Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,201
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 3

Suatu petang di rumah Tuan Haji Zainal.

"Yah, aku rasakan anak kau tu patut dibawa berjumpa dengan tok bomohlah," kata Mak Cik Ani, ibu saudara kepada Amnina kepada Puan Badariah.

"Eh, kenapa pula?" Puan Badariah tidak mengerti.

"Yelah aku rasalah kelakuan ganjil anak kau tu mungkin disebabkan gangguan makhluk halus."

"Ish. Taknaklah aku kan syirik semua tu. Kang tak pasal-pasal pula ibadat aku tak diterima 40 hari. Taknaklah aku Kak Ani."

"Kau ni Yah jangan main pukul rata je. Kau tak pernah dengar ke tentang ilmu hitam dan ilmu putih."

"Ilmu hitam ilmu putih apa tu?"

"Yang kau kata syirik tu ilmu hitam, tapi ilmu putih ni yang dibenarkan dalam Islam. Senang cerita pengamal ilmu putih tu sebenarnya pengamal perubatan Islam."

"Ooo... macam tu ke...." Melopong Puan Badariah mendengar penerangan panjang lebar kakaknya itu.

"Tapi macam mana nak bezakan yang bomoh syirik atau pengamal perubatan Islam?" tanya Puan Badariah kepada Kak Ani setelah beberapa saat mendiamkan diri.

"Okey, takpe takpe nanti akak rekomenkan beberapa ustaz yang boleh tolong kau. Bolehlah kamu cuba."

"Eh, apalah kau ni susah-susah Ani, Pak Karim tu kan pandai ubatkan orang," celah Maimunah sepupu kepada Kamaludin dan Kak Ani mengejutkan mereka berdua. Pak Karim yang Maimunah maksudkan ialah saudara jauh kepada mereka yang menetap di hujung kampung.

"Kau bila sampai Munah, tiba-tiba je menyampuk tak beri salam?" soal Kak Ani kepada Maimunah.

"Lama dah. Tengok korang sedap menyembang tak jadilah aku nak menegur," jawab Maimunah kepada soalan Kak Ani.

Maimunah terus beralih kepada Badariah seraya bertanya kepadanya, "Apa hal ni Yah? Siapa yang kena ganggu sebenarnya?" Maimunah tidak tahu menahu akan hal Amnina kerana dia tidak tinggal sekampung dengan mereka.

"Anak aku tu, Nina," jawab Badariah acuh tak acuh.

"Nina!" Maimunah agak terkejut mendengar jawapan daripada Badariah.

Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di halaman rumah Tuan Haji Zainal yang luas itu. Beberapa orang lelaki juga sedang sibuk bersembang di serambi rumah itu. Sementara itu pula, di bawah sebatang pohon yang rendang yang ditanam di hadapan rumah itu kelihatan Amnina sedang duduk mencangkung, asyik memerhatikan sekumpulan semut yang berbaris menuju ke sarang. Perbuatan janggalnya itu dianggap lucu oleh sepupunya yang lain. Mereka hanya mentertawakan Amnina. Afrina dan Afnan hanya menggelengkan kepala melihat Amnina. Malas mahu masuk campur.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bertindak menolak Amnina sampai jatuh tergolek. Tidak cukup dengan itu, tudung Amnina ditarik-tarik sambil ditertawakan oleh yang lain-lain.

"Budak gila! Budak gila!" jerit salah seorang daripada mereka. Kata-katanya itu disambut oleh hilaian tawa daripada yang lain. Kanak-kanak lain yang berada di situ hanya melihat, tidak berani masuk campur termasuklah Afnan dan Afrina.

"Yeke Pak Karim tu pandai ubatkan orang? Kenapa aku tak tahu pun?" tanya Badariah hampir tidak percaya.

"Eh, Kamal takda bagitahu kau ke Yah?" soal Maimunah kepada Badariah. Badariah hanya menggeleng.

"Eh, dia tu hebatlah, dengar cerita pesakit baru sampai kat tangga rumah dia terus pengsan sebab hantu dalam badan dia terlampau takut," tambah Maimunah pula melebih-lebih.

"Iye Yah, lagi kak ada dengar juga dia pernah keluarkan 10 ekor jin dan tangkap masuk dalam botol." Kak Ani pula menambah perisa.

"Lepastu dia buat apa dengan jin tu?" soal Badariah tidak sabar-sabar.

Kak Ani dan Maimunah menjawab hampir serentak, "Buang ke lautlah. Takkan disimpan pula,"

Perbualan antara mereka bertiga yang rancak itu dikejutkan dengan Afrina dan Afnan yang tergesa-gesa naik ke rumah.

"Apa kecoh-kecoh ni Af, Rina?" tanya Badariah kepada dua orang anaknya itu.

