Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,383
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

ZAIMduduk bersantai di ruang tamu kondo kediamannya. Inilah tempat yang paling digemarinya apabila duduk berehat dan bersantai jika hari cuti atau tiada aktiviti yang dilakukannya. Apatah lagi dengan ditemani alunan muzik jazz mahupun irama sentimental. Ditambah dengan air kopi panas satu muk besar sebagai peneman setia. Memang layan suasana begini!

Tidak perlu menonton televisyen yang baginya akan mengganggu ketenangannya apatah lagi jika terdengar dan terlihat berita-berita kemalangan, pembunuhan, rompakan mahupun nasihat-nasihat agama daripada ustaz-ustaz dan pakar-pakar motivasi yang terkenal.

Bukan tidak mahu mendengar atau menerima nasihat, tetapi baginya pengakhiran sebuah teguran atau nasihat, sudah pasti dirinya dipersalahkan. Dirinya yang tidak betul. Dirinya itu, dirinya ini! Zaim bosan.

Mengapa setiap apa yang telah berlaku pada dirinya, dia juga yang dipersalahkan? Mengapa tidak ada seorang manusia pun yang mahu memahami dirinya? Mengapa tidak ada seorang pun yang mahu mengambil tahu mengapa dia jadi begini? Jika ada pun yang mahu cuba menasihatinya, semuanya menasihatkan dia agar berubah. Namun, tidak ada seorang pun yang memberi jalan mahupun panduan bagaimana dia ingin berubah!

Huh! Zaim mengeluh lagi. Sekadar nasihat dan menegur, semua orang boleh berkata apa sahaja. Cuba dia orang di tempat aku, apa yang dia orang akan buat? Gerutu hati Zaim.

Zaim sendiri pun tidak minta dilahirkan begini, malah dia sendiri tidak tahu mengapa dia dikurniakan perasaan sebegini dan sejak bila ia bermula. Memilikinaluri yang lebih bersifat feminin walaupun dari segi penampilan dan pemakaiannya, Zaim tetap nampak seperti lelaki yang tulen.

Zaim sudah terbiasa menerima gelaran lelaki lembut daripada kawan-kawannya sama ada semasa zaman kanak-kanak, persekolahan hinggalah zaman pekerjaannya. Memang Zaim akui, dahulu semasa zaman persekolahan, perwatakannya yang sopan itu kadang-kadang mengalahkan budak perempuan.

Namun, percakapannya yang lembut sentiasa pula disenangi oleh budak-budak perempuan berbanding budak-budak lelaki. Justeru itu, kawan-kawannya semuanya terdiri daripada budak-budak perempuan. Biasanya, budak-budak lelaki lebih gemar mengejeknya sotong. Semuanya itu tidak diendahkannya.

Bila usianya meningkat seiring kematangan pemikirannya, Zaim mula menukar imejnya. Apatah lagi dengan kerjayanya yang mantap, dia bisa bergaya mengikut kehendak hatinya. Apa yang Zaim tahu, dia bukannya pondan dan bukannya gay. Dia tetap lelaki yang sejati, cuma lebih sopan berbanding lelaki yang normal.

Untuk itu, Zaim cuba-cuba mengubah dirinya menjadi lelaki metroseksual seperti lebih terarah kepada obses dengan kecantikan dirinya seperti menjaga kulit wajah, bentuk badan, menyukai wangi-wangian dan bedak dan mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan kecantikan dirinya. Itulah mulanya dia digelar Mat Jambu atau Pretty Boy di kalangan rakan-rakannya.

Namun, dalam masa yang sama, Zaim tetap akan lebih terasa hati jika ada di kalangan rakan-rakan memanggilnya dengan panggilan yang kasar. Bagi Zaim, dia juga adalah lelaki normal, diciptakan untuk menjadi lelaki dan Zaim bersyukur dengan kurniaan yang telah diberi. Cuma, kelembutan yang ada pada dirinya tidak dapat disembunyikan walau dia cuba juga berlagak menjadi lelaki maco.

Pengalaman cintanya ditolak mentah-mentah oleh seorang gadis yang diminatinya itu telah mematikan langsung hatinya kepada semua yang bergelar perempuan. Bukan sahaja cintanya ditolak, malah dia dimaki dan disindir habis-habisan, seolah-olah dirinya tidak layak langsung untuk mendapatkan cinta daripada seorang perempuan.

