4. GERIMIS DI HATI.

4

MALAM itu Hanim tidak berselera untuk makan. Telah beberapa kali kakaknya Hana memanggil dari dapur. Dia tidak mahu keluar dari bilik. Perasaannya begitu rusuh- sedih, kecewa, malu dan tiba-tiba diserang rasa rendah diri pula.

Kenapalah sampainya hati Aldir memperlakukan dia begitu? Kenapa terus lari jauh dan jauh daripada hidupnya? Sedangkan sebelum ini mereka begitu baik walaupun sekadar bersembang baik di telefon dan Facebook. Apa pun alasan Aldir, Hanim tetap fikir, ‘Sampai hati Aldir…’

“Kenapa tak makan?” suara Hana menerjah masuk ke bilik.

“Kenyang.”

“Akak mimpi ke?” tanya Hana seakan perli.

“Selalunya makan termasuk dalam hobi kau,” tambah Hana.

“Malam ni macam bermusuh dengan makanan pulak,” tambah Hana lagi.

“Ada-ada ajelah akak ni,” juih Hanim.

“Yalah, pelik benar… ada masalah ke?” korek Hana pula.

“Kak Hana…”

Hanim terpanggil untuk melepaskan tekanan rasa dalam dadanya. Mungkin

kakaknya boleh membantu.

“Kenapa?” Hana duduk di kerusi berhampiran almari solek.

“Kenapa cinta lelaki mudah hilang?”

“Hilang ke mana?” soal Hana belum faham.

“Mudah kata suka, tertarik jatuh hati, cepat kata cinta tapi bila jumpa terus tukar karektor. Sifat baik dan ambil berat terus hilang entah ke mana bersama-sama tuannya sekali…” ngongoi Hanim.

Kali ini Hana diam berfikir. Baru dia sedar adiknya telah dipermainkan orang. Orang bergelar lelaki. Lebih dekat dan sama erti adiknya sedang frust bercinta. Hana bangun perlahan. Dia jadi lebih lembut dan tidak bercakap nada gurau dan usik lagi.

“Lelaki yang kau kata tu, yang sering telefon, chatting FB tu?” tanya Hana lembut.

Hanim mengangguk.

“Kau dah jumpa dia?”

Hanim angguk lagi.

“Bagaimana orangnya?”

“Agak serius tapi baik, tapi… pelik pun ada…” jelas Hanim nada malas campur kecewa.

“Apa masalah kau dengan dia sekarang?” tanya Hana penuh minat.

“Masalah tak taulah tapi sampai kini tak ada respons apa-apa daripada dia sejak kami jumpa…” luah Hanim sedih.

“Dah telefon dia?”

“Semua dah, telefon, FB semua dah… tapi dia tak balas.”

“Sejak kau jumpa? Bila?”

“Minggu sudah.”

“Mungkin ada tak kena kat dia,” duga Hana sambil ketuk-ketuk hidung mancungnya.

Hanim geleng kepala. Keliru. Mungkin betul telahan kakaknya. Siapa tahu nasib seseorang. Hari itu Aldir pergi tergesa-gesa. Dia memandu kereta. Segalanya mungkin. Buat hati Hanim tambah bimbang dan rusuh pula. Janganlah sampai terjadi apa-apa pada Aldir. Doa Hanim.

“Macam ini, kau tahu tempat kerja dia? Cuba cari di sana.”

Hanim geleng kepala. Masalahnya dia tidak tahu Aldir kerja di mana. Dia tidak tahu Aldir tinggal di mana. Hal itu memang Aldir tidak mahu beritahu walaupun pernah ditanya oleh Hanim berulang kali dahulu.

“Dia orang mana?” tanya Hana.

Hanim geleng lagi.

“Masalah betul kalau bercinta dalam telefon dan FB aje…” gumam kakaknya kesal.

“Dia tak mahu cakap, dah tanya…” gumam Hanim.

“Habis tu, macam mana kau boleh kata bercinta dengan dia? Kalau tak kenal rupa dan tak tahu tentang dia?”

“Entahlah, mungkin ayat dia power. Walaupun dia berahsia tapi ayat dia memang baik, romantik… buat Nim rasa bahagia sangat,” luah Hanim sayu.

“Payah juga… payah-payah kau lupakan ajelah,” Hana beri idea tiba-tiba pula.

Hanim terjuih. Mana boleh lupa dengan mudah seseorang yang telah disayangi. Memang mustahil untuk lupa begitu sahaja. Lagipun belum ada bukti yang buruk tentang lelaki itu. Mungkinkah terjadi apa-apa pada Aldir semasa pulang dari bertemunya minggu sudah? Buat hati Hanim tambah gundah dan gelabah.

Facebook dia ada apa-apa petunjuk yang dia masih okey?” tanya Hana pula.

“Dia tak suka postapa-apa kat FBnya. Balas komen orang pun dia malas, dia cuma chat aje…” jelas Hanim dengan sedih.

“Bagi nombor phone dia, biar akak call.” Hana dapat idea.

Hanim tersenyum. Kenapalah tidak terfikir idea begitu? Bersyukur dia ada seorang kakak yang ambil berat. Seorang kakak yang lebih lemah lembut berbanding dirinya. Cuma bila kakaknya marah atau bergurau sifat lemah lembutnya macam hilang pula.

Hana terus telefon Aldir sebaik nombor diberi. Tidak lama kemudian Hana dapat bercakap dengan seseorang. Pelik Hanim, kenapa panggilan dia sering sahaja bercakap dengan perempuan dalam kotak mesej sahaja? Sedangkan Hana terus dapat bercakap dengan hero di telefon.

“Dr. Aldir ya?” tanya Hana. Sebenarnya sekadar menutup helah.

“Bukanlah,” jawab di sana serius.

“Ingat tadi Dr. Aldir… doktor kat klinik…” Hana masih pura-pura silap nombor.

“Awak siapa?” tanya di sana serius.

“Kalau klinik tentulah pesakit…” kata Hana dengan nada ala-ala sakit terkejut.

Hanim ternanti-nanti, cepatlah kakaknya beri pada dia telefon itu. Rindunya untuk dengar suara Aldir. Kenapa Aldir tidak rindukan dirinya? Sampai hati. Malang betul, berkali dia minta, kakaknya cuma tahan tangan sahaja. Akhirnya tutup telefon pula, buat Hanim sangat kecewa.

“Takkan nak bagi kau pulak, nanti tahulah dia helah kita,” kata Hana menjelaskan kenapa dia berbuat begitu.

Hanim faham dan angguk walaupun kecewa tidak dapat bercakap dengan Aldir. Tidak apalah. Kalau sekarang Aldir buka telefon bermakna dia pun boleh telefonlah juga. Cepat-cepat dia tekan nama Aldir. Hana tarik telefon Hanim.

“Sabarlah. Nanti dia tahulah,” nasihat Hana. Mata hitamnya jernih melihat Hanim.

Hanim angguk setuju. Betul juga. Kenapalah dia gelojoh sangat? Nantilah, sekarang dia lega dan baru rasa lapar. Aldir selamat. Jadi, dia tidak lagi risau pasal Aldir. Cuma kecewa tidak dapat dengar suara. Tidak apalah, lepas makan nanti dia akan telefon Aldir. Harap Aldir sudi menjawab panggilannya. Doa Hanim.

“Bukan nak ajar hipokrit tapi ada masanya perlu Nim… walau serapat mana pun kita dengan seseorang, bila baru jumpa kenalah sopan santun… lembut ayu… walaupun kita sebenarnya sekeras kayu bin batu…” nasihat Hana sebelum Hanim keluar.

Wajah Hanim berkerut. Baru teringat, betapa dia tidak kisah semasa datepertama dengan Aldir dulu. Atas tiket, mereka telah kenal mesra dan tentu Aldir tidak kisah. Apa-apalah, perkara sudah pun berlalu. Mungkin lain kali dia boleh lebih berhati-hati. Masalahnya bila boleh jumpa Aldir lagi?

Selera makan Hanim berkurang kembali. Kenapalah bodohnya dia ketika itu? Mungkin benar kata kakaknya, pasti Aldir tidak suka cara dia yang tidak lembut ayu dan tidak sopan pemalu.

Nasi masih terjemput di jari menghala ke mulut. Lalu Hanim berkata dengan rawan. Dia bayangkan itu Aldir.

“Awak… berilah saya peluang kali kedua… saya janji akan berlembut ayu di depan

awak… mungkin awak malu dengan sikap saya tempoh hari…”

“Apa yang kamu merapek pada nasi tu, Hanim?” kejut emaknya.

“Tak adalah… nasi ni macam tak suka Hanim mak,” nasi di jari diletak semula ke dalam pinggan.

Hanim melihat emaknya menggeleng kepala. Matanya mengekor pergerakan emak ke arah tikar yang terbentang. Di situ tersedia segala barang jualan nasi lemak untuk esok. Puan Maimun bersila semula menghadap mangkuk cili. Laju jarinya menggunting cili kering.

“Tolong mak ni, cepat juga siap,” pinta Puan Maimun tanpa merenung Hanim.

“Bersembang dengan nasi pulak.” Tambah Puan Maimun lagi.

Emaknya seorang yang kuat bekerja. Ada sahaja kerja yang dibuat asal dapat wang. Buat kerepek segala kerepek. Peket-peket dan hantar ke kedai. Jual kuih-muih dan nasi lemak. Ambil tempah jahit baju jika ada yang menempah. Buat bunga telur jika ada yang suka telur berbunga-bunga.

“Pelik pulak kau ni Hanim. Apa penyakit yang dah serang kau?” leter Puan Maimun.

“Mak… mak dulu kenal ayah, bercinta ke atau nenek yang cari?” soal Hanim tiba-tiba buat emaknya angkat muka.

“Kenapa baru hari ini nak buat kaji selidik?” tanya Puan Maimun lalu mencebik dan terus menyambung kerjanya.

“Mak mengurat ayah atau ayah mengurat mak?” tambah Hanim dengan berani.

“Budak ini kata kan… ada aku nak mengorat ayah kau… mahu aku kena sebat dengan nenek kau…” agak kecoh emaknya menyahut.

“Itu dulu. Kalau sekarang pulak macam tak pelik aje kalau perempuan mengurat lelaki…” gumam Hanim. Terasa memang dia berada pada kedudukan itu pula. Betulkah?Kalau betul, adakah berdosa untuk mencari calon teman hidup?

“Kau buat begitu ke? Biarlah badan kau tu bulat Nim… janganlah hati pun bulat buat kerja ala-ala maksiat. Agak-agaklah kalau nak mengurat pun… biar betul cara. Jangan sampai memalukan diri,” leter emaknya berjela-jela pula. Terhenti kerjanya.

Hanim termenung mendengar ayat emaknya. Salahkah cara dia? Dulu, saat awal memang dia add Aldir dalam Facebook tetapi Aldir yang mula soal selidik dia dan beri ayat-ayat yang meyakinkan untuk dia berkawan dengan lelaki itu.

Cuma, masalahnya kini, Aldir seakan mengelak daripadanya. Kalau dia asyik ingat dan ingin hubungi lelaki itu adakah sudah terlebih ‘agak-agak’ seperti yang dimaksud oleh emaknya tadi? Jiwa Hanim jadi kacau. Tanpa basuh tangan dia bergegas ke bilik semula. Bising emaknya berleter kerana tidak basuh tangan dan tidak mengemas meja.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh