Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,203
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 8

Sudah bertahun-tahun Amnina berkelakuan aneh sebegitu tanpa ada sesiapa yang mempedulikannya. Bagi ayahnya, lebih baik dia sebegitu daripada menjadi agresif dan mudah marah. Sekurang-kurangnya tidak lagi mengganggu orang lain. Bagi Badariah pula, dia hanya mampu berdiam diri dengan tingkah laku anak bongsunya itu. Dia tidak mampu lagi untuk melenturkan sikap anaknya yang degil. Saban hari, bergenangan air mata Badariah mengenangkan apa yang telah terjadi kepada anaknya. Dia hanya mampu menebalkan telinganya mendengar umpatan orang kampung tentang anaknya. Abang dan kakaknya seperti biasa tidak mengambil peduli langsung tentang perihal adik mereka.

Kini, usia Amnina sudah mencecah 17 tahun. Dia bakal menduduki peperiksaan SPM beberapa bulan sahaja lagi. Para pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Alam Flora sibuk membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan itu tidak lama lagi. Ada juga yang sudah mula merancang untuk mengambil kursus apa di universiti. Malah ada juga yang sedang berkira-kira pekerjaan apa yang bakal mereka pilih selepas bergraduasi nanti. Peperiksaan SPM amat penting bagi mereka kerana ia bakal menentukan masa hadapan mereka.

"Farah, lepas habis SPM kau nak ambil course apa lepas ni?"

"Pendidikan," jawab rakannya ringkas.

"Kau pula?" Giliran dia pula mengajukan soalan yang sama.

"Aku, human resource kot," jawab si penanya tadi.

Amnina yang duduk di kerusi berhadapan mereka berdua hanya mendengar perbualan mereka. Dia pun mula berkira-kira tentang masa hadapannya pula. Apakah kerjaya yang dipilih Amnina untuk masa hadapannya?

Saintis?

Bukan.

Jurutera?

Pun bukan.

Pensyarah?

Jauh sekali.

Kerjaya yang dipilih Amnina tidak lain tidak bukan ialah ahli magis. Ya, anda tidak silap membacanya. Itulah kerjaya pilihan Amnina. Itulah masa hadapan yang cerah bagi Amnina.

Walaupun usianya sudah menginjak 17 tahun, dia masih lagi berada di alam fantasinya. Semasa melayari internet, Amnina sedang tercari-cari jika ada akademi magis seperti dalam filem genre fantasi yang selalu ditontonnya atau mana-mana universiti yang menawarkan kursus yang sewaktu dengannya.

Dia berasa seluruh dunia ini sedang berkonspirasi, sengaja menyorokkan kebenaran dari matanya. Dia menyalahkan ilmu sains sebagai punca kenapa ilmu magis disisihkan malah cuba disorokkan daripada pandangan masyarakat. Dia sangat membenci ilmu itu. Dia berasa kalau ilmu sains tidak wujud lagi bagus, supaya dia boleh menghadapi masa hadapan yang lebih cerah.

Pada waktu rehat, seperti biasa Amnina sedang bermain-main dengan Laeveteinn-nya di kawasan lapang di hutan belakang sekolah. Gelagat Amnina mencuri tumpuan seorang pelajar lelaki tingkatan lima.

Haziq Zakaria, nama itu tidak asing lagi bagi para pelajar di sekolah itu. Dia merupakan pelajar paling cemerlang di sekolahnya. Sejak dia berpindah ke sekolah itu setahun lalu, Fatin Nadya bukan lagi pelajar terpintar di sekolah itu. Sebelum ini pun, Fatin Nadya hanya menumpang tuah sahaja selepas Amnina mengundurkan diri.

Semasa Amnina cuba menghayunkan penyapu yang diambil dari kelasnya yang dikatakan Laeveteinn tiba-tiba sahaja Haziq muncul di hadapan Amnina menahan penyapu itu dengan sebelah tangannya.

"Apa lagi yang kau nak dari aku, Haziq?" tanya Amnina sambil membelakangkan Haziq. Memprotes.

"Sudah-sudahlah tu Amnina Batrisya, keluar dari alam fantasimu itu dan kembalilah ke alam realiti."

"Kau dengki dengan akukan, mr. administrative bureau." Haziq hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengar reaksi Amnina.

"Benda-benda yang kau buat tu semua boleh beri kesan ke? Wujud ke semua benda yang kau percaya tu?"

"Itu sebab dalam dunia ini ada terlampau banyak aura anti-magis terutamanya daripada parasit macam kau ni." Amnina mendengus marah. Dia memandang tajam Haziq.

Haziq menarik nafas dalam-dalam dan memulakan bicara, "Amnina, kau ada bukti ke tentang kewujudan mana, anti-magis semua tu. Kalau kau ada bukti, tunjukkan macam mana cara kau buktikan kewujudannya, cara kau menghubungkaitkan sesuatu fenomena yang boleh diperhatikan dengan benda-benda yang kau kata wujud tu."

