Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,196
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 9

Hujan telah berhenti turun sebaik sahaja selesai sesi persekolahan. Air sudah mula bertakung membentuk lopak air di sana-sini. Amnina berjalan untuk pulang ke rumahnya. Dia berjalan pantas tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Sesekali lopak air yang dipijaknya memercikkan air ke arah Amnina tetapi dia tidak peduli. Dia ingin cepat sampai ke rumah. Ada sesuatu yang dia perlu lakukan segera sebaik sahaja pulang ke rumah. Matanya merah akibat terlalu lama menangis. Tanpa memberi salam, dia terus meluru masuk ke bilik. Bilik itu yang menjadi perkongsian antara dia dan kakaknya, Afrina kini menjadi milik dia seorang.

Kakaknya Afrina telah melanjutkan pelajaran ke menara gading dalam bidang pendidikan. Abang sulungnya Afnan juga melanjutkan pelajarannya dalam bidang sains pertanian kerana ingin mengikut jejak langkah bapanya dan mengembangkan lagi perniagaannya.

Dia menghempas begnya dengan kasar. Dia terus mengumpulkan segala buku-buku mistik dan barang-barang mistik kepunyaannya. Dia meletakkan semua barang-barang itu ke dalam kotak yang diambil dari dapur rumahnya. Amnina menyeka peluh di dahi. Tercungap-cungap Amnina membawa buku-buku itu semua ke halaman belakang rumah. Dia mengambil mancis di dapur dan menyalakan api ke atas barang-barang yang telah disusun di belakang rumahnya. Api pun menyala dan asap pun berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Kali ini dia tidak lagi berminat untuk melakukan ritual tarian mengelilingi api seperti yang selalu dilakukan di sekolah, ketika dia didenda. Dia hanya duduk sambil memerhati.

Hatinya berasa sayu mengenangkan masa lalunya yang hancur. Dia telah menghancurkan kehidupannya selama bertahun-tahun dengan perkara yang merosakkan akal. Dia ingin membuang semua perkara berkaitan masa lalunya. Apa yang dipercayainya, apa yang difikirkannya, cara dia menilai kehidupan, cara dia bertindak dan mengambil keputusan, cara dia melihat dunia ini, malah cara kehidupannya semua sia-sia belaka. Jiwanya terasa kosong sekarang.

"Nina, apa yang Nina bakar tu?" laung ibunya baru pulang dari kebun.

"Nina bakar barang-barang lama Nina, dah tak pakai dah," jawab Nina terkejut dengan laungan ibunya.

"Eloklah tu, elok kau bakar sekali buku-buku sekolah kau tu, Nina bukannya guna lagi lepas ni kan?" Saranan ibunya mengejutkan Amnina. Fikirnya, ibunya masih memanggil berat tentang pelajaran anaknya itu.

"Tapi mak, SPM tinggal beberapa bulan je lagi. Nina nak guna lagi untuk belajar."

"Nina nak belajar buat apa, Nina bukannya pandai pun?" Amnina belum sempat menghabiskan kata-katanya tetapi sudah dipotong ibunya.

"Sudah, lepas habis SPM nanti Nina kahwin jelah dengan anak Pak Karim tu." Amnina membeliakkan matanya tatkala mendengar ibunya berkata sebegitu.

"Mak ni dah tua, tak larat dah nak bela Nina lagi, lagipun eloklah Nina kahwin dengan anak Pak Karim tu, dia kan kaya ada kereta besar, rumah dua tingkat."

"Dia pun ada mewarisi ilmu mengubat orang daripada bapa dia, boleh dia tengokkan Nina sekali, kan sakit Nina tu kadang-kadang datang balik," sambung Badariah menjelaskan alasannya kenapa dia meminta Amnina untuk berbuat begitu.

"Nina taknaklah kahwin dengan Leman yang dah berumur tu, kaya tapi rezeki haram nak buat apa." Laju sahaja kata-kata itu terpacul keluar daripada mulutnya. Dia tidak tahu kenapa hari ini lancang benar mulutnya berbicara. Selalunya lidahnya kelu untuk melawan kata-kata ibunya itu.

"Apa Nina cakap, rezeki haram! Nina jangan nak tuduh sebarangan. Dia tu belajar agama dekat pesantren di Indonesia sana, Nina tu belajar agama sampai SPM aje. Nina tahu apa."

"Belajar agama ke, belajar ilmu hitam?" jawab Amnina dengan nada memerli. Amnina terus masuk ke rumah meninggalkan ibunya keseorangan di luar rumah.

"Eh, tunggu Nina mak belum habis cakap lagi!" Puan Badariah bertindak mengejar Amnina masuk ke rumah.

