Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,202
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 11

"Jadi, Amnina awak dah sedia nak ceritakan masalah awak pada saya?" tanya Puan Suriya dengan lembut.

Amnina hanya mengangguk lemah. Hatinya berasa berat untuk menceritakan masalahnya kepada Puan Suriya. Dia masih lagi berasa kekok untuk bercerita dengan Puan Suriya yang dianggap asing bagi dirinya. Memandangkan dirinya sentiasa diambil kesempatan oleh orang lain dan mempermainkan takdir hidupnya, Amnina menjadi susah untuk mempercayai orang lain. Entah kenapa pada hari itu hatinya terbuka untuk mempercayai Haziq.

Sejurus selepas Haziq memberitahu Amnina tentang Puan Suriya yang prihatin mengenai dirinya, Haziq mengajaknya untuk berjumpa dengan guru itu. Pada mulanya Amnina agak keberatan, namun setelah didesak dan dipujuk oleh Haziq akhirnya Amnina akur.

"Amnina?" panggil Puan Suriya dengan lembut.

Panggilan guru itu mengejutkan lamunan Amnina. Amnina menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya semula. Dadanya masih berasa berat dek terbeban dengan masalah yang menimpa dirinya. Puan Suriya menanti Amnina memulakan bicaranya dengan sabar. Dia mengukirkan senyuman manis kepada Amnina untuk menenangkan dirinya.

"Sebenarnya, ayah dan mak saya tak benarkan saya sambung belajar lagi. Mereka nak suruh saya kahwin terus sebab mereka kata saya takda masa depan. Saya pun tak tahu nak buat apa." Amnina menerangkan masalah yang dihadapinya kepada Puan Suriya dengan berhati-hati.

Puan Suriya berasa amat terkejut dengan masakah yang dihadapi Amnina. Dia amat tidak menyangka bahawa ibu dan bapanya sanggup melakukan sebegitu pada Amnina.

Puan Suriya meletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu Amnina lalu berkata, "Takpalah, Amnina. Nanti cikgu pujuk mak dan ayah kamu boleh?" Amnina hanya mampu mengangguk perlahan. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.

******************

Badariah menghidangkan kopi panas berserta sepiring biskut tawar kepada Puan Suriya yang telah pun berada di rumah Amnina. Kamaludin merenung Puan Suriya dengan wajah masam mencuka, tanda tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan kepadanya tadi. Amnina pula hanya mampu memerhatikan dari balik dinding ruang sorong rumahnya. Dia amat berharap Puan Suriya dapat melenturkan hati bapanya yang lebih keras dari batu itu. Ibunya pula hanya akan menurut sahaja kata suaminya itu.

"Sila duduk sekali, puan. Saya nak bincang hal ini dengan puan sekali," pinta Puan Suriya kepada Badariah. Badariah melabuhkan punggungnya di salah satu kerusi di ruang sorong itu seperti yang dipinta.

"Saya harap encik dapat pertimbangkan apa yang telah saya cakapkan tadi. Ini untuk masa depan Amnina juga, anak encik." Puan Suriya menyambung bicaranya yang tergendala tadi.

Kamaludin terus diam membisu tidak memberi sebarang keputusan lagi mengenai permintaan Puan Suriya. Badariah pula hanya menantikan keputusan suaminya. Amnina yang dari tadi mengintai dari balik dinding memanjatkan doa kepada Tuhan agar melembutkan hati bapanya.

"Ehem...." setelah lama diam membisu, Kamaludin berdehem untuk memulakan bicaranya.

"Saya bukan apa Puan, saya risau Nina tu tak boleh bawa diri dia masa di U nanti. Nina tu bukannya sihat sangat."

"Encik, saya dah lama perhatikan anak encik. Dia merupakan pelajar yang pintar dan mempunyai potensi. Rugi jika kita sia-siakan masa depannya macam tu sahaja. Pasal perangai dia tu, biar saya yang tolong bentukkan dia supaya dia boleh bawa diri nanti," hujah Puan Suriya dengan panjang lebar.

"Yalah, ayah. Benarkanlah saya pergi sambung belajar lagi. Abang Af dan Kak Rina tu boleh, kenapa pula Nina tak boleh?" Giliran Amnina pula mengeluarkan hujahnya. Amnina pun tidak tahu bagaimana dia boleh ada keberanian untuk bercakap sebegitu di hadapan bapanya yang seperti singa jantan ini. Kamaludin memandang wajah anak perempuannya itu sekilas dengan wajah marah.

"Tapi, abang dan kakak kamu tu boleh bawa diri masing-masing. Diorang mana ada sakit macam kamu tu, Nina!" Suara bapanya bertukar garang. Nada suaranya sudah naik satu oktaf. Lidah Amnina menjadi kelu untuk berbicara lagi untuk membalas kata-kata bapanya itu.

Badariah sudah mula membuat isyarat kepada Amnina supaya pergi ke ruang tengah dan usah campuri urusan mereka. Riak wajah ibunya bertukar garang. Amnina berasa serba salah. Dia tidak mahu mengalah dengan bapanya dan melarikan diri lagi daripada masalahnya itu. Puan Suriya tersenyum kepada Amnina untuk mengikut kata ibunya. Amnina akur lalu mengundur diri. Dia mahu mempercayai Puan Suriya kali ini.

"Encik, seperti yang saya cakapkan tadi, saya akan tolong anak encik untuk memperbetulkan tingkah lakunya. Encik tak perlu risau." Puan Suriya masih lagi tidak berputus asa. Lama Kamaludin mendiamkan dirinya. Puan Suriya terus menanti dengan penuh sabar.

