Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,195
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 7

Berdiri seorang pelajar lelaki yang kelihatan segak di hadapan kelas. Nama Haziq Zakaria Bin Badrul Zaman tertulis di papan hitam. Puan Suriya berdehem sebentar meminta perhatian pelajar kelas itu yang kecoh dengan kedatangan pelajar baru itu. Pelajar perempuan terutamanya begitu teruja dengan kekacakan dan kesegakan pelajar lelaki itu. Sebahagian pelajar perempuan sedang berbisik sesama mereka. Para pelajar lelaki kelihatan tidak senang dengan kehadiran pelajar baru ke kelas itu. Mereka berasa kedudukan mereka terancam selepas ini.

"Baiklah minta perhatian pelajar-pelajar semua, hari ini kita menerima pelajar baru. Haziq, awak boleh perkenalkan diri." Puan Suriya mempersilakan Haziq untuk memperkenalkan dirinya.

"Nama saya Haziq Zakaria Bin Badrul Zaman. Saya berasal daripada Kuala Lumpur. Saya baru je berpindah ke sini mengikut ibu saya yang ditugaskan di sini. Ayah saya pula masih bertugas di Kuala Lumpur. Harap anda semua boleh beri saya tunjuk ajar ye." Perkenalan Haziq disambut dengan sorakan daripada sebahagian pelajar perempuan.

Amnina tidak sedikit pun berminat dengan kedatangan pelajar baru itu. Dia asyik memerhatikan awan bergerak perlahan ditiup angin berlatar belakangkan langit yang membiru. Kedudukannya yang berada di tepi tingkap lajur belakang sekali memudahkan Amnina untuk melihat ke luar tingkap sekiranya dia bosan dengan pelajaran di kelasnya.

Gelagat aneh Amnina mencuri tumpuan Haziq. Haziq perasan akan keanehannya semasa dia mahu mengambil tempat duduknya. Ketika semua orang sibuk memerhatikan dia, Amnina langsung tidak berminat dengan apa yang berlaku di kelas itu.

"Daya apabila dikenakan ke atas sesuatu objek akan menyebabkan perubahan kepada momentum objek itu." Puan Suriya sedang menerangkan Hukum Newton Kedua di dalam kelasnya.

Rata-rata pelajar sudah mula bosan dan hilang tumpuan. Haziq pula amat meminati mata pelajaran itu. Dia menumpukan perhatian sepenuhnya ketika di dalam kelas. Tiba-tiba sahaja Amnina bangun daripada kelas dan ingin meninggalkan kelas. Tindakannya secara tiba-tiba itu langsung tidak dipedulikan pelajar lain di kelas itu. Mereka sudah biasa dengan kelakuan ganjil Amnina. Baru sahaja Amnina ingin melangkah keluar, Puan Suriya terus menegur Amnina.

"Amnina, kelas masih belum tamat ni. Sekurang-kurangnya dengarlah dahulu penerangan saya ni sampai habis." Amnina tidak mengambil endah akan teguran Puan Suriya sebaliknya terus keluar dari kelas itu tanpa menoleh ke belakang.

Puan Suriya melepaskan keluhan berat. Matanya sudah mula berkaca mengenangkan sikap Amnina. Dia amat prihatin dengan pelajarnya yang seorang itu.

"Biarkanlah dia tu cikgu, sekurang-kurangnya dia tu tak menyemak dalam kelas ni." Fatin tiba-tiba sahaja bersuara.

"Betul cakap Fatin, dia tu bawa bala je kat kelas kita ni, dia takda lagi bagus." Hanina pula bersuara.

"Alhamdulillah kelas ni dah kembali normal selepas setan tu keluar." Lancang sahaja Najwa berkata.

"Sepatutnya pihak sekolah buang aje dia daripada terus menyemak dalam kelas ni. Aku pun hairan macam mana orang bodoh macam dia tu boleh masuk dalam kelas kita ni," tambah Fatin lagi.

"Fatin, Hanina, Najwa tergamak kamu semua cakap macam tu pada rakan sekelas kamu! Lepas ni pergi minta maaf pada Amnina, faham!" suara Puan Suriya bertukar tegas.

Fatin, Hanina dan Najwa menjeling Puan Suriya sebagai tanda protes kepada kata-kata gurunya itu. Haziq pula terkejut menyaksikan drama yang sedang berlaku di kelas itu. Dia tidak tahu hendak berkata apa tentang situasi di kelas itu. Sepanjang berada di kelas, dia tidak dapat menumpukan perhatian, dia asyik memerhatikan pintu belakang kelas itu. Dia menunggu kalau-kalau Amnina balik semula ke kelas mereka.

"Kau ni dah kenapa Haziq daripada tadi asyik tengok pintu belakang je. Kau nak ke tandas ke?" tegur Fauzi sambil menepuk bahu Haziq. Fauzi antara yang paling awal memperkenalkan dirinya kepada Haziq kerana dia duduk bersebelahan dengannya. Haziq sedikit terkejut dengan tingkah rakannya itu.

"Taklah," jawab Haziq ringkas.

"Habis tu apa yang kau tengok sebenarnya?" tanya Fauzi lagi.

"Pelajar perempuan tadi tu...." Haziq tidak dapat meneruskan kata-katanya.

"Perempuan? Perempuan mana pula ni? Ke kau dah berkenan dengan sorang budak kelas ni?" Fauzi sempat meloyar buruk.

"Taklah. Sebenarnya aku tengok budak perempuan yang keluar secara tiba-tiba je tadi masa kelas Fizik." Fauzi agak terkejut dengan soalan Haziq. Dia melepaskan keluhan berat.

"Oh, kau maksudkan Amnina tu ke. Dia memang macam tu, otaknya biol sikit." Fauzi menjawab dengan nada berseloroh.

"Dah lama ke dia jadi macam tu?" Haziq terus mengajukan soalan kepada Fauzi seperti seorang polis sedang melakukan soal siasat.

"Lama dah, aku pun dah tak ingat bila." Fauzi menjawab malas pertanyaan Haziq itu.

"Kenapa kau berminat sangat dengan Amnina tu?" Giliran Fauzi pula bertanya kepada Haziq.

"Sebab aku kesian dengan dia tu. Kenapa semua orang layan dia macam tu?" Pertanyaan Haziq dijawab dengan pertanyaan.

"Fatin and the gang yang layan dia macam tu. Aku pun tak campur sangat dengan diorang tu. Orang lain tu aku tak tahulah," jawab Fauzi cuba mengelak.

Loceng sekolah berbunyi menandakan sudah tiba waktu rehat sekolah. Berbondong-bondong pelajar 4 Cempaka keluar daripada kelas itu.

"Ok, dahlah Haziq. Aku pergi dulu ya. Aku kena bertugas ni." Fauzi meminta diri. Dia merupakan pengawas di sekolah itu.

"Sayang, cantik tapi gila." Tiba-tiba sahaja seorang pelajar perempuan berkata kepadanya mengejutkan lagi Haziq. Tag namanya tertulis Filzah Farzanah.

"Hai, saya Filzah Farzanah. Saya duduk kat hujung sana tu," ujar Filzah sambil menuding jarinya ke suatu sudut kelas.

Di sebelahnya ada beberapa lagi pelajar perempuan lain berdiri bersamanya. Haziq tidak mempedulikan teguran Filzah. Dia berasa jengkel dengan kelakuan Filzah. Filzah berasa tercalar maruahnya dek layanan dingin yang ditunjukkan Haziq.

"Ni lagi sorang, harap je muka handsome tapi poyo. Memang padanlah dengan perempuan gila tu," ujar Filzah lagi sebelum berlalu pergi. Rakan-rakannya yang lain tertawa halus mendengar seloroh Filzah.

"Weh, macam mana ni Risa? Awal-awal lagi aku dah kena reject" tanya Filzah kepada rakannya yang bernama Arissa itu.

"Tulah aku dah cakap tadi, jaga mulut kau tu, jangan celupar sangat. First Impression is really important, you know," jawab Arissa.

"Ala, budget cakap mat saleh pula kawan aku ni," bicara Filzah pula sambil memuncungkan mulut, tidak berpuas hati dengan jawapan Arissa.

"Weh, kau dengar tak tadi perbualan Haziq dengan Fauzi?" Filzah mengalih topiknya.

"Dengar, daripada tadi dia asyik tanya pasal Nina si gila tu je," respons Marini pula.

"Sebab tulah dia marah sangat kau kutuk Nina tadi. Sebab dia dah angau dengan si Nina tu," tambah Afyana pula.

"Tulah aku tak puas hati sangat ni, macam manalah aku boleh kalah dengan perempuan gila tu." Filzah mengetap bibirnya.

*******************

Puan Suriya membawa peralatan mengajarnya dan beg bimbitnya menuju ke bilik guru. Haziq dan Fauzi pula mengikuti dari belakang, membawa buku-buku kepunyaan pelajar kelas 4 Cempaka. Sesampai sahaja di meja Puan Suriya, mereka meletakkan buku-buku itu ke mejanya. Sedang leka Puan Suriya menyusun barang-barangnya, Haziq menyuarakan hasratnya kepada Puan Suriya.

"Cikgu, boleh saya tanya sesuatu?" Puan Suriya berhenti sebentar daripada meneruskan kerjanya.

"Aku minta diri dulu ya, Haziq. Cikgu saya nak balik kelas dulu." Fauzi meminta diri dengan sopan. Haziq mengiakan.

Puan Suriya memandang Haziq lalu menyambung perbualan mereka, "Ada apa Haziq nak tanya saya?"

"Pasal, Am... Amnina." Haziq hampir sahaja terlupa nama Amnina.

"Oh, pasal Amnina ke, kenapa?"

"Dia memang ada masalah ke? Dah lama ke dia macam tu?"

Puan Suriya duduk di kerusinya. Dia mengambil nafas dalam-dalam dan melepaskannya semula. Kemudian Puan Suriya menyambung, "Amnina asalnya seorang pelajar yang pintar suatu masa dahulu. Walaupun dia agak bermasalah mengawal emosinya, dia takda masalah tingkah laku. Keputusan akademiknya pun cemerlang. Saya pun tak perasan sangat sejak bila dia berubah sebab masa tu saya tak mengajar dia lagi. Tahu-tahu je satu sekolah heboh dengan perangai pelik dia. Masa tu saya perasan dia mula berubah tingkah lakunya. Akademiknya pun merosot. Saya sudah cuba bincang dengan ibu bapa dia, tapi mereka degil...." Ada nada kecewa pada ayat terakhir yang dilafazkan Puan Suriya.

Haziq berasa simpati mendengar kisah Amnina. "Tapi cikgu, apa maksud cikgu dengan Amnina berkelakuan pelik?" Haziq mengajukan soalan, kurang faham dengan penjelasan Puan Suriya.

"Oh itu, kamu lihat sendiri sajalah, Haziq. Nanti lama-lama kamu akan faham." Jawapan Puan Suriya tidak memuaskan hati Haziq. Dia mengerutkan keningnya.

*********************

Loceng Sekolah Menengah Alam Flora berbunyi menandakan sudah tiba waktu untuk pelajar sekolah itu pulang ke rumah masing-masing. Tidak ketinggalan pelajar kelas 4 Cempaka turut mengemaskan beg masing-masing untuk beransur pulang. Cuma Amnina sahaja tidak ada tanda-tanda pun dia mahu bersiap untuk pulang. Haziq seperti biasa memerhatikan Amnina. Dia ingin tahu apa yang dimaksudkan Puan Suriya.

Kelas 4 Cempaka lengang. Amnina tinggal keseorangan di kelasnya. Haziq pula mengintai dari balik pintu. Dia sengaja membiarkan Amnina keseorangan supaya dia boleh memerhatikan Amnina.