Sampai sahaja di bilik Amnina terus menutup pintu biliknya dengan kasar. Dia menangis teresak-esak. Hatinya berasa pedih bagai dihiris-hiris dengan sembilu pada saat ini. Dia tidak menyangka ibunya akan mengambil tindakan yang drastik begitu sekali. Ibunya langsung tidak berbincang dengan dia terlebih dahulu.

Tunggu, sejak bilakah Amnina dibenarkan membuat keputusan sendiri sejak dia berada di rumah ini?

Sejak bilakah kata-katanya dan rintihan hatinya didengari sejak dia dibesarkan dalam keluarga ini?

Dia berasa dia dianggap seperti objek yang tidak mempunyai perasaan, boleh diperlakukan sesuka hati sahaja. Seluruh kehidupan hancur begitu sahaja. Masa hadapannya pula kini kelam. Amnina tidak dapat melihat masa hadapan yang baik buat dirinya lagi. Tambahan pula, ibunya sendiri tidak memberinya ruang langsung untuk menentukan hala tuju hidupnya sendiri.

************************

Amnina mengunyah nasi yang berada di dalam mulutnya perlahan-lahan. Dia makan dalam keadaan tertunduk. Dia berasa amat takut untuk berhadapan dengan ibu dan bapanya pada saat ini. Ibu dan bapanya pula hanya diam sahaja tidak menuturkan sebarang bicara. Suasana pada malam itu begitu sunyi.

Sepanjang petang tadi, dia sudah nekad untuk terus menyambung pelajarannya dengan masa yang berbaki beberapa minggu sahaja lagi. Dia berharap agar rancangannya berjaya untuk memujuk ibu dan bapanya.

Amnina bermonolog dalam hati, "Apa yang kau tunggu lagi Nina, sampai bila kau nak terus hidup macam ni? Ikut je semua macam pak turut. Sampai masa kau kena tentukan juga hidup kau sendiri."

Amnina tiba-tiba sahaja bangun. Dia berdehem untuk mendapat sedikit keyakinan. "Ayah, mak...." Amnina tergagap-gagap.

"Apa!" ujar ayahnya sedikit kasar.

"Nina ingat nak sambung belajar lepas ni sampai masuk U."

Bapanya terus menjawab, "Tak payahlah Nina bukannya pandai pun, tak payahlah nak bazirkan duit mak dengan ayah je." Ibunya hanya mendiamkan diri.

"Tapi Nina ingat nak tunggu sampai result SPM keluar. Kalau result okey, boleh ayah benarkan Nina tentukan masa depan Nina sendiri? Boleh kan?" Nina cuba berunding.

"Kamu ingat masa depan kamu terjamin sangat ke kalau masuk U? Syafiq anak Pak Mat hujung kampung sana tu lepas habis duit beribu-ribu masuk U, balik sini takda kerja, menganggur je." Ayahnya cuba berhujah. Nina terdiam tidak tahu bagaimana mahu membalas hujah ayahnya.

"Kalau kamu kahwin dengan Leman terjamin masa depan kamu. Kurang-kurang dia dah ada rumah, dah ada kereta. Kurang-kurang kamu cukup makan pakai kalau dia bela kamu." Ayahnya terus berhujah lagi.

Berderau darah Amnina apabila mendengar bapanya menyebut nama Leman. Dia baru sahaja ingin keluar daripada kepompong pemikiran kolot dan tahyul masyarakat kampung. Keinginannya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah supaya dia boleh keluar daripada pemikiran seperti itu. Dia percaya dengan menuntut ilmu akan membuka matanya kepada jendela dunia dan membebaskan fikirannya daripada pemikiran tahyul masyarakat kampung. Disebabkan itulah dia mahu menjadi seperti dirinya yang dahulu, Amnina yang gigih menuntut ilmu.

"Sudahlah tu Nina. Dengarlah cakap ayah ni. Sejuk hati mak dengan ayah ni kalau Nina dengar cakap kami. Lagipun Nina, perempuan belajar tinggi mana pun sudahnya ke dapur juga." Ibunya yang dari tadi mendiamkan diri tiba-tiba sahaja bersuara.

Amnina membulatkan kedua-dua matanya yang bundar, tidak percaya dengan apa yang didengarnya daripada ibu dan ayahnya. Amnina tertunduk, sedih dan kecewa dengan sikap ibu dan bapanya. Mereka tidak pernah berubah. Mereka langsung tidak mementingkan akademik anak-anak mereka.

"Nina tak peduli, Nina tetap nak sambung belajar, dan jangan sebut pasal Leman atau Pak Karim depan Nina lagi." Tegas Nina bersuara.

Kamaludin dan Badariah berpandangan sesama sendiri. Mereka kaget. Mereka tidak menyangka bahawa suatu hari Amnina akan melawan cakap mereka berdua. Pada kebiasaannya Amnina sangat patuh kepada kata-kata mereka, sedikit pun tidak melawan.