Hati Zaim memang tersentap dan terhiris, namun selepas peristiwa yang menyakitkan hatinya itu, keadaan telah bertukar. Dirinya bagai sentiasa mendapat perhatian daripada ramai lelaki. Ramai lelaki cuba meraih perhatiannya walau semua orang tahu keadaan dirinya yang lembut. Zaim terasa dirinya disayangi dan ada orang yang sudi mengambil tahu tentang dirinya.

Semenjak itu, hati Zaim memang kaldu kepada mereka yang berlainan jenis daripadanya. Buat apa aku nak merendahkan maruahku hanya sekadar menagih cinta daripada seorang perempuan yang ego dan tak berperasaan, sedangkan aku boleh senang-senang mendapat perhatian dan terasa disayangi daripada lelaki-lelaki yang memahami jiwaku!

Malah, aku yang begini boleh membuatkan lelaki-lelaki idaman wanita berpaling dan memberi kasih dan perhatian mereka kepadaku. Jadi, mengapa mesti aku kisah dengan ejekan manusia kepadaku? Itu kata hati Zaim.

Berdendamkah dia kepada semua golongan wanita? Entah! Zaim sendiri tidak tahu. Malas dia mahu memikirkan. Mungkin dia masih belum berjumpa dengan gadis yang benar-benar membuka hati lelakinya. Apa yang mahu difikirkan dan apa yang mahu dikenang adalah momen-momen indah dirinya bersama lelaki-lelaki yang menyayanginya.

Amir, lelaki pertama yang telah melorongkan hatinya menyayangi seorang lelaki. Ketika itu Zaim masih di tingkatan dua, bersekolah asrama penuh. Pada Zaim, Amir yang sebaya dengannya ketika itu merupakan seorang lelaki yang sempurna dan selalu nampak cool.

“Hai, baca magazine apa tu? Khusyuk benar saya tengok.”

Itulah ayat pertama daripada Zaim ketika memulakan perbualan dengan Amir di perpustakaan sekolah dahulu sehingga melanjutkan perkenalannya dengan Amir. Amir hanya tersenyum dengan teguran itu.

“Selalu juga saya nampak awak sorang-sorang kat library ni. Petang-petang pulak, awak selalu main tenis dengan kawan-kawan yang lain, kan?” pancing Zaim.

Saja tunjuk yang dia memang prihatin tentang segala yang Amir buat. Memang pun!

Mendengar kata-kata Zaim, Amir terkejut.

“Wah! Nampaknya, selalu jugaklah awak perhatikan saya ya!” gurau Amir.

Akhirnya mereka berdua tertawa. Begitulah seterusnya, persahabatan mereka dari sehari ke sehari menjadi rapat. Ke mana sahaja, mereka pasti berdua.

Menjadi lelaki lembut terutama bila tinggal di asrama sangat mencabar bagi diri Zaim. Sayang Zaim pada Amir semakin bertambah apabila Amir bertindak sebagai pelindung dirinya daripada dibuli dan diejek rakan-rakan. Kawan-kawan asrama pula seakan-akan merestui persahabatan rapat mereka. Sehingga ada yang menggelarkan Zaim sebagai Jambu Amir. Di pihak Zaim pula, dia mula terasa dihargai, dimanjai, diberi perhatian dan rasa disayangi.

Zaim mula dibuai rasa angau bila setiap kali tidak dapat bersua muka dengan Amir. Jiwanya jadi kacau bila ada kalanya Amir tidak memberi perhatian kepadanya. Perasaan yang dialaminya tidak ubah seperti remaja normal yang sedang mula belajar bercinta.

Sememangnya baik Zaim mahupun Amir, mereka tidak pernah membicarakan tentang perasaan masing-masing. Namun, naluri Zaim berat mengatakan Amir juga berperasaan yang sama dengannya.

Namun, saat mereka sama-sama di tingkatan tiga, mereka terpaksa komited dengan peperiksaan besar pada tahun itu. Amir mula menjauhkan diri dan kurang memberi perhatian kepada Zaim lagi. Sekali dua Zaim masih boleh bertahan, namun bila terang-terang Amir memang sengaja menjauhkan diri daripadanya, Zaim terpaksa mengalah. Sedar tentang siapa dirinya dan tidak mahu menganggap dirinya murahan di mata Amir, Zaim juga menyepikan diri walau dalam hatinya masih tetap menyayangi diri Amir.