Amnina mengeluarkan pen marker berwarna merah, beberapa batang lilin dan sekotak mancis. Dia membawa barang-barangnya itu ke hadapan kelas. Dia mula melukis sebuah bulatan besar. Di dalam bulatan besar itu terdapat sebuah bintang berbucu lima dan terdapat lagi satu bulatan di tengah bintang itu. Saiznya muat-muat untuk Amnina duduk di situ. Di hujung bucu bintang itu pula, terdapt bulatan-bulatan bersaiz kecil. Amnina menyalakan lima batang lilin yang dibawanya dan meletakkannya di dalam bulatan kecil itu. Kemudian dia duduk bersila di tengah-tengah bulatan itu. Dia memejamkan mata sambil mulutnya terkumat-kamit membaca mantera. Haziq melopong melihat segala kelakuan Amnina.

Keesokan harinya Haziq ingin terus memerhatikan Amnina. Kali ini Amnina tidak lagi tinggal seorang diri di kelas. Dia memilih untuk pergi ke markas rahsianya di belakang sekolah. Dia cepat-cepat mengemaskan begnya dan terus berjalan keluar dari kelas.

Terkocoh-kocoh Haziq ingin mengekori Amnina. Fauzi berasa hairan dengan tindak-tanduk kawan di sebelahnya itu. Amnina pula berjalan dengan pantas kerana berasa dirinya diperhatikan. Akhirnya dia sampai di kawasan lapang di hutan belakang sekolah. Dia berlari untuk sampai ke situ. Tercungap-cungap. Dia mengeluarkan Laeveteinn yang ditanam di suatu tempat di kawasan lapang itu. Haziq pula hanya memerhatikan dari dalam semak. Amnina mula menghayunkan penyapu itu seolah-olah sedang menghayunkan pedang. Dia melibas-libas angin.

Haziq mula berjalan untuk mencari tempat yang lebih selamat untuk menyembunyikan diri. Tiba-tiba dia terpijak ranting patah. Bunyi kuat ranting patah itu menarik perhatian Amnina. Haziq pula terkejut dan berdiri menunjukkan dirinya kepada Amnina. Dia akur. Dia pun terus berjalan untuk menghampiri Amnina. Amnina bertindak mengubah posisinya berdiri. Apabila Haziq semakin hampir dengan Amnina, Amnina mula menghalakan penyapu itu ke muka Haziq. Lagaknya seperti ingin menyerang Haziq.

"Jangan dekat, mr. administrative bureau."

"Administrative bureau?"

"Kamu mesti telah dihantar untuk menjejaki saya bukan, Hazaqa...Hazaqo...."

"Haziq," potong Haziq apabila mendengar Amnina tidak menyebut namanya dengan betul.

"Cakap, siapa sebenarnya yang hantar kamu ke mari?" ugut Amnina. Haziq hanya tersenyum melihat telatah Amnina.

"Kamu mesti ingin menghapuskan magistra seperti saya, kan? Kalau boleh pihak kamu ingin memadam kewujudan magis dan magistra seperti saya kan?" Amnina sudah mula mengeluarkan kata-kata chuuni-nya. Haziq hanya mendiamkan diri sahaja.

Amnina mula bertindak menghayunkan Laeveteinn pula. Haziq hanya mengelak. Satu pun tidak mengena pada Haziq. Akhirnya tangan kanan Haziq menepis penyapu yang dihayunkan ke arahnya. Dia memegang kuat penyapu itu. Amnina tidak dapat menarik penyapunya kembali.

"Kamu nak buat apa hayun penyapu ni pada saya?" tanya Haziq pada Amnina.

"Ini bukan penyapu, ini Laeveteinn," jawab Amnina selamba.

"Laeveteinn?" Haziq menyebutnya dengan sebutan yang sempurna. Dia bertindak melepaskan penyapu itu. Amnina yang daripada tadi tidak berhenti menarik penyapunya terjatuh ke belakang.

"Chuunibyou? Is she delusional?" monolog Haziq perlahan.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.