"Baiklah, saya akan benarkan Nina sambung belajar sekiranya pelajarannya cemerlang dan kelakuannya baik dalam masa yang terdekat ni," balas Kamaludin dengan tenang. Amnina yang terus mencuri dengar dari balik dinding terus melonjak kegirangan. Dia berasa amat bersyukur kerana bapanya berlembut hati dengannya juga akhirnya.

"Macam mana pula dengan kamu puan?" Puan Suriya mengajukan soalan kepada Badariah pula.

"Saya ikut aje suami saya." Ringkas jawapan ibunya. Puan Suriya tersenyum mendengar keputusan yang diambil oleh ibu dan bapa Amnina. Selepas beberapa minit berbual, akhirnya Puan Suriya meminta dirinya untuk pulang.

"Cikgu, terima kasih banyak ya. Saya berharap sangat cikgu dapat tolong anak saya tu. Dia tu sakit," rayu Badariah dengan suara sayu.

"Sama-sama. Puan jangan risau. Saya akan sentiasa tengok-tengokkan anak puan tu. Dia pun sebenarnya dah berubah sejak dua tiga hari ni. Okey saya balik dulu ya puan. Assalamualaikum," kata Puan Suriya menenangkan Badariah.

Kamaludin dan Badariah menghantar Puan Suriya balik dengan pandangan mereka. Sementara itu pula, Amnina menitiskan air matanya kerana terharu dengan pertolongan gurunya itu yang berjaya melembutkan hati bapanya itu.

"Amnina, kau termenung apa tu?" Teguran Haziq mengejutkan lamunan Amnina. Dia terus menyambung semula latihan matematik tambahan yang dibuatnya bersama Haziq di rumah Haziq.

"Takda apa-apalah. Aku tak berapa faham part yang ni. Kau boleh tolong ajarkan aku tak?" pinta Amnina sambil tersengih-sengih.

Jari telunjuknya menunjukkan sebuah persamaan matematik di buku teks miliknya. Tanpa membuang masa, Haziq terus mengajarkan persamaan itu kepada Amnina. Amnina pula mendengarnya dengan tekun. Dia berasa begitu bersemangat untuk mengulangkaji pelajarannya, sama seperti masa dia mula-mula bercinta dengan ilmu pengetahuan.

Haziq mengajak Amnina untuk mengulangkaji pelajaran bersamanya bagi memastikan Amnina dapat mengikuti semula apa yang diajar di sekolah. Amnina tidak mempunyai masalah untuk mengikuti semula apa yang diajar di sekolah kerana dia merupakan pelajar yang pintar.

Sementara itu, Amnina sudah berhenti melakukan aktiviti peliknya di sekolah kerana telah dikembalikan ke realiti oleh Haziq. Puan Suriya pula berpuas hati dengan prestasi akademik Amnina dan kelakuannya.

"Haziq, kenapa kau beria sangat nak tolong aku ni?" tanya Amnina suatu hari kepada Haziq. Haziq terkejut dengan soalan Amnina secara tiba-tiba.

"Do I really need a reason to help people?" tanya Haziq semula. Amnina mengangguk laju sebagai balasan kepada pertanyaan itu. Haziq mendongak ke langit sambil kedua-dua tangannya menongkat ke belakang. Dia menghela nafas berat.

"Entahlah. Mungkin sebab saya tertarik dengan keunikan awak," balas Haziq dengan nada selamba. Dia melemparkan senyuman kepada Amnina. Muka Amnina merah padam apabila mendengar perkataan unik itu dari mulut Haziq.

"Unik? Kau kata aku ni unik?" Amnina bertanya lagi kerana hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Haziq memandang Amnina semula dan mengangguk laju. Bibirnya masih mengukirkan senyuman.

"Sebab masa mula-mula saya pindah sini, awak satu-satunya pelajar kelas kita yang tak pandang saya langsung. Sebaliknya awak asyik memerhatikan langit yang membiru itu," ujar Haziq sambil jari telunjuknya menuding ke arah langit yang membiru.

Muka Amnina bertambah merah padam apabila Haziq berkata sebegitu kepadanya, dia tidak tahu sama ada dia marah atau malu pada masa itu. Dia sendiri pun tidak ingat langsung apa yang dia sedang lakukan pada hari di mana Haziq mula berpindah di sekolahnya. Lidahnya menjadi kelu untuk berbicara. Dia terus memalingkan wajahnya kerana berasa malu dengan tingkahnya dahulu di kelas.

"Oh ya, Amnina. Sebelum saya lupa. Awak lepas ni nak lanjutkan pelajaran dalam bidang apa?" suara Haziq memecahkan kesunyian yang terjadi beberapa minit yang lalu.

"Kau tanya aku ke?" tanya Amnina lagi menginginkan kepastian. Haziq mengangguk laju tidak sabar-sabar untuk mendengar jawapan daripada mulut Amnina.

"Aku rasa nak lanjutkan pelajaran dalam bidang sainslah, aku nak jadi saintis sebenarnya," jawab Amnina dengan jujur.

"Saintis? Betul ke ni Amnina?" Haziq bertanyakan semula kepada Amnina inginkan kepastian. Tubuhnya yang sedang bersandar tadi ditegakkan ke hadapan. Dia pun tidak tahu kenapa dirinya berasa teruja secara tiba-tiba.

"Cita-cita saya sama dengan awak, Amnina," kata Haziq lagi. Senyuman yang diukir tadi masih lekang di bibirnya. Amnina pula masih tidak mengerti kenapa Haziq kelihatan teruja di sebelahnya.

Previous: BAB 10
Next: EPILOG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.