Begitulah seterusnya sehinggalah mereka berdua di dalam tingkatan lima. Persahabatan yang akrab semakin renggang. Jika mereka terserempak di mana-mana pun, Zaim mahupun Amir menjadi seperti orang asing. Malah, segan mahu bertegur sapa. Pada hari akhir peperiksaan SPM, Amir datang bertemu dengan Zaim.

“Aku... aku nak mintak maaf atas apa yang berlaku dan sepanjang aku mengenali kau!” kata Amir perlahan.

Kepalanya tertunduk memandang ke bawah, tidak berani bertentang mata dengan Zaim.

“Kau tak ada salah apa-apa pun kat aku, Amir. Well,aku faham apa yang kau rasa. Aku jugak patut mintak maaf kat kau,” sambut Zaim pula.

“Aku harap, kau lupakan apa yang telah berlaku antara kita. Anggap saja apa yang kita alami dan lalui itu sebagai satu perasaan normal bagi seorang remaja walau kita sendiri tak tahu mengapa rasa itu singgah pada hati yang salah. Aku suka berkawan dengan kau dan selepas ni, kita hanya berhubung atas nama kawan sahaja dan tak lebih daripada tu.” Amir menuturkan kata-kata itu dengan berhati-hati, bimbang Zaim akan berkecil hati atau tersinggung dengan kata-katanya itu.

Zaim memandang Amir. Dia tersenyum sinis.

“Terima kasih atas persahabatan ni, Amir. Ya, semua orang ada hati dan perasaan masing-masing. Biarlah aku dengan caraku sendiri. Aku doakan kau berjaya selepas ini dan beroleh kebahagiaan yang kau cari,” kata Zaim.

Biarlah dia sahaja yang tahu apa yang ada dalam hatinya pada saat itu.

“Untuk pengetahuan kau, semua kad-kad birthday wish yang kau bagi pada aku tiap-tiap tahun, masih elok dalam simpanan aku. Kau memang kawan yang paling istimewa dalam hidup aku. Aku akan terus simpan kad-kad tu,” ujar Amir sebelum melangkah pergi.

Tuhan sahaja yang tahu bagaimana remuknya hati Zaim ketika itu.

“Hmm...” Terdengar Zaim mengeluh.

Dia memandang sekeliling. Tersedar yang dia masih berada di ruang tamu rumahnya. Tiba-tiba terdengar dentuman guruh berbunyi dari luar. Zaim segera bangun dan menuju ke tingkap yang menghadap balkoni apartmennya itu. Diselak langsir yang menutupi pintu itu.

“La, hujan lebat rupanya. Tak sedar aku hari dah hujan,” kata Zaim.

Dia memandang langit hitam yang menutupi awan. Hujan lebat beserta guruh dan angin kuat itu memaksa Zaim menutup langsir tingkapnya. Zaim kembali semula ke sofa Cleopatranya itu. Sofa kegemarannya di kala badannya mahu berehat melepaskan penat lelah bekerja seharian di pejabat.

Hujan-hujan begini, mengingatkan Zaim tentang seseorang. Razak! Teman rapatnya sewaktu belajar di UiTM dahulu. Fikirannya menerawang menerjah ke nostalgia lama. Nostalgia 15 tahun dahulu.

“Nak tumpang?” tegur seorang lelaki berbadan tegap menghampiri Zaim dengan memakai payung besar.

Zaim yang sudah separuh badan basah terkena hujan walaupun berlindung di bawah gazebo itu terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Dia memandang lelaki tegap itu atas bawah.

Aik, abang maco gini pun bawa payung? Aku yang lembut-lembut gini pun tak suka bawa payung ke mana-mana! Zaim tertanya-tanya dalam hati.

“Helo, nak tumpang payung pun nak kena fikir dulu ke? Nak ke tak nak? Saya nak ke dewan kuliah ni. Kalau nak tumpang, jomlah sekali,” pelawa lelaki itu lagi.

Zaim tersengih. Eh, mamat ni, macam kenal aku dah lama pulak! Aku sendiri pun tak kenal dia. Zaim masih berkira-kira sama ada mahu menumpang payung bersama atau tidak.

“Okeylah, saya pelawa aje ni. Kalau tak nak, tak apa,” kata lelaki itu sambil mahu beredar dari situ.