Mereka berdua berebut-rebut untuk menerangkan apa yang sedang berlaku. Terkocoh-kocoh mereka berlima turun ke halaman rumah untuk melihat kekecohan yang berlaku di halaman rumah mereka. Amnina sedang meronta-ronta dipegang oleh Samad, bapa saudaranya. Beberapa orang budak perempuan yang lain sedang menangis ketakutan sambil cuba ditenangkan saudara-mara yang lain. Sementara yang lain, dewasa, remaja dan kanak-kanak turut mengerumuni mereka. Badariah yang baru turun terus merempuh dan menolak orang yang berada di hadapannya sehingga dia berada betul-betul di tengah kumpulan saudara-maranya itu. Dia ingin melihat sendiri dengan mata kepalanya sendiri. Dia terus bertanya apa yang berlaku kepada Samad.

Belum sempat Samad menjawab anak saudaranya yang ketakutan itu bersuara.

"Tadi Nina tiba-tiba sahaja pukul kami. Kami tak kacau dia pun," bohong anak saudaranya itu dalam keadaan esak tangis yang masih bersisa.

"Betul kami tak kacau dia pun," seorang lagi bersuara untuk menyokong kenyataan bohong itu.

Tanpa usul periksa Badariah bertindak menampar Amnina sekuat hatinya sehingga merah pipi Amnina yang putih gebu itu. Amnina tidak melawan. Sebaliknya dia akur sebab dia tahu jika dia cuba membela dirinya hanya akan memburukkan lagi keadaan. Amnina terus ditarik dengan kasar oleh ibunya masuk ke dalam rumah. Sepupu-sepupunya yang membuli Amnina tadi tersenyum puas kerana mereka berjaya memperbodohkan ibu Amnina. Mereka berkumpul dan memulakan bicara sesama mereka dengan suara perlahan, takut didengari oleh orang lain. Hakikatnya mereka yang berada di situ menjadi saksi apa sebenarnya yang berlaku petang itu. Namun begitu, mereka memilih untuk berdiam diri dan membiarkan yang bersalah terlepas begitu sahaja.

"Tulah aku dah pesan tadi sarang tebuan jangan dijolok."

"Sarang tebuan mana pula ni? Kampung ni mana ada tebuan."

"Bukanlah, yang aku maksudkan si Nina tu. Kau ni tak faham peribahasa ke."

"Oh...."

Begitulah kisah kehidupan Amnina Batrisya yang sering menjadi mangsa buli dan kambing hitam hatta dalam kalangan saudara-maranya sekalipun.

*******************

Kamaludin duduk bersandar di serambi rumah bersama saudara-mara yang lain. Mereka sedang berbual-bual kosong. Seperti biasa, sepuntung rokok tidak lekang daripada mulut Kamaludin. Asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya. Tidak seperti saudara-maranya yang sedang asyik berbual, dia memilih untuk berdiam diri. Hatinya runsing memikirkan tentang masalah anak perempuannya. Melihat Kamaludin yang mendiamkan diri sedari tadi, seorang saudaranya menegur Kamaludin.

"Eh Kamal, aku rasa eloklah anak kau tu dibawa berjumpa tok bomoh."

"Yalah, aku setuju dengan cadangan Kasim tu," kata salah seorang lagi mengiakan cadangan itu.

"Eh, kenapa pula?"

"Aku rasa anak kau tu dah kena buatan orang."

"Buatan orang? Kenapa kau cakap macam tu?"

"Yalah. Aneh-aneh aje perangai dia tu. Mesti dia dah kena rasuk jin tadi, sebab tu dia mengamuk tu."

"Betullah, aku pun rasa macam tu. Mungkin orang yang hantar tu dengki dengan keluarga kita, sebab tu jin yang merasuk anak kau tu pukul anak-anak kitorang," celah Samad pula. Logik pemikiran saudara-mara Amnina yang kuat kepercayaannya terhadap karut-marut. Apa-apa sahaja yang berlaku mesti dikaitkan dengan kepercayaan karut-marut.

"Tapi kan, Samad, Kasim, dengan siapa harus saya bawa anak saya ni berjumpa?"

"Kamal, kau ni sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula."

"Apa maksud kau Kasim?" Kamaludin mengerutkan dahinya mendengar Kasim berkias.

"Ala kau ni Bomoh Pak Karimlah, bomoh terkenal kat kampung kita ni." Kasim memberikan cadangannya.

"Yalah, nanti aku cuba, Samad, Kasim. Okeylah aku minta diri dulu." Kamaludin meminta diri lalu masuk ke rumah untuk menemui isterinya. Dia ingin berbincang tentang perkara itu bersama isterinya.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.