Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
Bab 020 : Ini bukan panggilan prank

Beberapa minggu kemudian...

Flat Bosnia, Taman Seri Serdang

Jam 1012

Hari ini Maryam Eisya tidak bekerja. Dia duduk di rumah santai-santai sambil melayari internet. Dia masih tidak berputus asa mencari pekerjaan. Boleh dikatakan, mana saja jawatan yang dirasakan bersesuaian dengan ijazahnya, semuanya dia menghantar resume. Dalam sepuluh, takkan satu pun tak ada yang sangkut dan terkena.

Dalam dua minggu ini fikiran Eisya lebih tenang. Ibu tidak sibuk-sibuk lagi memberi tekanan dengan soalan-soalan berkaitan dengan pekerjaan gomen yang dicanang-canang. Mungkin ibu sudah boleh menerima kenyataan, bukan senang hendak menjawat jawatan dalam kerajaan sekarang.

Eifa juga sudah tidak menyumbang kepada bil bulanan yang panjang. Lega rasanya tetapi kadang-kadang rindu juga mendengar adiknya itu berceloteh macam-macam. Dia bercadang hendak pulang ke kampung minggu depan. Cuti semester Eifa sudah pun hampir tamat. Esok dia akan memohon cuti. Sudah rindu untuk pulang ke kampung halaman.

Bunyi telefon bimbit mengganggunya yang sedang melayari internet. Telefon bimbitnya yang ‘menyanyi’ dibiarkan seketika sebelum dia menjawabnya.

“Selamat pagi, ya... saya Maryam Eisya Herman.” Hatinya sudah berdebar-debar. Mungkinkah ini panggilan daripada salah seorang pegawai yang akan menemu duganya?

Kebelakangan ini, ramai betul pegawai sumber manusia menemu duga bakal pekerja melalui telefon. Walaupun kadang-kadang dia merasakan, temu duga seperti itu tidak adil kerana dibuat dalam keadaan tidak bersedia, dia melayannya juga. Mana tahu sudah tertulis rezekinya.

Fail yang mengandungi resumedan senarai syarikat beserta jawatan yang pernah dipohonnya dibuka perlahan-lahan. Dia tidak mahu kantoi kerana terlalu banyak menghantar resume hingga dia terlupa jawatan yang dipohonnya. Pastilah nanti belum apa-apa sudah kena pangkah namanya kalau jawatan yang dipohonpun dia sudah lupa.

“Dari mana tadi?” Eisya bertanya kembali. Tangannya yang asyik menyelak fail terhenti.

“Oh! Encik telefon dari PERODUA. Sekejap ya...” Cepat-cepat Eisya menyelak fail di tangannya, mencari fail yang disimpan di dalam abjad bermula dengan huruf P.

‘P... Putrajaya Holding... Pretex Corporation... Proton... P... P... alamak tak ada pulak.’ Eisya kalut sendiri. Dia menyelak lagi, cuba mencari perkataan PERODUA tetapi tiada.

“Kenapa ya encik telefon?” Akhirnya setelah gagal, dia bertanya. Biarlah... belasah aje. Apa yang encik ni nak tanya nanti, dia jawab aje dengan seikhlas-ikhlasnya.

Dia pasrah kerana dia tidak menyimpan sesalinan surat permohonannya kepada PERODUA. Eh, ada ke? Dia sudah ingat-ingat lupa dek banyaknya dia menghantar permohonan kerja.

“Apa dia? Kereta saya dah siap?” Eisya menyoal kembali? Dia bimbang tersalah dengar. “Eh, encik salah orang ni. Saya ni mampu bawa motor aje, bila masa saya ada order kereta pulak.” Dahinya berkerut

Ini panggilan prank ke apa? Entah-entah Zie mahu mengenakannya dengan panggilan hangit, HotFM. Dia memang rajin mendengar pagi-pagi sambil seronok menggelakkan orang. Lebih baik dia berhati-hati. Jangan sampai dia pula digelakkan orang.

“Betul encik ni salah orang. Saya tayar kereta pun belum tentu mampu nak beli, apatah lagi kereta cash, encik. Salah orang ni...” Eisya beria-ia memberitahu.

“Eh! Betul tu memang IC saya. Encik ni jangan main-mainla encik.” Dia sudah cuak bila lelaki yang dikatakan dari PERODUA itu sudah membacakan nombor kad pengenalannya.

“Encik nak hantar? Yalah... betullah tu alamat saya. Eh! Encik, saya tak nak terima, bukan kereta saya tu.” Dia masih lagi bergelut dengan pegawai PERODUA itu.

“Kalau encik hantar, saya report polis.” Akhirnya Eisya fikir dengan membuat ugutan begitu, dia akan berjaya menakutkan lelaki di hujung talian.

“Pulak? Eeii... gatal kepala.” Eisya serba salah apabila diberitahu jika dia tidak mahu menerima kereta itu, dia akan dipersalahkan majikannya.

“Beginilah... encik simpan aje kereta tu. Saya memang tak pernah orderkereta. Bagitahu dengan majikan encik, ini semua dah salah faham. Ada orang yang nama sama dengan saya tu yang beli kereta tu.” Eisya masih cuba mempertahankan dirinya.

Gila ke apa? Dia tak akan sekali-kali masuk perangkap siapa-siapa yang bertujuan hendak mengenakannya. Dia memang miskin harta, tapi dia jujur orangnya. Kalau sudah bukan miliknya dia tidak akan mengaku hanya untuk mendapat habuan yang bukan haknya. Dia mahu meletakkan telefon bila pegawai itu menghalangnya.

“Apa lagi?” Eisya sudah bosan melayan. Pegawai itu beria-ia hendak menghantar kereta ke rumahnya, dia pula beria-ia menafikan kereta itu dia yang memesannya. Sampai esok pun perkara tak selesai kalau dua-dua mahu mempertahankan, dua-dua mahu mencapai kemenangan.

“Hadiah? Hadiah apa pulak? Saya tak masuk peraduan apa-apalah...” Eisya semakin keliru. Tadi kata kereta itu dia pesan, sekarang kata hadiah pula. Sah! Orang yang di talian itu hendak mengenakan dia!

Klik! Habis cerita.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.