“Eh, nanti. Saya tumpanglah!” jerit Zaim sambil terus merapatkan dirinya berhampiran lelaki itu.

“Saya Razak. Panggil aje, Ajak!” Lelaki itu memperkenalkan dirinya sambil mereka berjalan perlahan di bawah payung yang sama.

Hujan yang lebat tadi semakin berkurangan lebatnya.

“Saya Zaim. Awak dari course apa ya? Saya tak perasan awak sebelum ni,” ujar Zaim.

Dia cuba mempercepatkan langkahnya agar dirinya seiring berjalan dengan Razak.

“Betul awak tak perasan saya? Saya dah lama perasan awak. Selalu perhatikan awak. Awak dari course accounting, kan? Tahun ni, tahun akhir, kan?”

Zaim terkejut.

“Eh, macam mana awak tahu banyak perkara pasal saya ni?” tanya Zaim ingin tahu.

Razak ketawa.

“Adalahh...” jawab Razak sambil tersenyum penuh makna.

Zaim tertanya-tanya sendiri. Hendak bertanya lebih-lebih, takut dikata perasan pula. Sudahnya, Zaim mendiamkan diri. Sementara Razak pula tersengih-sengih menambah provokasi kepada Zaim.

“Tak payahlah buat muka cute macam tu. Okeylah, for your information, saya selalu perhatikan awak dan selalu jugak ikuti perkembangan awak melalui kawan awak, Zaza the vogue tu. Dialah informer saya selama ni,” terang Razak sambil memandang Zaim.

Terus sahaja Zaim tersipu malu. Kalau Zaza the vouge itu, Zaim kenallah! Zaza atau nama sebenarnya Zaharul memang terkenal di kalangan mereka di UiTM itu. Zaza yang ala-ala adik-adik itu memang suka memakai baju pink, seluar putih, kasut putih dan rajin juga membawa payung berwarna pink!

Kadang-kadang, suka melaram dengan memakai cermin mata berbingkai pink. Pelajar seni hiasan dalaman itu memang tidak kisah menerima ejekan daripada rakan-rakan seasrama mahupun rakan-rakan kuliah. Mungkin dia sudah biasa menerima semua ini semenjak dari zaman persekolahan dahulu.

Zaim memandang Razak yang berjalan seiring dengannya. Entah mengapa sejak dari awal disapa oleh Razak tadi, hati Zaim seakan-akan sudah melekat kepada Razak. Gayanya yang bersahaja dan maco, dengan bentuk fizikalnya yang Zaim rasa pasti menjadi idaman para gadis serta pembawaan diri Razak yang berkarakter itu membuatkan hati Zaim semakin cair.

Itulah detik perkenalan Zaim dengan Razak yang membawa keakraban yang semakin erat selepas itu. Bersama Razak, Zaim berasa dilindungi dan dihargai. Razak, pelajar Kejuruteraan Kimia tahun kedua itu memang sentiasa bersama Zaim walau di mana sahaja.

Zaim benar-benar menyayangi Razak. Masakan Zaim ingin melepaskan Razak begitu sahaja sedangkan Razak yang sememangnya seorang pelajar lelaki yang menjadi rebutan para pelajar perempuan di UiTM itu datang sendiri menyerah diri kepadanya. Razak yang memang seorang straight guy boleh sudi rapat dengan orang sepertinya.

Bagi Zaim, Razak bukan melakukan perkara bodoh, tetapi Zaim menganggap ia satu anugerah kepada orang sepertinya. Untuk itu, Zaim memang bertekad akan cuba menjaga perhubungan mereka itu sebaik-baiknya.

Sehinggalah Zaim menghabiskan pengajian akhirnya di UiTM itu dan Zaim terpaksa meninggalkan Razak yang masih di tahun kedua pengajian. Kemuncak perhubungan mereka menjadi semakin tawar bila Zaim sudah mula bekerja di sebuah bank dan masanya amat terhad bila bersama dengan Razak. Setiap kali berjumpa di hujung minggu, mereka sering bertengkar sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati masing-masing. Pengakhirannya, Razak telah meminta perhubungan mereka itu dihentikan setakat itu sahaja.

“Kenapa Ajak? Awak dah ada somebody ke?” tanya Zaim.