Amnina terdiam seketika. Lidahnya kelu untuk berbicara.

Kemudian Haziq menyambung lagi, "Kau juga kena tunjukkan pada aku cara kau mengumpulkan data, dan kemudian cara kau menafsirkan data, cara kau mengawal pembolehubah dan faktor-faktor lain yang boleh mengganggu eksperimen kau untuk buktikan teori-teori kau tu."

Amnina mula berasa marah lalu menghayunkan Laeveteinn ke arah Haziq. Haziq menepis dengan tangannya.

"Oh ya, seperkara lagi sumber-sumber kau tu mestilah yang boleh dipercayai bukan daripada blog-blog picisan atau daripada kata-kata orang, paling kurang pun rujuklah buku. Buku pun mestilah buku yang menambahkan ilmu, yang memberi manfaat, bukannya buku yang tidak memberi sebarang faedah," Panjang lebar Haziq menerangkan kepada Amnina sambil tangannya terus-menerus menepis serangan daripada Amnina.

"Diam! Kau tak tahu apa-apa pun, aku tahu kau cuma dengki dengan akukan Haziq Zakaria Bin Badrul Zaman," marah Amnina sambil menjegilkan mata kepada Haziq.

Dia telah berhenti daripada terus menghayunkan Laeveteinn. Amnina tercungap-cungap. Amnina terus berlari meninggalkan Haziq keseorangan di hutan tanpa menoleh. Hatinya bagai dihiris-hiris. Dia tidak mempedulikan semak belukar yang dilanggarnya. Bergenang air matanya mendengar sindiran pedas daripada Haziq itu. Selalunya dia tidak kisah kalau orang menyangkal segala kata-katanya. Namun begitu, kata-kata Haziq pada hari ini benar-benar menusuk qalbunya.

Suatu ketika dahulu dia juga berfikiran seperti Haziq, memandang kejadian alam melalui kaca mata saintifik. Namun begitu, sekarang dia telah berubah. Dia tidak dapat mengubah takdirnya, takdir untuk menjadi seperti itu. Dia tidak mampu melawan.

Pemikiran bapanya sangat konservatif. Dia menentang keras cita-cita Amnina sejak dari mula lagi Amnina menunjukkan minat dalam bidang sains. Ibunya pula langsung tidak mendorong Amnina mengejar cita-citanya. Abang dan kakaknya langsung tidak menunjukkan minat dalam bidang sains, tidak pernah mengambil tahu apatah lagi mengajar Amnina.

Dia sampai di satu blok lama sekolah. Dia menyandarkan dirinya ke dinding lalu memandang langit. Dia perlahan-lahan duduk menyandar ke dinding. Dia menangis teresak-esak sambil memeluk lutut. Langit sedikit demi sedikit dipenuhi awan mendung dan akhirnya menitiskan air hujan ke permukaan bumi. Hujan turun renyai-renyai mengiringi Amnina yang sedang berduka.

Amnina memandang ke langit yang kelabu sambil berkata, "Kau tak faham Haziq, kehidupan kita tak sama. Ibu dan ayahmu mesti dah support kau untuk kejar cita-cita kau, minat kau. Kehidupan kau dikelilingi dengan suasana budaya ilmu dan pemikiran saintifik. Aku pula...."

Amnina tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Dia teresak-esak menangis. Kemudian dia menyambung, "Aku pula dikelilingi orang-orang yang bodoh, kolot, ketinggalan zaman. Aku takda pilihan, aku kena ikut kata mereka. Jika tidak dituduhnya aku kafir, tak percaya masuk neraka. Paling teruk mak ayah aku sendiri benci dengan apa yang aku minat. Mereka tak pernah nak dorong aku. Kalau aku melawan nanti aku derhaka. Aku taknak jadi anak derhaka." Kata-katanya terhenti di situ. Kemudian disambung pula dengan tangisan yang berpanjangan.

Amnina telah lama memerhatikan Haziq sejak dia mula berpindah ke sekolah itu. Dia banyak mendengar tentang Haziq daripada rakan-rakan sekelasnya. Dia berasa cemburu dengan kehidupan yang dimiliki Haziq. Haziq memiliki segala kehidupan yang dia mahukan. Ibu dan bapanya banyak mendorong Haziq dalam minatnya. Pemikiran saintifik dan budaya ilmu telah didedahkan sejak daripada awal. Cara dia melihat dunia, cara dia berfikir, cara dia membuat keputusan dan cara dia bertindak.

Haziq ditinggalkan seorang diri di hutan belakang sekolah duduk tertunduk. Lalu dia berbicara, "Maafkan kekasaran aku Amnina. Aku terpaksa melakukan sebegini untuk menyedarkan kau. Kau sudah terlalu jauh menyimpang. Suatu masa dahulu, kau seorang yang sangat pintar. Cikgu Suriya yang menceritakan kesemuanya pada aku." Dia bercakap seorang diri dalam keadaan basah-kuyup dek dtimpa air hujan.
Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.