"Tapi Nina ni untuk kebaikan Nina juga." Lembut sahaja Badariah memujuk Amnina.

"Nina jangan nak melawan cakap ayah! Nina nak jadi anak derhaka ke?! Berdosa tahu tak!" Manakala Kamaludin menggunakan pendekatan yang lebih kasar.

Amnina terus berlari masuk ke bilik. Dia tidak lagi berselera untuk makan. Pintu biliknya dihempas dengan sekuat hati.

Dia duduk memeluk lutut sambil tertunduk di atas katil. Sedikit demi sedikit air matanya mengalir ke pipinya yang gebu. Turun naik nafasnya berselang-seli dengan esakan tangis yang semakin lama semakin kuat.

"Kenapa?"

"Kenapa hidup aku macam ni?"

"Kenapa susah sangat bagi aku untuk keluar daripada penjara ni?"

"Kenapa bila aku mahu keluar daripada belenggu yang merantai kebebasanku, ada sahaja halangannya."

"Kenapa tidak boleh untuk aku menggapai impianku? Kenapa orang lain boleh?"

"Kenapa tiada siapa pun yang datang selamatkan aku, bebaskan aku, bawa aku keluar daripada dunia ini?"

"Kenapa tiada siapa pun faham masalah aku?"

"Kenapa orang yang paling aku percaya dalam hidupku mengkhianati kepercayaanku?"

Persoalan demi persoalan yang Amnina lontarkan dibiarkan tidak terjawab. Amnina tiada jawapan untuk segala persoalannya. Tiada siapa pun mempunyai jawapan kepada soalan-soalannya.

"Aku rasa diriku seperti dirantai dengan besi, ya rantai besi," monolog Amnina lagi.

Dia yang sedang menunduk mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Pergerakannya amat perlahan seolah-olah masa sedang diperlahankan. Keadaan di bilik itu sunyi sekali, tanpa sebarang suara. Lama dia termenung sambil matanya merenung kipas bilik sedang berpusing. Dia tidak bergerak. Sedikit pun tidak. Lama dia dalam keadaan sebegitu.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia pun bingkas bangun daripada katilnya. Dia keluar daripada biliknya. Dalam keadaan senyap, dia menuju ke stor rumahnya. Dia tidak mahu ibu bapanya tahu apa yang sedang dirancangnya.

Stor rumahnya terletak di bangunan yang berasingan daripada rumahnya. Dia mesti keluar melalui pintu dapur untuk pergi ke stor rumahnya. Dia mengambil kunci rumah yang digantung di ruang tamu lalu pergi ke dapur. Kunci stor turut tersemat sama dirantai bersama kunci-kunci yang lain. Amnina turut membawa lampu suluh kerana bilik stor itu tidak ada lampu.

Perlahan-lahan dia membuka mangga pintu dapurnya. Kemudian dia menyalakan lampu suluhnya untuk menerangi perjalanan. Selepas beberapa kali mencuba pelbagai jenis kunci, akhirnya pintu stor terbuka. Debu-debu berterbangan semasa dia mula membuka stor itu. Dia bersin kerana allergik dengan debu-debu itu. Terbongkok-bongkok Amnina mencari barang yang diingininya. Satu demi satu barang di dalam stor itu diselongkar. Namun Amnina masih belum berjumpa lagi barang yang dicarinya. Seingatnya dia pernah melihat barang itu tersimpan di dalam stor itu semasa bapanya keluar masuk dari stor itu. Bapanya sering keluar masuk dari stor itu kerana di situlah tempat dia menyimpan peralatan kebunnya.

Amnina hampir sahaja berputus asa. Dia mula berjalan keluar daripada stor itu. Tiba-tiba kakinya terlanggar sesuatu. Dia tidak perasan akan kehadiran barang itu sebab keadaan di stor itu amat gelap. Dia menyuluh ke arah tempat dia terlanggar tadi. Amnina terkejut bukan kepalang. Inilah barang yang dicarinya. Dia mengambilnya lalu menggulungkan barang itu untuk memudahkan dia membawa barang itu. Sebelum keluar, dia sempat mengemas terlebih dahulu stor itu. Dia tidak mahu bapanya mengesyaki apa-apa jika dia mendapati bilik stor itu dalam keadaan berselerak.

Senyap-senyap Amnina naik semula ke rumah. Nasibnya baik kerana kedua-dua ibu dan bapanya tidur awal, pukul 10 malam kebiasaannya. Sudah menjadi adat orang kampung untuk tidur awal lebih-lebih lagi mereka yang berkerja berat seperti ayahnya. Sampai sahaja di bilik, Amnina menyimpan barang itu ke dalam beg sekolahnya. Dia merancang untuk membawa barang itu ke sekolah pada keesokan harinya.


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.