“Bukan begitu awak. Tapi, saya rasa apa yang kita buat selama ini adalah salah. Perhubungan kita ni tak ke mana pun,” kata Razak dengan nada tegas.

“Kenapa sekarang baru awak nak fikir salah ke tak? Masa mula-mula awak nak kawan dengan saya, ada awak fikir pasal ni semua?” tanya Zaim sedikit meninggi.

Razak mengeluh. Dia meramas-ramas rambutnya. Memandang Zaim lama sambil menggeleng. Razak cuba mencari kekuatan untuk meluahkan segalanya kepada Zaim.

“Awak, saya akui, saya memang silap memulakan perhubungan ini. Saya datang kepada awak ketika hati saya benar-benar hancur dilukai oleh ex-girlfriend saya. Saya memang frustgila dengan ex saya masa tu...” Razak terhenti seketika.

Zaim membisu seribu bahasa. Memberi peluang Razak meluahkan perasaannya.

“Tapi dengan awak, awak memang mempunyai tarikan tersendiri. Saya tak tahu nak describe macam mana. Dengan awak, saya rasa dihargai dan disayangi. Saya memang senang bersama awak, suatu perasaan yang saya tak dapat bila saya bersama dengan ex-girlfriend saya. Tapi, awak, sayangnya kita tak boleh bersama. Hubungan ini takkan ke mana pengakhirannya. Kita ada agama, awak.”

Entah mengapa kata-kata terakhir daripada Razak itu membuatkan Zaim merasa jengkel. Hipokrit sungguh lelaki ini. Detik hati Zaim. Ayat yang sememangnya Zaim dapat jangkakan akan keluar dari mulut Razak. Menggunakan agama adalah ayat selamat dalam menyelamatkan keadaan.

“Dan, seterusnya ayat yang akan awak cakap, anggaplah hubungan atau persahabatan kita ini adalah satu kesilapan. Betul tak, awak?” tanya Zaim sambil merenung tajam kepada Razak.

Razak tidak berani memandang tepat ke mata Zaim. Dia mengeluh sendiri dan jauh di sudut hatinya mengakui akan kata-kata Zaim sebentar tadi.

Zaim sudah bangun daripada duduknya. Hatinya benar-benar sakit, namun cuba bertahan agar dia tidak menunjukkan amarahnya kepada Razak. Untuk apa? Tidak ada gunanya lagi Zaim memanjangkan cerita. Zaim sudah mahu melangkah pergi meninggalkan Razak, namun sempat ditahan Razak.

“Awak, awak marahkan saya ke? Awak, saya mintak maaf. Saya...”

“Sudahlah, Razak! Tak payah nak mintak maaf bagai. Klise sangat dah di pendengaran saya ni. Saya doakan awak bahagia selepas ni dan berjaya dalam setiap apa yang awak impikan. Saya pergi dulu,” kata Zaim tegas.

Habis sahaja ayat itu, Zaim terus melangkah pergi meninggalkan Razak tanpa menoleh ke arah Razak lagi. Zaim sebenarnya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan perhubungan mereka itu. Apa yang hendak dipertahankan lagi? Kalau masuk mana-mana pertandingan merebut pasangan pun, seratus peratus Zaim yang akan menerima kekalahan.

Ini bukan negara barat di mana kalau Zaim masuk pertandingan itu, ada kemungkinan Zaim berpeluang memperolehi kemenangan. Zaim memang sedar tentang hakikat itu dan dia sendiri pun tidak pernah mahu mempertikaikannya. Biarlah, terima sahaja takdir yang telah ditentukan! Pujuk hati Zaim sendiri.

Dooommmm!

Terdengar bunyi guruh bertentum di luar, sekali gus mematikan terus lamunan Zaim yang panjang.

Zaim mengeluh lagi. Pasti hujan lebat ini akan berpanjangan. Fikir Zaim. Bagaimana ketidaktentuan cuaca di luar sana, begitu jugalah kecelaruan jiwa dan perasaan Zaim ketika ini.

Zaim sendiri tidak tahu apakah penamat kisah hidupnya itu. Apa yang pasti, Zaim harus meredah sahaja kehidupan yang mencabar ini biarpun masyarakat menyalahanggap tentang status dirinya. Yang penting, dia tidak menyusahkan kehidupan orang lain. Zaim tidak mahu memikirkan apa yang bakal berlaku kepada dirinya dan takdirnya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.