ini.

“Tak tahulah pulak kau nak sedekah salah sorang isteri kau tu kat aku?” terjah Aldir membedil geram kepada Fahrin.

Kelihatan Fahrin terkedu. Matanya bulat merenung Aldir. Terkaku untuk mengeluarkan bicara. Bukan main-main sengatan berbisa Aldir itu. Adakah patut isterinya yang cantik-cantik jelita diminta oleh sahabatnya itu? Err…

“Yang kau pergi mengurat kat Facebook, apa hal? Kalau nak mengurat carilah yang betul tempat, ini ha… boleh turun ilmu nak mengurat perempuan,” tepuk Fahrin ke dadanya berkali-kali kemudian ketawa lagi. Cuba mengelak sengatan kawannya tadi.

“Aku bukan mengurat, aku sekadar nak kenal-kenal aje dulu,” elak Aldir sambil toleh ke luar restorannya.

“Kalau dah pening-pening buatlah sembahyang istikharah, minta Tuhan beri petunjuk… yang kau minta petunjuk dari Facebook tu apa ke hal? Nak mengurat kat situ pulak,” sengat Fahrin pula.

“Eh, kau nampak tak buku lima aku ni? Cuba kau bilang. Kau nak rasa ke?” Aldir melenting pula.

“Dalam FB aku tu ramai kawan-kawan, saudara-mara, adalah sorang dua orang luar yang tersesat kat situ… termasuklah si Hanim sesat tu!” tambah Aldir sambil kerlipkan matanya penuh geram dengan dakwaan kawannya itu.

“Yalah tu, saudara-mara dan rakan kau dah beribu tu, hahahah!” melantun lagi gelak besar sakat Fahrin di malam itu.

Aldir hanya tarik nafas geram. Sabar… sabar. Kalau ikut hati. Kalau bukan kerana

dia orang yang kuat sembahyang, pasti si Fahrin kena buku limanya malam itu. Ada-ada sahaja kata-kata Fahrin yang menyakitkan hatinya.

“Yelah, betul aku cakap apa? Bila namanya Islam, bermakna saudara aku jugaklah,” tingkah Aldir kembali.

“Benarlah tu…” usik Fahrin kemudian ketawa meleret pula.

“Aku tak ada masa nak buat kerja sia-sia. Kau pun tahu kerja aku sibuk selalu,” tekan Aldir dengan nada serius.

“Yalah, tokeh restoran turun-temurun… aku sedia maklum, tapi dalam bab teman hidup jangan kau yang mulakan turun-temurun pulak?” sakat Fahrin dalam getar gelak.

“Aku tak faham maksud kau tu,” mata Aldir kincup melihat anak mata Fahrin.

“Maksud aku, jangan kau yang pertama memulakan kahwin lambat atau tak kahwin-kahwin langsung,” serius pula bicara Fahrin.

“Aku dah usaha tapi tak pernah menjadi. Jodoh belum sampai, nak buat macam mana lagi?” tempelak Aldir pula. Sengal hatinya bila ingat hal jodoh.

“Teruskan usaha, adalah nanti… jangan putus asa, kau bukan tua mana pun,” Fahrin tepuk bahu Aldir memberi semangat penuh ikhlas.

“Tahu takpe, ingat aku manusia putus asa ke?” tingkah Aldir pula dengan serius tahap bangga.

Fahrin tadah tangan tanda isyarat menyerahkan segala keputusan kepada sahabatnya itu. Malam pun kian meningkat usia dan bintang penuh di dada alam.

Next: 2. SEDIH.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh