17. DAP-DIP-DUP.

17

HARI pun berlalu begitu cepat. Dari minggu berganti bulan. Kisah cinta Hanim dan Aldir di Facebook sudah lama menyepi. Hanim kuatkan semangat untuk melupakan Aldir. Walaupun pada hakikatnya mana boleh lupa. Aldir pula tidak pernah datang lagi ke rumah mereka. Jadi rasa cinta dan rindu Hanim sudah lali di hati lalu dibawa arus masa dan takdir Ilahi.

Satu perkara yang mungkin kebetulan telah berlaku di rumah Hanim. Khairil rupanya pekerja Aldir. Tukang masak di restoran Aldir yang bercawangan di Kota Kemuning. Kedatangan Aldir hari itu kerana telah berkenan untuk melanggan kuih-muih Puan Maimun yang telah memikat selera Aldir semasa pertama kali datang dahulu.

Puan Maimun tentulah setuju. Bertambah sibuklah perempuan 40-an itu. Tolong sibuk termasuk Hanim dan Hana. Pada mulanya Hanim melarang. Hana pun sama melarang. Memang emak mereka jenis buat kerja laju. Jenis positif selalu. Tanpa minta persetujuan anak-anaknya dia setuju sahaja. Baginya membuat kuih bukan sesusah menebang balak curi. Perlu ada rasa takut dan ragu-ragu. Itulah alasan yang diberi kepada Hanim dan Hana bila mereka keluarkan rasa membantah.

Bab menghantar pula tiada masalah. Semuanya akan dibawa oleh Khairil semasa pergi kerja di pagi hari. Jadi Hanim dan Hana terpaksa reda dalam terpaksa sahajalah. Asal emak mereka bahagia dapat menjual kuih-muih yang dibuat dengan rasa seronok dan ikhlas. Puan Maimun memang kreatif mempelbagaikan jenis kuih. Supaya pelanggan tidak jemu katanya.

Hal itu berjalan lancar tanpa masalah. Apa pula masalah? Kerja membuat kuih sudah sebati dan pro bagi Puan Maimun. Apa sahaja jenis kuih semua dia tahu. Buat kerja pula laju. Anak-anak turut membantu.

Sebagai anak yang baik tentulah Hanim dan Hana memaksakan diri mereka untuk membantu. Mereka tidak sampai hati membiarkan emak mereka bertungkus-lumus bersendirian. Puan Maimun hanya senyum sambil angkat kening lega kerana dapat anak yang mengerti tanggungjawab mereka. Mengerti juga pada minat emak mereka.

Berbalik pada Hanim pula, tadikanya akan mengadakan sesi lawatan membawa kanak-kanak cilik ke Zoo Negara. Anak-anak kecil di situ tentulah kecoh dan gembira bila tahu akan dibawa jalan-jalan. Sehinggakan Fakrul yang pendiam pun melonjak girang.

Fakrul kini sudah agak rapat dengan Hanim. Hanim pula sudah merasakan Fakrul dan Khairil sebahagian daripada keluarganya. Khairil dianggap seperti abang sahaja. Cuma Hanim malas panggil Khairil abang kerana telah terbiasa panggil nama sahaja. Khairil pula sentiasa sabar dengan kerenah Hanim terutama di peringkat awal, Hanim sering tunjuk menyampah terhadapnya.

Malah Khairil insaf dirinya menumpang walaupun dia mahu membayar sewa tetapi ditolak keras oleh Puan Maimun. Jadi sehingga kini Khairil masih tinggal di bilik dapur bersama Fakrul.

Segala perancangan untuk lawatan ke Zoo Negara dan sebagainya berjalan lancar. Cuma seperkara yang menyusahkan hati Hanim bila pengetua tadika minta dia berbuat sesuatu.

“Macam mana ni? Khairil boleh agaknya tapi takkan dia sorang? Paling kurang lagi sorang,” rungut Hanim sambil tepuk-tepuk meja.

Hanim buka lapetop dan melayari Facebook sambil berkira-kira siapa lagi patut dicari. Matanya kaku pada nama mereka yang online dan terlihat seseorang yang lama tidak dilihat.

Awak.

Tegur Hanim spontan. Lupa hal kebenciannya pada orang yang disapa.

Nak apa?

Tanya Aldir di sana. Cepat pula Aldir membalas.

Nak awak…

Tulis Hanim pula dan tertekan terus butang hantar. Buat Hanim gigit lidah.

Apa ada pada I, I datang rumah you, you buat tak layan aje…

Macam merajuk sahaja ayat Aldir. Pelik Hanim. Sudah tidak marahkah Aldir kepadanya? Dulu bukan main menghamun dirinya.

Tak, bukan itu maksud saya. Sebenarnya saya nak awak tolong saya.

Perbetul Hanim, muka sudah rasa panas menahan malu terlanjur kata tadi.

Tolong apa?

Tolong saya jaga budak-budak.

Jelas Hanim serba salah untuk menerangkan niatnya yang sebenar.

Hai, sejak bila pulak you beranak ramai-ramai?

Tanya Aldir buat Hanim tersentak.

Bukanlah, saya ni kerja guru tadika. Tadika saya tu nak mengadakan sesi lawatan.

Kami tak ada cikgu lelaki, semua perempuan… jadi nak minta tolonglah sertai kami, tolong bantu apa patutlah.

Jelas Hanim dengan penuh harapan agar Aldir setuju.

Berguna jugak lelaki ini ya?

Lama baru Aldir membalas buat Hanim tercebik geram. Merajuk konon! Bencilah!

Lelaki yang berguna aje yang kami perlukan, lelaki tak guna baik tak payah. Lawan Hanim balik. Terlupa seketika pada sikap cepat marah Aldir. Terlupa juga bahawa khidmat lelaki itu memang diperlukan.

Bila tu?

Tanya Aldir.

Sabtu ni. Boleh tak? Jangan kata tak boleh pulak, saya sumpah awak jadi katak nanti.

Hanim terlepas ayat, buat dia menyesal dan gigit lidah.

Suka hati I lah nak terima ke tak?

Jawab Aldir buat Hanim tercebik risau.

Sah-sah Aldir tidak boleh dibuat main-main. Tegas sepanjang zaman sejak mereka bertemu. Hanim tercebik kesal. Apa patut dia tulis kini? Sebelum sempat Hanim tulis lagi Aldir telah offline. Meremang bulu roma Hanim dengan tindakan Aldir. Pasti Aldir marahkan dirinya yang sering terlepas laku.

Hanim hentak meja penuh geram dan kesal atas apa yang berlaku sebentar tadi. Baru sahaja Aldir mahu berbaik dengannya, dia pula yang buat pasal. Soalnya siapa yang boleh diajak nanti? Dia tidak punya saudara lelaki selain Khairil. Hanim mengeluh lagi. Hari untuk lawatan tinggal sehari lagi.

Ketika dia berperang rasa, Hana datang menghampirinya. Duduk sambil meletakkan sepinggan buah-buahan campuran. Hana sibuk makan tanpa mempelawa Hanim. TV dipasang dan mula fokus ke TV. Hanim tutup lapetopnya dan berkira untuk pergi.

“Weee… tak mahu buah ke?” tegur Hana dengan soalan tanpa menoleh kepada Hanim.

“Tak,” jawab Hanim perlahan.

“Sah-sah ada masalah pakwe lagi tu,” usik Hana.

“Mana ada.”

“Biasa begitulah dulu-dulu time kecewa, muka sentap semacam,” kutuk Hana.

“Bukan begitu, kepala sedang kusut-masai ni,” jawab Hanim sambil duduk kembali.

“Masalah besar apa pulak kali ini?” Hana menoleh teruja.

“Tadi Nim ajak Aldir sertai lawatan ke zoo yang dibuat oleh tadika tu, tapi dia tak mahu. Rasa malu pulak campur risau. Di mana nak cari lelaki ni?”

Hana tergelak. Hanim adiknya yang berusia 21 tahun itu masih belum matang. Hal begitu pun jadi masalah besar baginya. Melihat riaksi risau Hanim, macamlah masalah perang telah melanda negara. Buat Hana geleng kepala pula.

“Dalam dunia ni ada Aldir aje ke?” soal Hana.

“Bukan begitu, lagipun salah Nim, dah buat Aldir geram semula,” ngongoi Hanim kesal.

“Apa kes kau dah buat?” tanya Hana sambil bulatkan mata, minat sangat untuk tahu.

“Nak sumpah dia jadi katak kalau tak mahu pergi. Dia marah agaknya,” ngongoi Hanim berterus terang. Muka kecut kesal macam kalah perang.

Hana gelak lagi kemudian geleng kepala.

“Tak tahulah akak nak menolong kes kau dan dia tu Nim, tapi bab ‘nak lelaki’ tu bolehlah akak carikan cikgu lelaki di sekolah akak tu nanti,” komen Hana buat Hanim lega pula.

Hanim terkam Hana dan cium bertalu-talu kakaknya tanda sangat berterima kasih. Buat Hana jadi seriau diperlakukan begitu. Akhirnya, untuk melepaskan diri Hana tarik telinga Hanim dan geletek pinggang Hanim membuatkan ruang tamu jadi riuh-rendah dengan suara mereka. Puan Maimun tergesa-gesa meninjau apa sudah berlaku kepada anak-anak daranya yang terjerit-jerit di malam buta.

“Kenapa terjerit-jerit ni Hanim?” marah Puan Maimun.

“Kak Hana mak, geletek… mana boleh tahan.”

“Dah malam-malam buat hal pulak, mari tolong buat kuih cepat,” leter Puan Maimun.

“Alamak… bila nak cuti tahun buat kuih mak?” tanya Hanim rasa malas tiba-tiba.

“Masa tidur aje cuti, mata celik kena kerja,” sahut Puan Maimun kincup mata merenung Hanim.

“Mak, anak dara mak ni kena demam cinta melarat lagi mak, tu pasal nak cuti,” usik Hana dan bersiap sedia hadangkan tangan bila Hanim jerngahnya.

“Apa? Nak melarat ke mana?” laju Puan Maimun menyambar.

“Dia mengorat Aldir semula mak,” adu Hana mengusik.

“Mana ada,” laju Hanim membantah.

“Jangan buat malu mak Nim, nak mengorat anak bujang orang,” leter Puan Maimun pula.

“Taklah mak. Kak Hana,” Hanim juih geram pada kakaknya dan merengek tanda membantah supaya emaknya percaya.

“Dah, jangan buat hal malam-malam ni,” tegah emaknya cepat.

Hanim malu alah dan segera minta diri ke kamar. Lucu pun ada bila mengingati bagai orang histiria dia mencium kakaknya tadi. Terasa jantungnya bergolak bila Hana mengadu hal dia dan Aldir tadi pada emaknya.

Belum sempat dia menutup pintu bilik, telefonnya berdering. Segera dia mencapai telefon. Matanya bulat melihat scrin.

“Aldir? Kekasih Facebookku!” terloncat ayat begitu. Jantung Hanim dap-dip-dup.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh